Bab 25
Sampai saja di rumah, Rima terus ke bilik air. Badannya mesti dibersihkan. Kalau tidak Rima akan teringat-ingat kejadian tadi. Rima mengambil segayung air dari kolah lalu mulai menyiram badannya. Rasa segar. Selepas itu Rima mencedok lagi dan lagi. Berdebur-debur bunyi air kolah bila Rima mencedok lebih laju.
“Nah kau! Nah! Nah! Nah!” suara Rima yang sedang menumbuk permukaan air kolah jelas kedengaran. Rima melepaskan geram dengan menumbuk bayangan muka Jazlee yang tersengih-sengih di dalam air kolah.
“Apa sajalah budak adik ni? Bercakap sorang-sorang, cedok air macam orang gaduh. Peliknya. Mesti ada yang tak kena ni, kerja pun awal baliknya.” Mak Jah yang sedang menyapu halaman rumah berandaian sendiri.
“Apa? Ko ingat boleh buat macam tu kat semua orang? Eeiii...geramnya! geramnya! Bodohhh!” suara dan tumbukan ke permukaan air semakin rancak.
Mak Jah berdiri tegak, memasang telinga dengan penuh minat. Rima masih lagi bising-bising di dalam bilik air. Mak Jah geleng-geleng. Penyapu lidi dicampakkan ke tanah. Dia menghampiri bilik mandi dengan persoalan yang sedang bemain di kepala.
“Adikkk...” Laungan Mak Jah telah menghentikan bunyi deburan air kolah. Senyap.
“Saya, bu.”
“Apa buat tu? Bising-bising aje ibu dengar.” Mak Jah menghampirkan badannya ke pintu bilik air.
“Tak ada apa. Adik mandi ni, bu.”
“Ishhh...mandi macam orang gaduh!...kenapa balik kerja awal?” soal Mak Jah.
“Adik dah berhenti,” ujar Rima lalu menjelirkan lidah seperti orang yang mahu muntah bila teringatkan Jazlee semula. Bukan mudah hendak melupakan perkara yang sangat menyakitkan hati. Nasib baik dia masih dilindungi dan Rona tidak mengetahui hal itu. Jika tidak, kasihannya ibu muda yang sedang mengandungkan anak kedua itu.
“Berhenti? Kenapa? Kan adik yang beria nak kerja.” Bertalu-talu soalan Mak Jah yang
semakin pelik melihat sikap Rima.
“Malaslah bu. Duduk rumah lagi bagus,” sahut Rima.
“Pulak! Suka hatilah, adik. Hah, cepat mandi tu. Kejap lagi kak ngah sampai dengan kawan-kawan dia.” Mak Jah mengingatkan Rima.
“Kak ngah nak balik ke bu? Kenapa adik tak tau?”
“Lupa ibu nak cakap. Kak ngah singgah kejap aje. Dia nak ke Perak untuk sertai program anak angkat kampusnya tu. Dahlah, cepat mandi.” Tanpa menunggu lagi, Mak Jah terus berlalu untuk menyudahkan tugasnya menyapu daun-daun kering yang bertaburan di halaman rumah.
“Yeyyy! Kak ngah balik!” jerit Rima dan terus bermain-main dengan air kolah. Suhana telah menggantikan Jazlee dalam pemikirannya. Seronok sungguh Rima.
Rima mempercepatkan mandiannya. Selesai saja, dia terus menyarung sehelai kain batik sebagai kembannya. Sehelai tuala diletakkan di atas kepala sehingga menutupi bahunya. Rima mahu cepat bersiap untuk menyambut Suhana. Dia rindu pada Suhana yang selalu menjadi tempatnya bermanja sekaligus bergaduh. Suasana seperti itu agak sukar dirasai lagi.
“Adikkk.” Baru beberapa langkah Rima berjalan terdengar suara lantang memanggilnya. Suara itu sangat dikenalinya. Rima terasa mahu berlari mendapatkan Suhana. Dengan pantas dia menoleh untuk melihat Suhana.
Sebaik menoleh, Rima seakan mahu berlari patah balik ke bilik mandi. Mahu menyorok dan tidak akan keluar lagi. Suhana bukan saja membawa teman-teman perempuannya tapi ada tiga orang teman lelaki yang turut serta. Dengan terkulat-kulat Rima membetul-betulkan kain batik yang menutupi badannya. Tuala besar turut ditarik supaya tertutup rapi bahunya.
“Rindunya kak ngah kat adik!” Tidak sempat untuk Rima bergerak, Suhana sudah memeluknya. Rima membalas dengan kuat.
“Adik pun rindu kak ngah...hmmm, kak ngah...bagi adik naik dululah. Malu adik ni.” Rima berbisik ke telinga Suhana.
“Ha,ah...naik cepat!...adik, Zulkarnain ada sekali tau.” Balas Suhana perlahan.
“Hah!...kenapa dia ada sekali?” soal Rima yang tidak menyedari salah seorang teman lelaki Suhana adalah Zulkanain.
“Kami sekampus! Macam ada jodohkan?” ujar Suhana teruja.
“Huh! Kak ngah ni, masih gatal macam dulu!” bidas Rima. Suhana ketawa perlahan. Takut akan didengar oleh Zulkarnain.
“Taklah...kak ngah gurau aje...tapi kalau ada jodoh tu Alhamdulillah.” Sememangnya Suhana masih mengharap.
“Hmmm...adik naik dulu ya. Kak ngah naiklah ikut pintu depan.” Rima terus berlalu tanpa berani melihat ke arah Zulkarnain. Dia berharap supaya Zulkarnain tidak kenal lagi padanya. Mustahil untuk Zulkarnain mengingatinya setelah sekian lama bekas ketua pelajar itu ghaib begitu saja tanpa khabar berita.
Rima merenung mukanya di cermin yang semakin senget. Bukan mahu melihat cantik atau tidakkah dia tapi gadis itu sedang berfikir, mahu keluarkan atau terus berkurung di dalam bilik? Kalau dia terus berkurung di dalam bilik, itu tandanya tidak menghormati tetamu. Tidak sopan. Ah! Susahnya! Akhirnya Rima memilih untuk keluar tapi terus ke dapur dan membantu Mak Jah. Rima buat-buat sibuk walaupun itu bukanlah kebiasaannya.
“Adik...jomlah ke depan.” Sayangnya Suhana ke dapur lalu mengajaknya ke ruang tamu.
“Alaaa, tak payahlah...adik nak tolong ibu ni.” Dalih Rima yang menyibukkan diri menyusun teko dan cawan ke dalam dulang.
“Pergilah adik. Bukan senang nak jumpa kak ngah kan. Kejap lagi kak ngah nak pergi dah.” Ujar Mak Jah pula. Suhana mengangguk mengiakan.
“Dah siap pun air ni. Bawak ke depan. Mi goreng ibu dah masak awal-awal tadi.´Tak ada apa nak adik buat lagi kat dapur ni.” Tambah Mak Jah.
“Kak ngah...malulah adik ni,” rengek Rima.
“Ramai kan...bukan berdua-duaan. Ibu pun ada. Eh, mana ayah bu?” Barulah Suhana sedar Pak Nuar tidak ada di rumah.
“Ayah kamu ke kebun getah. Kutip sekerap. Sekarang tak boleh lengah, lambat kutip sikit alamat kena curilah sekerap ayah kamu tu.”
“Teruknyaaa!” sahut Suhana geram.
“Angkat cepat semua ni, jangan biar kawan-kawan tunggu lama.” Arah Mak Jah sambil tangannya sibuk membersihkan dapur minyak tanah yang telah digunakan untuk memasak.
“Ibu ikut sekalilah.” Pinta Rima.
“Pergi dulu...nanti ibu datang. Nak bersihkan dapur dulu.” Tangan Mak Jah semakin laju membersihkan itu dan ini. Dia tidak biasa membiarkan dapurnya kotor dan bersepah sebaik selepas memasak.
Rima membiarkan Suhana berjalan di depan dengan membawa dulang berisi teko dan cawan. Dia lambat-lambat di belakang. Di tangannya ada semangkuk besar mi goreng istimewa buatan Mak Jah. Suhana meletakkan dulang di atas meja rotan. Air teh di dalam teko dituang ke dalam cawan.
“Adik...bagi kak ngah mangkuk mi tu.” Suhana menghulurkan tangan untuk mengambil mangkuk dalam pegangan Rima. Rima terus menyerahkan tanpa sepatah kata.
“Cantik adik awak ni Suhana.” Terdengar suara salah seorang teman Suhana memuji Rima. Yang pasti itu suara perempuan. Rima menelan air liur. Terasa kering tekaknya.
“Adik saya, memanglah cantik.” Suhana bangga dengan Rima. Rima tidak berani mengangkat muka. Terasa tebal kulit mukanya.
“Ni Rima kan?” suara lelaki pula menyampuk. Ini yang Rima tidak suka. Dia masih ingat pada suara itu.
“Ya.” Sahut Suhana pendek. Agak tidak senang hati kerana Zulkarnain masih ingat pada Rima.
“Hei! Rima...ingat Abang Zulkarnain lagi tak? Tak sangka abang dapat jumpa kamu lagi. Mahu tidak mahu Rima terpaksa mengangkat muka. Melihat sebentar ke arah Zulkarnain lalu mengangguk sebagai tanda dia masih ingat pada bekas ketua pelajar itu.
“Kamu dah jadi pemalu sekarang ya?” usik Zulkarnain.
“Dulu kamu kaki gaduh kat sekolah kan?” sambungnya lagi lalu ketawa. Yang lain turut tersenyum.
‘Haishhh...apalah pecahkan tembelang adik kat sini? Nak kena dia ni!’ bisik Rima diam-diam. Bukan niat Rima untuk berpura-pura menjadi pemalu tapi ada masanya memang dia agak malu dalam keadaan yang tertentu. Itulah sifat semulajadinya.
“Tu bukan gaduh tapi pertahankan diri. Adik tak suka gaduh, orang je yang selalu cari gaduh.” Akhirnya keluar juga suara Rima yang mahal itu. Zulkarnain senyum. Teman-teman Suhana yang lain berbual sesama mereka. Sekali-sekala Suhana turut menyampuk tapi ekornya matanya agak kurang aman bila melihat Zulkarnain asyik menumpukan perhatiannya pada Rima.
“Oh! Ya ke? Kenapa abang tengok macam kaki gaduh je?”
“Suka hatilah nak tengok macam mana. Tak kisah pun!” sahut Rima tegas. Apa perlunya pandangan Zulkarnain? Bukan ada sangkut paut dengan dirinya. Biar Zulkarnain mual dengan sikapnya. Sekurang-kurangnya akan berkurangan peratusan untuk Zulkarnain menyimpan hati terhadapnya.
“Garangnya dia,” usik Zulkarnain. Rima menarik muka. Dalam hatinya berdoa supaya Suhana cepat-cepat membawa kawan-kawannya pergi. Memang dia rindukan Suhana tapi kedatangan Zulkarnain telah membuatnya tidak selesa.
“Jemputlah makan, anak-anak.” Mak Jah yang baru muncul dari dapur bermuka manis terhadap tetamu yang datang. Rima lega dengan kedatangan Mak Jah. Sekurang-kurangnya Zulkarnain akan berasa malu dan tidak banyak mulut.
“Dah sudah makcik...sedap makcik masak. Kenyang perut kami.” Puji Zulkarnain. Teman yang lain angguk-angguk. Mak Jah senyum. Suhana juga senyum melihat Zulkarnain yang pandai mengambil hati ibunya. Hanya Rima yang terasa mahu menjuihkan bibirnya panjang-panjang, tidak suka pada Zulkarnain yang kadang-kadang terlebih berani.
“Hmmm...maaf makcik, kami dah lambat ni. Saya rasa elok kami beredar sekarang.” Zulkarnain berbahasa. Mak jah mengangguk sambil tersenyum. Sejuk hati Mak Jah melihatnya.
“Suhana, kawan semua...masa dah tak mengizinkan ni. Kita mesti sampai ke tempat tu tepat pada masanya. Kita gerak sekarang.” Zulkarnain memberi arahan dan semuanya bersetuju.
‘Ishhh, asyik jadi ketua aje dia ni!” Umpat Rima dalam hati.
Setelah meminta diri, masing-masing menuruni anak tangga. Suhana mencium dan memeluk Mak Jah dan Rima. Zulkarnain juga masih belum turun. Berdiri di belakang Suhana.
‘Sibuk je!’ bisik Rima.
“Jangan lupakan abang ya.” Sempat juga Zulkarnain berpesan sewaktu Suhana asyik bercakap dengan Mak Jah. Rima menjeling tajam, Zulkarnain senyum menggoda.