Home Novel Komedi/Romantik Komedi Encik Tunang 17 Tahun (COMPLETE)
Bab 37

BAB 37: First Impression


Pada Ahad pagi, Mak Esah menelefon menantunya Nadirah dek kerana perasaan ingin tahu yang sangat tinggi. Mak Esah melihat Daniel. Anaknya kelihatan sedang sibuk menaip di komputer riba. Mungkin membuat kerja kursus. Fikir Mak Esah. Tidak sampai seminit, Nadirah mengangkat panggilan Mak Esah.


“Assalamualaikum mak?”, suara Nadirah kedengaran.


“Waalaikumsalam Nad… Hah! Kamu tahu kan yang Danny ada dekat rumah mak… dan dia balik esok ke rumah kamu”, tanya Mak Esah.


Nadirah terdiam dengan persoalan Mak Esah. Pastilah dia tidak tahu! Tetapi kalau dia menjawab tidak tahu, nanti risau mak mertuanya syak yang hubungan mereka sedang dilanda masalah. Nadirah berwajah sedih. Dia tidak mahu mak mertuanya risau. Dia ingin mak mertuanya rasa yang mereka baik-baik sahaja.


“Ohh haah… Nad minta maaf. Nad tak boleh nak ikut Danny balik, sebab yalah… Nad pun banyak komitmen kerja. Nanti bila-bila insyaallah, Nad balik rumah mak dengan Danny ya”, jawab Nadirah dengan senyuman.


Mak Esah pula terdiam. Dia fikir, hubungan anak menantunya ada masalah. Tetapi apabila mendengar jawapan Nadirah yang bersahaja, mungkinkah dirinya yang terlebih fikir. Namun, ada sedikit kelegaan di hati Mak Esah. Dia bersyukur hubungan anak menantunya baik-baik saja.


Saat Mak Esah menelefon Nadirah, Daniel sempat mecuri pandang maknya yang sedang rancak bersembang apabila nama Nadirah dipanggil kedengaran.


Setelah Mak Esah selesai berborak dan menutup panggilan, Daniel bertanya.

“Nad ke tu?”.


“Haah…”, angguk Mak Esah.


Daniel berhenti menumpukan perhatiannya terhadap kerja kursus lalu memandang maknya seraya berkata, “Nad… cakap apa je”.


“Ohh Nad kata dia sibuk kerja… lebih-lebih lagi ada banyak syarikat yang nak mulakan meeting mereka”, cerita Mak Esah.


“Ohh…”, Daniel hanya mengangguk.


Daniel memandang bawah sambil berkata di dalam hati, ‘memang sembang dengan mak pun cakap pasal kerja sajalah! Tak ada nak suruh aku balik rumah ke?... Tanya khabar aku ke?’.


Daniel mengeluh.


**

Rais kelihatan sedang melakukan kerja bersama Lina untuk menguruskan urusan surau. Saat mengisi surat ke dalam sampul, Rais berbual.


“Lina… tahu kan Danny”.


Lina memandang Rais. Wajah Lina seakan mengawal perasaan teruja lalu berkata, “mestilah kenai haha”.


“Lina… tahu tak yang Danny tu sebenarnya suami orang?”, perlahan tanya Rais untuk melihat reaksi wajah gadis di hadapannya.


Lina terdiam. Wajahnya yang sedikit teruja tadi berubah. Jelas Lina terkejut dengan kenyataan Rais lalu berkata, “biar betui Rais…. Awat tak khaba’ mai kat Lina sebelum ni?”.


“Saya tak adalah nak cerita lebih-lebih sebab Lina pun tak ada tanya tapi…”.


“Tapi?”, Lina semakin tertanya-tanya.


“Tapi Danny… dia tak bahagia”, kata Rais dengan wajah agak sedih.


Lina mula mengerutkan kening, “tak bahagia? Pasai apa? Maksudnya apa tu?”.


Rais mengeluh,“Danny tu kadang-kadang selalu pendam. Bila kitorang tanya barulah dia cerita sebab yalah sakit pendam seorang diri kan…”.


Lina masih mendengar.


“Danny kahwin di usia muda… tepat-tepat habis sekolah terus kahwin. Isteri dia pula lebih tua lima tahun daripada dia. Awal-awal macam okay…tapi itulah, bila isteri lebih matang ni kan. Isteri dia jadi macam queen control. Itulah yang Danny sekarang macam rasa terganggu. Kadang-kadang stress, sebab asyik fikir masalah rumah tangga dia. Dia memang tak cerita… tapi kadang-kadang tu nampak sangat muka dia stress sampai kitorang yang kena tanya dia”, cerita Rais panjang lebar.


Kening Lina hanya berkerut mendengar cerita Rais. Ada juga perasaan simpati kepada Daniel. Walaupun sudah kahwin, tetapi tidak bahagia pula.


“Pasai apa Danny tu boleh kahwin muda sangat?”, tanya Lina.


Rais memandang bawah lalu berbicara dengan nada sayu, “biasalah waktu awal-awal kan… perasaan cinta itu kan buta. Lebih-lebih lagi, Danny tu muda. Naif lagi waktu tu… Bila kahwin saja ingatkan happy ever after, tapi itu semua khayalan saja. Di dunia nyata, lepas dah kahwin pun belum tentu lagi boleh bahagia. Lebih-lebih lagi bila pasangan dah tunjuk belang sebenar”.


Lina terdiam mendengar penjelasan Rais. Dia berasa semakin simpati kepada Daniel. Dia merasakan Daniel tertipu dengan perasaan cintanya kepada isterinya sewaktu muda. Maklumlah, usia muda dan sangat naif. Tidak banyak pengalaman lah katakan. Daniel buta dalam cinta sehingga sanggup berkahwin di usia sangat muda. Tetapi apabila sudah berkahwin, isterinya pula yang sudah mengawal segala-galanya. Fikir Lina.


**

Pada hari Isnin, Daniel langsung ke kuliah dari rumah Mak Esah. Wajahnya muram sahaja, rasa tidak ceria. Perasaannya datang ke kuliah rasa tidak bersemangat. Sebelum ini rasa biasa-biasa, tetapi sekarang rasa kosong. Fikirnya hendak ke kuliah lalu pulang sahaja. Datang ke kuliah hanya sekadar datang. 


Maklumlah masalah hubungan manusia sesama manusia sememangnya boleh mempengaruhi mood seseorang. Nak buat apapun rasa tidak seronok saja. Rasa ada yang tidak kena. Rasa berhutang. Inikan pula masalahnya dengan isterinya yang masih tergantung tiada penyelesaian.


Daniel mengeluh. Buat masa sekarang dia tidak mahu bertemu isterinya. Bukanlah kerana dia benci tetapi kerana dirinya sendiri. Dia takut dia berasa janggal dan kekok apabila melihat isterinya. Cukuplah dahulu pernah merasa janggal. Dia tidak mahu merasai keadaan itu lagi. Dia takut Nadirah tidak boleh menerima maafnya kerana sebelum ini pun dia meminta maaf tetapi masih lagi melakukan kesalahan dan membuat Nadirah bersedih. Kalau kata-kata maaf pun sudah tidak mempan apatah lagi kata-kata sayang atau cinta. Pasti Nadirah sudah muak dengan dirinya. Daniel berfikir jika waktunya sudah tiba, dia pasti akan bersiap sedia menghadap Nadirah. Cumanya dia tidak tahu bila.


Apa-apapun dia cuba untuk memendamkan perasaannya dengan masih cuba untuk berlagak biasa dengan rakan-rakan.


Jai dan Rais memandang antara satu sama lain dengan sedikit kerutan apabila melihat tindak tanduk Daniel. Macamlah mereka tidak tahu yang ada sesuatu membelenggu Daniel. Kebiasaannya, Daniel berlagak biasa. Tetapi kali ini Daniel banyak diam dan apabila bersembang, Daniel hanya balas ala kadar sahaja. Tidak seperti dirinya yang biasa. Sikap-sikap sebegitu yang hadir secara tiba-tiba kadangkala menunjukkan ada sesuatu yang disembunyikan.


Setelah selesai kelas, Jai pulang dahulu ke bilik. Tinggal Rais dan Daniel yang masih berada di kawasan kampus untuk urusan tertentu. Daniel berjumpa dengan mentornya bagi mendapatkan nasihat tentang latihan industri yang akan dilalui mereka tidak lama lagi. Sementara Rais masih dengan urusan biro suraunya bersama Ustaz penyelia di bilik pensyarah.


Setelah selesai dengan urusan masing-masing, mereka berjalan sambil bersembang antara satu sama lain.


“Kau tak ada rasa nak tahu ke? Siapa yang suka kau?”, tanya Rais.


Daniel mengeluh.

“Emm… aku malaslah nak tahu. Tapi kalau kau nak beritahu… aku tak kisahpun”, kata Daniel dengan gaya yang agak tidak berminat.


“Ishhh kau janganlah macam ni! Aku nak menggembirakan kau kot!”, Rais berkerut melihat rakannya yang tidak bersungguh-sungguh untuk mendengar.


Daniel tersenyum kecil, “ya ya… beritahu jelah kalau kau nak beritahu”.


“Dia perempuan baik-baik… Kos Bahasa Arab. Lawa pun lawa”, kata Rais sambil mengangkat-angkat kening.


Daniel terhenti lalu memandang Rais. Dia sedikit berkerut.

“Kau biar betul? Budak Kos Bahasa Arab? Aku tak kenal langsung diorang… Cuma Zali seorang je yang aku kenal. Macam mana perempuan tu kenal aku?”.


Well… dia minat kau sebab dia kata kau rajin pergi surau walaupun kau bukan budak asrama”.


What?!! Aku pergi surau pun masa aku lepak asrama dengan korang… kalau tak lepak tak adanya aku nak pergi surau situ. Eh pelik betul?”, Daniel pula terasa aneh.


“Manalah aku tahu?! Dah first impression dia dekat kau macam tu. Lagipun kawan aku ni semua orang baik-baik. Jadi normal saja ada yang suka. Itulah orang putih kata, first impression is important!”, kata Rais lagi.


Daniel hanya diam memandang bawah sambil berjalan.


‘Hmmm… first impression kah? Andai mereka tahu aku macam mana… adakah diorang akan rasa aku masih orang baik-baik?’, getus hati Daniel.


Seseorang manusia itu mempunyai pelbagai sifat dan sikap terhadap berlainan orang dan tempat atau situasi. Perangai bersama kawan berbeza. Perangai bersama mak berbeza. Perangai bersama isteri berbeza. Perangai bersama orang luar juga berbeza.


‘Rajin pergi surau?’, getus hati Daniel lagi. Dia tersengih sinis untuk dirinya lalu mengeluh.


Daniel berasa tidak layak saja untuk menerima pandangan-pandangan itu. Hubungan bersama isteri berantakan. Seorang suami yang asyik nak ikut kehendak sendiri dan berasa malas untuk membantu isteri di rumah. Hal itu hanya Nadirah sahaja yang tahu. Nadirah sahaja yang bertahan dengan dirinya selama ini. Andai perempuan Kos Bahasa Arab itu mengetahui perangai sebenarnya… adakah perempuan itu boleh menerima dirinya seperti Nadirah?


‘Jaga isteri puntak pecus! Ada hati kau nak dipandang tinggi Danny?!’, bisik dirinya.


Saat leka termenung. Rais menarik-narik lengannya.


“Wehhh! Danny…panjang umur dia. Kau tengok! Itulah perempuannya!...”, teruja Rais apabila melihat Lina dari jauh.



Previous: Bab 36
Next: Bab 38

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.