Home Novel Keluarga I LOVE YOU CIKGU
Bab 21

Tiga tahun berlalu...

KRING...kring...kring! Bunyi jam loceng mengejutkan Sara Raihana daripada lena. Dicapainya jam loceng itu lalu dimatikan penggeranya. Matanya masih berat untuk dibuka. Mungkin kesan keletihan akibat perjalanan pulang dari berkursus di Kuala Lumpur.

“Sara...Sara...”

Terdengar suara memanggil namanya diikuti ketukan di pintu secara bertalu-talu. Matanya segera terbuka dan sepantas kilat dia melompat turun dari katil dan bergerak ke pintu. Bila pintu dibuka, dilihat Mak Zainab sedang berdiri memandangnya dengan kehairanan.

“Sara tak siap lagi? Dah dekat pukul 7.00 pagi, nanti lewat pulak ke sekolah,” kata Mak Zainab.

“Ya, ALLAH. Terlajak tidur pulak,” kata Sara Raihana sambil tergopoh-gapah berlari ke bilik air.

Mak Zainab terus ke dapur dan memasukkan sarapan ke dalam bekas untuk Sara Raihana. Dia tahu Sara Raihana tak mungkin sempat makan seperti selalu. Sejak Sara Raihana tinggal dengannya dua bulan lepas, kehidupan Mak Zainab bertambah ceria. Dia tidak perlu risau akan keselamatan Sara Raihana yang tinggal menyewa seorang diri semenjak Norita berkahwin. Dia sememangnya menyayangi Sara Raihana seperti anaknya sendiri.

Sara Raihana muncul dengan pakaian kerjanya dan dengan kelam-kabut mencapai kunci kereta barunya, Honda Jazz model 2005. Mak Zainab mengiringi langkah Sara Raihana ke kereta. Bekal makanan yang disediakan diambil Sara Raihana tanpa soal. Dia sudah terlewat dan hanya ada 15 minit sebelum masuk waktu bekerja.

“Mak, Sara pergi dulu,” kata Sara Raihana sambil mencium tangan Mak Zainab.

“Ya, hati-hati bawak kereta,” jawab Mak Zainab sambil memerhatikan Sara Raihana yang sedang mengundurkan kereta dari garaj.

Kereta yang diundur tidak bergerak jauh dan tayarnya mengeluarkan bunyi seperti telah kempis. Segera Sara Raihana keluar dari kereta dan menuju ke tayar belakang. Mak Zainab turut mengekori langkah Sara Raihana.

“Kenapa tayar ni pancit waktu-waktu begini?” kata Sara Raihana separuh menyebal. Dalam hati ada kehairanan kerana keretanya baru dibeli tidak sampai dua bulan.

“Teruk pancit ni, Sara,” kata Mak Zainab sambil memeriksa tayar itu seolah-olah mekanik lagaknya.

“Sara dah lambat. Nak buat macam mana ni?” soal Sara Raihana yang seperti cacing kepanasan.

“Cuba telefon Ita atau sesiapa. Mintak tolong ambil Sara,” ujar Mak Zainab memberi cadangan.

Sara Raihana mencapai telefon bimbit sambil mendail nombor Norita tetapi tidak diangkat walaupun dia mendail berkali-kali. Dia mencuba pula nombor Cikgu Maimunah, pun tidak dijawab. Dia tahu waktu-waktu begini masing-masing akan sibuk sama ada baru sampai ke sekolah atau masih di dalam perjalanan dan kemungkinan untuk tidak mendengar panggilan adalah besar.

“Kenapa, mak cik? Ada masalah ke?” tanya jiran sebelah mereka, Farid.

Farid baru berpindah masuk setelah Alif Ajmal berkahwin dengan Norita dan berpindah keluar.

“Tayar kereta anak mak cik pancit. Dia dah lambat nak pergi kerja,” jawab Mak Zainab sambil menunjukkan ke arah tayar kereta.

“Saya pun sebenarnya nak ke tempat kerja. Kalau tak keberatan bolehlah saya hantarkan,” pelawa Farid dengan senyuman manis.

“Tak menyusahkan Farid ke?” tanya Mak Zainab. Terasa lega kerana saat-saat kecemasan seperti itu ada orang sanggup membantu.

“Tak. Marilah saya hantarkan,” pelawa Farid lagi.

“Sara, biarlah Farid yang hantar Sara. Nanti terlewat sampai Sara susah pulak,” kata Mak Zainab bila dia melihat Sara Raihana tidak berkata apa-apa.

Sara Raihana hanya mengangguk dan mengeluarkan semua barang yang perlu dibawa dari keretanya dan kemudian memasukkan ke kereta Farid yang telah menunggu. Mereka terus berlalu dari situ. Jalan agak sibuk di hadapan sekolah-sekolah yang dilintasi mereka. Sara Raihana kegelisahan kerana dia tidak pernah selewat itu ke tempat kerja.

“Dah lama ke awak mengajar kat sekolah tu?” tanya Farid setelah dia melihat Sara Raihana hanya mendiamkan diri.

“Nak masuk tiga tahun,” jawab Sara Raihana. Kemudian dia bertanya setelah terperasan uniform yang dipakai Farid.

“Awak warden penjara ke?”

“Ya dan lepas ni jika awak nak tumpang, beritahulah sebab kita sejalan,” jawab Farid sambil memberhentikan keretanya di lampu isyarat berhampiran penjara, jalan ke sekolah Sara Raihana.

“Terima kasih ajelah. Saya boleh drive sendiri,” jawab Sara Raihana.

“Baiklah. Tapi bila-bila perlu jangan segan-segan beritahu.”

Sara Raihana hanya mengangguk sambil tersenyum. Apabila lampu isyarat bertukar hijau, Farid membelokkan kereta menuju jalan ke sekolah itu.

“Sara, nanti petang saya tolong tukarkan tayar kereta awak tu. Ada tayarsparetak?”

“Ada. Tak menyusahkan awak ke? Tadi saya fikir nak panggil mekanik aje.”

“Tak perlu panggil mekanik. Tak menyusahkan pun. Lagipun kita hidup berjiran kena tolong-menolong.”

Sara Raihana tidak terkata apa-apa. Setelah tiba di sekolah, Sara Raihana mengucapkan terima kasih atas pertolongan Farid. Dia terburu-buru ke pejabat sekolah untuk menanda kedatangannya hari itu.

“Sara, kau telefon aku ke tadi?” tanya Norita setelah Sara Raihana meletakkan beg di atas meja.

“Ya. Aku telefon berkali-kali, kau tak angkat,” jawab Sara Raihana sambil menarik kerusi untuk duduk.

Sorrylah. Aku buat mod silent semalam, lupa nak tukar semula. Rupa-rupanya banyak missed call dan mesej masuk,” kata Norita sambil melihat skrin telefon.

“Kenapa kau telefon? Ada masalah apa?” tanya Norita lagi.

“Tadi tayar kereta aku pancit. Nak mintak tolong kau ambil aku. Tapi nasib baik ada jiran baru yang hantar aku. Kalau tak lambatlah aku hari ni.”

“Jiran baru? Perempuan ke lelaki?”

“Lelakilah. Bukan kau tak tahu rumah sewa sebelah rumah mak tu hanya untuk penyewa lelaki. Alif pun pernah tinggal kat situ.”

“Ini sudah bagus,” ujar Norita mengangkat kening.

“Bagus apa?” soal Sara Raihana pura-pura tidak tahu maksud Norita padahal dia cukup faham perangai Norita yang sering memadankannya dengan mana-mana lelaki yang dirasakan sesuai dengannya.

“Bolehlah kau berkenalan kemudian bercinta dan kemudian kahwin, macam aku dengan Alif.”

“Eh, ke situ pulak. Dia tolong dengan ikhlaslah.”

“Yalah tu. Tolong ya? Tolong ada makna tu. Tapi kalau dah jodoh kau, alhamdulillah.”

“Banyaklah kau punya jodoh. Kalau dengar kau berceloteh tak masuk kelas pulak nanti. Aku pergi dulu,” kata Sara Raihana sambil mengambil buku dan beg tangan untuk ke kelas.

Norita hanya memandang Sara Raihana sambil tersenyum. Norita tidak tinggal lagi dengan Sara Raihana setelah berkahwin dengan Alif Ajmal tiga bulan lepas. Walaupun keluarganya menentang keras pada mulanya tetapi berkat kesabaran dan kesungguhan Alif Ajmal yang sanggup menuruti semua syarat yang diberikan keluarganya, barulah mereka disatukan.

“Ita, Sara cerita apa kat kau?” tanya Hajar yang tiba-tiba muncul di sebelahnya.

“Cerita apa?” tanya Norita walaupun dia tahu Hajar ingin mengorek rahsia Sara Raihana. Dia cukup masak dengan perangai Hajar yang suka menjaga tepi kain orang.

“Cerita pasal orang yang hantar dia tadi,” jawab Hajar cuba memancing cerita.

“Mana Kak Hajar tahu ada orang yang hantar Sara? Kak Hajar pakai jin ke apa?”

“Hisy kau ni, cakap tak bertapis. Aku tengok dengan mata aku sendiri. Orangnya boleh tahan, warden penjara,” kata Hajar lagi.

“Warden penjara? Mana Kak Hajar tahu?”

“Aku nampak dia pakai uniform jabatan penjara. Tentu warden penjara. Siapa dia tu?Boyfriendbaru Sara ke?”

“Entahlah. Mana saya tahu.”

“Tak mungkin kau tak tahu. Kau kawan baik dia.”

“Memanglah saya kawan baik dia tapi saya taklah menyibuk segala urusan peribadi dia,” kata Norita sambil mencapai beg tangan dan terus berlalu dari situ. Dia ingin mengelakkan diri daripada terus berbicara dengan Hajar. Hajar sekadar menjuih bibir melihat Norita berlalu pergi.


PETANG itu Farid menolong Sara Raihana menukar tayar kereta seperti yang dijanjikan. Berpeluh-peluh badannya membuka tayar yang pancit dan menukarkannya dengan tayar ganti. Sara Raihana hanya memerhati kerja-kerja Farid. Mak Zainab keluar dengan sedulang minuman dan diletakkan di meja taman. Setelah selesai kerja-kerja menukar tayar, Farid duduk menikmati minum petang dengan ditemani Sara Raihana dan Mak Zainab.

“Terima kasih Farid kerana telah banyak menolong hari ni,” ucap Mak Zainab.

“Tak apa, mak cik. Dah jadi kewajipan saya sebagai jiran. Hari ni Sara susah, esok-esok mana tahu giliran saya pulak,” kata Farid bermanis mulut.

“Mak cik tinggal berdua aje dengan Sara? Mak cik tak ada anak yang lain?” tanya Farid ingin tahu.

“Sebenarnya Sara ni menantu mak cik. Dia kahwin dengan anak mak cik, Izzat Hafis tapi dia dah meninggal dunia tiga tahun yang lalu,” kata Mak Zainab sambil memegang tangan Sara Raihana.

“Mak cik anggap dia sebagai anak sendiri. Anak sulung mak cik kerja kat TLDM Lumut dan yang bongsu baru darjah enam,” cerita Mak Zainab berterus terang.

“Maafkan saya kerana membuat mak cik dan Sara sedih,” ucap Farid. Takut Sara Raihana terasa hati.

“Tak apa, Sara dah boleh terima pemergiannya,” jawab Sara Raihana.

“Sara tentu seorang yang tabah dan setia. Dah tiga tahun suami Sara meninggal tapi Sara masih tak bersuami semula.”

Sara Raihana tersenyum mendengar komen Farid. Dia akui hatinya masih tidak terbuka untuk mencari pengganti Izzat Hafis. Baginya, hidupnya tetap bahagia dengan perhatian dan kasih sayang daripada Mak Zainab sekeluarga.

“Mak cik suka kalau Sara berkahwin semula tapi Sara ni sentiasa mengelak jika dibangkitkan soal tu. Mak cik ni bukan apa. Mak cik nak lihat Sara gembira dan bahagia. Kalau Sara kahwin tentu ada orang yang akan menjaganya,” ujar Mak Zainab sambil tersenyum penuh makna.

“Mak, walau Sara tak kahwin semula, Sara tetap gembira. Mak dah buat Sara rasa bahagia dan selamat.”

“Sara masih muda dan perlu kehidupan yang lebih baik. Sara patut ada keluarga, suami dan anak-anak yang akan menjaga Sara. Mak harap suatu hari nanti Sara akan berkahwin semula,” ujar Mak Zainab mengharap sambil mengusap-usap lembut tangan Sara Raihana. Dia benar-benar maksudkan apa yang diucapnya itu.

Sara Raihana menggeleng-geleng. Farid hanya diam melihat mereka berdua. Bibirnya mengorak senyuman melihat Sara Raihana.

“Betul apa yang mak cik kata. Sara perlu mencari kebahagiaan sendiri. Saya harap Sara sudi membuka ruang hati untuk menerima lelaki yang bergelar suami suatu hari nanti.” Farid bersuara.

“Entahlah, Farid. Buat masa sekarang, Sara tak nak fikir soal tu. Tapi jika suatu hari nanti ada jodoh Sara, Sara akan berkahwin jugak.”

“Baguslah jika begitu. Saya harap Sara akan menemui jodoh yang sesuai.”

Mak Zainab tersenyum lebar mendengar kata-kata Farid. Hatinya berdoa agar Sara Raihana mendapat jodoh yang baik dan bertanggungjawab.

“Saya mintak diri dulu mak cik, Sara. Nak bersiap-siap pergi ke masjid,” kata Farid dengan sopan.

“Baiklah. Farid rajin solat berjemaah kat masjid ya? Tak ramai dah anak muda yang rajin ke masjid sekarang,” kata Mak Zainab. Dalam hati mula mengagumi Farid.

“Bila lapang baru saya pergi,” kata Farid. Dia melangkah pulang ke rumah setelah memberi salam.

Sara Raihana dan Mak Zainab menjawab salam itu. Mereka kemudian mengangkat cawan dan pinggan yang terdapat di meja taman masuk ke rumah.

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.