Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alamak! Lagi-Lagi Dia
Bab 10

GOOD MORNING Cik Syafika” Ucap staf-staf G-Properties sebaik terpandang kelibat Cika melangkah masuk ke dalam pejabat.

“Hmmm..morning.” Balas Cika lemah.

“Aik macam tak semangat aje pagi ni kenapa?” Tegur Gina yang kebetulan baru keluar dari biliknya dan berpapasan dengan Cika.

“Cuba kalau pagi-pagi buta lagi kau kena leter dengan mak kau, apa kau rasa?” Keluhnya seraya meluru masuk ke biliknya. Gina mengekori Cika sambil melempiaskan tawanya.

“Selagi kau tak carikan dia calon menantu, hari-harilah kau kena tahan telinga tu nampaknya. Susah-susah sangat kau pilih ajelah Datuk Fakhri tu, habis cerita. Orang tua tu pun bukan main mengenyam lagi kalau nampak kau.” Usul Gina.

“Haha..not funny Gina. Tak selera langsung aku tengok datuk yang kerepot tu.” Cebik Cika. Bukan niat nak menghina, tapi itulah kenyataannya. Dasar orang tua tak sedar diri. Kut-kut ya pun dah jadi duda, tapi ingat-ingatlah sikit kat kubur kata mari.

“Tak pun kau pilih Fitzerald..dia pun handsome, romantik lagi.”

“Dan kau nak suruh aku dengar ayat-ayat romantik dia tu tiap-tiap hari? Bernanah telinga aku ni nanti.” Sahut Cika sambil menggelengkan kepala. Dua-dua tak boleh pakai. Not accepted!

“Kau ni kan banyak songeh tau. Yang tua kerepot tapi kaya tak mahu, yang muda dan handsomepun tak mahu. Habis siapa yang kau mahu?”

“Josh Duhamel?” Cika tersengih-sengih membayangkan pelakon Hollywood pujaan hatinya. Oh Abang Josh, I love you!

In your dream, takde maknanya Josh Duhamel tu nak pandang kau.” Cebik Gina. Huh angan-angan tinggi melangit. Apa nak jadi la dengan minah sorang ni?

“Aku cakap aje. Aku tahulah Josh Duhamel tu dengan aku macam langit dengan bumi. Tapi tak salah berangan-angan kan?” Sekali lagi Cika tersengih.

“Salah tu. Bukan macam langit dengan bumi. Macam nasi dengan kerak nasi. Dekat aje tapi impossible! Kut ya pun nak berangan, biarlah menongkat langit. Barulah langit tak jatuh, kau pun tak tersembam.” Getus Gina seraya ketawa kecil.

Cika tergelak besar. “Ni pepatah mana kau pakai ni? Pelik betul aku dengar.”

Gina turut tergelak. “Aku pinjam pepatah si Amat tu. Freetak kena bayar.” Balas Gina merujuk kepada office boy di pejabat mereka yang lurus macam kayu tapi suka berpepatah kalau bercakap. Sebiji macam orang zaman dahulu kala.

“Oh ya, macamana dengan date kau kelmarin? Handsome tak?” Gina bertanya, teruja mahu tahu.

“Bolehlah, jenis yang umi aku suka.”

“Habis? Kau suka tak?”

Cika sekadar mencebik. “Tak kuasa aku.” Sahutnya seraya menggelengkan kepalanya.

“Habis umi kau cakap apa?”

“Entahlah, dia belum sempat soalsiasat aku. Pagi ni dia baru balik dari Nilai. Dalam dua tiga hari ni rasanya aku kena elakkan diri dari dia.” Cika tersengih lebar.

“Tapi umi kau memang aku salute habis la. Dah berbelas kali kau pergi blind date, tapi satu pun tak jalan.” Gina ketawa terbahak-bahak. Lucu dan sekaligus kagum dengan kawannya yang seorang itu. Dalam umur begini pun masih dipaksa untuk bertemu jodoh mengikut aturan si ibu.

“Ikut hati aku malas aku nak pergi, Tapi karang dengar dia membebel pulak. Nak tak nak, aku kenalah ikut.” Keluh Cika.

“Kau tu yang degil. Memilih sangat, sebab tu dia buat macam tu. Cuba lah kau buka hati kau tu besar-besar kat makhluk yang namanya lelaki. Manalah tau ada salah seorang dari mereka yang betul-betul sesuai dengan kau.” Gina memberi usul.

“Gina, kau ingat nak cari suami ni macam pilih ikan kat pasar ke? Pilih ikan mana yang gemuk, yang mana yang segar, terus bayar duit bawa balik ke rumah? Macam tu? Aku tak nak lelaki yang sukakan aku semata-mata sebab kerjaya aku, rupa aku atau macam-macam sebab lagi. Aku tak mahu semua tu.”

“Habis kalau semua lelaki yang datang, kau anggap mereka tu cuma sukakan status dan duit kau, habis siapa yang layak?” Bahas Gina.

Cika terdiam. Cerewet sangat ke aku ni? Tapi dia juga ada hak untuk memilih siapa yang disukainya. Meskipun usianya sudah mencecah akhir 20an namun dia masih ada hak yang sama untuk membuat pertimbangan. Tidak semestinya kerana dia belum kahwin sehingga sekarang, maka dia harus memilih siapa sahaja yang datang. Come on, dia juga manusia biasa. Dia juga perlukan cinta. Sekurang-kurangnya dia mahu mengahwini seseorang yang dicintainya. Yang boleh menerima dirinya seadanya. Bukan main cekup sahaja mana yang ada.

Melihat Cika diam sahaja, Gina mahu menyambung kata-katanya. Tapi ketukan di pintu bilik membuatkan Gina tidak jadi membuka mulutnya. Dia dan Cika serentak menoleh ke suatu arah lalu terpandang Darren, salah seorang staf mereka yang agak lembut.

Sorry girls, Dato’ Fakhri datang. Dia nak jumpa Cika kat bilik meeting.” Beritahu Darren.

Cika tersentak. What? Now?

“Hehehe..ulat bulu tu dah datang. Rindu agaknya sebab dah seminggu tak jumpa kau Cika.” Usik Gina sambil tergelak besar.

“Alamak Gina macamana ni? Apa aku nak buat?” Cika sudah kelam kabut serba tidak kena. Dia benar-benar alergik dengan Dato’ Fakhri. Rasanya dia lebih rela terjun bangunan dari bertemu dengan orang tua yang berlagak muda seperti lelaki itu.

“Nak buat apa lagi, pergilah jumpa dia. Dia dah sampai pun office kita ni. Lagipun kau nak lari ke mana? Ingat sikit pintu keluar masuk pejabat kita ni betul-betul sebelah bilik meeting tu. Takkan kau nak panjat tingkap beranda ke bangunan bilik sebelah?” Gina tersengih.

Cika terdiam. Panjat? Bagus jugak idea tu. Dengan sepantas kilat, Cika sudah membuka jendela biliknya luas-luas. Gina dan Darren tercengang jadinya.

“Cika, apa yang kau nak buat ni? Kau dah gila ke?” Gina hampir terjerit. Terkejut melihat gadis itu sudah memanjat palang tingkap.

“Syy jangan bising. Darren, kau uruskan orang tua tu. Cakap apa sahaja asalkan dia percaya yang aku tak ada kat office ni.” Arah Cika. Kakinya sudah memijak beranda tingkap. Berita baiknya, mujurlah ada beranda sempit di luar laluan bangunan tujuh tingkat itu itu. Berita buruknya pula? Alahai dia sekarang berada di tingkat ke tujuh.

Terketar-ketar dia memandang ke bawah. Sayup-sayup dia melihat manusia-manusia dan kereta-kereta di bawah yang hanya sebesar kotak mancis. Ni kalau jatuh ni sah-sah mati terus! Sempat lagi dia mengguman begitu. Ya ALLAH, jangan bagi aku jatuh. Aku cuma nak elakkan diri sekejap aje dari orang tua itu. That’s all!

“Cika cepat masuk balik. Jangan nak buat perangai bodoh macam ni!” Marah Gina. Gerun dia melihat sikap Cika yang jarang berfikir panjang. Nama aje lulusan universiti luar negara. Tapi tang sikap sebiji macam orang tak sekolah, rungut Gina kecut perut.

“Gina, macamana ni?” Darren turut resah melihat betapa nekadnya Cika ketika ini. Kalau perempuan ni jatuh, gaji aku siapa nak bayar? Itu sahaja yang Darren kisahkan sebenarnya.

“Darren, pergi jumpa Dauk Fakhri suruh dia balik sekarang juga. Lantak kaulah nak tipu dia macamana pun, asalkan dia beredar dari pejabat kita ni.” Suruh Gina separuh menjerit.

Darren mengangguk lalu terkocoh-kocoh keluar dari pejabat Cika. Gina segera menjenguk ke luar tingkap apabila dilihatnya Cika sudah bergerak sedikit demi sedikit ke sebelah.

“Cika, masuk sekarang jugak. Aku dah suruh Darren halau orang tua tu. Kau dah nak mati sangat ke?” Gumam Gina benar-benar geram dengan telatah Cika yang tak masuk akal.

Sorry Gina, kejap lagi orang tua tu mesti datang bilik aku. Aku dah faham sangat dah. Lebih baik aku sembunyi kat pejabat sebelah sampai dia lesap.” Cika melaung sedikit. Tanpa mempedulikan Gina, dia segera meluruskan badannya lalu bergerak sedikit demi sedikit ke arah bangunan pejabat guaman bersebelahan dengan pejabatnya.

Tapi ketika dia semakin mendekati pejabat guaman itu, matanya segera terpandang kelibat seorang lelaki tua sedang berdiri di beranda itu sama seperti dirinya. Mata lelaki itu mencerun ke bawah. Cika segera mengerutkan dahinya. Siapa pulak ni? Nak main sembunyi-sembunyi macam aku jugak ke?

Sejurus telinganya menangkap beberapa suara sedang menjerit-jerit di suatu arah. Dia berpaling ke arah sebuah tingkap, lalu terpandang beberapa buah kepala menjenguk keluar dari tingkap tersebut. Cika segera memasang telinga. Dia mahu mendengar apa sebenarnya yang sedang dijeritkan oleh orang-orang di tingkap itu.

“Encik Mat, sabar. Masuk dulu. Apa-apa hal kita boleh bawa bincang.”

Dahi Cika berkerut lagi. Bincang apa?

“Kamu semua penipu. Dah tak ada apa yang nak dibincangkan lagi. Aku dah hilang segala-galanya. Aku hilang kerja, aku hilang anak isteri, aku hilang semua harta aku. Nak bincang apa lagi?” Jerit lelaki yang sedang berdiri di balkoni itu.

Cika tersentak mendengar kata-kata lelaki itu. Dia mula menyedari yang kehadirannya tidak kena pada masanya. Alamak! Dia menjeling ke arah palang jendela bangunan pejabatnya yang sudah agak jauh ditinggalkan. Nak patah balik, makan masa jugak sedangkan tingkap yang paling dekat adalah tingkap di pejabat guaman itu. Apa aku nak buat ni?

“Encik Mat, kalau Encik Mat buat macam ni pun apa yang Encik Mat dapat? Jangan macam ni, masuk dulu. Kita bincang baik-baik. Kami akan bantu Encik Mat cari jalan penyelesaian.” Pujuk suatu suara.

“Aku dah kata tak ada apa yang nak dibincangkan lagi. Jangan dekat! Kalau kamu semua dekat, aku terjun bangunan ni karang.” Tempik lelaki itu berang.

Cika yang mendengar butir bicara itu satu persatu hanya mampu menarik nafas panjang. Bila nak sudah drama ni? Tak sudah rasanya kalau aku tersangkut kat sini semata-mata sebab lelaki itu cuba nak bunuh diri, keluh Cika.

Perlahan-lahan dia bergerak lagi ke arah lelaki itu. Walaupun berdebar-debar, hatinya namun dia sudah nekad tidak mahu terus berdiri di situ sehingga ke petang. Kehadirannya mencuri tumpuan orang-orang yang berada di tingkap, termasuklah lelaki yang dipanggil Mat itu. Menyedari dirinya dipandang sebegitu, Cika hanya mampu tersengih.

“Maaf, saya tak ada niat nak campur tangan. Saya cuma nak tumpang lalu aje.” Dia meminta izin dengan mukadimah yang paling sopan.

“Kamu ni siapa pulak?” Mat merenung tajam ke arah perempuan yang berada di balkoni yang sempit itu. Gerak-geri perempuan itu diperhatikan dengan curiga. Polis ke? Biasanya di televisyen ada adegan polis yang memujuk orang yang hendak membunuh diri. Fikiran Mat saling berlegar dan tertanya-tanya.

“Err..saya bekerja kat bangunan sebelah, syarikat G-Properties, syarikat agen hartanah. Kalau pakcik nak beli rumah ke beli tanah ke, boleh contact kami. Ini nombor saya.” Dia sempat menyeluk saku seluarnya dan mengeluarkan sekeping kad nama. Malah sempat mempromosikan syarikatnya. Apa kena dengan kau ni Cika?

“Apa yang kamu buat kat sini?” Pintas lelaki itu yang jelas tidak berminat hendak membeli tanah, rumah hatta tanah kubur sekalipun. Yang dikisahkan sekarang ini dia sudah nekad untuk mengugut syarikat guaman itu, meskipun dia sebenarnya seorang yang gayat dengan ketinggian bangunan.

“Saya nak tumpang lalu aje. Lepas tu pakcik continue la apa-apa yang patut, saya takkan kacau daun.” Cika tersengih. Dia bergerak merapati lelaki itu.

“Jangan dekat!” Lelaki itu berteriak lagi.

Cika terpegun. Alamak dia ni! Kalau dia tak beralih ke tepi, macamana aku nak pergi ke tingkap tu?

“Pakcik tepilah sikit, bagi saya lalu. Lepas tu suka hati pakciklah nak terjun bangunan ke nak lompat ke, no hal.” Ujar Cika tanpa berfikir panjang.

Mata lelaki itu terbeliak memandangnya. “Mana kamu tahu aku nak terjun bangunan ni? Kamu pun tipu aku kan? Kamu ni suku sakat peguam-peguam bedebah tu!” Tuduh Mat dengan penuh syak wasangka.

“Eh bukan pakcik, saya dah kata saya ni kerja kat pejabat sebelah. Yang pakcik ni susah sangat nak percaya kenapa? Pakcik ingat pakcik sorang aje ke dalam dunia ni yang ada masalah? Semua orang ada masalah masing-masing. Tapi yang penting kita kena berani hadapi masalah kita tu.” Getus Cika, sedikit bengang kerana terpaksa membuang masa di situ kerana lelaki itu.

“Mana kamu tahu fasal masalah orang lain. Kamu tahu ke perasaan ditinggalkan isteri sebab kamu tak ada kerja? Kamu tahu ke perasaan duit kamu habis melayang kerana ditipu kawan sendiri? Aku dah rasa semua tu. Sekarang aku dah hilang semuanya. Dah tak ada apa-apa lagi dah yang tinggal pada aku.” Keluh lelaki itu seraya menjenguk ke bawah. Bunyi siren kecemasan menarik minatnya. Cika juga turut menjenguk ke bawah. Hmm..polis dah sampai dah!

“Habis, pakcik dah nekad ke nak terjun bangunan ni? Pakcik tak takut dosa? Bunuh diri tu berdosa pakcik.” Cika mengingatkan.

Lelaki itu mencerlung tajam ke arahnya. “Kamu ni memang penyibuk betul. Suka hati akulah, dosa aku bukannya aku kongsi dengan kamu.” Getus lelaki itu berang.

“Yalah, memanglah saya tahu itu. Tapi sebagai saudara seagama, saya wajib ingatkan pakcik yang membunuh diri tu dosa besar di sisi tuhan. Tak cium syurga bila pakcik mati nanti. Pakcik dahlah sengsara kat dunia, takkan kat akhirat pun nak sengsara jugak.” Pujuk Cika. Tak fasal-fasal hari ni dia jadi kaunselor tak bertauliah pula.

Lelaki itu terdiam. Kata-kata Cika mencelah sedikit demi sedikit ke dalam fikirannya. Dia mengerutkan dahinya memandang perempuan di sampingnya yang kelihatan pelik. Sudahlah muncul tiba-tiba entah dari mana, tiba-tiba dia disyarah pula fasal dosa dan pahala.

“Beginilah pakcik, senang cerita kalau pakcik betul tak ada kerja, apa kata kalau pakcik kerja aje kat syarikat saya. Syarikat saya tengah mencari pengawal keselamatan sekarang ni. Kalau sanggup, esok pakcik datang bawa resume ke apa ke yang patut. Kita bincang baik-baik. Tapi sekarang ni saya minta pakcik jangan buat kerja bodoh ni.”

Lelaki itu terkelip-kelip memandangnya. Kata aku buat kerja bodoh pulak! Yang kau tu apa yang kau buat kat serambi ni? Fikir lelaki itu seraya memandang Cika yang asyik memerhatikan ke arah deretan kereta polis yang sudah memenuhi bawah bangunan itu.

“Awak nak bagi saya kerja?”

Cika mengangguk. “Yalah, saya dah kata semua masalah ada jalan penyelesaiannya. Sekarang pakcik dah selesai satu masalah. Pakcik dah ada kerja, tentu masalah anak isteri pakcik pun boleh selesai.”

“Betul?”

Cika mengangguk lagi. Tak percaya pulak! Aku sekeh kang!

“Sekarang kita masuk dalam ya pakcik?” Pujuknya dengan harapan, minta-mintalah lelaki itu bersetuju. Dia sudah gayat bercampur kejang kaki jika masih berlama-lama di situ.

Lelaki itu mengangguk, lalu membalikkan tubuh. Beberapa orang yang berada di tingkap segera memberi laluan, lalu menarik orang tua itu ke dalam. Cika pula mengekori dari belakang. Tapi belum sempat dia mahu memanjat masuk, suatu suara muncul di gegendang telinganya.

“Cika dear!

Cika meluruskan pandangan. Dari tepi tingkap dia melihat kelibat Datuk Fakhri dan Gina meluru masuk ke dalam ruang pejabat guaman itu. Akibat terkejut melihat orang tua itu, Cika tidak dapat menyeimbangkan tubuh lalu tergelincir. Tubuhnya terdorong ke belakang. Gina yang menyedari bahaya yang datang segera menjerit nyaring.

Cika sudah tidak mampu berbuat apa-apa. Di kepalanya hanya terfikir tentang mati sahaja. Apakah ajalnya sudah sampai? Dia memejamkan mata. Hanya mampu berserah.

Tapi serentak dengan itu juga dia merasakan pergelangan tangannya tiba-tiba dipaut lalu ditarik ke dalam. Cika segera membuka mata. Di hadapannya berdiri seorang lelaki, memakai jaket kulit berwarna hitam, sedang merenung tajam ke arahnya. Untuk seketika. Cika terpaku seperti patung. Alamak! Dia lagi!

Perlahan-lahan dia ditarik ke dalam. Dia hanya membiarkan sambil matanya tidak berganjak dari wajah orang yang menyelamatkannya.

Semua orang menerpa ke arah Cika. Masing-masing risau dengan situasi tadi. Gina yang hampir keputusan nafas segera mendekati gadis itu yang sudah ditarik masuk dari arah tingkap. Datuk Fakhri juga! Cika yang diterkam mula mencari wajah yang menyelamatkannya tadi, tapi lelaki itu menghilang pantas entah ke mana.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh