Bab 17
“Bu...”
“Ada apa?” suara Mak Lijah antara dengar dengan tidak. Jemput bilis baki pagi tadi masih di dalam mulut, belum sempat dikunyah lumat.
“Pandanglah adik ni bu. Tak bestlah bila adik cakap, ibu pandang tempat lain.” Rima tidak puas hati. Mak Lijah sedang ralit memandang Daud yang sedang mengait kelapa muda. Pak Nuar pula mengopek sebiji kelapa muda yang sudah dikait lebih awal untuk diambil air dan isinya. Air kelapa muda yang manis dan isi kelapa yang masih lembut memang sedap dinikmati dalam cuaca yang agak panas dan berangin pada tengahari itu.
Sufiah sedang sibuk melayan Fina dan Fifi yang sedang berbuai di bawah rumah. Kali ini kak longnya itu balik ke kampung dengan Datsun 120Y yang baru dibeli 3 bulan yang lalu. Kereta merah yang dibeli ‘second hand’ itu masih nampak baru. Sebentar tadi mereka sudah berkeliling kampung dengan kereta milik Daud. Saudara mara melambai-lambaikan tangan bila menyedari penumpang dalam kereta itu adalah mereka. Masih tidak ramai orang kampung yang mampu membeli kereta biarpun hanya kereta terpakai.
“Adik ni macam budak-budaklah! Cakap jelah...ibu dengar dengan telinga kan, bukan dengan mata.” Tegur Mak Jah dengan suara yang masih rendah. Kunyahan terakhirnya sudah selesai dan jemput bilis di mulutnya sudah selamat masuk ke dalam perut.
“Adik kan dah biasa macam tu. Bila adik cakap, ibu mesti pandang muka adik ni.” Jawab Rima tersengih-sengih. Masih ada sisa kebudak-budakan dalam dirinya. Entah bila dia akan jadi betul-betul dewasa.
“Hah, dah pandang ni. Apa yang penting sangat ni?”
“Errr...ermmm...hmmm...,” ucap Rima malu-malu.
“Aaa, eerr, aaa, errr ni kenapa? Ada-ada ajelah adik ni.” Mak Jah hampir ketawa melihat Rima sibuk mengusap lantai pangkin yang kasar itu. Mukanya yang malu-malu membuat Mak Jah mengesyaki sesuatu. Anak muda zaman ini bukan boleh dipercayai. Tidak seperti zaman remajanya yang sangat terkawal. Berkahwin pun bukan atas dasar cinta, semuanya dengan pilihan orang tua.
“Malulah bu...”
“Kalau malu tak payah cakap.” Balas Mak Jah selamba.
“Alaaa, ibu ni...” Rima memaut lengan Mak Jah. Mak Jah menggeleng melihat kerenah Rima yang tidak tentu hala.
“Nak tanya bu.”
“Tanya ajelah.” Mak Lijah memerhati Daud yang sudah mengait setandan lagi kelapa muda. Pak Nuar semakin ligat membelah dan mengorek isi kelapa untuk dimasukkan ke dalam jug palstik besar.
“Macam mana ibu bercinta dengan ayah?” soal Rima dengan laju. Mahu ditahan-tahan takut pula tidak terluahkan. Dia mesti tahu. Biarlah dapat malu sekejap asalkan dia puas hati. Kalau selama ini dia malas mahu memikirkan itu semua, entah kenapa hari itu dia benar-benar ingin tahu. Bukan niatnya mahu mula bercinta...cuma, entah kenapa persoalan itu datang tiba-tiba saja. Yang anehnya kilasan muka Sulaiman cepat-cepat datang bila dia terfikir tentang cinta. Ah! Galau!
“Ibu dah agak dah, nak tanya pasal tu.”
“Mana ibu tau ni?” pautan Rima pada lengan ibunya. Mukanya disembunyikan di celah ketiak Mak Jah.
“Ibu lebih lama makan garam, sekilas ikan di air dah tau jantan betinanya.” Jawab Mak Jah.
“Dah menggesel-gesel pulak dia, gelilah ibu. Kan peluh ketiak ibu ni.” Tegur Mak Jah yang agak rimas dengan geselan Rima.
“Peluh sikit tak apalah. Cepatlah jawab bu,” ujar Rima yang terpaksa membuang malunya jauh-jauh.
“Hisshhh...ibu manalah ada bercinta-cinta. Nenek yang carikan jodoh untuk ibu. Masa nak nikah barulah ibu kenal ayah.”
“Kak long dengar sebut cinta-cinta ni, adik bercinta ke?” entah bila Sufiah sudah berada di situ. Fina sedang bermain-main dengan anak patungnya sementara Fifi sudah terlena di dalam buaian.
“Mana ada. Kak long ni main teka aje.” Cepat-cepat Rima turun dari pangkin kayu. Dia berjalan laju ke arah Pak Nuar dan Daud. Malas mahu berdepan dengan Sufiah. Akan panjang soal-jawabnya nanti.
“Adik macam tengah bercinta je bu.” Tebak Sufiah teruja.
“Entahlah along...isshhh, merepeklah semua tu. Ibu pun bukan faham pasal cinta ni. Alah, adik kan tak suka tu semua. Agaknya saja dia bertanya tu.”
“Si kecik dah tidur dah?” kepala Mak Lijah menjenguk ke arah buaian. Tidak ada gerakan dari dalam buaian kain itu.
“Dah bu. Fina tu aje yang liat nak tidur siang. Malam nanti banyaklah ragamnya tu.”
Kedua beranak itu terus berbual-bual kosong. Terlalu banyak yang Sufiah ingin tahu tentang saudara mara mereka di kampung. Sudah lama benar dia tidak menjengah mereka. Setiap kali balik kampung, kesempatan itu tidak pernah ada kerana dia balik hanya sekejap saja.
Rima berdiri di sebelah Pak Nuar yang sedang mengumpulkan isi kelapa. Daud pula bersandar di pangkal pokok kelapa sambil mengibaskan badannya dengan T-Shirt yang baru dibuka. Peluhnya masih mengalir. Penat juga mengait buah kelapa muda bagi orang yang tidak biasa melakukannya.
Rima cuba menumpukan perhatian pada gerakan tangan Pak Nuar. Malangnya sia-sia. Kilasan muka Sulaiman telah berada dalam tempurung kelapa muda yang sudah diambil isinya. Sulaiman senyum padanya. Cepat-cepat Rima menggosok matanya berkali-kali. Dia mahu menghalau bayangan itu. Dengan usaha yang susah-payah, Sulaiman menghilang dari pandangannya. Rima lega.
“Adik, ambikkan abang long gelas.” Tidak sabar untuk Daud merasai keenakan air kelapa muda yang sudah hampir memenuhi jug.
Sepantas kilat Rima menoleh. Memandang tepat ke muka Daud. Daud terpinga-pinga bila melihat Rima seperti mahu menelannya. Rima tidak berkelip memandang Daud. Pada pandangannya, Daud adalah Sulaiman. Dia terkejut bila melihat Sulaiman sedang bersandar pada pangkal pokok kelapa. Dia undur beberapa tapak. Gerakan mulut Sulaiman diperhatikan dengan teliti.
‘Macam mana dia tau panggil adik?’ bisik Rima bingung.
Senyuman Sulaiman membuat Rima berdebar-debar. Denyutan yang kuat membuat dia rasa semput. Ada aliran darah panas yang sedang mengalir laju sampai ke mukanya. Akhirnya muka hitam manisnya menjadi merah seperti udang kena bakar. Perasaan Rima waktu itu, malu tapi mau. “Saya suka awak!” suara Sulaiman tenggelam timbul di telinganya yang agak capang itu.
“Macamana awak boleh ada kat sini?” soal Rima dengar suara bergetar.
Pak Nuar meletakkan sebentar parang kecil yang digunakan untuk membelah kelapa muda. Direnungnya muka Rima dengan rasa pelik. Daud yang sedang sedap-sedap bersandar, cepat-cepat meluruskan badannya. Dia turut memandang tepat ke muka Rima yang sedang malu-malu. Kulit muka Rima memang nampak memerah. Kemudian Pak Nuar mengangkat kening sebagai isyarat pertanyaan untuk Daud. Daud pula hanya mampu membalasnya dengan mengangkat bahu. Itu sebagai tanda dia tidak memahami apa-apa. Yang pasti sikap Rima memang pelik!
Hendak dikatakan Rima tersampuk, senja masih lambat lagi. Kebiasaannya makhluk halus suka berkeliaran pada waktu senja. Takkanlah Rima telah disapa mambang kuning pada waktu tengahari yang mataharinya tegak di atas kepala. Boleh jadi juga. Pak Nuar mengesat peluh di muka dengan hujung kemeja kebunnya. Sedangkan Rima masih lagi berdiri tegak memandang Daud. Sudahnya Daud yang serba tidak kena.
“Adik! Kenapa berdiri macam tunggul kayu macam tu? Bertanya pun soalan yang pelik. Kamu dah lupa ke abang long dah balik sejak pagi tadi lagi?” suara Pak Nuar yang agak kuat membuat Rima tersentak. Digosok matanya kuat-kuat. Dipejam celik banyak kali. Ah! Kacau! Tidak ada Sulaiman di hadapannya. Yang ada hanya Daud yang tidak berbaju.
“Errr...tak adalah. Adik ada kata apa-apa ke, ayah?” malu besar Rima.
“Adik tu dah macam orang mengigau di siang hari. Entah apalah yang sedang diangan-angankan.” Pak Nuar mengambil semula parang pendeknya. Tugasnya masih belum selesai. Masih ada 2-3 biji kelapa muda lagi yang masih belum dibelah untuk diambil isinya.
“Biasanya kalau macam tu...kes orang tengah bercinta, yah. Entah-entah adik niii...,” usik Daud selamba.
“Siapa kata? Pandai aje abang long ni!” nafi Rima agak keras. Dengan tidak sengaja, dia telah tetinggi suara.
“Rima! Abang long tu,” tegur Pak Nuar yang bimbang Daud akan tersinggung.
“Ermmm...adik tak sengaja. Maafkan adik ya abang long.” Daud hanya tersenyum. Sedikit pun dia tidak ambil hati dengan sikap Rima. Sudah biasa dengan olah Rima yang kadang-kadang terlebih manja.
Rima menaham geram. Geram pada diri sendiri. Dia tidak faham apa yang sudah berlaku terhadap dirinya. Cinta? Huh! Bohong semuanya! Dia bukan orangnya yang mudah jatuh cinta. Lebih lebih lagi dengan orang yang baru sekali dipandangnya. Sebab Sulaiman lawa? Hisshh...dia tidaklah selawa mana. Ramai lagi lelaki yang jauh lebih lawa daripada Sulaiman tapi hatinya tidak pernah terusik bila memandang mereka.
‘Dia dah guna-gunakan adik ke?’ hasutan jahat mula membayangi kepalanya yang sarat berfikir. Apalah nak jadi dengan dirinya, sejak balik dari gerai ABC petang semalam hatinya tidak pernah aman. Ada saja kilasan muka Sulaiman mengekorinya. Angau ke dia?
Adoi...tak sukaaa.
‘Teruknya adik ni. Dia kenal adik pun tidak, takkan tiba-tiba aje nak guna-gunakan. Issyyy...perasan lebih je adik ni!’ omel Rima di dalam hati. Dia tidak ambil kisah lagi dengan Pak Nuar dan Daud yang sedang berbual-bual. Dia juga tidak peduli terhadap Mak Jah yang sedang melayan Sufiah.
Diam-diam Rima beredar dari situ. Dia tidak tahu mahu ke mana. Hanya mengikut kakinya melangkah. Tiba di bawah pokok ciku yang tumbuh besar, Rima mendongak. Buah ciku muda yang bergayutan seperti sedang memanggil-manggilnya. Memanglah buah ciku muda tidak boleh dimakan, bukan makan buah ciku yang menjadi tarikan tapi dahan-dahan pokok ciku yang besar dan kuat itu sangat sesuai untuk dijadikan tempatnya memasang angan-angan.
Cepat saja Rima memanjat pokok ciku besar itu. Dia terlupa sekejap tentang sumpahnya tidak mahu memanjat lagi. Rupa-rupanya memanjat pokok pulasan dengan ditemani kak ngahnya tempohari bukanlah kali yang terakhir. Rima duduk di atas dahan yang besar sambil menjuntaikan kakinya. Dari atas pokok dia melihat keluarganya sedang menikmati air dan isi kelapa muda.
“Mana perginya adik?” melilau mata Mak Jah mencari Rima. Pak Nuar pun turut melingaskan matanya. Masing-masing tercari-cari Rima.
“Itu dianya, bu. Nampaknya penyakit lama dah datang balik bu. Bertenggek atas pokok lagi adik tu.” Sufiah ketawa melihat gelagat Rima yang mengayun-ayunkan kaki dari atas dahan pokok ciku.
“Dah terlanggar sumpah tu,” tokok Daud berseloroh. Mereka sama-sama ketawa.
“Biarlah bu, dah bertahun adik tak memanjat. Bagilah dia peluang.” Ujar Sufiah di akhir ketawanya.
“Adik...adik. Hmmm...biarlah dia buat apa yang dia suka. Asalkan adik tak banyak bertanya tentang keluarga kandungnya, dah buat ibu rasa lega.” Keluh Mak Jah mengenangkan status Rima.
“Betul kata ibu kamu tu, Sufiah, Daud...adik tu walaupun nampak riang je, kita tak tau apa dalam hatinya. Suhana kata, ada masanya adik menangis sorang-sorang dalam bilik. Pandai adik sorokkan sedih hatinya. Ayah tau adik nak jaga hati kita semua sebab tu dia tak tanya macam-macam.” Hampir menitis air mata Pak Nuar ketika memperkatakan tentang Rima. Hati tuanya memang mudah tersentuh. Mak Jah dan Sufiah turut berasa sebak.
Di atas dahan pokok ciku pula Rima masih dengan fikiran yang tidak jejak di bumi nyata. Rima sedang melancarkan perang minda. Dia mahu memerangi perasaan yang baru muncul. Rima mahu tetap dengan pendiriannya. Tidak ada faedahnya bercinta, apatah lagi dengan orang yang baru sekali ditemui. Ia satu kerja gila. Gila! Baginya kalau dah suka, menikah saja. Tidak perlu membuang masa dengan bercinta.
Masa di sekolah Rima selalu curi-curi dengar perbualan kawan-kawannya yang kemaruk bercinta semasa masih belajar. Benci Rima mendengarnya. Kadang-kadang tegak bulu romanya. Dia juga berasa hairan dan selalu tertanya-tanya mengapa kalau bercinta mesti ada pegang-pegang, sentuh-sentuh dan macam-macam lagi yang dia tidak suka. Geli!
‘Adik mesti kuat!’ hatinya yang mulai lembik dipujuk-pujuk dan dibelai-belai supaya mendengar kata. Mana boleh dia melanggar prinsip sendiri hanya sebab seorang Sulaiman yang ditemui ketika makan ABC gunung.
“Malulah sikit Rima ooiii...awak tu syok sendiri. Entah siapa Sulaiman tu. Mana tau dia dah ada kekasih ke, tunang ke...atau mana tau dia dah kahwin. Hai Rima, Rima...tak ada penyakit cari penyakit.” Rima bercakap sendirian pula untuk membuang perasaan pelik yang tidak pernah dirasainya sebelum ini.
“Baik adik bayangkan muka Juki...apalah yang Juki tengah buat sekarang ni? Sejak adik tolak ajakannya tengok wayang hari tu, dah lama dia tak datang ke rumah. Agaknya dia merajuk.” Rima terus bercakap sendirian untuk mengusir muka Sulaiman yang sekejap-sekejap cuba masuk ke dalam fikirannya. Kilasan muka anak muda berambut paras bahu itu terlalu liat untuk terus pergi. Rima bertambah geram.
“Pergi matilahhh!” sekali lagi Rima meninggikan suara dengan tidak sengaja.
“Adik, kenapa tuuu?” laung Mak Jah pula dari atas pangkin kayu.
‘Alamak! Apa lagi yang adik dah buat ni?’ desis Rima terkulat-kulat.
“Tak ada apa bu...tak ada apa!” jawab Rima dengan gelabah. Selepas itu Rima mengomel memarahi Sulaiman sedangkan Sulaiman yang jauh tidak tahu apa-apa.