Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Cantik?
Bab 20

Bab 20

 

 

Seorang wanita di pertengahan umur yang baru turun dari sebuah kereta Volvo 142 memerhati persekitaran rumah Pak Nuar. Suasananya tidak banyak berubah. Masih seperti 17 tahun yang lalu. Hanya pokok buah-buahan sudah banyak tumbuh di sekeliling. Rumah papan beratap zink yang sebahagiannya sudah agak berkarat masih nampak teguh sementara cat minyak pada dinding juga sudah memudar.

Cermin mata hitam bersaiz besar ditanggalkan lalu diselit pada celahan leher baju kebayanya. Kain batik lepas berkipas di depan membuat langkah wanita itu nampak sopan. Dia berjalan menghampiri tangga hadapan rumah Pak Nuar. Sunyi saja keadaan di atas rumah. Dengan teragak-agak wanita itu memberi salam. Perlahan pada awalnya dan ditinggikan suara apabila salam masih tidak bersahut.

“Waalaikumussalam...cari siapa?” akhirnya Mak Jah menyedari ada seseorang datang ke rumah. Wanita di atas tanah tunduk, tidak terus menjawab. Ada debaran kuat di dadanya.

Pak Nuar yang berdiri di sebelah Mak Jah cuba mengamati muka wanita itu. Puas Pak Nuar cuba membayang-bayangkan gambaran muka seseorang yang pernah mereka kenal dulu.

“Kamu?” mata Pak Nuar separuh membulat. Dia seakan tidak percaya dengan apa yang dipandangnya. Wanita yang menjadi tetamu masih lagi tunduk.

“Abang kenal dia ke?” soal Mak Jah yang masih bingung. Bagaimana Pak Nuar boleh mengenali wanita ayu dan bergaya itu?

“Awak pun kenal dia jugak, Jah!” sahut Pak Nuar. Mak Jah cuba untuk mengingati. Dahinya diurut-urut sambil berkerut. Perlahan-lahan gambarannya mulai datang, hingga akhirnya muka Mak Jah berubah pucat. Bahu Pak Seman dipegang kuat bila Mak Jah merasakan badannya mahu tumbang.

“Kamu!” suara Mak Jah cuba ditahan.

 “Ya, kak...saya...Syidah,” lalu Mak Jah dan Pak Nuar saling berpandangan. Tepat jangkaan mereka. Wanita itu adalah Syidah. Rasa hendak tercabut jantung Pak Nuar bila mendengar suara wanita itu.

 “Buat apa datang?” Mata Pak Nuar mencerlang. Mak Jah cuba mengatur nafas yang payah. Hendak dikata dia diserang asma, sepanjang hidupnya tidak pernah lagi Mak Jah menghidap penyakit yang satu itu. Entah kenapa tiba-tiba saja dadanya rasa tersumbat.

“Abang...kakak, izinkan saya naik.” Syidah tidak ada pilihan. Dia terpaksa menebalkan muka biarpun kedatangannya memang tidak mendapat sambutan. Sesuatu harus diselesaikan dan Syidah mahu memiliki semula apa yang sepatutnya menjadi haknya.

Bukan mudah mahu menjemput orang yang tidak diraikan untuk naik ke atas rumah tapi adab sopan Melayu yang amat menghormati tetamu telah memaksa mereka mempersilakan Syidah menjejakkan kaki ke rumah itu. Berat sungguh hati mereka.

“Terima kasih, abang...kakak.” Ucap Syidah sebaik punggungnya mencecah kerusi rotan di ruang tamu. Mak Jah hanya berdiri di tepi tingkap sementara Pak Nuar tidak senang duduk. Berjalan mundar-mandir di sekitar.

“Sepi je rumah ni...ermmm...mana dia?” Pertanyaan Syidah cuba diajukan dengan berhati-hati. Nada suara perlahan saja. Syidah juga mulai gelisah bila Pak Nuar dan Mak Jah hanya mendiamkan diri sejak dia menjejakkan kakinya ke atas rumah.

“Siapa?” soal Pak Nuar buat-buat tidak faham.

“Errr...dia...saya tak tau siapa namanya...tapi...tapi abang tau siapa yang saya maksudkan, kan?” Bergetar suara Syidah. Serba tidak kena. Nampak bodoh bila bertanyakan tentang seseorang yang dia sendiri tidak tahu akan namanya. Memang teruk!

“Kalau aku kata umurnya tak panjang, atau aku dah bagi pada orang lain...kamu percaya tak?” Tidak ada perkataan yang lebih baik yang melintas dalam kepala Pak Nuar waktu itu. Syidah diam. Mengangguk tidak menggeleng pun tidak. Cuma kekerasan hatinya yang membuatnya tidak malu-malu untuk datang ke rumah itu.

“Saya...saya yakin dia masih hidup...,” lambat-lambat Syidah bersuara.

Pak Nuar ketawa. Bunyinya sangat berat. Dia sedang mentertawakan seorang ibu yang tidak tahu nama anak yang telah dilahirkannya. Jika begitu, apakah nilainya sebagai seorang ibu? Kali ini Syidah berasa malu. Malu yang teramat. Kalau boleh disorokkan mukanya, sudah tentu dia akan melakukannya. Malangnya dia terpaksa juga berdepan dengan pasangan suami isteri itu.

“Maafkan saya...maafkan saya. Memang salah saya...saya...saya...”

“Kamu nak kata, kamu dah insaf? Kamu menyesal? Kalau semudah itu, semua orang lebih suka buat dosa. Tanpa memikirkan akibatnya, tanpa ambil kira kesannya pada orang lain!” Bentak Pak Nuar. Mak Jah sudah letih berdiri lalu duduk di tepi tingkap. Dia lebih rela punggungnya berlapikkan lantai yang keras daripada duduk di kerusi rotan yang berkusyen dan berdepan dengan Syidah. Kalau boleh dia tidak mahu melihat muka tetamunya itu.

“Bagi saya peluang...saya nak tebus semuanya.” Pinta Syidah merayu. Air matanya mulai berjejeran. Hati tua Mak Jah jatuh kasihan tapi apakan daya, dia terpaksa mengetepikan rasa belasnya.

“Dengan apa? Duit ringgit? Kekayaan kamu? Ah! Mudahnya!” Kali ini Mak Jah yang hilang sabar.

“Maksud saya...saya nak dia tinggal dengan saya. Saya nak curahkan kasih sayang pada dia. Boleh kan...kakak?”

“Mudahnya! Datang saja terus nak ambil dia. Sudah! Jangan harap kamu akan dapat dia! Kakak rasa elok kamu pergi dari sini sebelum Rima balik! Jangan sampai dia jumpa kamu! Dia akan susah hati nanti!”

“Namanya Rima ke kakak?...Rima...cantik nama tu...mesti cantik budaknya!” apa yang didengar oleh Syidah hanyalah nama Rima. Dia sedikit pun tidak mengendahkan arahan Mak Jah yang mahu dia pergi dari situ. Tidak sudah-sudah senyuman Syidah bermain di bibir sambil mulutnya mengulang nama Rima berkali-kali. Sudahnya Mak Jah menekan-nekan dahinya kerana kepalanya mulai sakit.

“Syidah...kalau kamu sayangkan dia, biarkan dia gembira. Jangan ganggu hidup dia. Dengarlah cakap kakak ni.” Mak Jah merendahkan suaranya. Dia menyedari tidak ada gunanya bertegang urat jika ia tidak dapat menyelesaikan apa-apa.

“Ya Syidah...biarlah dia teruskan hidupnya tanpa sebarang kesedihan. Kesianlah pada dia. Selama ni Rima tak pernah kekurangan apa-apa.” Tambah Pak Nuar agar Syidah lebih faham.

Syidah bermain-main dengan jarinya. Sesekali dia mengetap bibir sambil ekor matanya bertukar memandang Mak Jah dan Pak Nuar. Syidah sedang memikirkan kebenaran kara-kata kedua orang yang telah mendidik dan membesarkan anak yang telah dikandungnya sembilan bulan sepuluh hari. Sebahagian dirinya mahu mengiakan tapi keinginan hatinya untuk menatap wajah Rima telah membuat Syidah tidak mampu lagi untuk menimbang baik dan buruk pilihan yang akan dibuatnya.

“Jangan suruh saya pergi, kak...saya nak jumpa anak saya. Saya tak akan pergi.” Syidah nekad. Dia membatukan diri. Mak Jah tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Musthil untuknya mengambil penyapu di dapur untuk menghambat Syidah pergi. Pak Nuar juga sudah mati kutu. Tetamu tidak diundang itu betul-betul membuat dirinya rasa tercabar.

“Kakak, abang...saya rasa Rima tak sesuai untuk terus tinggal sini. Kalau dengan saya, Rima akan lebih selesa. Kalau abang dan kakak sayangkan dia, tentu akak dan abang tak kisah kan. Lagi pun rumah saya yang besar tu terlalu sunyi bila cuma saya sorang-sorang yang diami.” Setelah lama diam, Syidah bersuara lagi.

Mendengar kata-kata Syidah, menyala lagi kemarahan Pak Nuar yang cuba dipendam-pendam. Pak Nuar bergerak ke muka pintu. Tidak tahan untuk menentang muka Syidah lagi. Mak Jah mulai membayangkan segala macam perkara buruk. Sungguh mati! Mak Jah tidak mahu kehilangan Rima.

“Kamu nak sogok dia dengan harta dunia kamu tu? Jangan kamu sangka Rima akan gembira! Kami lebih kenal macam mana dia. Luar dalamnya. Apa yang dia suka apa yang tidak. Jangan harap Rima akan sudi penuhi ketamakan kamu tu, Syidah.” Terasa kering air liur Pak Nuar. Dia berhenti sekejap untuk menarik nafas. Penat!

“Waktu kamu tak maukan dia, kamu tinggalkan dia tanpa sebarang berita. Kamu buat dia macam anak tak ada ibu. Aku masih tak boleh lupa, saat Hamidi hembuskan nafas akhirnya pun dia masih tak dapat maafkan kamu. Kamu nusyuz!” jerkah Pak Nuar. Bayangan wajah Hamidi di saat-saat terkahir hidupnya datang semula.

 “Errr...Abang Hamidi...dia...dia, dah tak ada?” Mulut Syidah telopong. Terkejut. Pak Nuar diam. Mak Jah membisu.

“Dia dah meninggal ke?” soal Syidah lagi. Lemah seluruh badannya.

 “Bohong! Saya tak percaya! Saya tak percaya!” gumam Syidah lagi, bercakap sendiri. Tangannya dikepal dan di hentak-hentak perlahan pada pahanya. Air mata tidak kering dari pipi. Hinggalah kedua matanya kabur dek air mata yang bergenang.

“Ya...setahun selepas kamu lari ikut lelaki kaya tu, Hamidi menghembuskan nafas terakhirnya. Menderita hidupnya. Rima pun tak sempat kenal ayahnya. Perempuan jenis apa kamu ni, tinggalkan anak yang baru kamu lahirkan macam tu saja? Memalukan! Lari dengan jantan lain masa dalam pantang! Kamu buang suami yang sedang sakit macam sampah...semata-mata kejarkan kesenangan dunia.” Perlahan dan menghiris kata-kata Pak Nuar.

Syidah menekup muka dengan kedua tapak tangan. Telinganya tidak sanggup lagi mendengar tentang kekejaman yang pernah dilakukannya dulu. Dia berasa malu terhadap dirinya sendiri. Tidak sanggup untuknya mengangkat muka.

“Maafkan saya...banyak dosa saya,” ucapnya sendu. Kata-katanya tiada sambutan. Kedua pasangan suami isteri itu tidak tahu apa yang sepatutnya diperkatakan. Permohonan maaf memang mudah untuk diluahkan oleh orang yang bersalah tapi ia tidak semudah itu untuk terus memberi kemaafan oleh orang yang hatinya sudah disakiti. Syidah hampa.

“Dosa kamu dengan Tuhan, kamu perlu bertaubat. Kejahatan kamu terhadap Hamidi, cuma dia yang boleh maafkan...dan kesalahan kamu pada kami, biarlah masa yang menentukan.” Hati Pak Nuar masih keras. Tidak tahu bilakah kekerasan itu akan terhakis.

Syidah semakin lemah. Fikirannya kosong. Dia resah tidak menentu. Akhirnya Syidah memutuskan, lupakan saja tentang Hamidi...semuanya sudah berlalu. Semudah itu Syidah memilih jalan. Kini dia hanya mahukan Rima. Biar sebenci mana pun Pak Nuar dan Mak Jah kepadanya, Syidah tetap tidak akan berganjak dari rumah itu. Dia tetap akan menunggu Rima. Jika tidak, sia-sia saja kedatangannya yang jauh beribu batu.

“Saya akan tunggu anak saya...saya nak dengar sendiri dari mulutnya nanti. Saya akan pujuk dia.” Kedegilan Syidah masih tidak berubah. Masih seperti 17 tahun yang lalu.

“Walaupun kamu dah sedar kamu salah, tapi kamu tetap keras kepala macam dulu. Kamu degil!” tegur Mak Jah. Syidah memandang ke luar tingkap. Buat-buat tidak dengar. Mak Jah hanya mampu menahan geram.

 Mak Jah berdoa agar Rima tidak pulang pada siang itu. Biarlah dia bermalam di rumah Pak Seman saja. Pak Nuar juga mengharapkan perkara yang sama. Sudah tentu Rima masih belum bersedia menerima kedatangan Syidah yang tiba-tiba itu.

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.