Home Novel Komedi/Romantik Komedi Encik Tunang 17 Tahun (COMPLETE)
Bab 11

BAB 11: Dilema Pengantin Muda


Nadirah membantu Mak Esah mengemas dapur sementara Daniel menguruskan urusan penutupan khemah.


“Daniel ada beritahu mak… yang dia tak nak sambung belajar”, luah Mak Esah kepada Nadirah.


“Ye ke mak?!”,Nadirah membulatkan matanya.


“Ya Nad… mak tak tahulah sebab mak tak pandai sangat hal-hal macam ni, tapi sebagai ibu mestilah nak tengok anak-anaknya lebih berjaya. Lebih-lebih lagi keputusan Daniel bagus”, kata Mak Esah.


“Nad pun setuju dengan mak. Kalau Nad, Nad memang mahu Daniel sambung belajar. Kalau Daniel tak tahu nak sambung mana sekalipun, Nad boleh bantu dia bawa jumpa mana-mana kaunselor kerjaya”, Nadirah bersungguh-sungguh.


Setelah selesai mengemaskan segala-galanya. Keluarga Daniel dan Nadirah bersalaman dengan ibubapa Nadirah memandangkan mereka juga ingin pulang.


“Baik-baik Daniel. Jaga kakak aku elok-elok”, bisik Fauzi kepada Daniel.


“Ya ya… saya jaga baik-baik sampai bila-bila”, Daniel hanya menepuk bahu Fauzi.


Nadirah memeluk cium orang tuanya sebelum melepaskan mereka pulang. Puan Kiah dan Mak Esah juga sempat rancak berborak sebelum Puan Kiah pulang. Kemudian, masing-masing melambaikan tangan antara satu sama lain. Apabila kelibat kereta sudah hilangdari pandangan mata, mereka masuk ke dalam rumah.


Daniel kini tinggal di rumah keluarga Nadirah iaitu di bawah rumahnya memandangkan keluarga Nadirah tidak berhasrat untuk menyewakannya. Mak Esah juga boleh ke rumah keluarga Nadirah memandangkan Nadirah juga kini sudah menjadi keluarganya.


Mak Esah kembali ke rumahnya dan pasangan pengantin baru itu juga kembali ke rumah keluarga Nadirah iaitu kini menjadi rumah mereka.


Setiba sahaja Nadirah dan Daniel masuk ke dalam rumah, Daniel kelihatan malu-malu. Gaya Daniel yang malu-malu menarik perhatian Nadirah.


“Kenapa?Janganlah malu-malu buat macam rumah sendiri”, kata Nadirah sambil mengajak duduk di sofa.


“Oh kejap ya. Nanti saya datang balik”, Nadirah ke dapur sebentar meninggalkan Daniel yang baru sahaja duduk di sofa.


Tidak lama kemudian, Nadirah datang dengan membawa dua cawan minuman coklat panas.Televisyen dibuka.


“Macam tak percaya saja”, Daniel berkata secara tiba-tiba dengan senyuman.


Nadirah memandang Daniel, “haah itulah”.


“Macam mana Nad boleh rasa nak kahwin dengan saya?”, Daniel masih seakan tidak percaya.


Nadirah terdiam. Dia memandang bawah. Dia juga sebenarnya tidak pasti. Namun, lafaz nikah sudahpun terjadi.


“Sebab saya nak kenal Daniel dengan lebih mendalam…”, sesuatu terlintas di fikiran Nadirah.


“Danny… betul ke Danny tak mahu sambung belajar?”, tanya Nadirah lagi.


“Ohh macam mana awak tahu?”, tanya Daniel pula.


“Adalah…”,beritahu Nadirah.


“Ya lah… sayakan sudah jadi suami orang. Kenalah bekerja untuk tanggung keluarga. Nanti Nad dah tak payah kerja”, kata Daniel berdasarkan pemikirannya.


“Danny… jangan risau pasal Nad. Danny kena fokuskan masa depan Danny. Keputusan awak bagus,Nad sangat sokong kalau Danny sambung belajar”, nasihat Nadirah apabila mengenangkan mak mertuanya.


“Nad… ini bukan soal masa depan saya. Saya fikirkan masa depan kita, sebab itulah saya nekad nak bekerja untuk kita”.


Nadirah mengeluh seraya berkata, “awak tak fikir ke yang masa depan awak adalah masa depan saya juga”.


Daniel memandang isterinya. Dia mula takut. Adakah dia membuat Nadirah marah? Tetapi dia juga tidak memahami maksud Nadirah.


“Baik-baik… jadi saya kena buat apa sekarang?”, Daniel bertanya.


“Saya cuma nak awak sambung belajar, tingkatkan ilmu pengetahuan. Kalau awak nak kerja boleh,yalah sementara tunggu sambung belajar. Nanti kalau dah sambung belajar, awak kena berhenti”, beritahu Nadirah.


Daniel hanya memandang bawah. Wajahnya agak berkerut.


“Bagi saya masa untuk berfikir hal ini…”, kata Daniel.


Seminggu sudahpun berlalu, Daniel sibuk dengan kerja sambilannya. Nadirah juga sibuk dengan pekerjaannya. Mereka tidak cuti untuk berlibur seperti pasangan lain memandangkan masing-masing mempunyai perkara yang ingin dicapai.


Daniel bekerja keras dengan harapan dapat diserap menjadi pekerja tetap di sebuah syarikat percetakan. Dia juga ingin membuktikan kepada Nadirah yang gajinya cukup untuk menampung keluarga.


Manakala Nadirah pula bekerja keras kerana dia sudah banyak meninggalkan kerja sewaktu mengambil cuti perkahwinannya. Dia merasa bertanggungjawab untuk menyelesaikan kesemuanya. Lagipula, ada hal lain juga yang ingin dicapainya sejak dari dulu lagi.


Nadirah membantu Mak Esah menyiapkan sarapan sebelum pergi ke kerja. Sementara Daniel masih tidur di rumah.


“Danny tak bangun lagi?”, tanya Mak Esah.


“Tak mak… lepas Subuh Danny tidur balik. Katanya shift kerja pukul 11”, kata Nadirah sambil gegas bersarapan.


“Hishh anak jantan seorang tu! Masa sekolah elok saja bangun awal… Dah habis sekolah sakan tidur lepas Subuh”, dengus Mak Esah.


“Mungkin kerja dia penat mak… yalah guna banyak tenaga”, kata Nadirah. 

Dia juga tidak tahu hendak setuju atau tidak dengan pendapat mak mertuanya.


“Kalau ya pun kerja guna banyak tenaga… Tak elok tidur lepas Subuh. Rezeki lambat masuk”,beritahu Mak Esah.


Jauh di sudut hati Nadirah, dia bersetuju dengan pendapat Mak Esah. Selepas majlis perkahwinannya, apabila masing-masing sudah mula bekerja. Nadirah dapat melihat Daniel selalu saja tidur di rumah lebih-lebih lagi pada waktu siang. Nadirahlah yang menyiapkan sarapan, mengutip baju untuk diletakkan di mesin basuh dan dia juga yang membasuh pinggan apabila mereka makan berdua bersama.


Nadirah cuba bersangka baik kerana dia pernah terdengar perbualan Daniel di telefon. Dia dapat melihat Daniel yang menggaru kepala setelah mendapat panggilan dari tempat kerja. Daniel kelihatan beban dengan pekerjaannya.


Saat di usia Daniel, Nadirah bekerja hanya untuk seronok dan menimba pengalaman, tetapi Daniel seakan tertekan. Jadi Nadirah tidak berkata apa-apa sewaktu Mak Esah berkata sedemikian.


Namun, memang tipulah jika jauh disudut hatinya sememangnya mengharapkan bantuan daripada suami untuk meringankan beban.


“Mak… sarapan apa ada mak?”, tanya Daniel sambil buka tudung saji.


“Roti telur satu keping saja?”, tanya Daniel lagi apabila membuka tudung saji.


“Lah dah bangun rupanya? Masuk rumah mak tak bagi salam… memang padanlah roti tinggal satu keping”, sindir Mak Esah.


“Alaa mak… tak baik cakap macam itu. Selepas kahwin ini Daniel kerja lebih masa kot… nak cari rezeki lebih. Itu yang Danny letih sangat ni sampai terbangun lambat”.


“Apa yang kamu tak cukup lagi Danny? Makan minum semua ada. Takkanlah kerana nak kejar rezeki di dunia sampai kamu abaikan rezeki di pagi selepas subuh?”, tanya Mak Esah lagi.


Daniel tersentak.


“Mak tak faham…Daniel nak buktikan dekat Nad yang Danny bersungguh-sungguh nak cari rezeki untuk keluarga kita. Sebab itulah Daniel buat kerja lebih masa”, beritahu Daniel.


Mak Esah mengeluh.


“Mak faham… tapi sampai bila? Sudah seminggu berturut-turut kamu tidur lepas Subuh. Alamatnya sampai 40 hari?”, tanya Mak Esah lagi.


Daniel terdiam.


“Apa yang kamu nak buktikan kepada Nad? Beritahu mak”.


Daniel memandang bawah. Lalu dia menceritakan perbualannya bersama Nadirah sewaktu di awal perkahwinan.


Apabila mendengar cerita anaknya, Mak Esah terdiam. Menantunya sememangnya memahami isi hatinya. Mak Esah rasa bersalah dan mula mengaku.


“Itu bukan permintaan Nad… itu permintaan mak. Tapi mak pendam saja kerana mak tak mahu paksa Danny. Mak teringin nak tengok satu-satunya anak lelaki mak pakai baju konvokesyen universiti. Mak ingat kamu masih boleh belajar memandangkan Nad wanita bekerjaya. Jadi tak sepatutnya ada isu kekurangan wang. Tak sangka pula Danny lebih nekad tak nak sambung belajar. Padahal, mak ada duit dan masih ingin nak salurkan duit mak untuk pelajaran anak-anak mak”, beritahu Mak Esah panjang lebar.


“Mak…”, Daniel berkerut. Dia rasa bersalah setelah mengetahui luahan isi hati maknya. Walausehebat mana pun seorang suami, mereka masih seorang anak kecil yang dilindungi ibu masing-masing. Daniel berfikir yang dia tidak sepatutnya mementingkan diri. Maknya sudah banyak berkorban. Maknya menjadi ibu tunggal di usia yang masih muda, menjaga makan minum sewaktu sekolahnya dan maknya juga membenarkannya berkahwin muda meskipun itu adalah keputusan yang sukar bagi sesetengah ibubapa.


“Danny akan sambung belajar mak. Danny nekad nak hadiahkan segulung ijazah untuk mak”, kata Daniel sambil memeluk maknya.


Mak Esah terdiam lalu tersenyum dan menggosok belakang anak lelakinya.


Jika sambung belajar dapat membahagiakan maknya, apa salahnya Daniel sebagai anak untuk menurut.






Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.