DIA
menarik
nafas lega. Setelah bertungkus-lumus, kerja-kerjanya berjaya juga
diselesaikannya. Esok dia ada urusan di Lembaga Penilai dan Pentaksir Agen
Hartanah (LPPEH). Sebagai sebuah firma hartanah berlesen yang juga bertindak
sebagai negotiator antara pihak
pemaju dengan pembeli, dia sering menemui Puan Sarina, pegawai di Lembaga
Penilai dan Pentaksir, meminta khidmat nasihat dan beberapa perkara yang
bersangkut paut dengan soal pemilikan sesuatu aset.
Cika memandang ke arah jam di pergelangan tangannya.
Hampir pukul 9 malam. Cepat-cepat dia bangun lalu berkemas apa-apa yang patut.
Selalunya dia sendiri tidak berani berada di pejabatnya pada waktu-waktu malam
begini. Mujurlah sebentar tadi dia ada bertembung dengan beberapa orang stafnya
yang masih bekerja. Itu yang membuatkan dia berani untuk menyambung kerjanya
sehingga ke malam.
Dia keluar membawa cawan kotor dari dalam bilik untuk
diletakkan di dalam sinki di
pantri. Sambil itu dia cuba
mengerling kelibat Darren dan dua tiga orang stafnya yang masih belum pulang
apabila dia bersolat Isyak tadi. Tapi melihat lampu di ruangan hadapan sudah
ditutup, Cika tiba-tiba jadi seriau pula. Ke mana perginya mereka semua? Aik takkan
dah balik kut! Sampai hati budak-budak ni tinggalkan aku seorang diri kat sini.
Buang kerja nanti baru tahu! Rungut Cika lalu cepat-cepat kembali ke biliknya
untuk mengambil tas tangannya.
Ketika dia keluar ke ruangan hadapan, matanya tiba-tiba
sahaja terdengar satu bunyi. Cika tergaman. Bunyi apa tu? Hatinya tiba-tiba
risau untuk keluar dari situ. Lagipun di Kuala
Lumpur ini banyak berlaku kes pecah masuk pejabat.
Kebanyakan pencuri sudah bijak, tahu di mana letaknya peti besi pejabat dan
cara memecahkannya. Jangan-jangan ada penjahat yang sedang merancang hendak
menceroboh pejabatnya.
Perlahan-lahan dia menyelinap ke arah penjuru sudut.
Telefon bimbitnya dikeluarkan dari dalam tas tangan. Dia mahu menelefon pejabat
sekuriti bangunan itu di tingkat bawah. Entah apa mereka buat sehinggakan tidak
sedar ada orang mahu menceroboh masuk ke dalam bangunan pejabatnya.
Selesai melakukannya dia jadi lega sedikit. Kurang-kurang
sekuriti masih ada di bawah dan akan datang bila-bila masa sahaja. Cika segera
ambil keputusan mahu keluar sahaja. Ketika itulah matanya tiba-tiba terpandang
sesuatu. Tidak jauh dari situ, dia terpandang satu kelibat tubuh memakai cap
berwarna hitam sedang menyembur sesuatu di dinding pejabat Aaziz & Co.
Melihat lelaki itu sedang melakukan vandalisme, hati Cika tiba-tiba panas. Poyo punya budak!
Suka hati tok nenek kau sahaja bawa anasir vandalisme tu kat sini. Kalau dah
berseni sangat jiwa tu beli aje kertas lukisan dan cat air, baru berapa sen
sangatlah benda alah tu. Aku pun boleh tolong belikan! Rungut Cika geram. Tapi sesekali
tengok lukisan mural di hadapannya boleh tahan cantik juga! Cika sempat memuji
dalam hati. Mengagumi hasil vandalisme yang nampak berseni itu.
Lembaga itu tiba-tiba menoleh. Cika tergaman. Dia nampak
sepasang mata yang bersinar-sinar dalam gelap itu sedang memandang ke arahnya. Hatinya
tiba-tiba berdebar-debar, sekaligus mengiktiraf kebodohannya yang tak
sabar-sabar menunggu sekuriti sampai.
“Awak siapa? Apa awak buat ni?” Cika memberanikan diri
bertanya.
Lembaga itu bangkit, lalu perlahan-lahan mara ke arah
Cika yang kelihatan cemas. Cika berganjak setapak demi setapak ke belakang,
tapi setiap langkahnya diikuti lembaga itu yang semakin menghampiri.
“Ka…kalau awak dekat, sa..saya jerit.” Ugut Cika sambil
mengangkat pasu bunga milik Darren yang sempat dibawanya bersama. Dia sempat
melihat senyuman lelaki itu sinis di sebalik capyang dipakainya. Amaran Cika langsung tidak diendahkan lelaki
itu. Sebaliknya sebentar sahaja lelaki itu sudah merapati Cika yang jelas tergaman
dan takut setengah mati.
Cika yang menyangka lelaki itu mahu berbuat sesuatu yang
tidak baik terhadapnya segera menepis lelaki itu. Tangan Cika yang terbang
meliar tertolak caplelaki itu secara
tidak sengaja. Sebaik Cika memandang wajah yang kini jelas kelihatan, dia
terkejut besar.
“Awak?”
Lelaki itu ketawa kecil. “Macam tu pun dah takut?” Sindir
lelaki itu selamba.
“Awak buat apa kat sini? Kenapa awak conteng dinding
pejabat tu?” Soal Cika, geram sebaik menyedari lelaki itu adalah Nadim Ammar. Bodoh
punya lelaki! Buat aku takut aje!
“Hasil seni tangan saya. Awak suka?” Nadim tersengih.
Cika menelan liur. Hasil
seni? Gila ke apa mamat ni? Dia memandang ke arah bangunan pejabat firma guaman
itu yang kini sudah diconteng-conteng dengan grafiti gambar pemandangan tepi
laut. Siap ada seekor ikan dan labi-labi sedang berenang.
“Buat vandalisme
ni kerja part time awak ke?” Sindir
Cika geram.
Lelaki itu ketawa terbahak-bahak mendengarnya.
“Lebih kurang macam tu. Kalau awak nak tempah untuk
dinding pejabat awak supaya lebih ceria, saya tengah freeni. Malam ni jugak saya boleh siapkan.”
Cika mengetap bibir. Dia tahu lelaki itu hanya bercanda
dengannya. Sengaja mahu memperbodoh-bodohkan dirinya.
Nadim merenung Cika dari atas ke bawah. Gadis itu kelihatan
penat. Dia sendiri tidak tahu Cika berada di situ. Lambat benar gadis itu
balik? Banyak kerja barangkali!
“Awak tak takut ke balik lambat macam ni? Tak takut jumpa
hantu?” Usik Nadim.
“Saya lagi takut jumpa orang jahat macam awak dari jumpa
hantu.” Cebik Cika. Nadim tersenyum-senyum. Yalah tu!
Belum sempat Nadim mahu membalas, terdengar bunyi tapak
kaki berlari dari satu arah. Bunyi itu semakin lama semakin kuat, sebelum
menghilang secara tiba-tiba. Cika terkejut. Nadim ikut menoleh, tapi tidak
melihat sesiapa muncul di situ.
Tiba-tiba muncul bunyi jeritan suara perempuan yang agak
kuat. Kali ini Cika terus melompat dan memeluk lengan Nadim sekuat hati. Lelaki
itu menoleh. Terkesima melihat anak gadis itu tiba-tiba rapat ke arahnya.
Sudahlah itu, lengannya juga sudah dipeluk erat gadis itu.
“Bunyi apa tu?” Bisik Cika gerun. Hantukah? Jeritan itu
jeritan perempuan. Mana ada orang perempuan lain di situ kecuali dia.
Nadim segera mengambil barang-barangnya yang mana sempat.
Sesudah itu dia menarik tangan Cika lalu mereka segera beredar dari situ
melalui pintu kecemasan. Cika tidak ada pilihan lain kecuali terpaksa menurut.
Gila ke nak tunggu lagi di situ sorang-sorang?
Beberapa ketika selepas Cika dan Nadim beredar, muncul
dua orang lelaki berpakaian sekuriti. Kedua-duanya tergaman melihat dinding
pejabat guaman Aaziz & Co itu sudah diselaputi dengan warna-warna spray
yang kelihatan terang.
“Agaknya orang tu dah lari.” Ulas salah seorang dari
pengawal keselamatan itu.
“Ini kaulah punya fasal. Siapa suruh kau pasang ringtonesuara hantu tu kat dalam
telefon kau? Jangan kata penceroboh tu, aku pun boleh cabut lari dengar suara
perempuan mengilai tu.” Rungut temannya pula. Pengawal keselamatan yang
berambut pendek kontot itu hanya mampu tersengih.
“Agak-agak siapa punya kerja ni?” Soalnya sengaja mahu
membuatkan temannya beralih arah dari terus mempersalahkan bunyi nada
telefonnya yang menganggu sesi mahu menangkap si pesalah yang melakukan vandalisme.
“Budak nakal agaknya. Eh mana Cik Syafika?”
Kedua-duanya tercengang. Mata mereka meliar mencari Cika
yang menelefon pejabat sekuriti tadi. Tapi kelibat gadis itu tidak terlihat di
mana-mana!
* *
* *
“MANA kereta awak?” Tanya Nadim
ingin tahu. Pegangannya masih melekat di lengan Cika tidak dilepas-lepas sejak
tadi.
Cika menunjukkan ke suatu arah. Menghala ke arah kereta
Honda City berwarna putih kepunyaannya yang lone
ranger tidak berteman di tempat letak kereta di tingkat bawah Level 1 di
bangunan itu.
“Kunci?” Pinta lelaki itu.
Cika mendengus. Dia segera mencapai kunci kereta dari
dalam beg tangan lalu diserah kepada lelaki itu. Kalau diikutkan dalam situasi
biasa dia akan tinggalkan sahaja lelaki itu di situ. Tapi saat ini dia tidak
mahu berkira, asalkan mereka semua jauh dari bangunan pejabatnya. Tak
fasal-fasal malam ini dia mengalami insiden seperti ini. Seram! Sejak bila ada
hantu di area pejabatnya?
Ketika Nadim memandu kereta itu agak jauh meninggalkan tempat
itu, Cika tiba-tiba berpaling ke arah Nadim. Renungannya menjamah tajam wajah
lelaki itu yang comot dengan kesan-kesan warna spray. Mungkin tercalit ketika lelaki itu mahu test skill di
dinding pejabat Tuan Aaziz tadi. Namun warna-warna itu langsung tidak menjejaskan
rupa lelaki itu. Wajah itu tetap jua sedap dipandang.
Nadim tiba-tiba menoleh. Memandang ke arah Cika yang
masih menatapnya. Pandangan mereka bertembung. Cika mengeluh panjang lalu
melarikan anak matanya. Nadim sekadar tersenyum simpul. Gotcha!
“Kata tak takut hantu. Tapi bila dengar bunyi perempuan
mengilai, siapa dulu yang melompat dan peluk saya?” Perli Nadim seraya ketawa
kecil.
Cika mengetap bibir. Dia sudah agak. Lelaki itu akan
mencari apa sahaja bahan yang boleh menyindirnya. Agaknya kalau mulut tu diam,
boleh kena ulser agaknya, rungut Cika.
“Awak berhentikan kereta kat depan tu. Lepas tu awak turun
kat situ.” Arah Cika.
Nadim tercengang. “Kejamnya.”
“Hai awak kan
ada Toyota Prius awak tu. Pergilah naik kereta awak sendiri. Buat apa nak tumpang
kereta saya?” Jawab Cika acuh tak acuh.
Nadim terdiam. Itulah masalahnya. Dia sekarang sudah
tidak ada kereta selepas Toyota Prius kesayangannya dirampas ayahnya.
“Saya kata berhenti.” Tekan Cika. Namun melihat lelaki
itu selamba sahaja memandu keretanya tanpa ada niat mahu mengikut arahannya,
Cika naik bengang. Dia ni memang nak kena! Tanpa diduga Cika segera memulas
stereng keretanya ke tepi membuatkan Nadim terkejut besar lantas terus menekan
brek mengejut. Kedua-duanya hampir terhumban ke hadapan.
“Awak kenapa? Dah gila ke? Kalau kita accident tadi macamana?” Marah Nadim.
Kus semangatnya melihat gadis itu selamba sahaja memusing stereng yang sedang
dipegangnya.
“Awak jangan nak salahkan saya pulak. Saya dah suruh awak
berhenti tapi awak degil. Awak ingat awak dah selamat ke? Esok saya nak
beritahu pejabat Tuan Aaziz tu tentang awak. Tentang awak yang buat grafiti
percuma kat officediaorang.” Ugut
Cika.
“Saya buat grafiti percuma apa kena mengena dengan awak?”
soal Nadim selamba tanpa ada riak wajah bersalah. Cika hampir tidak percaya
mendengarnya. What? Dia menconteng
dinding pejabat orang sesuka hati dan itu bukannya apa-apa?
Nadim menjeling wajah merah padam gadis di sampingnya.
Dia tahu gadis itu sedang marah. Dia pula tidak sangka, kerja-kerja
contengannya ke aras dinding pejabat ayahnya sendiri menimbulkan masalah lain.
Dia pun tidak tahu kenapa pergaduhannya dengan ayahnya malam ini membuatkan dia
melakukan perkara yang bukan-bukan. Childish
of course! Ayahnya mesti naik angin kalau nampak grafiti tu! Memang
keanak-anakan tapi hatinya puas! Mujur dia menconteng pejabat ayahnya dengan
lukisan sahaja. Cuba
kalau dia menconteng pejabat lelaki itu dengan perkata-perkataan ‘cabul’…mahu
lelaki itu terus report polis. Tak
apa, kurang-kurang aku ada tempat nak bermalam untuk malam ini. Lokap pun best apa! Nadim tertawa kecil.
“Hah ni yang gelak-gelak apasal?” Cika menjeling tajam.
“Kalau saya tak boleh gelak, ambil pisau then just kill me. Nak kata normal, gila
rupanya.” Sahut Nadim selamba.
“Sekurang-kurangnya saya tak lepaskan masalah saya kat
dinding pejabat orang. Dahlah tak ada sivik,
menyusahkan orang pulak tu.” Cika sesedap rasa membalun hati lelaki itu. Ambik
kau!
Nadim terdiam mendengar bicara Cika. Kata-kata Cika tidak
lagi diambil pusing, sebaliknya di terus memandu. Lima belas minit kemudian, Nadim memberhentikan
kereta itu di hadapan Jumbo Jeep. Cika terpinga-pinga. Nadim menoleh ke
arahnya.
Nadim sudah keluar dari perut kereta. Cika turut keluar,
mahu mengambil alih ruangan di tempat pemandu. Ketika dia mahu masuk ke dalam
kereta, Nadim tiba-tiba memegang lengannya. Cika tergaman. Serentak ada darah
panas meruap ke wajahnya. Dia terkesima.
“Terima kasih ya sebab bagi tumpang. Jangan cerita pada
sesiapa apa yang saya buat tu. Kalau tak..”
“Kalau tak apa?” Jerkah Cika berang.
Nadim tersengih. “Kalau tak saya akan bagitahu
orang-orang kat pejabat awak yang awak dan saya berdua-duaan kat pejabat tu
malam ini.” Ujar Nadim sinis.
Mata Cika terbeliak. Kata-kata Nadim membuatkan darah
panasnya semakin mendidih. Kalau dia melayan lelaki itu boleh naik gila dia
dibuatnya. Dengan wajah merah padam, Cika segera memasuki perut kereta lalu
terus memandu keluar dari situ.
Nadim ketawa kecil. Lucu melayan kerenah gadis itu yang
cepat naik marah tidak tentu fasal. Dalam keadaannya yang sedang rungsing,
sedikit sebanyak dengan mempermainkan Cika, dia rasa lebih lega. Entah kenapa!
“Itu bukan Cika ke?” Meletus satu suara di gegendang
telinganya. Nadim berpaling lalu ternampak Jak di sampingnya sedang memerhatikan
ke arah Honda City putih yang sudah beredar. Entah sejak bila lelaki itu muncul
di situ, dia langsung tidak menyedarinya. Skil Jak yang gemar menyelinap
seperti hantu sudah semakin maju. Not bad
at all!
“Ahah.” Nadim mengiyakan tanpa ada niat mahu menjelaskan
secara terperinci.
“Dah rapat rupanya.” Jak tersengih penuh makna.
Nadim turut tersenyum. Memahami apa maksud lelaki itu.
“Jumpa tak sengaja tadi. Terus saya tumpang dia ke sini.”
Ujar Nadim menjelaskannya.
“Aik? Mana perginya kereta kau?” Tanya Jak.
Nadim terdiam. Dia malas mahu bercerita panjang lebar dengan
Jak tentang ayahnya. Biarlah lelaki itu tidak tahu apa-apa. Meskipun dia patah
kaki tanpa kereta, tapi dia yakin dia masih mampu hidup.
“Abang, saya nak tumpang tidur seminggu dua kat sini.
Boleh tak?” Tanya Nadim. Jadilah dari dia terpaksa tidur di tepi jalan.
Kata-katanya membuahkan kehairanan di hati Jak. Dia merenung lelaki itu dari atas
ke bawah. “Lain macam bunyinya. Kena halau ke?” Soalan cepu emas itu kedengaran.
Dia hanya tersengih. Inilah
padah kalau jadi anak yang tidak mendengar kata. Nak buat macamana? Terima
sajalah!
“Kau balik tidur rumah abang sajalah. Abang pun tinggal
seorang sahaja. Ada kau, tak lah sunyi sangat.” Ujar Jak. Nadim mengangguk.
Nasib baik!
“Oh ya, kau dah fikirkan fasal tawaran abang tu?” Jak
kembali mengingatkan Nadim tentang tawaran kerja yang disuarakannya beberapa
hari yang lalu. Nadim kata akan memberi jawapan segera tapi setiap kali mereka
bertemu, ada sahaja urusan Nadim yang membuatkan mereka tidak sempat berbual
panjang.
Nadim melepaskan keluhan. Teringat tentang urusannya
dengan Jak yang belum selesai. Aduh dia buntu! Patutkah dia terima sahaja
tawaran itu? Mungkin ianya lebih baik dari dia mengikut kata-kata ayahnya.
Kalau ini satu-satunya jalan untuk dia menghindarkan diri dari Emilia, dari
ayahnya walau untuk seketika, mungkin itu sahaja jawapannya.
“Macamana?” Jak bertanya lagi ingin tahu.
Dia memandang Jak sesaat dua sebelum mengangguk.
“Alhamdulillah, nanti abang uruskan semuanya. Abang gembira
kau terima tawaran ni. Ini peluang besar untuk kau kenal dengan orang-orang
berpengaruh. Manalah tau kau boleh ubah nasib kau.” Ujar Jak.
Nadim terdiam mendengar bicara Jak. Dia tahu Jak bersungguh-sungguh
mahu membantunya. Lelaki itu memang ikhlas hati mahu dia mengembangkan bakatnya
dalam bidang muzik.
“Oh ya, lusa kau free
tak sebelah malam?” Tanya Jak lagi.
Nadim mengangguk. Dia memang tidak ada persembahan di
Jumbo Jeep malam itu. Lagipun dia hanya bermain piano dua atau tiga kali seminggu
sahaja di tempat itu.
“Kalau macam tu datang ke Golden of The Palace Horses. Ada job baru abang cari untuk kau kat situ. Ada majlis makan malam dan mereka perlukan
seorang pemain piano.”
Nadim sekadar mengangguk tanpa banyak soal. Bermain di
majlis-majlis sebegitu sudah jadi perkara biasa baginya jika dia tidak membuat persembahan di Jumbo Jeep.