Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Cantik?
Bab 26

Bab 26

Tengahari itu Rima menerima dua pucuk surat bersampul putih berjalur biru merah di tepinya. Rima tersenyum melihat sampul yang pertama. Dia kenal benar tulisan di sampul surat itu milik siapa. Rindu benar dia dengan pengirimnya. Sudah agak lama tidak berjumpa. Tentu sekali pengirim surat itu dalam keadaan gembira. Cepat-cepat Rima mengoyak sampul surat. Tidak sabar untuk membacanya. Besar kecil mata Rima, sekejap senyum sekejap serius. Setelah habis membaca, surat itu dimasukkan semula ke dalam sampulnya.

 “Wah! Beruntungnya engkau Salwa...diam-diam engkau dah sambung belajar. Mesti seronok kan. Adik ni...hmmm bosannya, semua orang dah pergi belajar.” Keluh Rima sendirian. Mak Jah dan Pak Nuar tiada di rumah. Mereka menghadiri majlis kenduri kahwin di hujung kampung.

“Hah! Apa yang cakap sorang-sorang ni?” Terjah Ita yang tidak disedari kedatangannya oleh Rima. Rima menjeling Ita sambil mengusap dada. Kusss, semangat...terperanjat dia. Ita sengih tidak sudah.

 “Dapat dua surat! Surat cinta ke?” soal Ita yang tidak menghiraukan kejengkelan Rima. Seperti biasa, tangan ketam Rima mahu mencubit Ita tapi Ita cepat mengelak. Dia bersandar pada tiang di tepi tangga sementara Rima masih duduk di pertengahan anak tangga rumah.

 “Bagusnya! Datang rumah orang tak reti bagi salam. Main redah aje.” Tegur Rima sambil tangannya membolak-balikkan sehelai lagi sampul surat yang baru diterima. Dia sedang berfikir, mahu membukanya ataupun tidak. Sudah tentu Ita akan turut busy body, mahu tahu kandungan surat itu.

 “Alaaa, bukan rumah orang lain...pak ngah aku jugak,” balas Ita dengan ekor mata yang mengintai-intai sampul surat di tangan Rima yang masih belum dibuka lagi.

“Siapa ajar ko macam tu? Rumah sedaralah lagi bagus bagi salam. Tu namanya mendoakan sejahtera. Apalah ko ni.” Serentak dengan itu tangannya laju merobek hujung sampul surat. Rasa tidak sabar untuk tahu siapa pengirimnya membuat Rima tidak kisah lagi kalau Ita turut menyibuk untuk tahu.

“Yalah...yalah...aku salah. Surat cinta ke?” sepupu Rima yang banyak mulut bertanya untuk kali kedua.

“Tak nampak adik tengah bukak ni? Sabarlah! Manalah tau kan...surat dari putera raja ke, kan?” Seloroh Rima.

 “Ha,ah...raja...Raja Gopal!”

 “Ha...ha...kelakarnya! dengkilah tu!” sahut Rima selamba. Ita ketawa.

 Sebaik helaian surat dikeluarkan dari sampul dan dibaca baris demi baris. Jantung Rima bergerak laju tiba-tiba. Berdebar-debar. Mukanya terasa panas. Mungkin darah sedang naik ke kepala. Bukan sebab marah tapi suka. Suka? Ah! Kenapa mesti suka? Bukankah itu sudah melanggar prinsipnya? Senyum Rima yang lebar sampai ke telinga hilang serta-merta. Anehnya degupan jantung masih terus laju. Seakan dia baru saja menamatkan larian pecut 100 meter. Geramnya bila terpaksa bergaduh dengan diri sendiri. Separuh dari dirinya suka dan separuh lagi cuba menafikan.

“Kenapa aku tengok ko senyum macam tersentap-sentap? Sebenarnya ko suka ke tak dengan isi surat tu?” Mulalah Ita dengan kesibukannya bertanya.

 “Alahai ko ni Ita...tak sempatlah adik nak rasa apa-apa lagi. Baru je nak fikir, suka ke tak...tapi ko tu asyik kacau aje!” bidas Rima yang sedang mengulang baca kali kedua.

 Bacaan kali kedua juga membuat perasaan yang dirasai sebentar tadi berulang lagi. Suka? Tidak? Suka? Tidak? Suka?

“Tak sukalah macam ni! Tak suka! Tak suka!...” Surat itu terus dicampakkan ke tanah. Rima tidak mahu kalah. Dia tidak boleh suka pada seseorang sebelum tiba masanya. Tidak boleh!

Berdesup Ita memungut surat yang sedang cuba diterbangkan oleh angin. Rima membiarkan saja. Dia tidak kisah, tidak pernah ada rahsia di antara dirinya dan Ita. Ita membaca surat itu dengan penuh minat. Mukanya tersengih tidak sudah. Mengalahkan Rima yang menjadi penerima surat itu.

“Bestnya...kenapa aku tak pernah dapat surat macam ni ya? Aku suka aje...tapi kenapa ko tak suka ya?” Tidak sudah-sudah Ita dengan rasa ingin tahunya.

“Kat sini beranilah ko cakap...suka...best. Ko nak kena hambat dengan pak andak ke?”

 Sengaja Rima menakut-nakutkan Ita.

“Abah tak dengar...aku cakap dengan ko aje. Kalau abah aku tau dah sah-sah tu dari mulut ko kan?” balas Ita mencebik. Rima ketawa besar. Nampaknya sepupunya yang satu itu sudah semakin bijak. Susah untuk dikenakan lagi.

“S.U.L.A.I.M.A.N M.O.H.D N.O.R...wah sedap nama dia,” ujar Ita lagi. Sengaja dia mengeja nama itu.

 “Hmmm...,” gumam Rima.

“Apa hmmm?”

 “Tak ada apalah! Alah ko ni nak tau memanjang,” bidas Rima.

 “Aku kan prihatin.”

 “Uwekkk...nak muntah adik!” balas Rima.

 “Dia minat, suka, dan ada hati kat ko...ko macamana?” soalan cepumas Ita memang paling ditakuti oleh Rima. Kenapalah mesti wujud orang yang bernama Sulaiman? Kalau tidak ada Sulaiman sudah tentu fikirannya tidak akan bercabang dua seperti itu. Bukankah lebih elok kalau hanya ada Ali, Abu, Bakar, Daud dan apa saja nama, asalkan bukan Sulaiman.

 Sulaiman bakal membuat Rima tidak senang duduk. Berdiri pun serba tidak kena. Kalau mandinya tidak basah dan makannya tidak kenyang, bagaimana? Ah! Parah! Parah!

“Dahlah...jangan cakap benda tu! Adik tak suka! Buang surat tu cepat...letak kat tempat abu bakar sampah sana tu.” Arah Rima serius.

 “Betul? Tak menyesal?”

“T.I.D.A.K! buang cepat!” Arah Rima sambil menuding jari ke tempat pembakaran sampah.

“Iya...iya...amboi garangnya!” lalu Ita bergegas ke tempat pembakaran sampah. Surat yang masih berlipat kemas diletakkan begitu saja di atas abu sampah yang sudah dibakar.

Setelah beberapa langkah tempat pembakaran ditinggalkan, Ita berpatah balik. Dia mengambil surat itu dan meletakkan jauh sedikit dari abu sampah. Kemudian ditindih dengan seketul batu kecil supaya surat itu tidak terbang. Manalah tahu Rima akan berubah hati, surat itu masih boleh diambil semula. Rima tidak menyedari perbuatan Ita kerana sedang asyik berkhayal.

Sedang Ita terbongkok-bongkok, sebuah kereta Volvo 142 bergerak di jalan masuk ke rumah Pak Nuar. Cepat-cepat Ita memerhati kereta yang tidak pernah dilihatnya itu. Dia kagum melihat kereta besar dan mewah itu. Siapakah dia?

 Sebaik Rima mendengar deruman kereta memasuki halaman rumahnya, dia seperti disengat kala jengking. Darahnya rasa kering tiba-tiba. Lebih-lebih lagi apabila mengenangkan Pak Nuar dan Mak Jah tidak ada di rumah. Rima seperti mahu lari tapi badannya berat tiba-tiba. Mungkin seberat guni beras yang Pak Nuar selalu gunakan untuk menadah buah kopi yang sudah masak.

“Kenapa dia datang lagiii?...adoi, ayah...ibu, cepatlah balik!” rayu Rima perlahan. Ketiaknya berpeluh. Dahinya juga sama. Badannya seram sejuk dan ketar. Orang yang tidak diharap-harapkan itu datang lagi. Rima terkaku di anak tangga. Dia hanya mampu menunggu Syidah keluar dari kereta. Satu-satunya orang yang sangat ditakuti kemunculannya. Lebih ditakuti daripada surat Sulaiman dan Jazlee yang berhidung belang.

Ita tergesa-gesa menghampiri Rima. “Siapa tu?” soal Ita perlahan.

 “Syidah.”

 “Siapa Syidah?” jawapan Rima masih belum membuat Ita faham.

“Perempuan hari tu...” jelas Rima sambil menelan air liur yang semakin kering. Dia benar-benar tidak bersedia dengan kedatangan kali kedua Syidah.

“Ooo...perempuan hari tuuu,” ujar Ita.

 “Hah!...perempuan hari tu?...macamana ni? Pak ngah mak ngah tak ada kat rumah. Jom adik, pergi rumah aku!” Tambah Ita yang baru menyedari siapa yang dimaksudkan oleh Rima. Ita turut bingung dengan kedatangan Syidah.

“Adik tak boleh! Rasa berat ni...” balas Rima dengan suara yang tersumbat.

 “Alaaa, macamana ni?...aku tak nak dia larikan ko. Aku sayang ko tau.” Ita semakin gelabah. Dia menambahkan lagi kecelaruan dalam diri Rima. Ita selalu saja membuat Rima bertambah lemah.

 Syidah semakin hampir. Rima memegang kuat tangan Ita. Dia mengharapkan apa yang sedang berlaku adalah hanya satu mimpi. Malangnya dia tidak tidur dan sedang duduk tegak di anak tangga. Ita yang tadinya berdiri turut duduk di sebelah Rima. Mereka masih berpegangan tangan untuk rasa lebih kuat dan selamat.

“Rima!” Syidah sudah berdiri betul-betul di depan tangga. Rima memberanikan diri melihat muka Syidah yang sayu. Seperti orang sakit. Bibirnya nampak pucat tanpa lipstik merah menyala seperti yang disapukan ke bibir sewaktu kali pertama kedatangannya ke rumah itu. Rima tidak tahu apa yang sedang dirasainya waktu itu. Yang pasti dia tidak berasa suka atau gembira. Benci? Entah!

“Rima tak sudi bertanyakan khabar mama? Dari jauh mama datang...nak...nak jumpa anak mama.” Syidah teragak-agak. Rima meramas tangan Ita tanpa sengaja. Ita menyeringai menahan sakit. Perbuatan Rima dibiarkan saja kerana Ita tahu apa yang sedang dirasai oleh Rima. Muka Syidah masih ditatap tepat oleh Rima. Sesekali Syidah tertunduk-tunduk seakan serba-salah.

‘Selama ni ada ke dia tanya khabar adik? 17 tahun bukan masa yang singkat tapi tak pernah sekalipun dia ambil tahu tentang adik.’ Suara hati Rima membisikkan perkara yang sebaliknya. Tidak ada niatnya untuk berdendam, hanya dia sendiri masih belum pasti bagaimana tentang perasaannya yang sebenar.

“Tak apa kalau Rima tak bertanya khabar mama, boleh tak Rima panggil ‘mama’. Sekali pun memadai...boleh kan sayang?” Pujukan Syidah betul-betul merimas dan melemaskan Rima. Dia cuba juga memujuk hatinya untuk menghadiahkan sedikit senyuman buat Syidah sayangnya seperti ada batu yang digantung di bibirnya. Berat dan sakit.

“Boleh kan Rima?” rayu Syidah lagi. Bertambah sendat fikiran Rima. Rasa hendak menangis tapi tidak ada air mata yang mengalir. Sudahnya hati yang sakit terasa bertambah sakit. Rima hairan ke mana menghilangnya rasa simpati dalam dirinya. Dia bukanlah seorang yang berhati batu tapi bila berhadapan dengan orang yang bernama Syidah, hatinya menjadi beku tanpa rasa.

“Saya cuma biasa panggil ‘ibu’...ibu ke tempat orang kahwin. Kejap lagi dia balik,” ucap Rima tanpa memandang Syidah lagi. Rima bimbang jika lebih lama lagi memandang Syidah, dia akan berasa simpati melihat Syidah. Kejamkah dia? Rima tidak ada jawapannya

.“Rimaaa...,” keluh Syidah perlahan dan lemah. Syidah amat hampa dengan sikap Rima.

“Ermmm...mama ada tinggalkan seribu ringgit untuk Rima tempohari. Mesti Rima ada beli pakaian baru, kan.” Syidah cuba untuk senyum walaupun senyumannya nampak kelat.

 “Dah habis semuanya...,” sahut Rima separuh hati.

“Iya?...suka mama dengar. Nanti mama tinggalkan lagi duit untuk Rima ya.” Senyuman Syidah yang pada mulanya kelat berubah ceria.

 “Tak payah...adik tak perlukan tu semua. Adik dah biasa guna duit ayah.” Tidak ada keinginan Rima untuk menggunakan duit ringgit Syidah. Biarpun dia bercakap dengan perlahan tapi nadanya cukup tegas.

“Oh...tak mengapalah. Sekurang-kurangnya Rima dah bagi mama peluang untuk Rima gunakan duit mama tu.”

“Tak...adik tak guna langsung...adik...adik suruh ayah sedekahkan ke tabung masjid.” Entah kenapa kali ini hati Rima menjadi sebak. Ita yang sejak tadi hanya menjadi pendengar yang kaku masih tetap memegang tangan Rima yang mulai sejuk. Ita tidak tahu apa yang sedang bermain di kepala Rima hinggakan tapak tangannya menjadi sesejuk itu. Sudah datangkah simpati di dalam hatinya terhadap Syidah? Bagaimana dengan ibu dan ayahnya nanti? Ita betul-betul bimbang.

“Aaaa...” Ada sesuatu yang mahu disuarakan oleh Syidah tapi telah tersepit di kerongkong. Tidak terluahlah kehampaan dan kekecewaannya kerana Rima tidak menggunakan duit yang diberikan untuk keperluan dirinya sendiri.

 “Adik...tu mak ngah, pak ngah dah balik.” Ita mencuit lengan Rima. Rima memanjangkan leher melihat ke jalan masuk. Lega hatinya. Syidah pula menjadi gelisah sebaik mendengar kata-kata Ita.

 “Errr...mama pergi dulu. Lain kali mama datang lagi.” Kelam-kabut Syidah hendak beredar. Rima dan Ita hanya memandang. Kedatangan Syidah seperti seorang pencuri dan perginya juga seperti pencuri. Takut-takut dan gelisah.

 Basiakal tua Pak Nuar yang membonceng Mak Jah sudah membelok ke halaman rumah. Berhenti di tepi kereta Volvo 142 milik Syidah. Pak Nuar bercekak pinggang sambil menggeleng. Dia tidak menyangka Syidah akan datang lagi dalam tempoh sesingkat itu. Mak Jah hanya mampu tercegat di sebelah Pak Nuar. Syidah menundukkan sedikit kepalanya sebagai tanda hormat. Kedua suami isteri itu memandangnya dengan pelbagai rasa.

“Maaf...abang, akak...saya balik dulu.” Syidah minta diri lalu terus masuk ke dalam perut kereta. Syidah tidak mahu berhadapan lebih lama lagi dengan pasangan suami isteri itu.

Volvo 142 bergerak perlahan meninggalkan halaman rumah Pak Nuar. Syidah hanya tunduk, tidak berani untuk menentang muka mereka lagi. Rima berlari-lari anak mendapatkan Pak Nuar dan Mak Jah. Dipeluknya badan Mak Jah lalu terhambur tangisannya. Puas ditahan tapi sudah tidak tertanggung lagi. Air mata Mak Jah turut mengalir sementara Pak Nuar melepaskan keluhan yang panjang untuk melegakan perasaannya. Ita juga tumpang sedih apabila melihat itu semua.

Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.