DIA sendiri tidak pasti kenapa
antara banyak-banyak restoran, dia memilih untuk membawa Fitzerald ke situ.
Fitzerald seperti biasa langsung tidak menolak. Kata lelaki itu as long as with you. Dia tersengih
sendiri. Kalau aku bawa mamat orang putih ni ke gerai tepi jalan, entah
lalu atau tidak agaknya tekak mamat ni agaknya? As long as with you konon! Cika mencebik. Hendak ketawa pun ada!
Tapi memang dia ada agenda
membawa Fitzerald ke Jumbo Jeep. Sebolehnya dia mahu Nadim Ammar melihat bahawa
dia bukannya teruk sangat sehingga tidak ada lelaki yang berminat dengannya.
Kalau tidak, masakan Datuk Fakhri tergila-gilakannya. Dan dia ada Fitzerald
yang boleh cover semua anggapan Nadim
Ammar itu.
“Cika..” renungan Fitzerald
menular ke wajahnya. Cika menoleh. Terkedu menyedari betapa dalamnya sorotan
mata lelaki itu di wajahnya. Dia pula asyik mencari-cari kelibat Nadim. Mana
pulak lelaki poyo tu pergi?
“Err..you nak makan apa? Don’t worry,hari ini I yang belanja.” Ujar Cika seraya pura-pura
membelek menu di tangannya walaupun dia sebenarnya tidak lapar. Fitzerald
sekadar tersenyum. Lucu melihat reaksi Cika yang acuh tak acuh melayannya.
“Apa yang sedap?” Tanya
Fitzerald dengan bahasa melayu yang agak pelat. Meskipun begitu, Fitzerald
sebenarnya boleh tahan juga bila bertutur dalam bahasa melayu.
“You cuba spageti kat sini. Sedap tau.”
Uusl Cika meskipun dia sebenarnya tidak pernah mencubanya. Setiap kali dia
datang, nasi juga yang dia bedal. Tapi mengenangkan lidah Fitzerald lidah
Inggeris, jadi spageti sahajalah yang mampu dicadangkannya.
“I teringin nak makan nasi goreng kampung.” Fitzerald
lancar menyebutnya. Cika terkedu. Nak makan nasi goreng kampung? Aduh! Boleh
tahan juga mat saleh ni. Hampir dia terlupa yang Fitzerald sudah tinggal di Malaysia
sejak 5 tahun yang lalu, jadi tak mustahil lelaki itu sudah biasa dengan semua
makanan-makanan di Malaysia. Jangan-jangan, sambal belacan dengan cencaluk pun
lelaki itu sapu!
Cika segera melambaikan tangannya pada pelayan. Dari tadi
dia mencari-cari kelibat pelayan bernama
Ebit itu tapi tidak bertemu. Mujurlah ada pelayan berambut spikeputih itu menuju ke arahnya. Seperti biasa pelayan berwajah
ala-ala chinese look itu tersenyum
memandangnya. Cika ikut tersenyum, lagipun dia memang dikenali di restoran itu.
Cika segera memesan makanan, begitu juga dengan Fitzerald
yang sampai juga hajatnya mahu merasa nasi goreng kampung di situ.
Sambil makan bersama, Cika berbual-bual dengan Fitzerald.
Tapi perbualan itu hanya separuh sahaja dihadamnya lantaran dia asyik
memerhatikan sekitar Jumbo Jeep, mencari-cari kelibat Nadim Ammar. Entah mana
perginya lelaki itu. Bila diperlukan, hilang pula! Dia juga tidak nampak kelibat Jak,
pemilik Jumbo Jeep yang dilihatnya sangat rapat dengan Nadim. Gila kau Cika!
Kau datang ke situ membawa Fitzerald bersama-sama untuk apa? Sekadar mahu
menunjukkan pada Nadim Ammar yang kerek itu bahawa masih ada lelaki seperti
Fitzerald yang menggilai kau?
“Do you expecting
someone else Cika?” Tegur Fitzerald. Wajah anak gadis di hadapannya ditatap
tidak berkelip. Ada
sekelumit perasaan hairan berlegar di kotak fikiran. Jujurnya sudah terdetik
rasa aneh di sanubari tatkala Cika mengajaknya. Kalau dahulu, gadis itu memang
liat mahu menerima pelawaannya. Kini, Cika pula yang mengajak. Tidakkah itu
aneh?
Diam-diam juga dia memerhatikan gerak-geri Cika yang asyik mengawasi kawasan
sekitar restoran itu, seolah-olah Cika sedang menanti seseorang.
Cika mendongak wajah memandang Fitzerald. Dengan cepat
dia menggelengkan kepala. Bohong! Kau sedang menanti Nadim Ammar muncul. Otak
biul kau ini memang bermasalah. Macam budak-budak pun iya! Sanggup kau heret
Fitzerald dari pejabatnya ke mari semata-mata nak menunjuk-nunjuk! Damn it! Mana pulak mamat ni pergi?
Rungut Cika sedikit berang.
Usai
dia menyebut nama itu dalam hati, tiba-tiba matanya terpandang kelibat dua
lelaki sedang memasuki restoran itu. Cika menelan liur. Pelbagai rasa
menyelinap ke jiwa. Lelaki itu sedang bergelak ketawa dengan Jak, bagaikan ada
sesuatu yang diperkatakan yang menimbulkan kelucuan. Cika terpegun. Wajah itu
ditatap separuh nanar.
Jak tiba-tiba berpaling ke arah meja yang hanya selang 3
buah dari pintu masuk. Dahi lelaki itu berkerut sedikit menatapnya. Hendak tak
hendak Cika terpaksa melemparkan senyuman. Nadim masih tidak menyedari
kehadirannya. Hanya selepas Jak melambaikan tangan, barulah Nadim ikut
berpaling. Cika cuba
seselamba mungkin terhadap lelaki itu. Apatah lagi dia menyedari renungan Nadim
Ammar sudah melata ke wajahnya, bergilir-gilir dengan wajah Fitzerald yang
sedang enak menyuap nasi goreng kampungnya.
* *
* *
KETIKA Fitzerald meminta
diri ke restroom, Nadim mengambil
kesempatan mendekati anak gadis itu. Dia sengaja melabuh punggung di tempat
duduk Fitzerald sambil memegang gelas
jus oren miliknya.
Cika melemparkan pandangan. Ternampak senyuman sinis itu meleret
di wajah lelaki itu. Cika mengetap bibir. Pandangan itu, senyuman itu,
seakan-akan memberi maksud yang Nadim Ammar sudah tahu niat hatinya. Tapi dia
tetap berpura-pura selamba, bagaikan tidak ada apa-apa yang berlaku. Bukankah
itu kepakaran kau Cika? Now keep rolling!
Ketawa Nadim bergema. Sekali lagi Cika merasa terganggu.
Entah apa mahunya lelaki itu dengannya. Datang ke mari tapi hanya ketawa dan
tersenyum. Buat menyakitkan hati sahaja! Rungut Cika geram.
“What?” Soal
Cika panas hati.
Lelaki itu sekadar menjongketkan bahu, tapi tetap
melempiaskan tawa sinis.
“Nothing. Saya
cuma tak sangka awak ada teman lelaki berbangsa Inggeris. Kagum gila saya.”
Ujar Nadim melawak.
Cika merenung lelaki itu dengan wajah mencuka. “Saya tahu
awak cuma datang sini nak mengejek saya. Lelaki tu kawan saya saja. Tak payahlah
nak buat spekulasi murahan tu.” Balas Cika.
“Ini bukan spekulasi murahan Cik Syafika. Dia kacak,
tinggi lampai, dan saya agak tentunya berjawatan bagus. Bukankah itu calon yang
bagus untuk awak pertimbangkan?”
“Untuk pengetahuan awak Encik Nadim Ammar, saya memang
tengah pertimbangkan. Dia seorang jurutera dengan gaji besar. Mungkin dia tak
pandai bermain piano seperti awak, tapi saya yakin dia calon yang lebih baik
dari awak.” Ejek Cika membalas.
Nadim ketawa besar mendengarnya.
Dia tahu Cika sedang berang. Wajah mencuka gadis itu sudah cukup
membuktikannya.
“Tak sangka…” Nadim tersenyum seraya menggelengkan
kepalanya, menggamit perhatian Cika yang sudah mula tertanya-tanya. Apa yang
tak disangka lelaki itu?
“Tak sangka ya, awak rupa-rupanya membandingkan saya dengan lelaki itu. Mungkinkah saya juga
termasuk dalam kategori calon yang sedang dipertimbangkan?” Gelak Nadim jahat.
Cika tersentap. Ceh! Perasan gila mamat ni! Siapa entah
yang nak bandingkan dia? Dalam merungut-rungut begitu, dia terpandang kelibat
Fitzerald yang baharu kembali dari restroom.
“Kawan saya dah datang tu. Boleh awak beredar?” Pinta
Cika seraya memuncungkan mulutnya ke arah Fitzerald. Nadim berpaling lalu
bingkas bangun.
“Sebenarnya Cik Syafika, awak bawa mat salleh tu ke mari
sebab awak nak suruh saya nampak yang awak tu tak keseorangan kan?” Soal Nadim tak disangka-sangka.
Cika terkedu. Terkena atas batang hidung sendiri!
“Well…sekarang
saya dah nampak.
Sebenarnya awak tak perlu bersusah-payah hanya sebab nak buktikan pada saya.
Saya percaya. Dan kalau awak terdesak sangat, awak tak payah cari jauh-jauh.
Saya mungkin akan pertimbangkan untuk keluar dengan awak kalau awak tanya.” Ujar
Nadim nakal.
Wajah Cika merah padam mendengar kata-kata Nadim itu. Telinganya
sudah berbirat. Hati di dalam juga ikut mendidih dan mungkin akan meletup
sekejap lagi. Lelaki itu memang ada bakat untuk menyakitkan hatinya. Dan dia
sudah tidak mampu bertahan lagi. Tanpa berfikir panjang, minuman yang ada di
hadapannya pantas diambil dan disimbah ke arah lelaki itu.
Zap! Semua yang ada di situ terkejut besar, termasuklah
Jak yang berada di kaunter serta Fitzerald yang sedang melangkh ke arahnya.
Nadim Ammar apatah lagi. Dengan wajah yang dibasahi minuman serta ada kepingan
lemon yang melekat pada rambutnya, lelaki itu benar-benar berjaya mencuri
tumpuan ramai.
Cika pantas menekup mulut. Tidak menyangka dia akan
melakukannya. Ya ALLAH! Tangan ni apasal laju sangat? Dia benar-benar kesal.
Hendak menjeling Nadim Ammar yang berwajah kelat itu juga dia tidak sanggup
kali ini!
* *
* *
Jak ketawa kecil sebaik
menyerahkan tuala muka kepada Nadim. Suara ketawa Jak singgah ke gegendang
telinga Nadim. Wajahnya serta-merta mencuka lagi. Berang sedikit, tapi tuala di
tangan Jak tetap disambut kasar untuk digunakan pada wajahnya yang sudah
dibersihkan sebentar tadi.
Tak fasal-fasal hari ini dia bermandikan jus oren. Habis
lencun dia disimbah air oren angkara gadis itu yang tak disangka-sangka.
“Abang bukan nak menangkan dia, tapi yang kau sakitkan
hati dia tu kenapa? Kan
tak fasal-fasal basah.” Gelak
Jak. Menggeleng dia melihat kejadian yang tak disangka-sangka hari ini di Jumbo
Jeep. Ketika dia melihat Nadim menghampiri Cika, dia sudah tahu harus-harus ada
aje kekecohan yang bakal berlaku. Dia sudah menegah Nadim dari menganggu Cika
tadi, tapi anak muda itu berdegil. Hah sekarang tanggunglah sendiri!
“Bengang betul saya kat perempuan ni bang. Kalau nak
marah pun janganlah sampai buat macam ni!” Getus Nadim tidak puas hati.
“Kau ni dengan dia apahal sebenarnya? Sejak hari itu
abang tengok, kalau jumpa aje mesti nak gaduh.” Tegur Jak. Hairan juga dia
melihat sikap Nadim yang gemar mencari fasal dan bertelagah dengan anak gadis
itu. Selalunya Nadim bersikap pendiam dan jarang mahu mencampuri urusan orang
lain.
Nadim terdiam. Dia tahu Jak langsung tidak tahu apa-apa
tentang peristiwa di The Woods tempohari. Di situlah pertemuannya dengan Cika
bermula. Dia sendiri tidak tahu kenapa setiap kali dia menemui anak gadis itu,
pertemuan mereka disulami pergaduhan. Tapi bukanlah bergaduh sampai nak
berbunuhan. Orang
panggil ini sweet fight. Gaduh-gaduh
manja begitu. Mungkin betul salahnya juga kerana dia yang suka memprovok anak
gadis itu. Padan muka aku!
“Jangan-jangan kau sukakan dia tak?” Usik Jak seraya ketawa.
Nadim menelan liur. Erkk…aku sukakan gadis cengil itu? No way! Tak mungkin. Potong jari pun tak
mungkin dia akan menyukai gadis itu. Dia menggeleng kepala!
“Ini bukan rancangan komedi abang. Jadi tak perlu buat
lawak kat sini.” Keluh Nadim seraya membetulkan rambutnya.
“Dia okey apa. Cantik dan baik orangnya. Kau pun belum ada teman wanita.”
Usul Jak, sengaja mahu mengusik Nadim yang mula cemberut wajahnya.
“Singa lapar tu abang kata baik?” Nadim mengeluh. Cantik
mungkin boleh diterima, tapi baik? Hell
not!
“Tak baik kau kata Cika macam tu. Abang rasa dia gadis yang baik hati.”
Pendapat peribadi Jak. Nadim menoleh ke arah lelaki itu. Dahinya berkerut. Aku
salah dengarkah?
“Apa abang panggil dia tadi?”
“Cika.” Ujar Jak tercengang.
“Cika? Hmm..abang panggil dia macam dah lama kenal.”
Giliran Nadim pula yang tersengih-sengih. Interesting!
Jak ketawa besar. Terkena pula dia!
“Abang pernah bercakap-cakap dengan dia. Dia suruh abang
panggil dia Cika sahaja. And for your
information, once you know her, you will like her.” Ujar Jak
bersungguh-sungguh.
Nadim melepaskan keluhan di
bibir. enggan mengulas kata-kata Jak lagi lantaran telefon bimbitnya berdering
minta diangkat. Dia memandang ke arah skrin telefon dengan wajah berkerut.
Ayah?
* *
* *
SELEPAS dia menghantar
Fitzerald kembali ke pejabatnya, Cika terus memandu pulang. Hari ini tak
fasal-fasal dia digelar perempuan gila. Naik mencacak anginnya apabila
dikatakan begitu. Kalau tak ada Jak dan Fitzerald meleraikan sebentar tadi,
mahu rasanya dia bergusti dengan Nadim di situ.
Mulanya dia kesal kerana menyimbah wajah lelaki itu
dengan jus oren milik Fitzerald. Tapi hajat hati mahu meminta maaf kepada
lelaki itu segera padam sebaik Nadim membuka mulutnya.
“Dasar mulut jahat.” Gumam Cika seraya meramas stereng
keretanya. Dan kerana lelaki itu juga, tak fasal-fasal dia terpaksa menjelaskan
kepada Fitzerald tentang Nadim Ammar. Meski dia gagal menjelaskan kepada
Fitzerald kenapa dia menyimbah Nadim Ammar, tapi mujurlah Fitzerald tidak lagi
melanjutkan pertanyaan. Barangkali lelaki itu sudah faham dengan bahasa
wajahnya yang cemberut apabila diajukan pertanyaan demi pertanyaan. Eiii..geramnya! Cika benar-benar
meradang dibuatnya. Sakit sungguh hatinya apabila mengenangkan lelaki itu.
Dia yang cuba
menunjuk-nunjuk di hadapan lelaki itu, tapi dirinya pula yang dikenakan lelaki
itu cukup-cukup. Tak guna!
Memang padanlah kau kena dengan dia! Kau yang cari fasal
sendiri. Siapa yang suruh kau datang ke situ dengan Fitzerald? Hati kecilnya
mengutuk perbuatannya sendiri. Ini yang dikatakan orang, sepak dengan kaki kanan, terkena kaki
kiri. Padan muka kau Cika!