Home Novel Komedi/Romantik Komedi HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
Asmah Hashim
6/4/2015 14:50:01
124,924
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 26

Sebulan berlalu dengan begitu pantas. Dia sudah dapat menguasai bidang kerjanya, malah semakin cekap. Maznah sudah mula mempercayainya. Alhamdulillah. Bekerja biar jujur dan bertanggungjawab. Dia juga sudah cekap membantu di ruang hadapan restoran itu. Kalau tiada siapa di kaunter bayaran, dia akan mengambil pesanan pelanggan. Zaiton sering juga turun melepak di restoran itu sehinggalah restoran itu tutup. Kesetiaan Zaiton mengusik hati kecilnya. Manalah nak dapat sahabat sebaik Zaiton.

Pelanggan datang dan pergi, berbagai kerenah boleh dilihat. Sesekali ada juga para pekerja yang dimarahi kerana lambat menghantar minuman yang dipesan. Ada juga mengadu makanan kurang sedap, macam-macam ragam manusia. Kalau tidak sabar, rasanya sudah lama restoran itu tutup. Ditambah dengan kerenah pekerja yang ada ketika banyak songeh. Datang lambat, ada kerja yang tidak beres dan lambat diselesaikan. Kalau dia jadi majikan mahu cepat mengidap sakit jantung atau darah tinggi naik bertangga-tangga.

Rose membantu mengemas meja makan yang masih tidak dikemaskan. Dia tidak boleh duduk dan tengok sahaja, memanglah ada pelayan yang akan melakukannya. Kalau sudah dua tiga meja terbengkalai dan tidak berkemas, tidak mungkinlah dia akan tengok sahaja. Dia perlu bantu mana yang perlu dan ringan baginya. Segala sisa makanan dikutip dan dimasukkan ke dalam tong sampah. Pinggan di isi ke dalam singki.

“Pelayan!” panggil seorang pelanggan.

Rose memandang sekeliling. Beberapa orang pekerja yang lain sedang mengambil pesanan pelanggan yang ada. Mahu tidak mahu, terpaksalah dia yang mengambil pesanan pelanggan yang baharu sahaja tiba.

“Nak pesan apa cik?” tanya Rose. Matanya langsung tidak memandang pelanggan tersebut. Ambil pesanan dahulu, perkara lain fikirkan kemudian.

“Hey, saya kenal awak? Gadis hitam dari kampung, bercita-cita nak jadi setiausaha. Takkan jadi pelayan restoran pula?” sindir seorang perempuan yang bergaya, cantik dan pasti sesiapa yang memandang akan tergoda dengan penampilannya.

Rose mengerut dahi, bagaiku kenal suara itu, tetapi di mana ya? Bisik hati kecilnya sambil matanya terus memandang kepada empunya suara. Cis! Perempuan ini lagi? Kenapa dia ada di sini. Rose memandang sekeliling.

“Ya cik, nak makan apa?” Rose masih berlagak biasa. Dia tidak mahu membuat kecoh di dalam restoran majikannya. Bersabar sahajalah dengan penghinaan. Bukan luak dan sakit pun. Cuma sakit hati sahaja.

“Kasihannya, jadi pelayan restoran? Kalau Haikal tahu pasti dia ketawa berguling-guling. Mak kau tahu ke kau jadi pelayan restoran? Jangan sampai jadi GRO sudahlah ya. Eee… siapa pula nak langgan perempuan hitam legam macam kau ni, kan?” Ain terus menyindir tanpa ada perasaan belas ehsan di hadapan rakan sekerjanya.

“Kau kenal pelayan ni?” tanya salah seorang kawan Ain.

“Tentulah kenal Min, perempuan inilah yang aku ceritakan tu. Sudahlah buruk, sombong pula. Sudahlah tak cantik berangan nak jadi setiausaha, agak-agak kaulah siapa yang sudi ambil dia jadi setiausaha mereka? CEO mana yang sudah gila agaknya? Pengurus mana yang sudah buta warna?” Terus menyindir tanpa memikirkan perasaan Rose.

“Laa, memang tak lawa langsung!” kata Min tukang nasi tambah.

Rose tidak berganjak dari meja itu. Kakinya berasa terkunci dan tidak mampu digerakkan.

“Hey, pelayan hitam legam. Tengok kau pun aku tak selera nak makan, boleh panggillah pelayan yang lain tak?” jerkah Ain dengan mata membuntang. Pandangan yang penuh perasaan benci dan jijik.

“Kenapa ni cik? Ada masalah?” sapa Maznah yang sejak tadi memerhatikan sahaja perangai dua orang perempuan dan Rose. Dari kaunter bayaran dia dapat mendengar kata-kata kedua-dua perempuan itu.

“Awak pula siapa?” tanya Ain agak kasar. Dia memerhati penampilan Maznah dari atas ke bawah, dari bawah ke atas. Dia mencebik.

“Saya puan punya restoran, ada masalah ke?” tanya Maznah sekali lagi.

“Ooo… pemilik restoran? Saya nak buat aduan, saya tak suka pelayan hitam legam ni ambil pesanan saya. Boleh ganti dengan orang lain tak? Buat loya tekak saja,” kata Ain kasar.

“Pelayan? Rose, berapa kali akak dah bagi tahu, awak tu pemilik restoran ini. Kenapa buat kerja kuli? Tak sesuai langsung! Dah, pergi tengok budak-budak buat kerja. Biar orang lain yang ambil pesanan jelitawan yang ada ni,” kata Maznah sambil mengetap bibir. Sesedap rasa sahaja menghina orang. Ingat dia lawa sangat, kata Maznah dalam hati.

“Erk…” Rose semakin blur. Apa kena pulalah dengan Kak Maznah ini, salah makan ubat ke apa? Bila pulalah dia jadi pemilik restoran ini?

“Pemilik restoran?” Ain hampir menjerit. Dia seperti tidak salah dengar rasanya.

“Ya, Rose ni, rakan kongsi saya, kenapa? Ada masalah?” Maznah memaniskan muka. Dia tersenyum dalam hati melihat wajah terkejut perempuan yang berlagak dan sombong itu. Sedap sahaja mulutnya menghina pekerjanya.

“Rakan kongsi?” kata kedua perempuan itu serentak. Terkejut dan lebih kepada tidak mempercayainya.

“Takkan kut!” Ain mengerut dahi.

“Tak perlulah cik puan mengerutkan dahi, nanti berkedut pula dahi dan muka sekali. Nak tengok ke lesen perniagaan dan pendaftaran syarikat? Kalau nak makan buatlah cara nak makan, kalau tidak cik-cik berdua boleh cari restoran lain. Banyak lagi di luar sana,” kata Maznah tegas. Sakit benar hatinya. Sewenang-wenangnya menghina orang seolah-olah diri itu hebat sangat.

“Macam mana puan boleh percayalah perempuan buruk ini? Jangan dia tipu puan sudahlah! Nanti menyesal menangis air mata darah sekalipun dah tak berguna tau!” Ain mengherotkan bibirnya. Dia mengambil beg tangannya dan mengajak rakannya keluar dari restoran itu. Sakit pula hatinya mendengar cerita terbaharu daripada pemilik restoran itu. Tidak mungkin Rose sekarang jadi pengusaha restoran. Hari itu pulang ke kampung baharu nak berjinak-jinak berniaga. Mana boleh jadi! Dia hanya makan gaji, sedangkan perempuan hitam legam itu sudah menjadi ahli perniagaan. Memang memalukan!

“Kak Maznah!” Rose memandang wajah majikannya tidak berkelip sebaik sahaja Ain dan rakannya berlalu meninggalkan restoran itu. Dia menarik nafas lega.

“Akak dengar kata-kata nista perempuan itu terhadap Rose. Jangan sedih ya,” pujuk Maznah lalu tangannya menepuk bahu Rose.

“Terima kasih kak,” ucap Rose. Masih ada orang yang sudi menjernihkan maruah dirinya.

“Nanti kita sembang lagi, mesti ada sejarah hitam Rose dengan perempuan tu. Benci amat dia dengan Rose, akak nampak dari pandangan matanya. Gerun akak tengok.”

“Entahlah kak… penat saya fikirkan soal tu. Entah apa yang dia bencikan sangat dengan saya. Kalaulah saya ni lawa lebih daripada dia tak apalah, ini… akak tengoklah sendiri,” keluh Rose.

“Jangan merendah diri, ALLAH tak suka! setiap kejadian yang diciptakanNYA pasti ada hikmah dan kebaikkannya, jangan sesekali menyesal,” nasihat Kak Maznah.

“Terima kasih sekali lagi kak,” ucap Rose. Terasa lega dan lapang hatinya mendengar nasihat dan pujukan majikannya itu. Baik sungguh hati majikannya. Dia berjanji akan bekerja bersungguh-sungguh biarpun hanya menjadi pembantu restorann sahaja. Tetap satu pekerjaan yang baik dan halal.

Hujan renyai-renyai di luar restoran menyejukkan sedikit hatinya yang sedang panas. Entah bagaimana dia mampu bersabar dengan sindiran Ain tadi. Kalaulah dibuatkan dia hilang sabar tadi, mahu berkecai restoran ini. Mungkin dia sudah mampu menerima dan bersabar dengan penghinaan orang lain atau dia memikirkan dirinya sedang bekerja di tempat orang. Apa pula kata majikannya jika dia mengamuk dan menjahanamkan tempat itu. Nampak sangat perangai buruk dan salahlaku dirinya. Biar buruk rupa, jangan buruk tingkahlaku. Itulah nasihat emaknya. Cuma, kadang-kadang dia tidak sabar dengan penghinaan orang terhadap dirinya. Mula hari ini dia perlu jadi penyabar dan semoga hatinya terus tabah.

Previous: BAB 25
Next: BAB 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.