DIA keluar dari perut kereta
Toyota Priusnya lalu segera membimbit karung-karung plastik berisi
barang-barang dapur yang baharu dibeli di sebuah pasaraya. Ketika dia sampai ke
rumah, jarum jam sudah menunjukkan pukul 8 malam. Dia cuba membuka pintu apartmennya, namun
gagal. Dahinya berkerut seribu. Kenapa tak boleh?
Dia mencuba lagi sekali namun tetap gagal membuka pintu
tersebut. Kad kuncinya ditilik teliti. Apakah cip pada kad tersebut sudah
rosak? Ketika dia mahu mencuba sekali lagi, telefon bimbitnya berdering. Nadim
segera menyeluk saku seluar. Melihat nama yang tertera di skrin telefon
bimbitnya, wajahnya berubah kelat. Lelaki itu lagi! Sepanjang hari ini dia asyik
diganggu dengan panggilan-panggilan dari ayahnya.
“Datang jumpa ayah sekarang dekat Tropicana. Kalau kamu
tak nak merasa tidur di tepi jalan malam ini, datang sekarang juga.” Ujar
lelaki itu.
Nadim mendengus kasar. Rupa-rupanya ini kerja ayahnya. Damn it! Dia segera menuju ke arah
keretanya yang diparkir di ruang parkir khas. Tapi belum sempat dia mahu
mendekati keretanya, muncul dua orang lelaki bertubuh besar dan sasa.
“Encik Nadim Ammar?” Tanya salah seorang dari lelaki-lelaki
itu.
Nadim mengangguk dengan wajah hairan. Dia tidak kenal
kedua-dua lelaki itu. Siapa mereka?
“Kami dihantar oleh Tuan Aaziz. Tuan Aaziz minta Encik
Nadim serahkan kunci kereta ni dan ikut kami ke Tropicana. Dia menunggu di
situ.” Ujar salah seorang lelaki berjambang tebal. Rupanya agak garang dan
persis seperti wajah samseng-samseng dalam filem.
Nadim ketawa kecil. Kalau inilah gaya terbaru ayahnya untuk mengugut, dia
memang kagum. Selama ini ayahnya tidak pernah menggunakan cara kotor seperti
ini. Menukar kad kunci rumahnya serta merampas keretanya bukan stail lelaki itu
selama ini.
“Maaf Encik Nadim, ini kehendak Tuan Aaziz.” Ujar lelaki
itu.
Nadim segera menyerahkan kunci keretanya tanpa banyak
soal. Sebuah kereta Mercedez Benz berwarna hitam metalik tiba-tiba berhenti
bersebelahan keretanya. Lelaki berjambang itu segera membuka pintu di bahagian
belakang seraya mempersilakan dia naik.
Nadim tahu dia sudah tidak ada pilihan lain. Suka atau
tidak, dia harus menemui lelaki itu dan mendengar apa yang mahu diperkatakan
ayahnya kali ini.
* *
* *
DI pintu masuk Tropicana,
dia terlihat kelibat kakaknya Marseila sedang menunggu di hadapan Tropicana.
Kakaknya berpakaian agak cantik dengan dress
labuh berwarna biru terang. Wajah Nadim berkerut. Sebenarnya untuk apa ayahnya
mahu bertemunya di Tropicana? Dan kenapa Marseila juga turut berada di sini?
Melihat kemunculan Nadim, Marseila segera mendapatkan
adiknya. Wajah Marseila kelihatan muram.
“Kita naik atas, tukar pakaian. Kakak dah bawakan pakaian
yang lebih sesuai. “Ujar Marseila. Dia menarik tangan Nadim, namun anak muda
itu cepat-cepat menepis tangannya. Marseila terkedu dibuatnya.
“Kenapa kakak ada kat sini?” Soal Nadim ingin tahu
perkara sebenar. Entah mengapa dia merasa seperti ada yang tidak kena sedang
berlaku. Tiba-tiba sahaja dia dijemput pekerja-pekerja ayahnya, dibawa ke
Tropicana ini. Apa sebenarnya yang sedang berlaku?
“Ayah ada kat restoran. Dia sedang menanti kita. Tapi
takkan Nadim nak masuk dengan pakaian tu. Kita tukar pakaian dulu ya.” Pujuk
Marseila dengan suara lembut tersusun.
“Kakak, tolong jangan berpura-pura lagi boleh tak? Nadim
dah bosan dengan semua permainan ayah dengan kakak. Cakap dengan Nadim apa
sebenarnya kita buat kat sini? Untuk apa?” Desak Nadim dengan suara meninggi.
Marseila terdiam. Keluhan kecil menerpa dari bibirnya.
Dia merenung wajah si adik yang merah padam. Dia tahu Nadim sedang berang.
Namun adik lelakinya itu pasti lebih berang jika dia memberitahu perkara
sebenar.
“Nadim, kakak tak tahu nak cakap macamana tapi..” Marseila
terkiai-kiai mahu menjelaskannya. Nadim mengerutkan dahi. Tertanya-tanya apa
sebenarnya yang mahu disampaikan gadis itu?
“Nadim..” Satu suara tiba-tiba melaung dari suatu arah,
sekaligus menganggu kata-kata Marseila. Kedua-dua beradik itu segera menoleh.
Melihat Emilia sedang berdiri tidak jauh dari situ, Nadim
terpanar. Serentak anak matanya dilarikan ke arah Marseila.
“Apa dia buat kat sini?” Gesa Nadim inginkan penjelasan.
“Ayah jemput keluarga Tan Sri Jabbar makan malam bersama
kita malam ini. Mereka nak bincangkan majlis perkahwinan Nadim dengan Emy malam
ini.” Ujar Marseila terpaksa berterus-terang.
Wajah Nadim berubah. Renungannya semakin tajam menikam
wajah Marseila dan Emilia silih berganti. Rupa-rupanya Emilia tidak berbohong
padanya tempohari.
“Nadim, please..jangan
buat hal malam ni. Jangan malukan ayah depan Tan Sri Jabbar.” Bisik Marseila, cuba
meredakan ketegangan yang mulai dirasakannya saat ini.
Nadim menarik nafas panjang. Deruan nafasnya kencang. Dia
tahu lambat atau cepat, semua ini pasti berlaku. Jika dia melarikan diri kali
ini, semuanya takkan selesai dengan mudah. Dia harus berdepan dengan ayahnya
kali ini.
Melihat Nadim melangkah laju ke arah restoran, Marseila
terpaksa mengejar si adik dari belakang. Emilia turut mengekori mereka.
Kehadiran Nadim membuatkan seisi tetamu di meja besar itu menoleh. Nadim memang
kenal dengan Tan Sri Jabbar, ayah Emilia yang merupakan seorang tokoh korporat
yang amat disegani. Bekas peguam yang pernah menjadi mentor ayahnya sebelum
lelaki itu membuka perniagaan sendiri. Tapi matanya kali ini lebih berminat mencari
wajah ayahnya. Kehadiran Tan Sri Jabbar dan isteri langsung tidak dipedulikan.
“Dah sampai pun dia.” Teguran Tan Sri Jabbar kedengaran.
Tuan Aaziz menarik nafas panjang. Menyedari renungan tajam
anak muda itu melata ke arahnya. Dia tahu Nadim sedang berperang dengan
perasaan marah.
“Kamu patut hormat majlis ini. Pakailah pakaian yang
lebih sesuai dan lebih kemas.” Tegur Tuan Aaziz sambil memerhatikan penampilan
Nadim yang serba ringkas dengan T-shirt dan jeans denim sahaja.
“Marseila, bawa adik kamu naik tukar pakaian kat atas.”
Suruh Tuan Aaziz seraya mengerling ke arah Marseila yang terperuk seperti
patung di suatu sudut.
“Tak payah. Pakai begini pun tak ada masalah, lagipun
ayah nak bincangkan hal yang penting bukan? Kita straight to the pointsahaja.” Ujar Nadim seraya menarik kerusi
lalu duduk menghadap lelaki itu. Segelas air masak di hadapannya diraih lalu
diteguk sehingga habis.
Gerak geri Nadim mengundang perhatian semua yang ada di
situ. Marseila sudah semakin kecut perut. Dia kenal benar dengan perangai Nadim
yang tidak gemar dipaksa-paksa melakukan sesuatu yang tidak disukainya.
“Nadim, behave
yourself.” Suara Tuan Aaziz meninggi. Berang melihat sikap Nadim yang
selamba, langsung tidak menghormati tetamu mereka.
Nadim ketawa sinis. Pandangan matanya dialih ke arah Tan
Sri Jabbar dan Puan Sri Azizah yang terpisat-pisat memerhatikannya.
“Tan Sri, Puan Sri..saya tak tahu apa yang sudah ayah saya
janjikan dengan Tan Sri dan Puan Sri. Tapi perkahwinan ini tak mungkin akan
berlaku.” Ujar Nadim selamba.
Emilia terkaku. Tidak menyangka Nadim akan terang-terangan
menolak dirinya di hadapan ibu dan ayahnya sendiri.
“Nadim! Apa kamu merepek ni?” Marah Tuan Aaziz.
Tan Sri Jabbar menarik nafas panjang. Dia mengerling
isterinya Puan Sri Azizah yang turut terkesima. Kata-kata yang terkeluar dari
mulut anak muda itu benar-benar di luar dugaan mereka.
“Aaziz, apa semua ini?
You kata semua perkara dah selesai. But
this? What the hell is this?” Renungan Tan Sri Jabbar tajam menikam wajah
Tuan Aaziz. Hatinya berang kerana merasa diperlekehkan dan maruahnya
diinjak-injak malam ini. Dia sempat mengerling ke arah anak gadisnya Emilia
yang sudah mengalirkan airmata sambil dipujuk isterinya.
Tuan Aaziz tidak menjawab. Matanya hanya mampu merenung
si anak yang telah merosakkan pertemuan malam ini dengan bicara pedas tak
bermata itu.
“Ayah tak peduli. Kamu harus ikut cakap ayah. Kamu mesti kahwin
dengan Emilia dan selepas itu berangkat ke New York sambung pengajian kamu. Dah terlalu
lama ayah biarkan kamu buat apa sahaja yang kamu suka. Sekarang kamu pula harus
buat apa yang ayah inginkan.” Ujar Tuan Aaziz tegas.
“Ayah tak boleh paksa Nadim. Nadim bukan budak kecil
ayah.”
“Yes I will.
Kamu belum kenal siapa ayah Nadim.” Bentak Tuan Aaziz.
“Kalau tak ayah nak buat apa? Halau Nadim dari apartmen
tu?”
“Kalau perlu, ayah akan buat lebih dari itu.” Ugut Tuan
Aaziz.
Kedua-dua anak beranak itu saling menatap dengan wajah
berang. Marseila sudah terduduk lemah.
Menyesal rasanya dia datang kalau inilah yang terpaksa dihadapinya. Dua lelaki
yang paling keras kepala dalam keluarganya kini saling menentang.
“Aaziz, kami tak perlu mendengar semua ini. You
bincanglah apa sahaja dengan anak you. But
we have to go.I dah tak boleh dengar lagi semua perkara mengarut ni” Ujar
Tan Sri Jabbar lalu beredar dari situ bersama anak isterinya. Marah sungguh
lelaki itu kali ini.
Tuan Aaziz hanya membiarkan
keluarga itu berlalu pergi. Tan Sri Jabbar hanya perkara remeh baginya.
Bila-bila masa dia boleh memujuk lelaki itu. Tapi Nadim berbeza. Anaknya itu
keras kepala dan sukar diubah pendiriannya. Dan dia paling mengerti kenapa
Nadim semakin ingkar mahu menurut cakap-cakapnya.
“Kamu dah rosakkan semuanya Nadim. Are you happy now?” Sindir Tuan Aaziz. Dia duduk di kerusinya lalu
mencapai gelas fresh orange lalu
diteguk perlahan.
“Bukan ayah yang sepatutnya kecewa. Nadim yang sepatutnya
tanya ayah soalan itu. Ayah dah
rosakkan hidup Nadim selama ini. Dah banyak kali Nadim bersabar, tapi sabar
Nadim ada hadnya ayah. Tolong jangan cabar Nadim dengan perkahwinan merepek ni.”
Getus Nadim dengan wajah merah padam.
“Kamu dah bertunang dengan Emilia. Kamu harus ingat itu!”
Tempik Tuan Aaziz. Marseila menarik nafas panjang. Masya ALLAH!
“Pertunangan itu tidak ada maknanya bagi Nadim. Bila-bila
masa sahaja ia boleh putus. Dan jangan harap Nadim akan kahwin dengan perempuan
tu. Kalau ayah takut sangat dengan Tan Sri Jabbar, mungkin ayah boleh kahwin
dengan Emilia.” Getus Nadim agak pedas, lalu beredar dari situ.
Tuan Aaziz mengurut dada mendengar kata-kata Nadim yang
agak biadap. Dia hanya mampu memerhatikan anak muda itu beredar dari situ.
Keluhannya menerpa keluar. Tembok dalaman anak muda itu memang sukar
diruntuhkan. Dia kenal dari mana datangnya sikap itu. Anak muda itu mewarisi
sikapnya yang degil dan keras kepala.
Marseila yang memerhatikan
gerak geri ayahnya hanya mampu membisu seribu bahasa. Hendak bersuara saat ini,
dia sendiri tidak tahu pada siapa dia harus pergi untuk memujuk. Dia tahu,
Nadim takkan mungkin menerima Emilia dalam hidupnya andai hati itu sudah terisi
suatu nama lain. Naomi Lee Schubert.
“I love
her kak.” Itu bicara Nadim beberapa tahun yang lalu. Ketika itu Nadim
sedang mabuk cinta terhadap gadis itu. Tapi pegangan agama Naomi membuatkan
cinta itu terhalang. Tuan Aaziz ayah mereka seorang yang sangat mementingkan semua
itu. Sebaik lelaki itu tahu bahawa Naomi seorang ateis yang tidak mempercayai
akan kewujudan tuhan, maka Naomi dilihat sebagai pengaruh yang tidak sihat
untuk Nadim.
“Kenapa ayah musnahkan
segala-galanya kak? Apa salah Naomi? Apa salah Nadim? Kami hanya mencintai
antara satu sama lain. Tapi sebab ayah, Naomi dah tak ada dalam hidup Nadim
lagi. Nadim tak tahu macamana nak hidup lagi.” Nadim benar-benar tertekan
ketika itu.
“Astaghfirullah Nadim, jangan cakap macam tu
dik. Kakak tahu Nadim kecewa, tapi jangan sesekali bercakap begitu. Itu aturan
ALLAH untuk kita hambaNYA. Naomi dijemput Ilahi kerana ALLAH sayangkan dia.”
“Nadim nak peristerikan dia
kak. Nadim nak jaga Naomi, didik dia jadi isteri solehah, bentuk dia agar dia
percayakan agama kita. Dia sendiri berminat dengan Islam. Tapi sikap ayah pada
Naomi, seperti mengiakan Islam itu bersikap diskriminasi pada orang bukan
Islam. Kalau bukan kerana ayah, Naomi takkan terima tawaran kerja tu. Dan dia
takkan hilang tanpa jasad di tengah lautan.”
Tuduhan demi tuduhan yang
Nadim lemparkan pada ayah mereka membuatkan dia hanya mampu berdiam diri. Tidak
terkata! Ketika itu perang antara kedua-duanya semakin menular sedikit demi
sedikit. Semuanya bermula selepas kematian Naomi, gadis kacukan Cina-Inggeris
yang dicintai Nadim dengan sepenuh hati.
Marseila tahu, selama ini
ayahnya bertungkus-lumus mahu memisahkan Nadim dan Naomi kerana mahu memaksa
Nadim menyambung pelajaran di New
York. Tapi tindakan ayahnya yang terlalu terburu-buru
hanya memusnahkan segalanya. Hasilnya Nadim semakin jauh dari mereka semua. Di
New York, adik lelakinya itu semakin menyendiri. Dan dua tahun di New York, khabar duka
itu datang. Membawa berita kematian Naomi di Teluk Hope. Gadis itu dikhabarkan
hilang semasa menyelam di kawasan laut dalam paling bahaya di dunia itu.
Kematian Naomi memberi
tamparan besar pada Nadim. Tak disangka-sangka, Nadim menangguhkan pengajian
dan pulang ke Malaysia.
Berbulan-bulan lamanya Nadim tidak makan dan tidak minum seperti orang normal
yang lain. Adiknya juga suka menyendiri, sehinggakan sampai satu tahap, Nadim
berpindah ke apartmen milik arwah ibu mereka. Anak muda itu belajar hidup
berdikari dengan membuang keluarga. Malah pengajiannya juga ditinggalkannya
begitu sahaja. Keputusan Nadim hanya sekadar untuk memprovok marah ayah mereka.
Marseila kesal. Dia
benar-benar kesal dengan apa yang telah terjadi pada keluarganya. Hanya kerana
seorang gadis, dua beranak saling bercakaran sesama sendiri. Tetapi yang
menanggung sengsaranya ialah dia! Keluh Marseila seraya menjeling si ayah yang
termenung panjang di hadapannya.