IZZAT Hafis sekeluarga bertolak pulang ke Taiping
setelah selesai Solat Maghrib dan menjamah hidangan
ringan di rumah Mak Long Hawa, kakak Pak Razak.
Izzat Hafis menaiki kereta Proton Perdana bersamasama
bapa, adik bongsu, sepupu dan pak ngahnya
manakala ibunya, Mak Zainab menaiki kereta bersamasama
abang, kakak ipar, anak saudara dan mak ngahnya. Dia
sempat menghantar mesej kepada Sara Raihana tetapi tidak
berbalas.
Mungkin Sara sedang sibuk sekarang atau mungkin masih
menunaikan Solat Maghrib, bisik hati Izzat Hafis.
Hujan turun renyai-renyai di sepanjang jalan dari Pulau
Pinang menghala ke Taiping. Pak Razak membawa kereta
dengan berhati-hati kerana jalan agak licin. Sesekali dia
mencuri pandang ke belakang bagi melihat kereta anaknya
yang mengekori di belakang. Kereta anaknya agak ketinggalan
sedikit di belakang, berselang dua buah kereta yang lain.
“Izzat, esok pukul berapa kita nak pergi rumah Sara?”
tanya Pak Ngah Salim memecahkan kebisuan di dalam
kereta.
“Kita pergi awal sikitlah. Kalau boleh kita bertolak pukul
10.00 pagi dan boleh rehat dulu kat rumah Long Hawa. Kita
pergi rumah Sara lepas Zohor,” balas Izzat Hafis.
“Hmm... kalau macam tu Pak Ngah datang rumah Izzat
pukul 9.45 pagi boleh tak? Pak Ngah nak kena hantar barang
pelanggan dulu,” kata Pak Ngah Salim yang merupakan
seorang peniaga di Bazar Melayu.
“Tak apa. Kami pasti tunggu Abang Salim. Mana boleh
tinggal ketua rombongan pengantin. Kalau tak ada Pak Ngah
Salim, siapa nak jadi jurucakap nanti? Abah tak pandai nak
berpantun-pantun,” sampuk Pak Razak tiba-tiba.
Mereka semua ketawa gembira.
“Banyak pulak bas dan lori waktu ni,” kata Pak Ngah
Salim separuh merungut.
Selalunya kenderaan berat akan bergerak pada waktu
malam untuk mengelakkan kesesakan jalan raya.
Pak Razak memandang cermin pandang belakang dan
dia dapat melihat anak bongsunya, Imran Hafis dan anak
Pak Ngah Salim, Harris sedang lena dibuai mimpi. Izzat Hafis
sedang leka menghantar mesej. Tiba-tiba Pak Ngah Salim
menjerit memberi amaran.
“Jak, hati-hati! Lori!”
“Ya ALLAH!”
“Argh!!!”
Bunyi dentuman memenuhi ruang angkasa.
SARA Raihana melangkah masuk ke bilik ditemani
sepupunya, Amalina yang baru tiba dari Negeri Sembilan.
Amalina memuji-muji susun atur dan pemilihan warna bilik
Sara Raihana yang dijadikan bilik pengantin.
“Cantiklah bilik ni. Siapa yang siapkan?” tanya Amalina
sambil memandang sekeliling bilik.
“Kak Haida dan Kak Emma dari Butik Idaman Pengantin.
Sara tolong jugak, tolong tengok.”
“Kalau setakat tolong tengok, aku pun boleh.”
Senda gurau kedua-dua sepupu itu terhenti seketika
apabila telefon Sara Raihana berbunyi tanda ada satu mesej
yang masuk. Telefon yang terbiar di atas meja segera diambil.
Terpapar di skrin, empat mesej yang belum dibaca. Tiga
mesej daripada Izzat Hafis dan sebuah mesej yang baru
masuk daripada Cikgu Maimunah.
Amalina hanya memerhati perlakuan sepupunya sambil
duduk di atas katil. Punggungnya dihenyak berulang kali
untuk merasakan keanjalan tilam itu. Sara Raihana duduk di
sebelah Amalina sambil menekan butang buka pada mesej
pertama Izzat Hafis.
Sayang, abang dah
bertolak pulang ke Taiping.
Kalau dah sampai nanti,
abang call. Miss u...love u...
Senyuman lebar terukir di bibir Sara Raihana. Dia
membaringkan tubuh di atas katil sambil diperhati Amalina.
Mesej kedua pula dibuka lalu puisi yang tertera dibaca.
Kau begitu istimewa di
mataku, di hatiku, di jiwaku
Kerana itulah aku ingin
selalu berada di sampingmu
Baik dalam suka dukamu
Dalam sihat dan sakitmu
Isteriku... Kau adalah
hal terindah dalam hidupku
Terima kasih kerana
telah memilihku...
Sara Raihana, I love
u...
Ayat-ayat cinta Izzat Hafis amat menyentuh kalbu.
Kebahagiaan meresap ke seluruh hati dan sanubarinya.
Senyuman di bibir makin melebar. Tanpa berlengah dia
membuka mesej ketiga daripada Izzat Hafis.
Yang paling asyik dalam
sebuah perkahwinan
adalah jatuh cinta
lagi, lagi dan lagi, pada orang
yang sama. I love u
more than I can say...
“Amboi! Senyum seorang-seorang. Apa yang ditulis?
Boleh kongsi?”
Pertanyaan Amalina mengejutkan Sara Raihana.
“Mana boleh. Untuk aku seorang aje ni.”
“Kedekut”
“Tahu tak apa.”
Ketawa gembira mereka berdua terhenti apabila telefon
Sara Raihana berbunyi nada lagu nasyid In-Team, Kasih
Kekasih. Sara Raihana tahu itu adalah nada dering untuk
panggilan telefon Izzat Hafis. Segera dia menjawab panggilan
itu dengan hati yang sungguh gembira. Tentu Izzat Hafis telah
tiba di Taiping kerana jarak antara Taiping dan Bukit Mertajam
tidak begitu jauh, hanya 45 minit perjalanan kereta.
“Assalamualaikum. Abang dah sampai, ya?” tanya Sara
Raihana dengan sungguh ceria.
Senyap.
“Abang, Sara dah baca mesej abang.So sweet. I love you,
abang.”
Senyap.
“Abang? Abang dengar tak?”
“Sara, ini Abang Khairul.”
“Eh Abang Khairul, maaf. Tadi Sara ingat Abang Izzat.”
Sara Raihana terasa malu seketika kerana terburu-buru
bercakap tanpa mengenal pasti pemanggilnya. Tapi bukankah
itu telefon Izzat? Kenapa pula Abang Khairul Hafis, iaitu
abang kepada Izzat Hafis yang menelefonnya? Hatinya mulai
tertanya-tanya.
“Banyak-banyak bersabar, Sara.”
Ada nada sayu dan pilu dalam suara Khairul Hafis.
“Kenapa?”
Sara Raihana mulai cemas dan terus duduk di atas katil.
Amalina yang melihat perubahan wajah sepupunya turut
bangun daripada pembaringan dan memerhati wajah itu
dengan tanda tanya.
“Sara, kereta abah kemalangan kat Bukit Merah. Izzat...
Izzat cedera parah.” Ada suara pilu di hujung talian.
“Apa? Tak mungkin!”
Sara Raihana amat terkejut dan terkaku di situ. Telinganya
masih mendengar suara Khairul Hafis memberitahu
bahawa Izzat Hafis telah dibawa ke Hospital Taiping dan dia
diminta untuk segera ke sana. Telefon yang berada di dalam
genggaman terlepas dan deraian air matanya tidak dapat
ditahan lagi. Dia memeluk Amalina yang sedang terpingapinga
di hadapannya.
“Sara, kenapa? Apa yang telah berlaku?”
“Izzat...Izzat kemalangan. Dia cedera parah.”
Tangisan Sara Raihana makin menjadi-jadi dan
menyebabkan Amalina turut mengalirkan air mata.
Kak Haida yang kebetulan lalu di hadapan bilik Sara
Raihana segera mendapatkan mereka. Dia cuba memastikan
kenapa kedua-dua saudara sepupu itu sedang bertangisan.
“Sara, Amal, apa yang dah berlaku?” soal Kak Haida
kehairanan.
“Kak Haida, Izzat kemalangan. Dia cedera parah,” terang
Amalina sambil menyeka air mata.
Kak Haida terkejut dan terdiam seketika. Terbayang
wajah Izzat Hafis yang ceria petang tadi ketika di bilik
pengantin. Air matanya mengalir laju tanpa sedar. Dia
kemudian memberitahu ahli keluarga yang lain. Tanpa
berlengah mereka segera bersiap dan bertolak ke Taiping.
Perjalanan terasa jauh bagi Sara Raihana. Tidak berhentihenti
hatinya berdoa agar suaminya selamat daripada bahaya
dan segera pulih seperti sediakala. Berkali-kali dia melihat
jam dengan resah dan gelisah. Sesekali air matanya berjurai
di pipi tetapi segera diseka air mata itu dengan tisu yang
sudah sememangnya lencun.
Mak Cik Rohaya berkali-kali menasihati Sara Raihana
agar bersabar dan banyak berdoa kepada ALLAH. Sebenarnya
hatinya juga terasa amat pedih dan resah memikirkan nasib
menantunya dan juga mereka yang berada di dalam kereta
ayah Izzat Hafis.
Apabila mereka tiba berhampiran Bukit Merah, mereka
dapat menyaksikan lori panjang yang tersadai di tepi
jalan dengan tayar hadapannya pecah dan terdapat kesan
kemalangan. Trak penunda sedang bersiap sedia untuk
menunda lori itu.
Hati Sara Raihana berdetik. Adakah lori itu yang terlibat
dalam kemalangan dengan kereta bapa mentuanya? Lokasi
kejadian juga sama seperti yang diberitahu Khairul Hafis
tadi. Cuma dia tidak tahu nasib yang menimpa mereka yang
lain. Khairul Hafis tidak memberitahunya. Seolah-olah ada
perkara yang disembunyikan.