BAB 63: Jejak
Jarum jam sudah menunjukkan pukul 1.30 pagi. Nadirah sudah terasa bosan menanti suaminya pulang.
“Lamanya sayang ni tak balik? Biasanya pukul 12 tengah malam dah sampai rumah…”.
‘Buat apalah kau tunggu suami kau Nad? Macam lah kau tak biasa… Danny balik nanti dia terus tidur punya. Baik kau tidur je dulu… Nanti Danny baliklah tu, dia balik terus tidur tepi kau’, bisik fikirannya.
‘Tapi…’,Nadirah berfikir dua kali memandangkan jauh di sudut hatinya dia ingin menanti suaminya pulang dahulu barulah dia boleh tidur dengan lena.
‘Hmmm tak payah fikir-fikir… Ibu mengandung kena dapat cukup rehat. Kesian anak-anak dalam kandungan’, fikirannya menegaskan.
“Yalah…Betul juga tu”, akur Nadirah lalu dia baring dan memejamkan mata.
Walaupun matanya memejam, tetapi fikirannya masih berfikir. Nadirah menggoyang-goyangkan kakinya untuk mendodoikan diri sendiri.
Tiba-tiba ada satu panggilan mengganggu hasratnya untuk tidur.
Nombor yang memanggilnya itu adalah nombor yang tidak dikenali, Nadirah berasa sangsi untuk mengangkat panggilan itu, tetapi dia berasa tertanya-tanya juga lalu diangkatnya.
“Hello Assalamualaikum… Puan Nadirah ke? Kami dari pihak hospital”.
Nadirah mengerutkan kening. Seribu satu soalan muncul saat itu, ‘dah kenapa ni tiba-tiba hospital telefon?’.
“Waalaikumsalam.Ya… saya Nadirah. Ada apa ya ni?”.
“Suami puan Encik Daniel Haikal kan? Suami puan berada di Hospital Serdang. Dia dimasukkan di wad kecemasan sekarang… dia mengalami kemalangan di jalan raya”, sedih bunyi orang yang menelefon.
Nadirah membulatkan matanya. Jantungnya berdegup kencang-sekencangnya. Dia berasa takut, bingung dan risau lalu bertanya lagi.
“Apa?!! Boleh cakap lagi tak? Suami saya accident?!! Sekarang dekat hospital?!”, wajah Nadirah cemas. Matanya hendak berair juga.
“Ya puan. Sekarang suami puan di wad kecemasan. Doktor tengah buat operation kepada pesakit”.
Nadirah terkedu.
“Baiklah puan. Saya minta diri dulu. Assalamualaikum”, panggilan diputuskan.
Mata Nadirah berair, tekaknya mula berasa sakit dek kerana menahan tangisan. Tanpa menunggu lama, Nadirah pantas bangun dan memanggil ibu dan mak mertuanya.
Dengan suara yang tersekat-sekat dengan tangisan, Nadirah memanggil.
“Ibu!...Mak!... Danny!... Abang Danny…”.
Ibu dan mak mertuanya terjaga apabila melihat Nadirah memasuki bilik mereka dengan esak tangis.
“Nad? Kenapa ni?”, ibunya risau.
“Mak ibu cepat siap! Danny dekat hospital… Dia accident…Cepat… Nad dah tak tahan! Nad tak boleh tunggu… Nad nak jumpa Danny sekarang juga”, tangisan Nadirah semakin deras.
“Ya Allah!! Anak aku!!”, Mak Esah risau dan bergegas siap.
Semua bersiap dengan pantas. Hanya memakai tudung serta membawa dompet dan telefon sahaja. Nadirah yang sarat mengandung memaksa juga diri membawa kereta memandangkan ibu dan mak mertuanya tertinggal lesen kereta di rumah sana.
Setibanya di hospital, kesemuanya pergi ke kaunter hospital.
“Pesakit masih dalam wad… harap boleh tunggu di ruang tunggu ya”, kata jururawat yang berada di kaunter itu.
Nadirah duduk di kerusi. Dia berasa sangat penat setelah bergegas berjalan. Ibu dan mak mertuanya mundar-mandir. Mata Nadirah masih berair. Jujur di lubuk hatinya zahir beribu penyesalan. Dia rasa sangat berdosa sebagai seorang isteri. Selama ini dia asyik meragui suaminya, asyik mempersoalkan kesibukan suaminya. Sekarang segala ketidakpercayaannya kepada suami memakan dirinya sendiri.
‘Nak tunggu Danny accident barulah nak menyesal?! Sampai accident dia kerja untuk kau! Itu pun tak nampak?! Bila dia balik rumah penat, kau rasa dia penat biasa-biasa ke?! Kau pernah tengok tak urat dekat tangan dia?! Kerja keras dia?! Peluh dia?! Kau cuma tahu pasal diri kau je! Pasal suami kau? Kau tak percaya dia! Kau gugat dia!’, marah Nadirah pada diri sendiri.
Apapun antara pucuk pangkal sebuah rumah tangga itu adalah kepercayaan antara pasangan.
Mak Esah menangis. Tangisannya tidak berbunyi, tetapi air matanya mengalir sahaja. Penat bermundar-mandir, Mak Esah duduk di tepi menantunya.
“Nad…mak takut Nad… Mak pernah alami situasi macam ni. Macam inilah sewaktu ayah Danny dan Sarah tinggalkan mak dulu. Masa itu Danny kecil lagi. Tiba-tiba, satu hari tu dapat tahu ayah Sarah dan Danny accident lepas tu… dia tinggalkan mak untuk selama-lamanya”, suara Mak Esah mula tersekat-sekat.
“Mak…janganlah cakap macam tu…”, tangisan Nadirah makin laju apabila mendengar mak mertuanya bicara sebegitu. Selama ini pun dia tidak tahu keadaan sebenar bagaimana arwah ayah mertuanya meninggal. Apabila mendengarkan pengakuan mak mertuanya, Nadirah bertambah takut dan risau.
“Mak takut Nad… Mak takut sangat Danny ikut jejak arwah ayah dia. Meninggal muda…Mak takut Nad. Mak tak boleh nak hadap kenyataan tu”, Mak Esah teresak tangis.Tekaknya berasa sakit.
Puan Kiah yang melihatkan keadaan itu cuba menenangkan besannya dan anaknya.
“Esah…bawa mengucap Esah. Jangan fikir macam tu dulu Esah. Kita kena banyak berdoa kepada Allah. Tak ada sesiapa ikut jejak maut sesiapa. Ajal dan maut itu di tangan Allah. Kita kena percaya kepada Dia. Selagi kita berdoa, selagi itu kita ada harapan. Lagipun, doktor dalam tu berusaha sehabis dia untuk merawat pesakit. Sebagai mak, kita kena doakan anak-anak kita. Jangan patah semangat macam ni”.
Mak Esah mengangguk. Puan Kiah memeluk dan menggosok-gosok belakang besannya untuk menenangkan besannya yang kesedihan. Mak Esah membalas pelukan Puan Kiah.
“Terima kasih Kiah… bagi semangat macam ni. Aku… nak keluar sekejap. Nak ambil angin…nak tenangkan diri”, kata Mak Esah dengan wajah yang masih sedih.
“Baiklah kalau macam itu…”, kata Puan Kiah. Kemudian Puan Kiah duduk di sebelah anaknya pula.
“Ibu…”,Nadirah menangis lagi sambil memeluk ibunya. Puan Kiah membalas pelukan anaknya dan menggosok belakang anaknya pula.
“Nad banyak dosa dekat Danny ibu… Nad tak faham dia. Nad pernah tinggi suara. Nad bersangka buruk dengan dia. Sekarang Nad dah dapat balasannya. Balasan atas apa yang Nad lakukan selama ni dekat suami Nad… sebab Nad tak hargai dia. Padahal Danny sayang Nad sangat-sangat, tapi Nad,.. tapi Nad buat macam tu”,teresak-esak Nadirah.
“Nad…bukan macam itu. Jangan fikirkan yang buruk-buruk tentang perancangan tuhan. Segala kelemahan itu datang daripada manusia sendiri. Sekarang ni, Allah sedang menguji kita… Kita tak boleh berputus asa kepada Allah. Allah ada perancanganyang baik untuk hamba-hamba dia. Allah nak tengok sejauh mana kita meminta kepada dia. Berdoa, bertawakkan itulah paling selemah-lemah usaha. Kamu sebagai isteri kena doa yang terbaik untuk suami kamu. Doa isteri untuk suami pun diangkat juga”, pesan Puan Kiah.
Mak Esah pula berada di luar menenangkan diri. Pada pagi-pagi buta hampir 3 pagi ini, kawasan jabatan kecemasan ada saja orang. Mak Esah berdiri di luar dan bersandar di dinding sambil tangannya menutup mulutnya dengan gaya berdoa. Mak Esah memandang langit.
“Ya Allah… aku minta maaf atas segala sangkaanku. Sesungguhnya aku ini hamba yang lemah Ya Allah. Manusia yang sering terlupa dan ada kekurangan. Oleh itu aku memohon kepadaMu… Kau sembuhkanlah anakku. Kau sihatkanlah dia. Kau kasihanilah menantuku yang sedang mengandungkan cucuku Ya Allah. Hanya kepadaMu sahaja yang boleh mengizinkan segala kesembuhan”.
Mereka menunggu di ruang hospital sehinggalah bunyi azan Subuh berkumandang. Mak Esah, Puan Kiah dan Nadirah pergi ke surau berhampiran untuk menunaikan solat Subuh. Dalam pada mereka bersolat, mereka berdoa juga agar Daniel diberikan keselamatan dan kesembuhan.
Setelah selesai solat Subuh, mereka bersarapan pagi sebentar. Mata mereka jelas kemerehan lebih-lebih lagi Mak Esah dan Nadirah. Kemudian mereka kembali semula ke tempat semalam untuk menunggu keputusan doktor.
Sarah juga tiba di hospital apabila berita adik lelakinya kemalangan dimaklumkan maknya. Nadirah turut menceritakan bagaimana dia mengetahui Daniel masuk ke hospital. Setelah dua jam mereka menunggu, doktor keluar dari bilik berkenaan.
“Keluarga Encik Daniel?”, tanya doktor itu.
“Ya…saya mak dia… Macam mana keadaan anak saya doktor”, kata Mak Esah.
“Pesakit kehilangan banyak darah sewaktu mengalami kemalangan. Jadi kami pihak hospital buat sehabis baik untuk selamatkan pesakit. Alhamdulillah operasi semalam berjalan dengan lancar. Cumanya disebabkan kehilangan banyak darah, pesakit memerlukan masa untuk sembuh… dan sekarang pesakit masih tidak sedarkan diri lagi. Jadi kami harap pihak keluarga kena banyak berdoa agar pesakit cepat sedar dan cepat sembuh”.
Doktor membenarkan mereka masuk ke dalam wad untuk melawat Daniel. Luka Daniel jelas dan masih belum kering. Banyak luka Daniel di lengan di kaki juga. Wajah Daniel terdapat sedikit luka mungkin kerana memakai topi keledar.
Sejak dari itu, saat melawat pesakit mereka pasti akan hadir mengunjungi Daniel. Kadangkala tertidur di kawasan surau dan ruang menunggu juga. Mereka mengambil giliran untuk melawat Daniel. Urusan di rumah tidak dilupa juga seperti membasuh baju dan kain. Sarah sangat membantu dalam urusan rumah. Mereka semua masih sedih dengan ketidaksedaran Daniel.
Pada hari keempat, kelihatannya ada beberapa orang yang mereka tidak kenali datang melawat.
“Saya dah nasihatkan Si Daniel supaya fokus pada intern ni! Dah kena tangkap kerja dekat kedai runcit sekarang kerja jadi penghantar makanan pula! Hari itu dia hampir saja leka dengan kultur-kultur tu…Sekarang dia kemalangan tak pasal-pasal burn hari bekerja”, luah Abang Din kepada ketua pegawai tempat kerjanya dan pensyarah Daniel.
“Saya minta maaf Encik Hamdan dan Encik Din atas kecuaian anak didik saya”, pensyarah itu meminta maaf bagi pihak Daniel.
“Tak apa Encik Mikhail… Tapi saya kena dengar pihak sebelah juga. Saya tahu cara Daniel ni salah tapi kita kena tahu keadaan dia macam mana? Lain macamlah… sebab bunyi dia macam terdesak sangat nak bekerja ni. Mungkin dia ada keperluan lain”, prihatin Encik Hamdan
“Ini keluarga Encik Daniel?”, tanya Abang Din apabila melihat Nadirah keseorangan diruang menunggu luar wad.
“Ya…saya isteri dia”, jawab Nadirah sambil mengusap perut.
Abang Din terdiam dan memandang dua orang lagi yang bersamanya.
“Saya Din… supervisor Daniel… Ini ketua pegawai tempat intern Daniel dan ini pensyarah Daniel yang menguruskan hal intern”,kata Abang Din.
“Ohh…terima kasih kerana melawat suami saya”, angguk Nadirah.
“Sama-sama…boleh saya tanya? Dah lama ke Daniel berumah tangga ni?”, tanya Abang Din.
“Kami dah kahwin empat tahun dah… Kahwin awal. Itulah baru sekarang ada rezeki anak. Anak kembar”, kata Nadirah dengan wajah yang sedih. Dirinya sedih kerana mengenangkan suaminya yang masih tidak sedarkan diri.
Abang Din rasa bersalah. Dia tidak pernah tahu yang Daniel mempunyai isteri yang sedang mengandung. Sudah pastilah itu sebabnya kenapa Daniel membuat kerja lebih untuk mencari rezeki.
“Jadi…macam mana keadaan Daniel sekarang?”, tanya Encik Hamdan selaku ketua pegawai itu.
“Masa accident, suami saya hilang banyak darah. Lepastu doktor buat operation apa semua… doktor kata dah okay… Cuma sudah empat hari tidak sedarkan diri… Itulah saya minta semua doakan suami saya. Doakan kesembuhan dia”, kata Nadirah lagi.
“Baiklah baiklah”, angguk lelaki bertiga itu.
Din dan Encik Hamdan pergi jauh sedikit untuk berbincang sesuatu manakala Encik Mikhail bersama Nadirah berbicara sesuatu. Kemudian, Mak Esah hadir dan berkenal dengan Encik Mikhail juga.
“Din…saya faham awak ni ketua yang sangat bertanggungjawab, yang menjaga etika pekerjaan. Tapi ketua yang baik itu adalah ketua yang prihatin tentang subordinate bawah dia. Saya kalau nak pilih pengganti, saya perlukan seseorang yang disenangi oleh pekerja-pekerja dia. Jadikan ini sebagai pelajaran ya”, kata Encik Hamdan.
“Saya minta maaf bos… Saya tak tahu. Daniel pun tak pernah beritahu apa-apa masalah kepada saya”, kata Abang Din.
“Tak apa Din… bukan salah kau pun. Kadang-kadang tak semua masalah kita nak cerita pada orang kan… Mungkin bagi Daniel, hal ini privasi untuk dia”, kata Encik Hamdan.
Sementara itu, Encik Mikhail iaitu pensyarah Daniel berbicara dengan Mak Esah dan Nadirah.
“Untuk pembiayaan hospital… boleh claim dengan insurans takaful. Daniel masih bergelar pelajar… jadi bayaran insurans yang dibayar kepada pihak universiti boleh dimanfaatkan waktu sekarang. Untuk motosikal pun boleh juga kena bincang dengan orang insurans lebih terperinci”,kata Encik Mikhail.
**
Daniel duduk di sebuah kerusi di taman. Dia termenung sahaja di situ. Itulah tempatnya sewaktu kanak-kanak dulu bermain. Saat termenung, ada orang duduk disebelahnya.
“Nak ikut ayah ke sekarang?”, tanya seorang lelaki yang berbaju putih.
“Ayah?!!”, Daniel terkejut.
Lelaki itu hanya senyum sahaja dan bertanya lagi soalan yang sama, “Danny… nak ikut ayah ke?”.
“Nak!!!”,jawab Daniel dengan gembira. Dia sangat merindukan ayahnya. Sudahlah dari kecil ayahnya meninggalkannya. Sekarang sudah ada depan mata takkanlah nak lepaskan.