Home Novel Komedi/Romantik Komedi MIMPI YANG PASTI
MIMPI YANG PASTI
Dr. Writer
15/12/2017 06:06:30
46,368
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
MIMPI19

*MIMPI 19*

‘Tom and Jerry’


Sampai ke hari ini sudah masuk minggu yang ke-2 Humaira dan Harith mengikuti jadual study plan seperti apa yang telah mereka rancangkan. Harith seperti biasa akan membuat panggilan pada setiap awal pagi untuk mengejutkan Humaira. Mereka akan bersarapan bersama-sama sebelum pergi ke kelas pada setiap hari minggu. Pada sebelah petang selepas waktu kelas mereka berdua akan terus menjalani sesi kelas tambahan antara mereka sahaja dan mengulangkaji pelajaran bersama-sama di kampus. Sebelum menjelang waktu maghrib pula mereka akan berhenti berehat dan pulang ke rumah sewa masing-masing untuk mandi dan solat. Makan malam bersama kini sudah menjadi rutin harian buat mereka kerana mereka akan singgah ke kedai untuk membeli makanan bungkus dan makan di kampus sebelum mereka sambung dengan sesi mengulangkaji semula topik-topik yang mereka belajar pada hari itu.

Keakraban mereka kian terserlah dan hal itu membuatkan ramai rakan di sekeliling yang mula bergosip tentang perhubungan mereka berdua. Namun, mereka mengatakan bahawa mereka berdua tiada sebarang hubungan istimewa dan sekadar hubungan antara sahabat dalam pembelajaran sahaja. Ada yang berasa lega dengan pernyataan mereka itu, namun ada juga yang masih berasa sedikit kecewa kerana cemburu melihat keakraban Humaira dengan Harith itu. Perkara itu sudah tentu berlaku disebabkan Harith dan bukan Humaira yang menjadi subjek kegilaan ramai. Ternyata terdapat segelintir pelajar perempuan yang memendamkan perasaan terhadap Harith selama ini, tetapi tidak dilayan oleh Harith.

“Rith, cuba kau explain sikit pasal Acetaminophen toxicity or overdose ni. Aku dah faham, cuma nak confirm kan lagi betul ke tak fahaman aku ni.”

Harith membaca nota kuliahnya mengenai topik yang ditanya oleh Humaira itu dengan sekali imbas dan terus menerangkan apa yang difahaminya sewaktu dalam kuliah pagi tadi. Kaedah penerangan yang diberikan oleh Harith itu sangat memudahkan Humaira untuk memahaminya sekaligus menjadikan dia lebih bersemangat untuk terus belajar kerana kini dia sudah memiliki seorang guru peribadi yang sedia memberi tunjuk ajar kepadanya. Setiap pagi Humaira akan menjadi lebih bersemangat dari hari ke hari kerana dia sudah mendapat seorang teman belajar yang juga menjadi guru peribadinya merangkap suaminya.

“Faham tak?”

“Arasseo! (‘faham’ dalam bahasa Korea)”

Humaira terus sambung membaca notanya. Humaira begitu khusyuk membaca dan sesekali dia menggariskan beberapa point yang dirasakannya penting untuk dia fahami dan ingati. Tanpa dia sedari Harith yang berada di sebelahnya itu sedang merenung ke wajahnya.

“Aira, aku nak tanya sikit boleh?”

“Tak boleh. Kenapa?”

“Kau sekarang umur 22, kan?”

“Ha ah. Kenapa, kau ingat aku 18 ke?”, jawab Humaira bersahaja.

“Tak lah. Aku mula-mula ingat kau dah 25.” Humaira terus mengecilkan matanya dan menjeling Harith di sebelah.

“Apa motif kau tanya pasal umur aku ek?”

“Tak ada lah. Aku cuma kesian tengok kau dah masuk 22 tahun ni tapi tak ada boyfriend lagi. Lainlah macam aku lelaki, kalau umur 22 tu masih ok lagi tak ada girlfriend.”

“Eh, article and journal mana yang kau pakai eh? Kenapa pula lelaki umur 22 yang still single tu dikira ok?”

“Ye la.. Orang kan selalu cakap yang lelaki ni kalau makin berumur dia makin matang and makin hot stuff. Betul tak?”, tanya Harith sambil mengangkatkan keningnya.

“Oh.. Kalau macam tu baru sekarang aku faham..”

“Apa yang kau faham?”

“Aku baru faham kenapa kau tak ada girlfriend lagi. Sebab maksudnya kau belum matang, that’s why la tak ada orang pandang kau lagi kan.. Hmm.. Kesian kau.. Kau nak aku ajar macam mana nak jadi lebih matang tak?”

“Ha ha ha..”, Harith ketawa fake.

Humaira sudah membuat reaksi muka kesian sambil matanya sengaja dikebil-kebilkan dan itu yang membuatkan Harith bertambah menyampah melihatnya. Ringan sahaja tangan Harith ingin menarik hidung Humaira itu, namun Humaira pantas mengelak dan dibuatnya muka kesian itu buat sekali lagi seperti ingin mengejek Harith.

“Tunggu kau.. Aku tak nak belanja kau lagi lepas ni.”

“Kau tak nak belanja, aku report kat Nenda kata yang kau tak bagi nafkah kat aku. Lepas tu, biar Nenda tarik balik aset yang dia bagi kat kau tu. Padan muka.”

“Eh, kau ni memang annoying kan.” Sebaik sahaja Harith berkata begitu dia terus melilit leher Humaira dengan sebelah tangan dan dia mengacah seperti ingin meluku kepala Humaira.

Mereka berdua terus bertelingkah mulut tidak mahu mengalah. Begitulah keadaan mereka sekarang. Hanya tahu bergusti sahaja tiap-tiap hari. Sesiapa sahaja yang melihat telatah mereka itu mungkin akan menyangkakan yang mereka berdua merupakan adik beradik yang sedang bergurau sesama sendiri. Bahasa yang mereka gunakan seperti ‘kau-aku’ itu akan membuatkan orang lain semakin tidak akan mempercayai bahawa mereka sebenarnya ialah sepasang suami isteri.

≈ ≈ ≈ ≈ ≈

Keesokan harinya, Humaira dan Harith sudah mula bersiap-siap mengemas barang mereka untuk dibawa semasa mereka bercuti nanti. Seperti yang dijanjikan kepada Pn. Zahrah mereka berdua akan pulang ke Johor Bahru pada hujung minggu itu dengan menaiki kapal terbang agar dapat menjimatkan tempoh perjalanan mereka. Harith sudah membeli tiket kapal terbang untuk mereka berdua dari awal lagi.

Humaira dan Harith yang baru pulang dari kelas pada tengah hari itu terus bergegas pulang ke rumah masing-masing untuk sambung mengemas barang. Humaira hanya mengambil beberapa helai baju dan seluar untuk dibawa pulang. Ini kerana dia memang sudah sedia meninggalkan beberapa pakaian di kampung halamannya supaya dia tidak perlu membawa banyak barang setiap kali ingin pulang bercuti. Prinsip yang sering dipakainya kini adalah ‘travel with light and ease’.

Harith dan Humaira sudah makan tengah hari sebelum mereka pulang ke rumah agar mudah untuk mereka terus balik menunaikan solat dan kemudian bergegas ke lapangan terbang. Sebaik sahaja mereka sampai di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah mereka terus check in di kaunter dan beberapa minit kemudian kedengaran pengumuman diberikan oleh pegawai di situ bagi memanggil para penumpang pesawat untuk memasuki kawasan pagar berlepas.

Harith dan Humaira duduk bersebelahan di dalam pesawat. Humaira yang duduk di bahagian sebelah tingkap sudah mula melayarkan pandangannya ke arah luar tingkap. Seperti biasa dia memang suka melihat ke luar tingkap pesawat sambil membaca doa di dalam hati dan mula melayan perasaan. Harith yang berada di sebelahnya turut memandang ke luar tingkap tanpa bersuara. Masing-masing lebih banyak melayan perasaan sendiri sebaik sahaja pesawat mula berlepas.

Penerbangan mereka dari Ipoh ke Johor Bahru memakan masa lebih kurang 1 jam 20 minit. Selepas 30 minit pertama pesawat itu berlepas Humaira sudah mula dibuai mimpi manakala Harith yang melihatkan Humaira yang sudah terlena itu turut sama dijangkiti virus mengantuk. Harith sudah mula menguap beberapa kali. Pada mulanya Harith sudah bercadang ingin membaca buku motivasi yang dibawanya untuk mengisi masa sepanjang penerbangan mereka itu. Namun, tidak sampai 10 helai muka surat yang dibaca dia sudah mula berasa mengantuk.

Baru sahaja Harith ingin melelapkan mata tiba-tiba dia terasa seperti ada sesuatu yang melanggar bahunya. Dia menoleh ke sebelah dan melihat bahu Humaira sudah berlaga dengan bahunya sementara kepala Humaira pula seperti ingin condong ke arahnya. Kepala Humaira semakin lama semakin condong dan ingin jatuh ke hadapan. Namun, belum sempat kepala itu terjatuh dan terhantuk ke kerusi di hadapan, Harith cepat-cepat menyambut kepala itu dengan sebelah tangannya. Dia menggerakkan kepala Humaira ke atas bahunya dengan perlahan-lahan. Harith membetulkan sedikit duduknya agar menjadi lebih selesa untuk Humaira bersandar di bahunya itu.

Dalam keadaan jarak yang sebegitu dekat membuatkan Harith dapat mendengar dengkuran halus daripada Humaira. Harith hanya memandang ke hadapan sambil tersenyum. Pertama kali dalam hidupnya dia berada dalam situasi seperti itu. Harith mula teringatkan kenangannya bersama ibunya pada suatu ketika dahulu. Pada waktu dahulu dia sering bersandar di bahu ibunya manakala pada kali ini pula yang sedang bersandar di bahunya itu ialah seorang wanita yang sudah sah menjadi mahramnya. Tanpa dia sedari, ada debaran halus yang mula terasa di dadanya pada saat itu.

Sepanjang tempoh penerbangan itu Harith terus berjaga sampailah pesawat mereka sudah mendarat di Lapangan Terbang Senai. Humaira yang tersedar dari tidur akibat sedikit gegaran yang terhasil sewaktu pesawat ingin mendarat itu sudah mula terpisat-pisat bangun. Humaira mula mengesat mulutnya dengan tangan kerana ingin memastikan supaya tiada bekas air liur basi yang terkeluar sewaktu dia terlena tadi.

‘Alhamdulillah dah sampai. Sedap pula aku tidur tadi. Selalunya aku mesti akan tersedar dalam 30 minit sebelum sampai, tapi kali ni lama pula aku tidur. Hmm.. Mengantuk sangat agaknya.’

Humaira memandang Harith yang berada di sebelahnya. Humaira mengagak bahawa Harith seperti sudah terjaga lama atau mungkin dia memang berjaga sepanjang penerbangan mereka tadi kerana Humaira dapat melihat muka Harith bukan seperti muka orang yang baru bangun tidur.

Harith yang menyedari ada sepasang mata sedang merenungnya itu pun menoleh. Mereka bertentangan mata tanpa bersuara buat seketika. Agaknya masing-masing sedang scan muka antara satu sama lain.

“Kau tak tidur ke dari tadi?”, tanya Humaira sambil membetulkan shawl-nya yang sudah menjadi senget sedikit.

“Mula-mula tu ada la juga nak terlelap. Tapi, tiba-tiba tak jadi.”

“Kenapa pula?”

“Entah. Tiba-tiba bahu aku ni macam ada rasa lenguh sikit. Aku pun tak tahu kenapa.”, jawab Harith sambil mengurut bahunya yang tidak berapa sakit itu.

“Sakit bahu? Tadi sebelum berlepas aku tengok kau ok je. Kau ada buat apa-apa ke tadi? Ataupun sebab kau tolong angkat beg aku tadi ke?”

“Maybe..”

“Ye ke? Sorry la.. Tapi, aku rasa aku tak ada la bawak barang banyak sangat dalam beg tu..”

‘Bukan sebab beg kau yang berat.. Tapi kepala kau yang boleh tahan berat tu yang bersandar lama kat bahu aku ni sampai naik cramp juga la.’, kata Harith dalam hati.

Humaira menelefon ibunya sesudah mereka berdua memasuki bangunan lapangan terbang. Humaira memaklumkan kepada ibunya bahawa dia dan Harith sudah sampai kerana Pn. Zahrah dan En. Raikal sudah berjanji ingin menyambut mereka berdua di lapangan terbang. Sementara Humaira sedang menghubungi ibunya itu Harith membantu menarik beg roda Humaira dan terus berjalan menuju pintu masuk lapangan terbang.

“Eh, Rith tak payah la. Biarlah aku tarik beg aku sendiri. Bahu kau kan tengah lenguh lagi kan.”, ujar Humaira dengan nada yang sedikit risau apabila menyedari Harith sedang menarik beg roda itu untuknya.

“It’s okay. Setakat tolong tarik beg kau ni tak ada hal lah.”

“Serious la..”

“Serious..”

Belum sempat Humaira menyambung kata-kata yang seterusnya kelihatan kereta milik En. Raikal sudah melintasi pintu masuk lapangan terbang itu. Mereka pun terus berjalan ke arah kereta yang sudah berhenti di tempat letak kereta untuk mengambil para penumpang. Laju sahaja Harith menarik beg roda Humaira kerana dia tidak mahu Humaira merisaukan lagi tentang keadaan bahunya yang dia mengadu sakit tadi.

“Assalamualaikum, mak, ayah. Apa khabar, sihat?”, ucap Harith kepada ibu dan bapa mertuanya itu.

“Waalaikumussalam. Alhamdulillah sihat.”, jawab Pn. Zahrah dan En. Raikal dengan nada ceria. Gembira betul mereka kerana akhirnya mereka berpeluang untuk bertemu semula dengan anak menantu mereka itu setelah sekian lama. Kali terakhir mereka bersua adalah pada sehari selepas hari pernikahan Harith dengan Humaira berlangsung iaitu lebih kurang 2 bulan yang lepas. Pertemuan yang sebegitu singkat membuatkan mereka sangat teruja ingin berjumpa semula dengan Harith kerana mereka mahu mengenalinya dengan lebih dekat.

“Rith sihat?”, tanya Pn. Zahrah sambil menyambut huluran salam daripada Harith.

“Alhamdulillah sihat, mak.”

“Mak dengan ayah tak nak tanya pasal Aira ke?”, ujar Humaira sambil berpura-pura merajuk.

“Alah, dia nak merajuk pula.. Ok lah, biar ayah yang tanya. Aira sihat..?”

“Hehe. Alhamdulillah sihat..”, jawab Humaira dengan ceria. Dia tersenyum sampai ke telinga kerana dia sangat merindui kedua-dua orang tuanya itu walaupun baru dua minggu mereka berjauhan.

Mereka semua memasuki kereta setelah selesai memasukkan beg ke dalam bonet kereta. Situasi dalam kereta begitu meriah dengan bebelan daripada Humaira yang tidak henti-henti dengan segala perkembangan hidup dia kalau boleh ingin diceritakan kepada mak dan ayahnya dalam sepanjang perjalanan. Harith yang duduk di bahagian tingkap belakang tempat duduk pemandu itu hanya mendengar bebelan Humaira. Sesekali dia juga tergelak dalam diam apabila Humaira bercerita tentang sekecil-kecil hal yang berlaku dalam masa dua minggu mereka di Ipoh.

“Rith, senyap je? Mesti Rith terkejut kan, sebab Aira ni memang kuat bercerita itu ini bila dia balik cuti macam ni. Macam dah bertahun tak balik je gayanya. Haha.”, usik En. Raikal.

“Haha. Tak apa, ayah. Rith sekarang macam dah terbiasa dengan mulut Aira yang macam Burung Murai ni. Hahahah.” Pn. Zahrah dan En. Raikal lantas tertawa mendengar jawapan Harith itu, manakala Humaira sudah mula membuat muka “I’m watching you..”.

“Mesti penat Rith nak kena tadah telinga tiap-tiap hari kan?”, gurau En. Raikal lagi.

“Penat tu penatlah juga, tapi bagusnya bila Rith dapat jimat air liur tak perlu nak cakap banyak. Biar hal untuk cakap-cakap ni Rith serahkan kat Aira je. Haha.”

“Oh, pandai eh.. Tak apa, lepas ni tengoklah saya akan senyap je tak cakap langsung. Biar bagi chance kat awak pula untuk cakap. Nanti tunggulah, hidup awak akan kesunyian serta merta tanpa suara saya yang merdu ni.”

“Tu pun kalau awak berjaya bertahan tak bercakap for at least half an hour la..”

“Omo omo.. You just wait, ah..”, ujar Humaira sambil menunjukkan dua jarinya ke arah matanya dan kepada Harith silih berganti diikuti dengan simbol mengunci mulutnya menandakan yang dia akan berhenti bercakap. Harith hanya menayangkan muka ‘annoying’-nya kepada Humaira, sengaja ingin menambahkan bara api dalam hati Humaira.

≈ ≈ ≈ ≈ ≈

“Riri.. Riri dengan ayah tengah bual pasal apa tu..?”

‘Sudah.. Minah ni dah start dah..’ Harith memandang Humaira dengan senyuman yang penuh fake.

“Rara.. Riri tengah dengar cerita pasal Rara masa kecil la..” Harith turut sama melayani lakonan Humaira itu demi menunjukkan kemesraan mereka berdua di hadapan En. Raikal yang sedang menjadi pemerhati.

“Masa kecil? Pasal apa tu, ayah? Ayah tunjuk sekali gambar Aira masa kecil, tak? Gambar-gambar Aira yang comel-comel tu..”

‘Ya Allah.. Confidence level minah ni tahap infiniti betul..’, ujar Harith dalam hati.

“Of course la ada.. Macam yang ni..” Harith menayangkan gambar Humaira sewaktu kecil yang dipegangnya dari tadi. Memang dia menunggu saat-saat untuk membahan Humaira dengan gambar itu.

Humaira cuba merapatkan mukanya ke gambar yang ditunjukkan oleh Harith itu. Mulutnya tiba-tiba terlopong melihat gambar itu. Sewaktu Humaira kecil dahulu, dia suka sangat membuat memek-memek muka yang pelik dan ayahnya selalu menangkap gambarnya sekadar untuk bergurau. Humaira yang baru berumur empat tahun waktu itu sedang memuncungkan mulut sampaikan atas bibirnya menyentuh hidungnya, manakala matanya dijulingkan. Gambar itu sangat ‘win’ sampaikan Harith tanpa membuang masa terus sahaja menangkap gambar itu menggunakan kamera telefon bimbitnya dan disimpan untuk dijadikan bahan gelak pada masa hadapan.

“Ayah..! Kenapa ayah keluarkan gambar ni?! Kan Aira dan selitkan gambar ni kat bahagian dalam.. Malu la dengan gambar tu..”

Harith dan En. Raikal sudah mula tergelak sakan manakala Pn. Zahrah yang baru keluar dari dapur hanya menggelengkan kepala mendengar jeritan Humaira yang sangat nyaring itu.

“Heh, perlahan sikit suara tu. Sampai ke dapur tau dengar. Apa ni, dah jadi isteri orang pun perangai macam budak-budak lagi? Malu sikit kat Rith tu..”, tegur Pn. Zahrah.

“Tengok la ayah ni, mak.. Dia pergi tunjuk gambar Aira yang tu ha.. Ish, meh la sini gambar tu, Rith..!”, adu Humaira sambil berusaha untuk merampas gambarnya itu dari tangan Harith yang masih lagi mengacah seperti sedang menangkap gambar itu menggunakan kamera telefonnya.

“Heyyy.. Bak la sini gambar tu.. Tak payah la nak snap gambar tu..” Wajah Humaira sudah berubah masam. Banyak-banyak gambar yang dia ada sewaktu kecil, gambar itulah satu-satunya gambar yang amat dia takuti sekiranya sampai ke tangan orang yang akan menyalahgunakan gambar mahalnya itu.

Harith menyorokkan gambar itu di belakang badannya dan kemudian dia sengaja mendekatkan wajahnya ke wajah Humaira bagi menghentikan gadis itu daripada berterusan mengganas ingin merampas semula gambar itu. Harith juga memuncungkan bibir seperti meminta Humaira untuk menciumnya dahulu sekiranya ingin mendapatkan gambar itu semula. Seronok dia menyakat Humaira di hadapan ibu dan bapa mertuanya itu.

“Eee.. Dah la, malas nak layan. Ambil je la gambar tu. Nak viral kan ke apa pun orang tak kisah la..”, ujar Humaira setelah cukup menyampah dengan kelakuan Harith yang sengaja ingin meminta ciuman itu. ‘Nak ambil kesempatan la tu! Mentang-mentanglah mak dengan ayah ada kat sini..’

“Hahahaha! Agak-agak boleh cecah sejuta tak kalau I viral-kan gambar you yang ‘win’ ni?”

“Of course la boleh. Gambar I kan..”, jawab Humaira dengan nada tidak puas hati.

Harith masih ketawa melihat muka Humaira yang tidak puas hati itu. Harith sengaja mencuba untuk meniru gaya Humaira seperti dalam gambar itu sambil meminta pendapat kepada Humaira sama ada memek muka yang dibuatnya itu menjadi ataupun tidak.

“Bukan macam tu la. Macam ni..”, kata Humaira sambil mengajar Harith bagaimana mahu membuat memek muka yang persis seperti dalam gambar. Akhirnya, dia turut terjebak dengan gelagat Harith itu.

Pn. Zahrah memandang Harith dan Humaira dengan perasaan gembira dan terharu kerana melihat kemesraan mereka berdua itu walaupun kadangkala mereka nampak seperti ‘Tom and Jerry’. Maka, betul lah kata orang, setiap perkara yang berlaku itu pasti ada hikmah di sebaliknya, dan mungkin inilah dia kemanisan yang terkandung dalam hikmah pernikahan Humaira dengan Harith yang tidak dirancang itu.

“Aira, takkan makan seorang je buah tu? Offer la dekat Harith tu ha. Nah.”, ujar Pn. Zahrah sambil menolak sedikit mangkuk buah ke arah Harith.

“Terima kasih. Nak suap.”, ujar Harith sambil membuka mulutnya untuk disuap.

“Ee, mengada-ngadanya..” Humaira mengambil dua potong buah tembikai dan menyuap kedua-duanya sekaligus ke dalam mulut Harith. Biar padan dengan muka dia.

Mulut Harith yang penuh dengan buah tembikai itu membuatkan dia tersedak sedikit. Humaira di sebelah sudah mentertawakannya kerana puas dapat mengenakan Harith semula. Namun, Humaira masih menolong menepuk-nepuk belakang Harith setelah terlihat pandangan tajam daripada Pn. Zahrah.

“Riri.. Riri ok tak ni? Kesian Riri tersedak, ya..? Hmm..”

Merah padam muka Harith kerana tersedak dek air tembikai yang masuk laju ke dalam kerongkongnya itu. Humaira yang sudah puas mengenakan Harith itu dengan selambanya dia sambung menonton tv drama melayu.

“Emm dapnyeee tembikai ni..” Humaira tersenyum gembira sambil mengunyah buah tembikai yang sejuk dan penuh dengan kandungan airnya itu. Buah tembikai memang sudah menjadi kegemaran Humaira sejak kecil lagi. Dalam rumah keluarga En. Raikal itu Humaira lah satu-satunya yang sangat rajin untuk memotong buah tembikai tanpa disuruh kerana semua memang tahu bahawa Humaira memang ‘hantu tembikai’.

“Hm, sedap, sedap. Nak lagi. Aaa..”, pinta Harith kepada Humaira dengan selamba.

‘Eh, eh. Tak serik-serik pula mamat ni eh. Dah kena macam tadi pun masih nak mengada lagi..’ Humaira memandang Harith dengan mengecilkan sedikit matanya. Namun, tangannya masih juga mencapai sepotong tembikai lalu menyuap Harith. Jika bukan disebabkan oleh kehadiran mak dan ayahnya di situ mungkin dia sudah menunjukkan penumbuknya di depan muka Harith.

“Mak, ayah, selalu weekend buat apa eh? Esok ayah cuti public holiday la kan?”, tanya Harith ingin beramah dengan mertuanya.

“Mak selalu macam biasalah, kalau ada urusan boleh buat untuk persiapan majlis Kak Aisya tu mak keluarlah. Tapi, kalau tak ada nak buat apa kadang-kadang duduk rumah uruskan pokok-pokok bunga dekat luar tu. Tak pun bercakap-cakap dengan ikan kat luar tu hah.”, jawab Pn. Zahrah.

“Ha ah la.. Majlis Kak Aisya dalam lebih kurang 3 ke 4 bulan lagi kan?”

“3 bulan lagi.”

“Hmm.. Mak dengan ayah tak ada plan nak pergi jalan mana-mana ke esok? Sebab Harith ingat nak keluar jalan nak spend time dengan Aira esok. Mak dengan ayah nak ikut?”

Humaira lantas menoleh ke arah Harith. Seingat dia tiada pula Harith memberitahunya tentang cadangan ingin keluar pergi ke mana-mana esok. Tetapi, bagus juga idea Harith itu kerana Humaira memang sudah lama teringin berjalan bersama-sama mak dan ayahnya. Lama sungguh dia tiada masa untuk keluar makan angin dengan kedua-dua orang tuanya itu walau sekadar bersiar-siar di dalam kawasan Johor.

“Hm, best juga tu. Alang-alang ayah pun cuti tak ada nak buat apa-apa esok kan. Awak berdua nak pergi jalan ke mana?”, tanya En. Raikal pula.

Humaira yang disoal oleh En. Raikal itu pun menoleh kembali ke wajah Harith bagi menuntut jawapan daripadanya. Dia memang tidak tahu langsung mengenai rancangan Harith itu. Wajah Humaira yang betul-betul clueless itu hanya disambut dengan senyuman kecil daripada Harith.

“Harith pun tak tahu lagi nak pergi mana. Tapi, rasanya macam pernah dengar ada tempat baru buka dekat JB ni kan? Forest City ke nama dia?”

“Oh, Forest City tu ke? Kalau macam tu boleh juga kalau mak dengan ayah nak ikut. Lagipun, mak pun belum pernah pergi sana sebab tempat tu baru lagi buka. Sekarang maybe banyak la kedai-kedai dalam tu yang dah mula beroperasi.”

“Ooo.. Macam mana awak boleh tahu ada tempat macam tu baru buka dekat JB ni ek? Saya yang asal dari sini pun tak tahu. Amazing..”

“Aik? Aira tak tahu? Ingatkan Aira yang cadangkan dekat Harith untuk pergi Forest City. Bukan tadi cakap yang awak berdua dah plan nak pergi jalan-jalan esok ke?”

“Aa.. Haa, memang kita orang ada plan pun.. Tapi, Aira kan dah lama menetap kat Ipoh kan, jadi Aira pun no idea nak pergi mana dekat JB ni. Tu sebab kita orang nak minta pendapat mak dengan ayah sekali. Hehe.”, ditekankan sedikit perkataan ‘kita orang’ itu sambil Humaira menoleh ke arah Harith.

“Oh, lepas pergi Forest City nanti kalau awak berdua yang muda-muda lagi ni nak pergi main-main air atau theme park ke boleh pergi Austin Height Water Park atau Legoland ke. Tapi, mak dengan ayah tak ikut lah. Maklumlah, dah berumur ni dah mula rasa penat nak main semua tu. Haha.”

“Ha..! Jom, pergi Water Park, jom! Lepas pergi Forest City kita pergi Water Park nak? Lamanya tak main air..” Bersemangat pula Humaira setelah mendengar perkataan “Water Park” itu. Dia memandang Harith dengan wajah yang penuh mengharap.

“Hmm.. Ok, boleh.”

“Yeay..! Hehe.”

Harith hanya tergelak kecil melihat telatah Humaira yang bagaikan seorang kanak-kanak yang baru mendapat gula-gula itu. Senyumnya sampai ke telinga. Melihatkan kegembiraan yang terpampang di wajah Humaira itu, Harith terus membuat tempahan awal membeli tiket Water Park itu melalui internet supaya mereka tidak kehabisan tiket jika ingin membeli di kaunter pada keesokannya.


Previous: MIMPI18
Next: MIMPI20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Dr. Writer