PETANG itu Sara Raihana berada di sekolah kerana bertugas melatih pasukan
bola jaring. Dia dan Cikgu Amirah bergilir-gilir bertugas melatih pasukan itu disamping
Cikgu Maimunah sebagai pengurus pasukan. Suasana agak sunyi di kawasan bangunan
sekolah kerana kebanyakan pelajar berada di padang atau di kawasan sekitar
sekolah untuk aktiviti sukan dan riadah.
Selesai tugas melatih pelajar petang itu, Sara Raihana menghampiri
tempat meletak kereta untuk pulang ke rumah. Tiba-tiba dua orang pelajar
perempuan berlari-lari mendapatkannya.
“Cikgu, ada pelajar perempuan dan lelaki kat tingkat atas sana,”
ujar salah seorang pelajar itu sambil menuding ke arah kelas tingkatan lima
yang dimaksudkan.
“Hah? Apa yang mereka buat?” tanya Sara Raihana inginkan
kepastian.
“Mereka buat maksiat, cikgu,” kata seorang lagi pelajar.
Sara Raihana terfikir seketika lalu dia mendail nombor telefon
Cikgu Siti Aminah yang dilihat masih di padang. Cikgu Siti Aminah datang
bersama-sama tiga orang pelajar lelaki yang merupakan pengawas sekolah. Cikgu
Siti Aminah menyuruh pelajar perempuan yang membuat laporan itu tidak mengikut
mereka sebaliknya pergi ke padang menyertai pelajar yang lain.
“Jom, Sara kita jadi pegawai pencegah maksiat petang ni,” kata
Cikgu Siti Aminah sambil bergerak ke arah tangga.
Sara Raihana hampir ketawa
mendengar gelaran itu. Pelbagai kerja yang boleh dibuat seorang guru, macam kopi pracampuran
7 dalam 1. Mereka bergerak dalam dua pasukan dan mengepung dari arah kiri dan
kanan kelas itu. Cikgu Siti Aminah mengarahkan mereka bergerak secara
perlahan-lahan ke arah pintu yang tertutup sebelah. Mereka menyerbu masuk
tatkala pelajar lelaki sedang bercumbu rayu pelajar perempuan itu. Kedua-dua pelajar
itu terkejut dengan kehadiran guru dan pengawas yang tidak diduga.
“Kamu buat apa, hah?” sergah Cikgu Siti Aminah.
“Kami tak buat apa-apa pun,” kata pelajar perempuan itu.
Sara Raihana masih mengingati pelajar itu walaupun telah tiga
tahun tidak mengajarnya. Masakan dia boleh lupa pada orang yang telah
menyebarkan cerita yang bukan-bukan tentang dirinya dengan Chan Chee Hong?
“Julia?” Terkeluar juga nama itu melalui mulut Sara Raihana.
Julia yang baru menyedari kehadiran Sara Raihana turut terkejut.
Cikgu yang pernah dibencinya ada di situ.
“Oh, cikgu pun ada. Cikgu nak buat fitnah kat saya pulak ke? Nak
balas dendam?” tuduh Julia.
“Apa maksud awak, Julia? Balas dendam apa?” tanya Sara Raihana.
“Cikgu jangan nak berlakon baik. Saya tahu perangai cikgu yang
sebenar. Tapi disebabkan cikgu dah berjaya pengaruhi pengetua, cikgu dan Abang
Chan tak diambil tindakan. Kali ni cikgu sengaja nak perangkap saya, kan?” kata
Julia beremosi marah.
“Kamu jangan kurang ajar
dan memutar belit kenyataan, Julia. Jangan nak nafi lagi. Bukan Cikgu Sara yang
perangkap kamu tapi kamu sendiri yang berkhalwat dengan Asraf kat sini.
Mengikut laporan, kamu kerap ke sini ketika orang lain berada kat padang. Bukan
ke sepatutnya kamu pun berada kat padang? Kenapa berada kat dalam kelas pulak?”
kata Cikgu Siti Aminah dengan tegas.
Cikgu Siti Aminah menyuruh salah seorang pengawas mencatatkan nama
mereka berdua untuk diambil tindakan selanjutnya. Asraf cuba merayu agar mereka
tidak dikenakan tindakan disiplin tetapi rayuan mereka ditolak.
“Cikgu tak adil, pengetua pun tak adil. Bila saya berkata benar tentang
Cikgu Sara dengan Abang Chan, saya yang kena tindakan disiplin. Tapi mereka
berdua lepas. Entah-entah lebih daripada saya pun mereka dah buat. Depan mata
saya mereka berpeluk-pelukan tanpa silu. Kalau kat belakang, tentu lebih lagi.
Silap-silap dah terlanjur,” lancang tuduhan yang dibuat Julia. Dendamnya masih
tersimpan buat Sara Raihana.
Sara Raihana terasa ingin menampar mulut Julia yang celopar.
Tetapi disebabkan fikirannya masih waras, dia hanya mendiamkan diri membiarkan
Cikgu Siti Aminah mengendalikan kes itu.
“Jangan kurang ajar! Itu jugak satu kesalahan yang boleh dicatat
kerana melawan guru dan mengeluarkan kata-kata fitnah. Julia, kamu mintak maaf
pada Cikgu Sara,” arah Cikgu Siti Aminah.
Tetapi Julia enggan berbuat demikian.
“Julia, ingat bahawa dosa sesama insan takkan diampunkan ALLAH
kecuali kamu meminta maaf terhadap orang yang kamu umpat atau fitnah tu,” kata
Cikgu Siti Aminah lagi.
Julia tetap enggan meminta maaf menyebabkan kesalahan itu turut
dicatat di dalam laporannya. Cikgu Siti Aminah mengarahkan mereka balik ke
asrama kerana waktu itu pelajar lain telah pulang ke asrama dari padang.
“Kak Siti, terima kasih
kerana bantu saya tadi,” ucap Sara Raihana.
“Tak apa. Dah jadi tanggungjawab kita sebagai guru untuk bentuk
dan didik pelajar setakat mana yang kita mampu. Kak Siti harap Sara tak ambil
hati dengan kata-kata Julia. Dendam dia pada Sara masih membara,” ujar Cikgu
Siti Aminah.
“Ya, Sara tahu dia masih berdendam tapi Sara tak ambil hati. Sara
harap suatu hari nanti dia akan sedar dan insaf. Terasa semakin mencabar tugas
kita kini. Pelajar makin kurang adab dan sopan,” kata Sara Raihana dan
disetujui Cikgu Siti Aminah.
Sara Raihana meminta diri untuk pulang ke rumah. Mereka sama-sama
bergerak ke kereta dan menuju ke destinasi masing-masing. Sesampainya Sara
Raihana di rumah, dia mendapati Farid ada di penjuru halaman sedang membersihkan longkang yang tersumbat.
Telah hampir enam bulan Sara Raihana mengenali Farid dan dia melihat Farid amat
rajin membantu kerja-kerja di rumah Mak Zainab. Mak Zainab selalu memuji Farid
di hadapan Sara Raihana dan berharap agar mereka dapat menjadi pasangan yang bercinta dan akhirnya mendirikan rumah
tangga.
Sara Raihana kurang menyukai sikap Farid yang menghisap rokok
serta suka mengawal pergerakannya. Hampir setiap hari Farid akan bertanyakan
diri Sara Raihana dan di mana dia berada. Seolah-olah ke mana sahaja Sara
Raihana pergi dia perlu tahu. Telah berkali-kali dia mengajak Sara Raihana keluar
bersama tetapi Sara Raihana tidak mahu sebaliknya hanya akan berjumpa Farid di
rumah sahaja. Itupun dengan kehadiran Mak Zainab.
“Sara,” panggil Farid apabila dilihatnya Sara Raihana ingin masuk
ke dalam rumah.
“Kenapa?” tanya Sara Raihana sambil memberhentikan langkah.
“Mari ke sini sekejap.”
Sara Raihana berjalan ke arah Farid. Farid meletakkan penyodok
longkang di tepi pagar dan menarik asap rokok dalam-dalam. Kemudian puntungnya
dicampakkan ke tanah. Kemudian asap rokok itu dilepaskan ke udara. Sara Raihana
terbatuk kecil kerana terhidu asap rokok itu. Farid hanya ketawa melihat Sara Raihana.
“Apanya, cakaplah? Sara dah penat ni, nak rehat.”
“Sara ni, tak romantik langsunglah. Farid ajak Sara keluar, Sara
tak nak. Alih-alih tepi longkang nilah tempat dating kita,” kata Farid sambil mengenyit
mata.
“Kalau setakat tu aje yang Farid nak cakap, Sara mintak diri
dulu,” jawab Sara Raihana sambil mengorak langkah.
Sepantas kilat tangan Sara Raihana dipegang Farid. Sara Raihana
yang terkejut dengan tindakan itu menarik kembali tangannya secara kasar.
“Sombong! Pegang sikit pun tak bagi.”
“Sara tak sukalah. Kita bukan ada apa-apa hubungan, tak elok kalau
orang tengok.”
“Kalau macam tu apa kata kalau Farid masuk meminang?” tanya Farid
menduga.
“Sara ada ibu bapa. Biar mereka yang buat keputusan,” jawab Sara
Raihana memberi alasan.
“Baiklah. Farid akan jumpa ibu bapa Sara. Tapi Sara kena tolong
Farid dulu.”
“Tolong apa?” tanya Sara Raihana.
“Farid perlukan lagi RM10,000 untuk pembedahan jantung mak Farid kat
kampung. Doktor cakap kena segerakan pembedahan tu. Farid dah berhabis banyak
duit untuk mak, tapi tak cukup lagi. Farid pinjam duit Sara dulu, boleh tak?”
“Sara mana ada duit sebanyak tu.”
“Tak mungkin Sara tak ada simpanan langsung. Sara bukannya berbelanja
banyak duit gaji Sara. Farid rasa duit Sara tentu ada, tapi saja Sara tak nak
tolong Farid.”
“Siapa kata Sara tak berbelanja? Sara pun kena guna duit untuk
minyak kereta, makan minum, pakaian dan macam-macam lagi.”
“Banyak mana sangat kalau belanja setakat tu? Paling kurang
RM1,000 sebulan Sara boleh simpan. Baiklah kalau Sara tak nak tolong. Biarlah
mak Farid meninggal aje.”
“Janganlah cakap macam tu. Simpanan Sara tu memang ada tapi tak
sebanyak tu yang boleh Sara beri.”
“Berapa yang Sara boleh beri?”
Muka Farid telah nampak ceria kerana ada tanda-tanda Sara Raihana
akan meminjamkan wang kepadanya.
“Sara boleh beri pinjam setakat RM5,000 aje. Selebihnya Farid
carilah kat tempat lain,” kata Sara Raihana agak perlahan.
“Betul? Terima kasih, Sara,” ucap Farid.
Tangannya ingin memeluk Sara Raihana tetapi Sara Raihana mengelak.
Dia tidak suka diperlakukan begitu.
“Sorry. Farid gembira sangat tadi. Bila boleh Sara beri duit
tu?”
“Esok dan tolong SMS nombor akaun Farid.”
Farid hanya mengangguk.
“Sara mintak diri dulu,” kata Sara Raihana sambil berlalu pergi.
Farid hanya memerhati langkah Sara Raihana dengan senyuman
melebar. Segera dia menyalakan sebatang lagi rokok sebelum menyambung kembali
kerja-kerja membersihkan longkang yang tergendala.
BERITA tentang Farid ingin masuk meminang Sara Raihana telah sampai ke
pengetahuan Mak Zainab, ibu bapa Sara Raihana dan Norita. Mereka sangat gembira
dengan berita itu dan berharap Sara Raihana akan bertemu jodoh dengan Farid.
Sara Raihana hanya mendiamkan diri bila Norita bertanya tentang perasaannya terhadap Farid.
“Betul ke kau dah buat keputusan terima Farid?” tanya Norita
ketika mereka sedang makan di kantin sekolah.
“Entah,” jawab Sara Raihana acuh tak acuh.
“Kenapa ni?”
“Aku tak pasti, Ita. Dalam hati aku tak ada perasaan langsung
terhadap dia.”
“Kalau macam tu, kenapa dia kata nak meminang kau?”
“Itu dia yang kata. Aku tak kata setuju lagi.”
“Kalau dia pinang kau, adakah kau akan menolak?”
“Entah, aku tak pasti. Aku serahkan aje keputusan pada ibu dan
bapa aku.”
“Kau kena pastikan betul-betul hati kau. Jangan pulak kau menyesal
kemudian hari.”
Sara Raihana hanya memikirkan kata-kata Norita itu. Tiba-tiba
bunyi isyarat mesej masuk di telefon Sara Raihana. Nama yang tertera adalah
nama Iman atau nama penuhnya Muhamad Nur Iman Chan alias Chan Chee Hong. Sara
Raihana mengerling sekilas mesej itu, ucapan tahniah daripadanya kerana Sara
Raihana bakal bertemu jodoh.
Dalam hati Sara Raihana menggerutu kerana tentu
ibu atau bapanya telah memberitahu berita itu kepada Iman yang masih
belajar di universiti. Iman menghantar mesej lagi untuk meminta izin bercakap
dengannya tetapi Sara Raihana menolak dengan alasan masa itu tidak sesuai dan
meminta Iman menghubunginya sebelah malam.
“Sara, jom temankan Kak Habsah ambil piala dan pingat untuk
kejohanan sukan kita kat kedai,” ajak Ustazah Habsah ketika Sara Raihana telah
masuk ke bilik guru.
Sara Raihana bertugas di bahagian yang sama dengan Ustazah Habsah
untuk kejohanan sukan itu.
“Baiklah. Kita nak pergi naik apa? Van sekolah?” tanya Sara
Raihana.
“Kita naik kereta Kak
Habsah dahlah.”
Sara Raihana mengangguk. Mereka berdua kemudian menaiki kenderaan
menuju ke pusat bandar. Kedai itu terletak di Jalan Panggung Wayang. Mereka
memarkir kenderaan betul-betul di hadapan kedai setelah berpusing dua kali.
“Susah betul nak parkir kereta. Orang makin ramai kat bandar ni,”
komen Ustazah Habsah.
“Mungkin orang suka tinggal kat sini, jadi penduduknya pun
bertambah,” jawab Sara Raihana sekadar memberi pendapat.
Mereka memasuki kedai itu dan meminta hadiah untuk kejohanan itu
yang terdiri daripada pelbagai pingat dan piala. Ustazah Habsah membawa senarai
nama piala dan pingat yang perlu diambil. Mereka meneliti hadiah untuk
kejohanan itu secara teliti takut ada kesilapan yang berlaku.
Sedang Sara Raihana meneliti pingat-pingat itu, tiba-tiba matanya
terpandang kelibat manusia yang amat dikenalinya sedang berpegangan tangan
dengan orang yang dikenalinya juga. Darahnya terasa mendidih dan hatinya
tergores. Ustazah Habsah mengajak Sara Raihana pulang ke sekolah setelah
selesai memasukkan piala dan pingat ke dalam kereta.
“Sara, kalau Kak Habsah tanya boleh tak?”
“Boleh.”
“Betul ke Sara nak kahwin?”
“Siapa beritahu Kak Habsah? Iman?”
“Ya. Iman yang beritahu tadi. Tahniah, Sara. Semoga kekal ke anak
cucu,” ucap Ustazah Habsah.
Sara Raihana hanya menyambut kata-kata ucapan itu dengan wajah
kelat. Betulkah dia akan berkahwin dengan Farid? Hatinya mula tertanya-tanya.