Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Cantik?
Bab 34

Bab 34

 

 

Rima melenggang meninggalkan kelas 4 Sastera 1. Senang hatinya hari itu. Di rumah dia ditemani oleh Suhana, di sekolah pula dia terhibur dengan telatah para pelajarnya. Terlupa seketika tentang masalah. Sekarang tiba pula masa untuk mengisi perutnya yang tidak sempat menjamah sarapan pagi di rumah. Kantin sekolah yang berada di antara bangunan asrama lelaki dan bangunan kelas menjadi arah tujunya.

“Apalah yang ada kat kantin...apa adik nak makan ya?” Sambil berjalan Rima bercakap sendirian. Mujur tidak ada sesiapa yang berada berhampirannya.

“Nak makan laksalah...mintak-mintak adalah hari ni.” Omel Rima. Mendengar derap kaki di belakangnya, cepat-cepat Rima mendiamkan diri. Kalau dia masih bercakap sendirian, silap-silap haribulan akan dituduh sewel. Cikgu Rima, seorang guru muda yang sewel...mengerikan sungguh!

“Tergesa-gesa nampaknya, Rima! Boleh abang temankan?” suara itu sangat dikenalinya. Arghhh! Lagi-lagi dia, lagi-lagi dia! Kecilnya sekolah itu. Bergerak selangkah terjumpa dia, bergerak setapak pun masih terjumpa dia. Hati Rima sudah bengkak.

“Saya dah lapar, Cikgu Zulkarnain. Kalau tak diisi perut saya ni, nanti saya pengsan. Tak dapat pulak nak mengajar lepas ni.” Balas Rima selamba. Dia merasakan Zulkarnain masih seperti ketua pelajarnya seperti beberapa tahun lepas. Rima tidak faham kenapa dia masih suka bergaduh dengannya.

“Abang pun lapar jugak ni. Jom kita.” Tanpa malu-malu Zulkarnain masih juga ber’abang’ dengan Rima. Hanya Rima yang masih belum mahu menyebutnya. Atau mungkin tidak perlu untuk disebut.

Rima melajukan langkahnya. Zulkarnain pun melakukan perkara yang sama. Sudahnya Rima terpaksa berjalan beriringan dengannya. Maklumlah kaki Zulkarnain yang panjang membuat langkahnya lebih besar dari langkah Rima.

“Laksa ada tak mak cik? Sebaik punggungnya mencecah kerusi, Rima terus bertanya. Mana boleh tunggu lagi, dia kan hantu laksa. Bila membayangkan lingkaran laksa yang berwarna putih berenang-renang dalam kuah ikan kembung, mudah saja dia terliur.

“Ada, Cikgu Rima. Suka benar cikgu makan laksa ya.” Ujar mak cik kantin. Rima senyum lalu membuat pesanan.

“Saya pun nak laksa ya mak cik.” Sampuk Zulkarnain yang turut duduk semeja dengan Rima.

‘Rimasnya, sini jugak dia duduk...dahlah adik gelojoh kalau makan laksa...isshhh.’ omel Rima yang menyangkakan Zulkarnain akan duduk di meja berhampiran meja kuih-muih. Beria-ia dia membelek kuih-muih itu tadi.

“Kak ngah ada kat rumah tu. Cuti seminggu.” Ujar Rima tanpa ditanya. Dia mahu menghalau rasa tidak selesanya.

“Abang tau.” Balas Zulkarnain pendek.

Mak cik kantin yang berbadan rendang menghantar dua pinggan laksa ke meja mereka. Barulah dia sedar kedua-dua guru itu belum lagi memesan minuman. Terlupa agaknya. Mak cik mengambil pesanan minuman sambil meletakkan laksa di atas meja.

“Air biasa ya mak cik.” Pinta Rima.

“Sama!” sahut Zulkarnain pula.

 ‘Ya Allah! Dia niii!...tau ke dia minuman apa yang aku suka?’ gumam Rima agak geram.

“Kak ngah kata dia balik ni sebab ada perkara penting nak bincang dengan orang tua kami.” Sengaja Rima menyebut-nyebut nama Suhana supaya Zulkarnain tidak memperkatakan topik lain yang mungkin Rima tidak akan suka.

“Abang tau...Rima, kalau abang cakap sesuatu pada Rima boleh tak?” soal Zulkarnain pula.

‘Ooo...dia dah tau. Agaknya kak ngah dah bagitau kat dia awal-awal. Hmmm, baru adik terfikir...kak ngah kan suka dia...ni mesti ada apa-apa ni. Kak ngah pun kata ada perkara penting. Adoi! Tak baiknya adik buruk sangka dengan dia ni!’ fikir Rima dalam diam. Malu juga pada diri sendiri sebab menyangka Zulkarnain terkejar-kejarkan dirinya. Huishh! Tebalnya kulit muka, sudah menjadi seperti getah sekerap di kebun getah Pak Nuar yang selalu dicuri oleh budak-budak nakal.

“Errr...cakaplah cikgu. Saya dengar ni.” Sahut Rima yang sudah berjaya membuang rasa curiganya.

“Abang nak bawak orang tua abang datang merisik...,” kata-kata Zulkarnain terhenti di situ. Senyuman yang menyambung bahasanya. Dia menunggu apa reaksi Rima pula.

‘Adik dah agak dah!...akhirnya kak ngah berjaya juga mencuri hati dia...heee, bakal abang ipar adik rupanya.’ Seronok sungguh Rima. Tersenyum tersengih dia. Senyuman Zulkarnain pula lebih besar dari tadi. Kedatangan mak cik kantin dengan dua gelas Milo ais telah melenyapkan senyuman mereka begitu saja. Tumpuan beralih ke minuman yang diletakkan di atas meja.

“Terima kasih mak cik!” ucap Rima lalu dibalas dengan anggukan oleh mak cik kantin sebelum dia berlalu. Air Milo sejuk di dalam gelas direnung tepat oleh Zulkarnain. Dia menggigit bibir seakan tidak puas hati.

“Milo ais ke?” soal Zulkarnain tergaru-garu kepala.

“Ha,ah...Milo ais...minuman yang paling saya suka. Kenapa?...cikgu tak suka ke? Kalau tak suka kenapa oder macam saya?” Bertalu-talu Rima bertanya. Agak pelik dengan sikap Zulkarnain.

‘Mulut aku ni kenapa gatal oder macam dia? Manalah aku tau dia oder Milo ais...hishhh, dahlah aku tak suka minum Milo,” gerutu Zulkarnain diam-diam.

“Eh...suka...apa pulak tak suka.” Mulutnya pula berkata lain. Hipokrit sungguh! Tanpa membuang masa disedut minuman di dalam gelas menggunakan straw. Terasa kembang tekaknya sewaktu minuman itu berkejaran masuk ke kerongkongnya. Cepat-cepat Zulkarnain menyulamnya dengan kuah laksa. Legaaa!

“Rima!”

“Ya...saya cikgu!” Laksa yang baru hendak masuk ke mulutnya di letakkan semula dalam pinggan. Kacau daun sungguh Zulkarnain. Kalau dia duduk sendirian sudah tentu laksanya sudah tidak bersisa. Licin sepinggan. Rima memberi tumpuan kepada Zulkarnain.

“Kalau abang datang rumah Rima cuti sekolah hujung minggu ni, jumpa ibu ayah Rima okey tak?” soal Zulkarnain teruja. Rima senyum sekejap. Selepas itu dia menyuap sesudu laksa ke dalam mulutnya. Mana boleh menunggu lebih lama lagi. Meleleh air liurnya nanti. Zulkarnain menanti jawapan Rima dengan sabar. Laksa di dalam pinggannya masih belum berusik. Itulah padahnya bila memesan makanan yang bukan menjadi kesukaannya.

“Datang ajelah. Saya bukan kisah pun cikgu nak datang bila. Makanlah cikgu, saya lapar ni.” Balas Rima tanpa malu. Apa yang hendak dimalukan, sudah lapar makan sajalah. Biarlah dia tidak nampak sopan santun di depan Zulkarnain asalkan perutnya kenyang. Lagi pula siapalah Zulkarnain, hanya seorang musuh dalam diamnya. Sudahnya Rima ketawa dalam hati.

‘Belum makan dah rasa kenyang.’ Lain pula halnya dengan Zulkarnain, jawapan Rima sudah membuat dia betul-betul kenyang. Di dalam hatinya sedang ada taman. Berbunga-bunga.

“Rima, saya nak masuk kelas sekarang. Dah lambat ni.” Tiba-tiba Zulkarnain minta diri. Baru tersedar dia masih ada satu kelas lagi.

“Laksa ni?”

“Awak makanlah.” Balas Zulkarnain.

‘Ishhh...bukan dia dah hirup kuah ke tadi?’ cebik Rima.

 

 

 

‘Bilalah adik nak mahir bawak motosikal pink adik tu? Dah penatlah tumpang bas, dahlah budak-budak sekolah lasak-lasak. Kalau macam ni, lama-lama boleh kurus adik.’ Keluh Rima sebaik tiba di padang menunggu bas.

“Adik.” Sapa Sulaiman yang muncul tiba-tiba. Motosikal TZM ditinggalkan di tepi pagar sekolah.

“Errr...apa khabar?” tanya Rima gugup. Dia tidak menduga Sulaiman akan menghampirinya.

“Zahir sihat...hati saya je yang bengkak.” Ujar Sulaiman selamba. Matanya tidak memandang Rima sebaliknya melihat monyet-monyet yang berkejar-kejaran di atas Bukit Belanda.

‘Lahai...kenapa ni? Macam merajuk aje!” bisik Rima tidak sedap hati. Tidak ada angin tidak ada ribut, tiba-tiba merajuk.

‘Nak pujuk ke?...ishhh, macamana nak pujuk?...adik bukan pandai bab-bab pujuk ni. Nilah yang lecehnya...sebab tu adik malas nak bercinta...eh! bercinta?...huhu, adik ni bercinta ke?’ rasa hendak tergelak pula Rima. Sampai sekarang dia masih belum pasti adakah dia bercinta ataupun tidak.

“Sakit ke? Pergilah klinik.” Dalam bab cinta memang Rima masih lurus bendul. Soalannya telah berjaya membuat Sulaiman memandang mukanya. Kemudian dia menggeleng lemah.

‘Dia ni macam tak reti bahasa kiasan aku? Dahlah mukanya menyadin je...haaa, kenapalah aku boleh suka dengan orang macam ni? Nasib baik tiap kali tengok muka dia hati ni sejuk je.’ Keluh hati Sulaiman pula.

“Cikgu Rima!...saya tak sakit. Tak perlu jumpa doktor pun. Saya kata hati saya ni dah bengkak.” Sulaiman cuba menjelaskan supaya Rima faham.

“Kalau tak sakit kenapa bengkak?”

“Aduh! Cikgu Rima yang bijak bistari...hati saya ni bengkak sebab makan hati. Dah lama menunggu tapi masih tak dapat jawapan. Dah macam burung pungguk je.”Omel Sulaiman. Terkebil-kebil Rima mendengarnya. Barulah dia teringat tentang hajat Sulaiman yang mahu meminangnya. Rasa kecewa Sulaiman yang telah membuatnya melanggar janji dibuat untuk tidak saling berjumpa.

“Ermmm...belum ada jawapan.” Balas Rima.

“Maksudnya?”

“Maksudnya...ibu kata kalau nak meminang kena tau umur, asal usul dan tempat tinggal. Kalau tak tau semua tu macamana nak bertunang.” Jelas Rima yakin.

“Adik...adik...memanglah saya akan hantar orang tua saya untuk berkenal-kenalan dengan orang tua adik...bukan nak terjah je. Cakap je bila...esok, lusa atau hujung minggu?” Ujar Sulaiman.

“Eh!...hujung minggu ni mana boleh! Ada orang nak datang merisik!” cepat-cepat Rima teringat perbualannya dengan Zulkarnain pagi tadi.

“Hah!...ada yang datang merisik!” suara Sulaiman tenggelam timbul.

Sulaiman membayangkan seketul batu sedang bergolek-golek dari arah Bukit Belanda lalu menghempap dadanya. Krakkk, hati yang bengkak sudah memecah. Lemah badannya. Musnah harapannya. Hancur impiannya. Sia-sialah penantiannya selama 4 tahun ini. Memang dia betul-betul menjadi si pungguk yang bertenggek di ranting kering. Sudahnya Sulaiman terduduk di sebelah Rima sedang berdiri.

“Bangunlah...jangan duduk sini, malu.” Rima tidak faham kenapa tiba-tiba saja muka Sulaiman sepucat itu. Betul-betul sakitkah dia? Hendak ditarik tangan Sulaiman, tidak manis. Hendak dibiarkan saja, tidak sedap hati.

“Sampai hati adik buat macam ni! Main-mainkan hati saya...tak sangka! Kenapa tak cakap awal-awal?” suara hampa Sulaiman tidak dapat disorokkan lagi. Terasa hendak menangis takut tidak nampak macho pula. Bagi Sulaiman, mana ada lelaki menangis sebab cinta. Jangan lembik! Sulaiman memberi amaran kepada dirinya.

“Apa yang awak cakap ni? Adik makin tak fahamlah. Hari ni awak lain...asyik cakap yang bukan-bukan aje.” Rima menjauh sedikit. Melihat Rima menjauh, Sulaiman cepat bangun.

“Saya ingat adik lain dari perempuan lain. Tak melayan lelaki sana-sini...tapi...,” ujar Sulaiman putus asa. Rima menggigit jari sambil berfikir. Sejak bila pula dia menjadi anak dara gatal. Senang-senang saja Sulaiman berkata begitu. Geram juga hati Rima apabila ada juga lelaki yang menganggapnya begitu setelah sedaya-upaya dia mengelakkan diri daripada ada hati dengan mana-mana lelaki.

‘Arghhh! Benciii!...sia-sia adik suka dia!’ omel Rima geram.

“Tak suka adik sudahlah! Pergilah cari perempuan yang awak suka!” Selepas mengomel

sendiri, Rima meluahkan juga akhirnya. Rima mula merasakan betapa tidak bergunanya cinta. Sejak dulu lagi dia susah untuk percayakan cinta. Bila sudah mula suka, begini pula jadinya.

“Kalau saya tak suka adik, tak adalah saya nak bazirkan 4 tahun tunggu adik. Bukan saja suka, saya sayang adik.” Akhirnya Sulaiman berterus-terang.

“Tak payah sayang-sayanglah! Adik tak suka! Dahlah cakap merepek-repek!” Pantang sungguh Rima bila dirinya dipandang rendah oleh seorang lelaki tanpa dia tahu apa salah silapnya. Geram sungguh Rima! Semua lelaki selalu saja mencari fasal dengannya. Juki, Ziman, Jazlee, Zulkarnain...sekarang Sulaiman! Semuanya sama!

Sulaiman terkebil-kebil memandang muka Rima yang merah padam. Dia tidak menyangka gadis secomel Rima akan menjadi segarang itu. Sepatutnya dia yang akan semarah itu bila dirinya dipermainkan oleh Rima tapi perkara sebaliknya yang berlaku.

“Sepatutnya saya yang marah sangat!” protes Sulaiman. Rima memandangnya dengan jengkel. Dia yang dituduh macam-macam, kenapa pula Sulaiman yang hendak marah?

Keadaan tiba-tiba saja menjadi serabut. Tidak tahu apa puncanya. Keletihan Rima kerana terpaksa menghabiskan 8 jam di sekolah semakin terasa apabila terpaksa pula melayani ragam Sulaiman yang tidak difahami. Rupa-rupanya Sulaiman bukanlah seorang yang menyenangkan seperti yang disangkanya selama ini.

“Adik tak fahamlah semua ni. Tiba-tiba je awak buat hal! Elok jugak kalau kita tak payah jumpa macam ni. Bosan!” guru muda itu juga tidak mahu mengalah.

“Saya lagilah tak faham...awak dah tau saya nak masuk meminang awak, tapi dalam masa yang sama, awak benarkan pulak orang lain merisik awak!” Kali ini suara Sulaiman sedikit tinggi. Mujur mereka agak jauh dari orang lain. Sulaiman mulai hilang sabar. Sudah tentu egonya mahu menang di depan Rima. Lelaki mana boleh kalah.

Tersedak Rima mendengarnya. Terbatuk-batuk kecil dia. Selepas itu Rima tersengih. Barulah dia tahu kenapa Sulaiman membuat ragam. Dalam hatinya pula Rima sedang beria-ia ketawa. Agaknya begitulah ragam orang bercinta.

‘Ya ke adik ni bercinta?’ Tidak yakin pula dia.

‘Boleh pulak dia sengih-sengih macam tu!’ gumam Sulaiman pula.

“Kelakar sangat ke?” sungut Sulaiman. Dia sangat yakin Rima memang mahu mempermain-mainkan perasaannya. Rima ketawa sebab dia sudah menang. Untuk pertama kali dalam hidupnya dia jatuh cinta, sayangnya cinta itu telah meracuni hatinya. Hatinya bukan saja telah layu tapi hangus sama sekali. Susah-payahnya memujuk hati untuk mencintai seseorang yang berjaya mencuri hatinya terasa tidak berbaloi.

“Memanglah kelakar...kelakar sangat. Lebih kelakar dari cerita-cerita P.Ramlee yang adik suka tengok.” Rima ketawa lagi. Sulaiman makan hati.

“Sudahlah!” tegas Sulaiman yang masih terasa hati.

“Belum lagi!...adik nak cakap jugak!” usik Rima dengan senang hati.

“Malaslah layan!” bantah Sulaiman mulai tawar hati.

“Tak nak layan sudah...biar adik cakap sendiri.” Ujar Rima mahu menguji. Sulaiman memandang Rima dengan perasaan yang bercampur aduk. Benci ada, suka ada, geram ada, sayang pun ada...ah! menyusahkan sungguh perasaan ini.

“Betullah hujung minggu ni ada orang nak datang merisik...salah ke? Adik pakai baju cantik-cantik nanti. Yalah kan, ada tetamu nak datang takkan nak selekeh, nak comot-comot aje.” Rima memulakan. Berhenti sekejap sambil menjeling Sulaiman. Hendak melihat bagaimana reaksi Sulaiman. Kasihannya, Sulaiman nampak gelisah. Tidak sampai hati pula untuk Rima terus mengenakan Sulaiman.

“Ermmm...mereka nak merisik kak ngah, kakak adik.” Akhirnya Rima menjelaskan setelah melihat muka Sulaiman yang merah padam telah menjadi kelabu asap. Muka orang yang kecewa.

“Ya ke?” soal Sulaiman malu-malu. Malu kerana buruk sangka. Dia terkulat-kulat.

“Ya...untung kak ngah, ada orang sayangkan dia.” Sindir Rima. Sulaiman hanya mampu tersenyum dan dalam hatinya berkata, ‘aku jugak sayang kamu...sangat sayang.’

Previous: Bab 33
Next: Bab 35

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.