Bab 21
Balik dari rumah Pak Seman, Rima berasa hairan apabila melihat sebuah kereta Volvo 142 berada di halaman rumahnya. Seingatnya tidak ada saudara mara mereka yang memiliki kereta seperti itu. Siapakah yang bertandang ke rumahnya? Itik yang yang sudah disembelih oleh Pak Seman masih dalam pegangannya.
“Siapa pulak yang datang? Tengok keretanya macam orang kaya aje. Ni yang adik tak sabar nak tau!” Cepat-cepat itik yang sudah disembelih itu diletakkan di atas pangkin.
Perlahan-lahan Rima memijak anak tangga. Baru sebahagian anak tangga diinjaknya, kedengaran suara asing dari atas rumah. Yang pasti ia suara seorang wanita. Hati Rima semakin dijentik ingin tahu. Untuk terus meluru naik tentu agak tidak sopan. Rima mematikan niatnya lalu duduk di atas pertengahan anak tangga.
“Abang dan kakak berilah saya peluang untuk habiskan masa bersama anak saya dalam usia tua saya. Saya nak tebus semula salah silap saya. Tolonglah abang...kakak.” Suara yang serak-serak basah itu jelas kedengaran masuk ke lubang telinga Rima. Hatinya rasa tersengat. Apa maksud kata-kata itu? Adakah ia berkaitan dengan status dirinya? Tiba-tiba badan Rima terasa lemah.
“Baru sekarang kamu ingat pada dia? Semudah itu ke Syidah? Setelah kamu tinggalkan dia begitu saja pada kami, kamu pergi tanpa khabar berita. Kami selalu terfikir, kamu ni masih hidup atau dah mati. Sekarang kamu muncul tiba-tiba dan bercakap tentang hak. Apa hak kamu?” jerkah Pak Seman yang hampir hilang sabar. Mak Lijah pula sudah bengkak matanya. Menahan sedih dan sakit hati.
“Saya yang melahirkan dia, bang!” Syidah tidak mahu mengalah. Pak Seman ketawa sinis.
“Semua perempuan boleh melahirkan...tapi kamu kena tau, tak semua yang pandai melahirkan tu tau mendidik! Kamu? Apa kamu dah buat? Kucing pun tau sayangkan anak!” Geram sungguh Pak Seman melihat Syidah yang baru pertama kali muncul selepas lama menghilang, terus saja membangkitkan tentang haknya.
Rima tidak sedap hati. Terasa sakit dadanya mendengar kemarahan ayahnya. Tidak mudah baginya untuk melihat Pak Nuar marah-marah. Selama ini orang tua itu selalu saja bersikap tenang walau dalam apa keadaan sekali pun. Siapa saja yang telah menimbulkan kemarahan kedua orang tuanya, orang itu akan menjadi kebencian Rima. Rima cukup pantang bila melihat hati Pak Nuar dan Mak Lijah disakiti. Terluka hati mereka, akan terguris juga perasaannya. Bagi Rima, merekalah ayah dan ibunya. Mereka telah menatangnya dari kecil bagai minyak yang penuh. Sakit peningnya, berak kencingnya, merakalah yang bersusah-susah. Makan pakainya, mereka juga yang melengkapkan.
“Tapi...saya tau saya dah silap. Sekarang saya dah sedar semuanya salah saya. Saya teringin sangat nak peluk dia, cium pipi dia. Kalau boleh...kalau boleh...saya nak bawak dia balik ke Johor. Sebulan pun jadilah. Bolehkan, abang...kakak?” suara Syidah penuh mengharap.
Pak Seman hanya mampu mengusap dada. Terlalu sakit hatinya. Tidak ada kata-kata lagi yang mampu diluahkan. Mak Lijah sudah lama terdiam. Akhirnya masing-masing membisu. Bagi mereka, Syidah adalah orang yang reti bahasa.
Kaki Rima sudah terasa ringan. Dia tidak peduli lagi kalau dianggap sebagai biadap. Hatinya terasa panas bila Pak Nuar dan Mak Jah disakiti. Biarlah nampak tidak dewasa, dia tidak kisah lagi.
“Boleh kan, abang?” rayu Syidah lagi.
“Tak boleh!” tegas Rima yang sudah terpacak di depan mereka.
Syidah tersentak. Mak Jah dan Pak Nuar tidak menyangka Rima akan muncul tiba-tiba. Itu bermakna dia telah mendengar semuanya. Mereka juga terpempan apabila melihat sikap garang Rima terhadap ibu kandungnya sendiri. Selama ini mereka telah mengajar Rima tentang adab sopan dan cara menghormati orang tua. Apakan daya, dalam saat segenting itu mereka tidak berdaya untuk menegur. Masing-masing sedang menahan perasaan marah.
“Ini ke Rima?...Rima, ini mama. Mama yang lahirkan Rima.” Syidah tidak peduli bagaimana perasaan orang lain ketika itu. Inilah saat-saat yang dirinduinya selama ini. Bertemu dengan anak yang dilahirkan 17 tahun yang lalu. Syidah mahu menghampiri Rima sayangnya cepat-cepat Rima berundur. Dia berdiri di belakang Pak Nuar.
“Rima! Marilah dekat mama...mama nak peluk Rima.” Pujuk Syidah lagi. Rima hanya membatukan diri tidak berganjak. Perasaannya terhadap Syidah sangat kaku. Tidak ada rindu dendam dan tidak ada rasa kasih yang berputik.
Pak Nuar dan Mak Jah hanya tunduk. Mereka tidak memujuk bahkan tidak juga melarang. Seboleh-bolehnya mereka tidak mahu menunjukkan contoh yang kurang baik kepada Rima. Apakan daya keadaan yang menjadikan mereka berkeras untuk mempertahankan Rima.
“Tak kenal pun puan...saya cuma ada Pak Nuar sebagai ayah adik dan Mak Jah ibu saya.
Saya rasa lebih baik puan balik. Jangan nak sakiti hari ibu ayah saya!” keras suara Rima sedangkan dalam dadanya sedang bercampur rasa. Ada marah, ada sedih, sayu dan ada sedikit rasa puas hati kerana dapat menatap wajah orang yang cuba dibayang-bayangkannya selama ini. Walaupun sudah berusia, wajah wanita itu masih nampak ayu. Entah mengapa tidak ada sekelumit rasa rindu yang datang dalam hatinya.
Pak Nuar dan Mak Jah masih tidak mampu menegur perlakuan Rima. Fikiran mereka sedang kecamuk dan sarat. Mereka juga takut akan kehilangan Rima yang sudah mendarah daging dalam hidup mereka. 17 tahun bukan satu jangkamasa yang singkat untuk mereka membiarkan Rima dirampas begitu saja oleh Syidah.
“Rima jangan kata macam tu, sayang...Rima tau kan...syurga tu di bawah tapak kaki ibu.” Syidah teragak-agak untuk menyatakan perkara itu. Dia sendiri tidak pasti layakkah untuk dia menyatakannya.
“Jangan cakap lagi! Saya tak suka...benciii!” Sepantas kilat itu Rima bergegas meninggalkan ruang tamu. Anak tangga dipijak satu per satu dengan laju. Rima berlari dan terus berlari dengan hati yang hancur.
“Adik! Nak ke mana tu?” laungan Pak Nuar tidak diendahkan oleh Rima.
“Adik! Balik adik!” jerit Mak Jah pula.
Syidah terduduk di kerusi rotan. Berkecai perasaannya, musnah harapannya. Dia tidak menyangka Rima akan sebenci itu kepadanya. Kunjungan yang diharap-harapkan akan menaut kembali hubungan mereka telah menjadi sebaliknya. Kerinduannya tidak terubat malahan hanya kehampaan dan kebencian Rima yang diperolehi.
“Puas hati kamu Syidah?” Kali ini Mak Jah yang bersuara. Dia duduk di muka pintu sambil melihat ke arah Rima berlari. Mak Jah amat pasti yang Rima akan ke rumah pak andaknya, Pak Seman. Dia tahu Rima akan aman di sana.
“Kenapa kakak ajar Rima untuk bencikan saya? soal Syidah, menyakitkan hati.
“Aku rasa baiklah kamu balik dulu Syidah, lebih lama kamu kat sini akan lebih buruk jadinya nanti. Kamu jangan nak hilangkan batas sabar kami.” Ujar Pak Nuar yang tidak tahan dengan tuduhan Syidah yang langsung tidak munasabah.
“Tapi bang...”
“Aku kata, kamu balik dulu!” ulang Pak Nuar lebih tegas.
Mahu tidak mahu, rela tidak rela dan dengan berat hati Syidah terpaksa angkat kaki. Apa hendak dikata, kedatangannya tidak diundang apatah lagi untuk diraikan. Diambilnya tas tangan di atas kerusi rotan, dibukanya tas itu dengan lemah. Kemudian dikeluarkan wallet kulit berwarna kehitaman. Dari dalamnya dikeluarkan beberapa keping wang kertas berwarna ungu.
“Saya ikut kata abang...kalau tu yang abang dan kakak nak...tapi saya akan datang lagi. Ini duit seribu ringgit...tolong berikan pada Rima. Katakan pada dia, saya sayangkan dia.” Tersekat-sekat suara Syidah. Dia tidak ada pilihan lagi. Rumah Pak Seman mesti ditinggalkan. Tekadnya, dia akan datang semula untuk mendapatkan Rima.
“Tak perlu! Simpan je duit kamu. Kami masih mampu menyediakan semua keperluan untuk Rima.” Tegas Pak Nuar.
“Tolonglah bang...ambillah. Sekurang-kurangnya kedatangan saya ke sini tak sia-sia. Beri saya peluang untuk beri sesuatu buat dia. Ambil kak.” Syidah meletakkan duit itu di telapak tangan Mak Jah. Mak Jah memandang Pak Nuar untuk meminta pendapatnya. Dengan berat hati Pak Nuar mengangguk perlahan. Apa yang dilakukan oleh Pak Nuar adalah atas dasar kemanusiaan. Dia tidak mahu terlalu kejam terhadap orang lain.
Selepas duit itu bertukar tangan, Syidah tidak menunggu lebih lama lagi. Dia terus beredar meninggalkan rumah Pak Seman dengan seribu kehampaan.
Di rumah Pak Seman pula, Rima sedang cuba ditenangkan oleh Ita. Esakan Rima masih belum berhenti. Pak Seman turut tidak berpuas hati dengan kedatangan Syidah yang tiba-tiba. Rasa marahnya sama seperti kemarahan Pak Nuar.
“Ita, kenapa baru sekarang dia cari adik? Kenapa nak ganggu hidup adik?” ucapnya di sela esakan. Ita hanya mampu mendengar. Dia tidak berani untuk memberi pendapat, takut akan lebih memburukkan lagi keadaan. Apa tidaknya, kebiasaannya pendapat yang diberi oleh Ita hanya akan menimbulkan kemarahan Rima. Sudahnya Ita hanya meminta supaya Rima bertenang sambil diusapnya belakang Rima.
“Sudah jangan menangis lagi. Tengok muka tu dah tak cantik dah. Adik kan kuat orangnya. Mana ada masalah yang tak boleh selesai. Masalah tu macam penyakit, ada penyakit adalah ubatnya. Ada masalah, adalah jalan keluarnya. Sudah, lap air mata tu.” Pak Seman yang sedang membersihkan rumput di kebunnya memujuk Rima.
“Adik tak nak jumpa dia, pak andak.” Rima segera mengelap air mata dengan tapak tangannya.
“Dia tetap ibu kamu. Itu hakikatnya. Macam mana pun buruknya dia, dia yang melahirkan kamu. Kalau tak, kamu tak ada peluang ada di muka bumi ni kan, adik.” Lembut saja nasihat yang diberi oleh Pak Seman. Dia berharap Rima akan dapat menerima kenyataan hidupnya dengan hati terbuka.
Rima mendengar setiap butir kata-kata Pak Seman tanpa dapat menimbangnya dengan baik. Dia sedang buntu. Pemikiran warasnya sedang tersekat. Apa yang nampak nyata hanyalah betapa tidak beruntungnya nasib yang terpaksa dilalui.
“Kan lebih elok kalau dia tak payah ahirkan adik...jadi tak perlulah adik ada kat dunia ni. Bukan macam tu, pak andak?” soalnya tanpa berfikir panjang. Hingus yang mengintai cepat dilap.
“Adik cakap macam tu dah menyalahkan takdir namanya. Berdosa tu. Dah tertulis yang adik mesti ada dalam dunia, jadi adik ada. Ada sebabnya juga kenapa adik mesti ada dalam dunia. Tak ada siapa boleh pertikaikan.” Nasihat Pak Seman lagi.
“Apa sebabnya adik mesti ada?” soal Rima yang mulai berminat dengan setiap nasihat yang diberikan oleh Pak Seman.
“Pak andak tak ada jawapannya. Hanya Allah je yang tau apa sebabnya adik mesti ada dalam dunia. Semuanya DIA yang aturkan.” Rumput yang sudah dicabut dilonggokkan setempat supaya mudah untuk Pak Seman membakarnya apabila ia sudah mengering. Sejuk mata memandang bila kebun yang dipenuhi oleh pokok kopi dan pokok buah-buahan hampir bersih keseluruhannya. Empat hari lamanya Pak Seman mengemas kebun kesayangannya. Kalaulah ada Juki sudah tentu dia tidak akan sepenat itu.
“Hmmm...” gumam Rima sambil cuba terus berfikir.
“Apa yang hmmm...kamu dah faham apa pak andak cakap?
“Entahlah pak andak, kepala adik berat sangat rasanya. Tak boleh fikir apa-apa. Adik terkejut bila balik tadi tiba-tiba aje dia dah ada kat rumah. Paling adik tak suka dia dah sakitkan hati ibu dengan ayah. Adik tak suka tengok mereka sedih.” Jelas Rima sejujurnya.
“Iyalah...benda yang jadi tiba-tiba memang susah untuk kamu terima. Itu biasa. Cuma satu nasihat pak andak, lepas sembahyang banyakkan berdoa. Mintak jalan keluarnya. Allah tak akan pernah hampakan harapan orang yang memohon terus pada DIA.”
“Pak andak...pak andak sayang adik tak? Pak andak suka tak kalau adik ikut perempuan tu?” Kepala yang sedang pusing membuat Rima bercakap seadanya saja. Bingung untuk dia memikirkan semua itu tapi mulutnya masih juga gatal mahu bersuara. Sememangnya itulah Rima.
Pak Seman tersenyum sambil menggelengkan kepala. Dia sudah masak dengan sikap Rima yang suka bercakap terus-terang dan selalu jujur. Sebab itulah Pak Seman sudah menganggap Rima seperti anaknya sendiri. Layanan terhadap Rima dan Ita adalah sama rata dan sama rasa. Bahkan sewaktu kanak-kanaknya, Rimalah yang sering dikejar dengan rotan kerana kenakalannya. Itu bukan kerana benci tapi mahu mendidik.
“Siapalah yang tak sayang kamu, Rima? Semua orang sayangkan kamu...apatah lagi ibu ayah kamu yang dah banyak bersusah-susah untuk kamu...sabar dengan kerenah kamu, kenakalan kamu masa kecik dulu. Nasib baiklah sekarang ni kamu dah mula jadi orang.” Sempat juga Pak Seman mengusik Rima supaya Rima tidak terus bermurung.
“Betul kata abah aku. Aku pun sayang engkau tau, adik. Walaupun kadang-kadang aku ni jelous kat engkau tapi aku tetap sayang engkau.” Ita turut mengusik Rima agar Rima ceria semula. Bagi Ita, Rima adalah sepupunya yang terbaik. Dalam nakalnya, dia tetap selalu saja memikirkan hati dan perasaan orang lain.
“Jelous? Kenapa jelous kat adik? soal Rima yang cuba untuk lebih bertenang.
“Jelouslah...sebab engkau cantik, aku tak!” jari telunjuk Ita mencolek pipi hitam manis Rima. Rima membiarkan saja sebab kepalanya sedang memikirkan sesuatu. ‘Aku cantik ke? Kenapa orang kata aku cantik? Ah! Abaikan ajelah...masalah adik sekarang ni adalah perempuan tu!’ bisik Rima.
“Pak andak faham perasaan kamu. Mesti masa ni hati kamu tu dipenuhi benci, marah, sakit hati dan kalau boleh kamu nak jerit kuat-kuat kan?” lalu Rima angguk laju-laju. Betul apa yang dikatakan oleh Pak Seman. Hatinya sedang dipenuhi kehitaman, gelap dan pekat. Sukar untuk menghalaunya. Kalau boleh dia mahu menyumpah seranah. Senang-senang perempuan itu datang mencarinya setelah dia dibuang begitu saja. Arrgghhh! Benciii!
“Salah ke kalau adik benci dia? Dia yang tak nakkan adik dulu!” sambil tangan Rima ligat menggaru kepala. Bukan kerana gatal tapi rungsing.
“Memang salah!”
“Tapi adik memang benci dia, pak andak.” Ada rasa tidak puas hati dalam diri Rima.
“Yalah abah, kenapa pulak salah? Kan dia dah kejam pada adik.” Ita pula tumpang semangkuk. Bagi Ita, ibu kandung Rima memang layak dibenci kerana dia telah mengabaikan tangguangjawabnya terhadap Rima.
“Ibu tetap ibu. Dosa dia dengan Tuhan, biar dia yang uruskan. Dosa dia dengan adik, adik kena maafkan. Mungkin dia dah insaf sekarang. Mana ada manusia yang tak buat salah.” Nasihat Pak Seman lagi biarpun jauh dalam hatinya dia turut berasa sakit hati dan geram dengan sikap Syidah. Dia juga tidak bersetuju dengan cara Syidah yang tidak pernah memikirkan tentang orang lain. Hanya, dia tidak mahu menambahkan lagi kecelaruan dalam diri Rima. Juga tidak mahu menambah kebencian di hati anak gadis itu. Sebagai orang yang lebih tua, tidak wajar baginya untuk menjadi batu api yang boleh membakar marak kebencian Rima.
“Berat, pak andak...adik...adik tak mampu...adik tak sanggup hancurkan hati ayah, hati ibu. Adik nak terus ada kat mereka. Adik tak dapat terima perempuan tu, pak andak.” Gugur lagi air mata Rima yang tadi sudah kering.
Pak Seman meletakkan tajaknya ke tanah. Peluh di mukanya dilap dengan tuala kecil. Kemudian dia mengambil sebiji kepala tua yang sudah mengering kulittnya dari bawah pokok kopi. Buah kelapa tua itu dijadikan alas duduknya. Pak Seman merenung tepat ke muka Rima. Dia sedar, buat masa ini dia harus mengambil alih tugas abang dan kakak iparnya untuk sementara waktu. Sudah tentu mereka juga sedang buntu dan celaru dengan kedatangan Syidah yang tiba-tiba.
“Kalau berat, biarkan je benci tu duduk dalam hati kamu. Jangan paksa diri. Teruslah membenci ibu kandung kamu.” Tegas Pak Seman tanpa senyum. Kali ini dia mahu lebih serius. Rima mesti dibantu untuk meredakan kehangatan hatinya.
Rima tidak sedap hati setelah mendengar kata-kata Pak Seman. Orang tua itu sedang menyindirkah? Atau mungkin saja dia sudah bosan melayan kerenahnya? Rima bertambah sedih. Air matanya bertambah laju. Ita tidak tahu bagaimana mahu memujuk Rima lagi.
“Kenapa pak andak cakap macam tu?” Sedih hatinya.
“Kamu pun tak boleh memaksa perasaan kamu...kalau dipaksa-paksa makin sakit jadinya. Jadi biarlah kamu benci dia hingga sampai masanya nanti kamu akan penat sendiri. Sambil tu kamu kena berusaha. Berdoa setiap hari supaya Allah lembutkan hati kamu...jangan jemu. Satu masa nanti keadaan akan jadi baik-baik dan semuanya akan pulih semula.” Jelas Pak Seman panjang lebar.
“Bermakna adik kena pilih satu antara dua?” Nafas Rima ditarik perlahan, agak lega kerana sangkaannya terhadap Pak Seman tidak benar. Masih ada persoalan lain yang perlu disuarakan.
“Tak perlu memilih...mereka semua boleh miliki kamu. Adik boleh jadi anak yang baik buat mereka. Terus sayangi ibu ayah kamu macam biasa. Terima ibu kandung kamu bersama kekuarangannya...seadanya dia. Mungkin dia nak menumpang kasih kamu di masa-masa tuanya.” Pujuk Pak Seman.
“Dah tua...sunyi, baru ingat adik...baru nak cari adik...,” sungut Rima perlahan. Hatinya masih belum sejuk.
“Itu dah jadi adat dunia...mana ada orang yang sesal dulu. Sudahlah adik, pak andak tengok mata kamu dah macam mata petai. Bengkak dah tu. Dahlah jangan menangis lagi. Penatlah pak andak tengok.”
“Air mata keluar jugak,” sahut Rima sambil cuba membersihkan air matanya, sayangnya ia keluar lagi. Pak Seman melepaskan keluhan. Betul juga kata Rima, bukan mudah nak menghentikan tangisan bila hati sedang parah.
“Seingat pak andak, kamulah yang paling susah nak menangis masa kecik-kecik dulu. Mengalahkan lelaki. Teruk kamu buli Juki. Setiap kali bergaduh bukan kamu yang menangis, tapi Juki jugaklah yang menangis. Ita ni ha...apa kurangnya. Selalu aje dia jadi mangsa cubitan kamu. Merah sana-sini kulit dia. Bila balik lepas bermain dari rumah kamu, mesti dia menangis.” Di hujung kata-katanya, Pak Juki senyum-senyum sendiri bila terkenangkan sikap Rima yang terlebih nakal.
“Ha,ah kan bah...teruk Ita masa tu. Yang Ita geram...bila main sanding-sanding, asyik adik je yang nak jadi pengantin perempuan. Ita jadi tukang kipasnya aje.” Ita ketawa. Rima tersengih seperti kerang busuk. Pak Seman ikut ketawa.
“Tu...mak bapak kambing-kambing dalam kandang tu, tiap hari terjerit-jerit kamu kacau. Patahkan kaki itik pak andaklah, putuskan tali ampailah kamu...hmmm, kalau pak andak nak sebut semuanya, memang tak terkira banyaknya. Kamulah dulu yang buat orang lain rasa nak menangis.”
Akhirnya Rima tersengih tidak sudah. Fikirannya bergerak mengikuti kenangan lama yang diingati semula oleh Pak Seman. Satu per satu mendatangi pemikirannya. Memang memalukan dan melucukan bila dikenang semula semua itu. Rima pandang memandang dengan Ita lalu imbasan lalu kandungnya. Pak Seman berasa lega kerana dapat mengurangkan sedikit bebanan Rima untuk sementara waktu.