Home Novel Komedi/Romantik Komedi MIMPI YANG PASTI
MIMPI YANG PASTI
Dr. Writer
15/12/2017 06:06:30
46,385
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
MIMPI12

*MIMPI 12*

‘Macam kisah Nabi Yusuf a.s. dengan Siti Zulaikha..’


    “Doktor, saya rasa sakit lagi lah.. Betul, saya tak tipu.”

    “Dekat bahagian mana yang awak masih rasa sakit tu?”

    “Sini.”, pesakit yang mengadu sakit itu menunjukkan bahagian kiri badannya.

    “Oh.. Sakit sangat ya? Jadi, encik nak MC (medical certificate) ke?”

    “Saya sebenarnya tak nak MC sebab tak nak menyusahkan orang lain yang kena ambil alih tugas-tugas saya nanti. Tapi, kalau doktor dah kata perlu berehat dan dapat MC nak buat macam mana kan.”

    “Hmm, saya boleh bagi MC untuk encik. Tapi, sebelum tu encik perlu pergi wad sebelah sana dulu lah. Ok?”

    “Ok, doktor!”

    “Nurse! Bawa encik ni ke wad sana!”, arah Humaira yang memetik jarinya kepada Kak Lia sambil mengenyitkan sebelah matanya. Kenyitan matanya disambut dengan anggukan daripada Kak Lia yang sudah memahami maksud keadaan itu.

    “Nurse, wad sebelah sana tu untuk apa, ya?”, tanya pesakit itu dengan wajah yang ceria kerana diberikan MC.

    “Doktor tak cakap ke? Sebelah sana tu wad pembedahan, encik. Selalunya pesakit yang dihantar ke sana akan dijalankan pembedahan. Lepas tu, doktor pakar bedah akan belah bahagian badan dan keluarkan organ yang rosak dari dalam badan pesakit. Kalau ikutkan encik ni ada masalah apendiks, kan? Maknanya, nanti doktor akan buang apendiks encik la. So, sekarang apa kata saya bawa encik ke wad sebelah sana dan pegawai sana akan berikan suntikan bius dekat encik sebelum pembedahan. Jom, ikut saya.”, Kak Lia sudah mengacah seperti ingin menarik pesakit itu ke wad sebelah.

    “Eh! Nurse, tiba-tiba saya dah tak ada rasa sakit la. Alhamdulillah bersyukur sangat kepada Tuhan, ya Allah! Dah tak sakit langsung, betul! Nurse tolong cakapkan dekat doktor tadi yang saya dah sihat dah. Jadi, saya dah tak perlu pergi wad sana kan?”, ujar pesakit itu dengan wajah yang agak pucat setelah mendengar penerangan Kak Lia itu.

    “Betul ni? Tak nak periksa dulu? Mana tau ada bahagian lain lagi yang sakit?”

    “Betul, takda!”

    “Baiklah, kalau macam tu encik sudah boleh keluar hospital. Terima kasih, encik.”

    Pesakit itu kelam kabut keluar dengan langkah yang laju. Kak Lia tidak sempat memberikan salam dia sudah hilang dari pandangan. Dr. Kelvin yang menghampiri meja kaunter memandang pelik.

    “Lagi?”

    “Biasalah, doktor. Macam tu je cara yang paling berkesan.”

    “Hadoi.. Kak Lia.. Kak Lia.. Nasib baik tak tercabut seluar dia berlari tadi.”

    Mereka berdua tertawa sambil menggeleng-gelengkan kepala. Manakan tidak, masuk kali ini sahaja sudah berpuluh kali pesakit mereka yang sudah pulih sepenuhnya tetapi sanggup mengatakan mereka masih sakit kerana ingin mendapatkan cuti MC.

≈ ≈ ≈ ≈ ≈

    Humaira menyelak data pesakit yang baru sahaja dimasukkan ke dalam wad kecemasan pada tengah hari tadi. Terdapat beberapa katil pesakit lagi yang perlu dia lawat untuk membuat pemeriksaan. Selepas Humaira mencatatkan sesuatu dalam fail rekod pesakit dia terus menghadiahkan senyuman kepada pesakit yang terlantar di atas katil itu sambil meminta diri. Baru sahaja empat ke lima tapak Humaira melangkah tiba-tiba dia terperasankan kehadiran Raykal yang sedang menjalankan pemeriksaan kepada pesakit yang berada di katil berdekatan. Mahu tidak mahu, Humaira terpaksa melalui lorong katil itu untuk memeriksa pesakit yang seterusnya. Dia memberhentikan langkah di sebelah katil berhadapan dengan katil pesakit yang diperiksa oleh Raykal.

    “Doktor, doktor yang dekat depan tu dah kahwin ke belum?”, seorang nenek yang berumur 80-an bertanya kepada Humaira dengan suara yang agak berbisik sambil tersenyum-senyum.

    “Entahlah, nek. Saya pun tak pasti pula sebab dia pun baru juga bekerja dalam wad ni. Kenapa ya, nek?”

    “Tak ada lah. Nenek rasa dia tu kacak. Macam sesuai pula dengan doktor. Doktor dah ada teman lelaki ke belum? Kalau belum doktor cubalah te-ghai (try) dia.”

    “Aaa.. Haha. Tak apalah, nek. Memanglah, saya belum ada teman lelaki lagi. Tapi, saya masih belum rasa nak ada pasangan pun. Nanti bila dah ada rasa tu saya carilah teman lelaki ya, nek.”

    “Eh! Mana boleh macam tu. Tak elok kita melambat-lambatkan cari pasangan ni. Islam pun menggalakkan kita bina masjid dalam umur kita masih muda. Supaya waktu tu keadaan kita lebih subur untuk dapatkan zuriat. Haa, jadi doktor kena cepat-cepat cari pasangan tau.”

    “Betul tu, nek. Tapi, kalau dah tak ada jodoh lagi saya nak buat macam mana kan?”

    “Apa pula tak ada.”

    “Betullah, saya belum jumpa jodoh saya lagi, nek.”

    “Habis tu belakang kamu tu siapa? Kalau dia belum berpunya, bukankah dia boleh jadi jodoh kamu?”

    Terbeliak mata Humaira mendengarnya. Pipinya sudah mula kemerahan menahan malu kerana suara nenek itu tidaklah kuat mana, tetapi bolehlah nak kalahkan suara burung kakak tua yang semulajadi nyaring itu.

    “Ha.ha.ha.ha.. Nenek ni pandai berguraulah. Tak semestinya setiap orang yang kita berjumpa tu akan jadi jodoh kita kan nek. Kelakarlah nenek ni. Saya suka tengok nenek yang ceria macam ni. Patutlah nenek cepat je sembuh sebab petua nenek rupanya suka buat orang terhibur dan ceria.”

    Humaira cepat-cepat mengubah topik supaya nenek itu tidak sambung bercakap mengenai topik untuk menyatukan dia dengan Raykal. Selain itu, dengan harapan agar Raykal tidak sempat mendengar perbualan mereka berdua itu.

    “Eh, betul sangat tu doktor. Nenek ni memang selalu suka tengok cerita-cerita lawak supaya kita lebih ceria dan rasa gembira je selalu. Bila kita ceria, kita senyum, muka kita pun nampak muda je.”, jawab nenek itu sambil tersengih-sengih.

    Raykal yang dari tadi berdiri di katil berhadapan itu sudah mula berlalu pergi. Humaira hanya menjeling melihat Raykal melalui ekor matanya. Dia berasa lega yang teramat kerana Raykal sudah beredar dari situ. Mukanya sudah berasa panas dari tadi dek kerana malu dengan isi perbualannya tentang Raykal dengan nenek itu.

    Raykal dalam diam mengukir senyuman lantaran melangkah jauh dari Humaira. Dia tidak tahu mengapa tiba-tiba dia berasa lucu dengan reaksi Humaira yang agak gelabah apabila isu dirinya dikaitkan dengan Humaira. Apa yang dia tahu, petangnya itu terhibur dengan gelagat Humaira dan sedikit sebanyak rasa letihnya berkurangan.

≈ ≈ ≈ ≈ ≈

    Dr. Kamil yang sedang membaca surat khabar di tangan menyelak helaian muka surat yang seterusnya. Pada waktu petang sebegini pada kebiasaannya pesakit yang datang ke hospital swasta miliknya itu memang kurang berbanding waktu pagi dan malam. Maka, dia akan meluangkan masanya dengan membaca surat khabar. Secangkir teh panas di atas meja dicapai lalu dihirupnya teh sedikit demi sedikit.

    Tetiba, pintu biliknya diketuk dari luar. Beberapa saat kemudian seorang anak muda yang berwajah tampan memasuki bilik pejabatnya sambil tersengih. Anak muda itu menarik kerusi di hadapan Dr. Kamil dan sudah duduk menyandar.

    “Papa baca apa tu? Ada apa-apa berita menarik?”

    “Bolehlah.. Tapi, tak adalah menarik sangat kalau nak dibandingkan dengan berita yang ada dalam kepala Papa sekarang ni.” Dr. Kamil membetulkan sedikit kedudukan cermin matanya sambil melihat wajah anak terunanya itu. Mukanya sengaja dibuat sedikit serius.

    “Pasal apa tu, Pa?”

    “Pasal apa yang Papa pernah cakap dengan Airil hari tu la. Airil setuju tak nak keluar jumpa dengan anak perempuan kepada anak kawan Papa, Dr. Hayden tu?”

    “Haha. Perlu ke Airil pergi, Pa? Lagipun Airil tak ada rasa nak cari sesiapa lagi la Pa. Airil nak fokus dalam kerjaya ni dulu.”

    “Alah, kerjaya, kerjayalah. Soal pasangan hidup ni Airil kena cari juga. Macam Papa dengan Mama, berkahwin dan bercinta juga, pelajaran dan kerja tetap fokus. Malah, lagi bersemangat nak kerja cari nafkah dan bina keluarga.”

    “Papa dengan Mama disatukan sebab Tok Wan. Takkan lah Airil pun Papa nak buat sama macam Tok Wan juga? Airil nak juga pilih pasangan sendiri macam Kak Long, Angah.”

    “Papa bukan tak nak bagi peluang untuk Airil cari pasangan sendiri. Tapi memandangkan Airil tengah tak ada sesiapa lagi kan? Apa salahnya Papa nak kenalkan dengan anak kawan Papa tu. Ada rupa, doktor juga. Tapi dia senior sikit daripada Airil la, dah MO. Lepas tu, Dr. Hayden tu kawan baik Papa dah kenal lama dah. Dia baik. Paling kurang pun Airil cubalah berkawan dengan dia dulu.”

    “Hmm, nama dia siapa, Pa?”

    “Dr. Aira, kalau tak silap Papa lah.”

    “Aira, eh..? Papa pernah jumpa dia ke?”

    “Hari tu masa majlis kahwin tu Papa nak tunggu dia lah. Tapi kan kita nak cepat masa tu, so tak sempat nak jumpa. Cuma... Papa ada ni.”, lantas Dr. Kamil mengeluarkan telefon bimbitnya dan mencari gambar yang dihantar oleh Dr. Hayden kepadanya semalam.

    “Nah, cuba Airil tengok ni.”, telefon bimbitnya dihulurkan kepada Airil.

    “Uish… Siap ada gambar lagi? Papa ni macam dah gantikan tempat Mama lah. Selalunya kan ibu-ibu yang tolong matchmaking anak-anak ni. Haha.”, usik Airil memandangkan wajah papanya kelihatan agak serius saat itu.

    Airil yang sedang meneliti wajah yang terpampang dalam skrin telefon itu tiba-tiba berkerut dahi sedikit. Wajah lembut itu bagaikan pernah dilihatnya sebelum ini. Tetapi, dia tidak pasti pula di mana dan bila. Tidak lama selepas itu, dia menguntumkan senyuman yang menampakkan barisan giginya sedikit.

    “Baru tunjuk gambar dah berkenan dah? Sampai tersengih macam tu.”

    “Tak ada lah, Pa. Airil cuma teringatkan seseorang yang Airil pernah kenal dulu.”

    “Siapa? Ex-girlfriend ke?”

    “Kalau ex-girlfriend, agaknya Papa dah timang cucu dah sekarang ni. Airil ni kalau Papa nak tau la kan, sekali bercinta, setia dia sampai bila-bila tau, Pa. Tak ada istilah ‘ex-’ ni. Haa...”

    “Setia konon. Batang hidung pun tak pernah nak tunjuk kat Papa dengan Mama. Inikan pula nak kata timang cucu. Huh...” Dr. Kamil membuat memek muka mengejek.

    Mereka berdua ketawa sesama sendiri. Perbualan mereka berlanjutan sehinggalah sebuah ketukan pintu kedengaran. Seorang ketua jabatan di hospital mereka itu datang untuk membicarakan sesuatu kepada Dr. Kamil. Lantas, Airil meminta diri untuk keluar menyambung tugasan.

    Airil yang sedang berjalan melalui jejantas hospital yang berdinding kaca di bahagian kiri dan kanan itu menghentikan langkahnya di pertengahan jalan. Dia merenung ke langit yang luas. Awan sudah mulai mencurahkan isi airnya membasahi bumi. Ketenangan yang dapat dirasai saat itu membuatkan Airil mengimbau kenangan lama yang pernah dilaluinya bersama seorang gadis yang memiliki wajah persis dengan wajah yang dilihatnya sebentar tadi.

≈ ≈ ≈ ≈ ≈

    “Dia dah tak ada dah, Yan. Agaknya sekarang ni dia tengah bahagia dengan Mama dia kat syurga sana.” Sayu sahaja nadanya mengenangkan pemergian kedua-dua insan yang disayanginya.

    “Innalillahi wa inna ilaihi rajiun. Sabar ya, Ayden. Maaf sangat aku tak tahu pun.”, ucap Dr. Rayyan kepada sahabat baiknya itu.

    Dr. Rayyan dan Dr. Hayden sudah lama bersahabat baik dari waktu mereka belajar dalam bidang perubatan lagi. Namun, kesibukan masing-masing dengan kerjaya dan keluarga membuatkan mereka sudah lama tidak berhubung. Sudah hampir 13 tahun mereka tidak berjumpa. Berita tentang pemergian anak lelaki tunggal Dr. Hayden itu amat mengejutkannya. Dia tidak dapat menyangkakan bahawa seorang anak muda yang dahulu sering bertanya kepadanya itu dan ini tentang bidang perubatan itu sudah dijemput Ilahi. Malah, yang lagi membuatkan hatinya lebih sayu apabila Dr. Hayden memberitahu bahawa anak lelakinya itu meninggal akibat kemalangan jalan raya dan jenazahnya hangus dijilat api setelah berlaku letupan besar ke atas keretanya yang telah berguling melepasi besi benteng jalan raya itu.

    “Aku ni dalam masa yang sama turut kesiankan anak menantu aku tu. Dia baru je tak sampai setahun kami nikahkan dengan si Harith tu.”

    “Nak buat macam mana, Ayden. Allah lebih sayangkan Harith tu. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang baik-baik. Tak sempat aku nak tengok muka dia buat kali terakhir. Dulu kali terakhir aku jumpa arwah, masa tu dia masih dalam belasan tahun lagi. Mesti dah besar dia makin handsome macam kau kan, Ayden.” Dr. Rayyan sengaja ingin menceriakan semula hati sahabatnya itu.

    “Allah, ke situ pula kau. Tapi, mana tak tumpahnya kuah kalau tak ke nasi kan? Haha.”

    “Untunglah atleast kau sempat juga tengok Harith tu membesar. Kalau nak dibandingkan dengan aku, dari bayi lagi Allah dah ambil anak lelaki aku. Sekarang ni, aku dengan Raissa hanya tumpang kasih sayang anak angkat aku tu lah, si Raykal.”

    Dr. Rayyan hanya melihat Raykal yang sedang berenang di dalam kolam renang di tepi rumah banglo mewahnya itu. Perbualannya dengan Dr. Hayden beberapa hari yang lalu sering bermain dalam fikirannya. Dia merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena. Namun, dia tiada bukti untuk mempersoalkannya. Raykal yang sudah naik keluar dari kolam renang menghampiri kerusi rehat di sebelah Dr. Rayyan untuk mengambil tuala dan membaluti tubuhnya. Segar rasanya dapat mandi kolam renang. Off day yang dia dapat itu dimanfaatkan dengan sehabis baik bersama keluarganya. Kehadiran Raykal di sisi terus mematikan lamunan Dr. Rayyan.

    “Papa kenapa, Pa? Mengelamun jauh nampak. Orang selalu daydreaming, you night-dreaming eh?”, tegur Raykal sambil tersengih.

    “Nothing. I was just thinking of my best friend, uncle Ayden. It has been so long since we last met around 13 years ago.”

    “Wow, lama tu, Pa. By the way, which one is uncle Ayden eh?”

    “Papa rasa Carl tak sempat jumpa dia pun waktu majlis hari tu. Carl tengah ada dekat depan pelamin nak ambil gambar dengan pengantin dan kawan-kawan Carl yang lain. Lepas tu, uncle Ayden pun dah tergesa-gesa nak balik waktu tu sebab dah lama mereka sampai. Anak menantu dia baru je sampai KL. Katanya nak ajak Nenda dia shopping hari tu juga sebab esoknya dia dah kena balik Cameron semula.”

    “Cameron? Dia kerja kat situ ke? Kerja apa?”

    “Ya Allah, ya tak iya juga. Papa lupa nak cakap yang Carl pun kerja kat Cameron. Rasanya hari tu uncle Ayden kamu ada kata yang anak menantu dia tu MO kat HSHK. Agak-agak kamu kenal tak? Ada ke sesiapa yang dari HSHK tu kamu terjumpa waktu majlis hari tu?”

    “Macam tak..ada..je...” Tiba-tiba Raykal terbayangkan wajah Humaira yang sedang terduduk melutut di atas lantai lobi hotel.

    “Hah, ada ke?”

    “Hm, bukan dia kot, Pa. Tak mungkinlah dia. Because I don’t think she’s a married woman. With that fierce look on her face, I don't think she has a husband.”

    “Hahaha. Tak baiklah Carl ni cakap macam tu.” Dr. Raissa yang menghampiri mereka berdua sambil membawa dulang minuman tergelak mendengar kata-kata Raykal yang sudah dianggapnya sebagai anak kandungnya sendiri.

    “I’m saying the truth, Ma. Everytime we meet, she’ll always give me that serious look, ok. To add, it’s only me that she gave that kind of face. Macamlah Carl ada buat salah besar sangat dekat dia. Over je dia tu.”

    Dr. Rayyan dan Dr. Raissa sudah puas ketawa dan menggelengkan kepala. Raykal itu sudah menjadi tempat mereka meluahkan kasih sayang. Sejak Raykal ditakdirkan untuk menjadi anak angkat mereka, mereka berasa sangat bahagia seperti sebuah keluarga yang lengkap. Siang dan malam mereka dipenuhi dengan gelak tawa mereka bertiga kerana Raykal itu sejenis yang suka berjenaka dan pandai mengambil hati mereka.

≈ ≈ ≈ ≈ ≈

    “Haachooom!” Humaira yang sedang bersendirian di atas katil tiba-tiba bersin.

    “Ada orang tengah mengata aku ke apa ni?”

    “Hang tu, bukan setakat orang je. Laki orang, bini orang, mak orang, anak orang, yang bukan orang pun silap-silap ada yang mengata hang tau dok.” Hayati yang menumpang tidur di apartment Humaira malam itu memasuki bilik Humaira dengan muka selambanya.

    “Eh, dah kenapa pula?”

    “Yalah, hang tu dah cukup dah semua pakej ada. Kerjaya baguih ada, gaji besaq pun besaq, rupa tu boleh lah bagi Mak Jemah touch up sikit. Semua ada dah, dia ja yang memilih sangat nak cari pasangan. Tinggal sikit hari ja lagi nak jadi andartu (anak dara tua). Manalah orang tak dok mengata pasal dia ja. Huh.”

    “Eh eh.. Sedap mulut dia ja nak kata orang andartu eh. Dia tu apa kurangnya, ada boypreng dah bertahun, tapi tak kahwin-kahwin juga. Lagi satu, dah menumpang tu buat cara menumpang sikit eh. Hang pi masuk bilik ceq ni dah kenapa? Tak ketuk bagi salam pula tu.”

    “Hok aloh, itu pun nak berkira ka? Ceq nak tumpang toilet ja. Toilet sini besaq na.”

    “Dah lah. Pi masuk cepat sebelum ceq tarik kain batik tu sat gi.”

    “Berani cubalah tarik. Nanti hidung hang tu yang berdarah meleleh.” Hayati yang sudah menerobos masuk dalam bilik air itu masih lagi kedengaran hilaian tawanya sampai ke luar bilik air.

    “Kurang asam punya kawan. Dia nak puji ke nak mengata aku pun tak tau. Confuse agaknya minah ni.”, kata Humaira sambil menggelengkan kepala.

    ‘Dia tak tahu yang aku ni dah pernah kahwin. Tapi dah nasib aku nak dapat title ‘janda muda’ tak sampai setahun kahwin. Agaknya lah kan, waktu tu aku terlampau bangga dengan cinta yang Allah pinjamkan walau sekadar cinta antara sahabat. Dengan sebab tu lah Allah jauhkan aku dari dia buat selama-lamanya. Yalah, macam kisah Nabi Yusuf a.s. dengan Siti Zulaikha. Bila Siti Zulaikha sibuk mengejar cinta Nabi Yusuf, Allah jauhkan Nabi Yusuf dari dia. Bila Siti Zulaikha sibuk mengejar cinta Allah, barulah Allah dekatkan Nabi Yusuf kepadanya. Mungkin waktu tu aku terleka dengan cinta yang aku tak pernah sangka akan hadir dalam hidup aku, sewaktu hidup aku dalam kegelapan dan hampir musnah..’

Previous: MIMPI11
Next: MIMPI13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Dr. Writer