Bab 33
Sebuah lori kecil memasuki halaman ruman Pak Nuar. Pak Nuar dan Pak Seman yang sedang leka bersembang cepat-cepat menoleh. Asmah yang sedang menyiang rebung muda bersama Mak Jah turut memanjangkan leher.
“Lori siapa pulak tu andak?” soalan Pak Nuar tidak berjawab. Mungkin Pak Seman tidak mendengarnya kerana terlalu asyik memerhati.
“Kamu ni andak, aku tanya dah tak dengar dah.” Ditepuk bahu Pak Seman dengan kuat.
“Eh, ada ke angah tanya tadi. Apa ke dianya?”
“Lori siapa tu?” soalan diulangi lagi.
“Patutnya aku yang bertanya pada angah. Dah tentu lori tu datangnya ke rumah ni. Manalah aku tau lori siapa.” Pak Seman ketawa. Pak Nuar sengih, betul juga kata adiknya itu.
Apabila lori kecil berkepala putih itu berhenti betul-betul di depan tangga hadapan rumah itu, Pak Nuar terus menghampiri dengan diekori oleh Pak Seman. Asmah dan Mak Jah yang turut teruja untuk tahu terkocoh-kocoh sama. Rebung muda ditinggalkan sebentar di dalam besen.
“Cari apa tokeh?” soal Pak Nuar kepada pemandu Cina yang sepet itu.
“Mau hantar barang ma. Ada orang beli ini motosikal, dia mau gua hantar sini punya alamat...ini, betul punya alamat bukan?” lalu pemandu Cina itu menunjukkan sekeping kertas yang tertulis alamat yang lengkap.
“Ya...ya...betul...tapi tak ada siapa beli motosikal dalam rumah ni.” Pak Nuar menggaru kepala. Terpinga-pinga. Pak Seman ke belakang lori lalu meninjau ke dalamnya. Asmah tumpang sekaki.
“Ada ke awak belinya, Jah?” pertanyaan di ajukan kepada Mak Jah pula. Kalau tidak memikirkan ada ramai orang, mahu saja Mak Jah ketawa besar. Tidak masuk akal soalan suaminya. Masakan dia yang membelinya. Manalah dia ada duit sebanyak itu. Pak Nuar sendiri tahu sudah hampir setahun tabung buluhnya diisi tapi masih juga belum penuh.
“Saya nak beli dengan apa bang?” Akhirnya Mak Jah ketawa juga.
“Itu orang kata, ini motosikal Rima punya...pakcik boleh kasih sign sini.” Pinta pemandu lori.
“Rima? Senyap-senyap dia beli...mana pulak datang duitnya budak tu?” tidak sudah-sudah Pak Nuar dengan kebingungannya.
“Pak ngah, dia tak kata adik yang beli...tapi ada orang lain beli untuk adik.” Asmah cuba menjelaskan kedudukan sebenar. Pak Seman angguk. Dia juga mempunyai pemahaman yang sama seperti Asmah. Anak dan ayah memang banyak persamaan.
“Adikkk! Oh adikkk...turun sini kejap!” laung Mak Jah memanggil Rima yang sedang memeriksa buku latihan pelajarnya di atas. Laungan Mak Jah tidak berjawab. Mungkin suara Mak Jah tidak cukup kuat.
“Oiii...adikkk! kamu nak motosikal merah jambu tak? Kalau nak, ha...meh turun cepat!” laung Asmah dengan lebih kuat. Barulah ada bunyi tapak kaki sedang memijak lantai papan. Laju saja langkah Rima. Tidak sampai dua minit dia sudah terpacul di tangga.
“Betul ke ada motosikal untuk adik? Wah!...sukanya!” suara Rima separuh menjerit. Seperti budak kecil yang mendapat cokelat. Rima terus menyarung selipar dan berlari ke belakang lori. Rima menekup mulutnya supaya tidak menjerit dengan lebih kuat lagi. Tidak dapat dibayangkan waktu itu, satu-satunya barang yang diidamkan dari kecil sudah ada di depan matanya.
Dipeluknya badan Mak Jah kuat-kuat. Kemudian dicium pula tangan Pak Nuar dan Pak Seman. Asmah? Ah! Malaslah, sepupunya itu selalu menyakitkan hatinya. Adik...bilalah nak dewasa...adik bila lagi nak jadi orang...bla, bla, bla, bla. Hanya itu pertanyaan Asmah yang selalu membuat Rima berasa senak perut.
“Terima kasih ayah...akhirnya ayah dengar jugak suara hati adik ni...kan bu?” ucapan Rima membuat Pak Nuar melopong lagi. Yang lain-lain juga berasa hairan. Siapa sebenarnya yang membeli motosikal merah jambu itu?
“Bukan ayah beli. Cina ni kata ada orang belikan untuk adik. Takkan adik tak tau siapa dia.” Balas Pak Nuar serba-salah. Agak ralat juga tidak dapat memenuhi keinginan Rima yang satu itu. Sudahnya entah siapa yang bermurah hati membelikan untuk Rima.
“Bukan?...habis tu siapa?” soal Rima pula.
Dipandang oleh Rima setiap muka yang ada di situ. Masing-masing mengangkat bahu tanda tidak tahu menahu. Rima berfikir sebentar. Tidak lama kemudian mukanya menjadi kelat, masam mencuka. Hilang seri mukanya yang terlalu seronok sebentar tadi. Hanya satu nama yang sedang berada dalam otaknya. Syidah!...ya, besar kemungkinan Syidah yang membelinya.
“Bawak balik motosikal ni apek.” Arah Rima dengan muka tidak senyum.
“Haiyooo...sudah bayar habis ma...cash ooo.” Bantah pemandu lori.
“Adik...sini kejap,” lalu Mak Jah menarik Rima jauh sedikit.
“Kenapa macam budak-budak ni adik? Dulu kamu jugak yang tergila-gilakan motosikal merah jambu. Dah ada depan mata, macam tu pulak sikap kamu.” Tegur Mak Jah. Bukan mudah untuk Mak Jah marah tapi untuk kali ini dia mesti ditegur. Apa kata Pak Seman dan Asmah nanti bila melihat perangai Rima yang begitu.
“Kan adik dah kata, adik tak nak apa-apa dari perempuan tu.” Jika sesuatu yang membabitkan Syidah serta-merta hati Rima menjadi sekeras batu sungai.
“Ibu tak rasa dia orangnya. Manalah dia tau adik suka motosikal merah jambu.”
“Pergi kamu tanya, kalau yang belikan kamu tu lelaki...dah tentu Juki orangnya. Kalau dia, ibu percayalah...kan dia tau semua benda yang kamu suka.” Tambah Mak Jah dengan yakin. Dia hanya bercakap berdasarkan logiknya saja. Lebih-lebih lagi Juki memang rapat dengan keluarga mereka. Rima angguk saja lalu mendaptkan pemandu lori.
“Apek, yang beli motosikal ni lelaki ke perempuan?” soal Rima dengan separuh minat. Hatinya masih tetap mengatakan Syidahlah yang telah membelinya. Juki?...hmmm, Juki sudah merajuk hati dengannya. Tidak mungkin dia akan berbuat begitu.
“Lelakilah amoi...banyak lawa.” Puji pemandu lori. Nyut nyut...berdenyut jantung Rima. Siapakah? Terasa mahu tersenyum tapi ditahankan. Kalau tidak malulah dia pada semua orang, bukankah sebentar tadi dia sudah marah-marah. Rima malu sendiri.
“Haiyaaa, gua sudah banyak lama sini maaa...mau ka ini motor?” soal pemandu lori itu dengan lurus bendulnya.
“Maulah apek. Kalau apek pun mau, belilah satu.” Jawab Rima pula dengan muka tidak malunya. Tadi marah-marah, sekarang suka pula.
“Aji, tolong bolehkah. Gua tolak ini motor, aji dua orang kasi sambut.” Dengan pantas pemandu sudah berada di badan belakang lori.
“Tak pasal-pasal kita naik haji ya, ngah.” Pak Seman ketawa dan disambung oleh Pak Nuar. Asmah dan Mak Jah turut ketawa. Telinga Rima sudah tidak mendengar apa yang diperkatakan oleh mereka kerana otak dan matanya sedang berpusat pada motosikal merah jambunya. Kembang-kuncup hidungnya dek terlalu suka. Bayangkan saja sudah berbelas tahun dia mengidamkan motosikal itu. Dengan bantuan Pak Seman dan Pak Nuar, motosikal sudah berada di atas tanah.
‘Eiii...syoknya dapat motor pink!’ jerit Rima dalam hati.
‘Hmmm...tapiii...malunya kat Juki...serba-salah adik. Kalau pulangkan semula pada dia, mesti dia akan tambah kecik ati. Macam mana ya?...nak buat bodoh aje ke?’ Dalam sukanya, ada juga rasa tidak sedap hati. Takut terhutang budi...nanti tergadai...?
‘Ishhh...apalah adik fikir ni? Juki tak macam tu,’ lalu Rima menghalau kepulan hitam yang sedang ditiup masuk ke dalam hatinya.
“Okey...sign sini amoi.” Pemandu lori menghulurkan resit penyerahan motosikal.
Selepas lori kecil itu pergi, cepat-cepat Rima bertenggek di atas motosikal merah jambu barunya. Senyumannya sampai ke telinga. Mak Jah dan Pak Nuar tidak ketinggalan membelek-belek dengan diperhatikan oleh Pak Seman.
“Boleh ke adik bawak motor pun?” suara Asmah seperti terung pipit yang dijadikan peluru pistol kayunya semasa kecil dulu. Walaupun tidak merbahaya tapi bila sudah terkena kulit, sakit juga. Kata-kata dan mimik muka Asmah selalu saja berbau sindiran. Entah bilalah dia mahu bertaubat dari menyakiti hati Rima.
“Nanti adik belajarlah tu.” Pak Seman menjawab bagi pihak Rima. Dia juga sudah masak dengan mulut anak perempuannya yang kadang-kadang suka cakap lepas itu. Muka Rima masam semula. Hilang semangatnya mahu bergaya dengan motosikal merah jambunya.
“Dah siap masak, kak ngah? Perut ni dah berlagu nampaknya.” Pak Seman bertanya Mak Jah pula.
“Mana nak siapnya andak...ha, ajak abang ngah kamu tanak kat belakang tu. Buat tungku, masak dengan kayu api. Cepat sikit masaknya. Buatlah dua tungku, satu lagi untuk kami menggulai nanti.” Jawab Mak Jah. Dua keluarga itu sudah berpakat untuk makan tengahari bersama-sama.
“Assalamualaikum...tok...tok ngah.” Sebaik Mak Jah dan Asmah berlalu, Juki pula sampai. Pak Seman menyahut salam Juki.
“Lambat kamu, Juki. Tolong tok ngah cari kayu api.” Pak Nuar mengarahkan cucu saudaranya itu.
‘Hak ala...sombongnya Juki! Tak tegur adik pun. Dia tak nampak ke motor yang dia belikan ni?’ bisik Rima dengan geram. Kemudian Rima berdehem untuk menarik perhatian Juki. Pak Nuar dan Pak Seman berlalu ke belakang rumah untuk membantu orang perempuan.
“Ooo...dah beli motor pink!...cantik juga,” ujar Juki dengan separuh hati. Hanya mahu mengambil hati Rima. Dia paling tidak suka melihat Rima merajuk. Sedangkan bila dirinya yang merajuk tidak pula Rima sudi memujuk.
‘Ishhh, pandainya berlakun...padahal dia yang beli!’ gerutu Rima diam-diam.
“Juki!”
“Nak apa?” soal Juki selamba. Tidak senyum seperti selalu.
“Ajar adik tunggang motor ni...boleh?” Pinta Rima.
“Tengoklah nanti...aku nak ke kebun, cari kayu api.” Balas Juki acuh tak acuh.
“Eeiii...sombong!...pergilah!” Sikap Juki membuat Rima naik geram. Juki terus berjalan meninggalkan Rima yang mengetap bibir menahan marah.
“Jukiii!” laung Rima. Tidak sampai hati melihat muka Rima yang seperti tapai basi, Juki berpatah balik. Masih dengan muka yang malas untuk senyum.
“Haaa...,” hanya itu yang keluar dari mulut Juki.
“Ko dah sombong dengan adik ya Juki? Takpe...takpe...tapi adik nak ko ajar jugak tunggang motor ni. Kalau ko tak nak, siaplah ko!” gertak Rima. Juki melepaskan nafas yang paling panjang. Sesak dadanya melihat sikap Rima.
Tidakkah Rima tahu hatinya sedang sangat terluka kerana guru yang comel itu telah menolaknya mentah-mentah? Sukarnya untuk dia melupakan Rima. Lebih-lebih lagi bila Rima bersikap seperti sembilan tahun yang lalu. Manis kenangan itu. Rima memang suka mengugut Juki dengan bermacam-macam cara. Kenakalan Rimalah yang menambat hati Juki.
“Yalah...nanti-nanti aku ajar,” lalu Juki terus beredar meninggalkan Rima. Makin lama berada di sisi Rima, akan lebih terluka hatinya.
Rima memandang Juki sambil mengetap bibir. Sebenarnya dia sangat memahami apa yang Juki sedang rasa tetapi dia tidak mampu berbuat apa-apa. Seboleh-bolehnya Rima mahu bersikap seperti biasa terhadap Juki supaya Juki tidak merasakan dia cuba untuk menjauhinya.