Home Novel Komedi/Romantik Komedi Encik Tunang 17 Tahun (COMPLETE)
Bab 34

BAB 34: Bisikan II


Daniel, Jai dan Rais melepak sebentar di bilik asrama sementara menunggu kelas seterusnya. Rais masih lagi di tandas dan hanya Daniel dan Jai sahaja di bilik berdua. Jai kelihatannya sedang sibuk membelek telefonnya manakala Daniel asyik termenung. Daniel asyik terfikir hal rumah tangganya yang sejak akhir-akhir ini asyik bertikam lidah dan tinggi suara antara satu sama lain.


Bermacam-macam ‘WH Questiondifikirkannya.


What is happening with my marriage?

Why…, Who…, Where…, When…, Which…, Whose…, Whom…, How…


‘Aduh pening-pening!’, Daniel menggeleng-geleng kepalanya apabila cuba mengaitkan perkahwinannya dengan ‘WH Question’.Dia juga tidak boleh menjawab sendiri setiap persoalan yang berkaitan dengan perkahwinannya. Daniel berasa dia tidak mampu menyimpan seorang diri dan dia memerlukan pendapat orang lain.


“Jai…”, panggil Daniel sambil memegang Jai yang sedang asyik bermain telefon.


Jai berhenti sebentar dari aktivitinya lalu memandang Daniel.


“Aku nak minta pendapat kau sikit boleh tak?”, tanya Daniel.


“Hah? Apa dia?”,Jai bangun dari pembaringan dan memperbetulkan kedudukan.


“Macam mana nak buat orang perempuan lembut hati?”, tanya Daniel.


Jai tersengih,‘bini dia lah ni…’.

“Hmmm aku rasa kau kena selalu cakap benda yang sweet sweet,contohnya macam awak cantik hari ni… Awak gadis paling ayu dekat dunia ni…Saya sayang awak… Saya tak boleh hidup tanpa awak… Cewahhh gitu!! Hahahah”, Jai teruja seorang diri saat cuba mengeluarkan skil memikat gadisnya.


Daniel masih menanti jika ada cadangan lain daripada Jai.


“Takpun kau belai dia. Perempuan ni suka kalau kita manjakan dia… Kau peluk dia ke, kau usap rambut dia ke… cium dahi dia ke, pipi dia ke… Ini untuk yang dah halal lah. Kau tanya pasal bini kau kan? Hehehe”, seronok pula Jai dalam bab-bab hendak memberi cadangan sebegini.


Daniel mengeluh,“haah untuk bini aku… tapi masalahnya aku dah buat dah semua tu. Tak menjadipun, isteri aku masih dingin dengan akulah… selalu sindir-sindir. Itu yang sumber nak gaduhnya tu”.


“Kalau kau dah buat semua tu masih tak jadi juga… Itu maksudnya kaulah yang ada problem”, jawab Jai.


“Maksud kau?”,Daniel mengerutkan keningnya.


“Okaylah… aku cakap ni berdasarkan kenyataan. Aku tak bermaksud nak merendahkan kau tau. Sebagai kawan, aku beritahu benda yang terus terang. Kadang-kadang kita selalu rasa pasangan kita tu bermasalah. Dia garanglah, dia dinginlah, dia tak hormat kitalah. Tapi sebelum kita cari salah pasangan kita tu, cuba tengok diri kita sendiri dulu… Ada tak masalah dengan diri kita? Kau tengok diri kau, kau rasa kau ada masalah tak? Maksud aku… kau pun ada tak buat benda yang dia tak suka? Cuba kau ingat balik. Kalau dah ingat, kau kena berubahlah terhadap benda yang bini kau tak suka tu”.


Daniel terdiam. Dia tahu ada kebenaran di sebalik kata-kata Jai, tetapi entah kenapa dia tak boleh terima. Daniel sedar dia juga ada kekurangan tetapi isterinya masih baik saja dulu, cuma sekarang saja yang dah lain. Pasti isterinya yang sudah berubah! Dan hal itu memang tiada kena mengena dengan sikapnya… Fikir Daniel.


“Alah Jai… aku sama je dari dulu sampai sekarang. Isteri aku yang berubah. Lagipun aku memang macam ni orangnya, isteri aku kenalah terima aku seadanya kan? Kita kan kena terima kekurangan pasangan”, Daniel masih mempertahankan dirinya.


Jai mengeluh dengan kata-kata Daniel.

Begitulah orang lelaki, mereka tidak rasa yang kekurangan mereka sekecil-kecil zarah boleh menjadi penyumbang kepada sesuatu yang besar. Mereka ada ego sendiri. FikirJai.


“Hmm kalau kau dah kata macam tu. Tak apalah… Aku rasa kau cuba tanya Rais, dia kan lebih pakar. Maklumlah masa aku baca nota mikro… dia dok belek fb suami-suami tersakiti dia tu”, sengih Jai.


Daniel ketawa kecil. Dia turut terhibur.


Speak of the devil…

Rais masuk ke bilik setelah selesai ke tandas.


“Hah panjang umur kau Rais. Kitorang baru saja cakap pasal kau”, kata Jai.


“Hah… kenapa?”,tanya Rais.


“Ni hah Si Danny nak tanya pendapat kau. Hah kau pergilah cerita dekat dia”, beritahu Jai.


Lalu Daniel pergi ke arah Rais dan mereka keluar sebentar untuk mencari kawasan sunyi supaya dapat berbual dengan lebih rancak. Setelah itu, Daniel langsung meluahkan segala cerita seperti mana yang diceritakan kepada Jai. Rais mengangguk-angguk sahaja mendengar cerita Daniel.


“Ish… aku rasa berdasarkan cerita kau ni, memang dah tahap parah ni. Kau kena guna cara ekstrim”, beritahu Rais.


“Cara ekstrim macam mana?”, tanya Daniel.


“Kau cakap saja…yang dekat ‘U’ tu ramai minat kau. Kalau isteri kau tak behave, bila-bila masa saja kau kahwin lain”, bersungguh-sungguh Rais beritahu.


“Hushh!! Apa dasyat sangat cadangan kau ni?! Kahwin lain? Gila ke? Lagipun mana ada yang minat aku dekat sini!”, beritahu Daniel.


“Ishh kau ni Danny…Itu semua hiperbola sajalah! Kita nak bagi isteri kau terdiam tau… Tengok macam mana reaksi dia. Kalau dia marah… hah tahupun marah! Tapi layan suami baik-baik tak nak! Kalau soal peminat kau tu pula… ada saja yang minat. Aku tahu siapa yang minat kau tu”, Rais mengangkat-angkat kening.


“Ohh ada ke?Siapa?... Ehh! Kejap-kejap! Hishh benda ni semua ridiculous lah! There’s no way lah, aku nak buat macam yang kau cakap tu!”, Daniel semakin pening kerana bermacam perkara sudah bercampur aduk. Baginya cadangan Rais sangat tidak masuk akal. Tidak mungkinlah dia mahu melakukannya.


Rais hanya mengeluh memandang tepi. Dia hanya memberi cadangan berdasarkan pembacaannya sahaja. Kalau tidak mahu ikut, tak apalah. Fikir Rais.


**

Sarah menemani dua orang rakan serumahnya yang hendak pindah. Mereka berpelukan dan bersalaman antara satu sama lain sebagai tanda perpisahan. Ada juga adegan air mata antara mereka. Maklumlah, bukan sekejap-sekejap mereka bersama. Dari ijazah sehinggalah habis. Sarah yang paling terasa sedih sekali kerana rakan-rakan yang paling rapat dengannya hendak meninggalkannya keseorangan. Dia juga masih belum menemui rakan rumah yang baru pula tu.


Setelah selesai berlambaian antara satu sama lain, Sarah pulang ke rumah sewanya. Dia berjalan menuju ke rumahnya dengan gaya tidak bersemangat. Sarah berjalan sambil memandang bawah dan termenung sahaja. Dia terkenangkan saat-saat rakannya masih ada bersama.


Apabila masuk ke rumah pula, dia terasa Qis dan Alia masih ada. Namun, bila melihatkan barang-barang rakannya yang sudah tiada… Sarah mula kembali ke dunia nyata. Dia perlu melepaskan hal lalu. Dia perlu yakin kepada dirinya sendiri dan berani hadapi apa sahaja ujian pada masa akan datang. Lagipula hampir setahun sahaja lagi pengajian PhD nya akan habis.


‘Tak apa Sarah…sekejap saja lagi. Nanti habis belajar, kau dah boleh balik Malaysia dah’,Sarah berbisik pada diri sendiri.


Pada waktu malam,Sarah menonton televisyen keseorangan. Malamnya terasa sunyi, ditambah lagi dengan tiupan angin kencang. Bunyi angin melalui celah-celah tingkap juga kedengaran.


‘Moga perjalanan mereka baik-baik saja Ya Allah’, pinta Sarah buat rakan-rakannya.


Pada esok pagi,Sarah keluar hendak ke kuliah bagi menemui penyelianya. Tiba-tiba rumah di sebelahnya yang selama ini kosong sudah ada beberapa orang berdiri dihadapannya. Sarah kenal tuan rumah rumah sebelahnya itu. Tuan rumah itu sedang membuka kunci pintu rumah sambil bercerita tentang keadaan rumah.


‘Ada orang nak menyewa agaknya?’, getus hati Sarah. Sarah cuba melihat-lihat penyewa-penyewa baru itu.


“Urghh…”, Sarah terasa takut memandangkan kesemua penyewanya lelaki dan tak ada satu pun yang dikenal. Ada lelaki yang kulit gelap, kulit cerah dan bermata sepet juga ada. Pantas Sarah beredar dari situ. Bagaimanalah hari-harinya yang akan datang? Dia seorang saja perempuan di rumah. Rumah sebelahnya pula ramai sekali penghuni lelaki. Fikir Sarah.


Dua minggu berlalu, kehidupan Sarah berjalan dengan baik dan seperti biasanya. Dia tidak pula diganggu penyewa-penyewa baru sebelahnya. Malah ada di antara mereka yang nampak baik dan kadangkala senyum mengangguk kepadanya sebagai tanda hormat.Sarah juga hanya mengangguk dengan senyuman tipis.


Namun, keselesaan Sarah itu tidak kekal lama. Walaubagaimanapun, Sarah masih seorang perempuan yang duduk seorang diri dengan berjirankan lelaki asing yang ramai di rumah sebelah.



Previous: Bab 33
Next: Bab 35

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.