Home Novel Keluarga I LOVE YOU CIKGU
Bab 20

CERITA mengenai hubungan Sara Raihana dan Chan Chee Hong telah tersebar dengan cepatnya. Ramai yang mempercayai cerita itu dan memandang sinis kepada Sara Raihana. Ada kawan sekerja yang menjauhi daripadanya malah terdapat juga pelajar yang berani menyindirnya secara tidak langsung. Hal ini membuatkan Sara Raihana menjadi pendiam dan lebih suka menyendiri.

Norita berusaha memberi semangat kepada rakan serumahnya. Dia tidak mahu melihat Sara Raihana berterusan berada di dalam keadaan murung.

“Sara, janganlah dipedulikan sangat cakap-cakap orang tentang kau,” ujar Norita cuba memujuk.

“Ita, aku hairanlah. Kenapa orang masih suka mengata-ngata hubungan antara aku dengan Chan walhal apa yang mereka kata tu tak betul?”

“Biasalah tu, Sara. Ada orang suka mengejek dan mencela disebabkan rasa bongkak, sombong dan memandang rendah pada orang lain. Mungkin jugak ada orang yang cemburukan kau kerana kau cantik dan jadi perhatian lelaki. Bila timbul isu ni, mudahlah mereka nak burukkan nama kau.”

“Bukan salah aku kalau lelaki suka pada aku. Kau pun tahu, aku tak layan semua lelaki tu. Cinta aku pada Izzat tak pernah luntur. Aku tak mungkin cari yang lain.”

“Ya, aku tahu tu. Kau tak pernah layan lelaki lain sebab kau masih ingatkan Izzat. Tapi orang tak tahu semua tu. Aku harap kau takkan mudah mengalah. Lambat-laun orang akan diamkan aje bila kebenaran terbukti.”

“Ya, aku harap fitnah tu akan berhenti selepas ni. Aku dah jumpa pengetua untuk jelaskan segalanya. Aku tahu Chan dan Julia pun dah dipanggil secara berasingan sebelum ni. Pihak pentadbiran dah siasat dan dengar semua keterangan saksi. Mereka tahu Julia yang bertanggungjawab sebarkan cerita yang ditokok-tambah ni. Julia dah diberi amaran keras. Jika dia lakukan satu kesalahan lagi, dia akan dibuang dari sekolah. Sepatutnya kes ni dah dikira selesai.”

“Hmm... aku harap Julia akan insaf.”

“Aku pun harap begitu. Tapi aku tetap malu sebab ada orang kata aku mengidam ‘pucuk muda’ dan dalam diam membela anak ikan.” Wajah Sara Raihana jelas sugul.

“Kau kena banyak bersabar. Biarlah apa orang nak kata, janji kau tahu apa kau buat. ALLAH menilai kita atas apa yang kita kerjakan dan bukan atas apa yang orang cakap.”

“Aku tahu tu. Kadangkala rasa sakit hati jugak. Tak pasal-pasal, aku terpaksa jauhkan diri daripada Chan. Aku kasihankan dia. Tentu dia pun tertekan. Dahlah nak ambil SPM. Jadi masalah macam ni pulak.”

Norita tersenyum memandang Sara Raihana. Hatinya tetap terdetik yang suatu hari nanti pasti Chan Chee Hong akan berterus terang tentang perasaannya terhadap Sara Raihana. Cuma dia tidak pasti adakah Sara Raihana akan menerima Chan Chee Hong?

“Kau hubungi Chan tak?”

“Tak. Aku tak nak orang salah anggap lagi. Buat sementara waktu, aku elakkan diri daripada berjumpa dia. Dia pun tak pernah cari aku lagi. Mungkin dia pun malu dengan apa yang terjadi.”

“Buatlah apa yang baik. Aku harap suatu hari nanti kau akan bertemu jodoh dengan orang yang benar-benar mencintai kau.”

“Hisy, apa kau merepek ni? Aku tak nak kahwin lain. Biarlah Izzat kekal jadi suami aku hingga akhirat.”

“Takkan kau nak menjanda selamanya? Kau patut cari kebahagiaan kau dan lupakan kesedihan.”

“Aku dah cukup bahagia dengan cara aku sendiri. Walaupun terpaksa menjanda selamanya, aku sanggup demi kasih aku pada Izzat.”

“Hmm... ikut suka kaulah. Aku cuma nasihatkan aje. Mungkin sekarang kau tak boleh lupakan Izzat tapi aku yakin suatu hari nanti, kau akan jumpa dengan lelaki yang sesuai untuk kau.”

Sara Raihana hanya menggeleng-geleng sambil tersenyum. Padanya, cintanya tidak akan hilang buat Izzat Hafis. Walau jasad Izzat Hafis dikandung tanah, cinta Izzat Hafis tetap tersemi di hatinya.

“Aku masuk tidur dulu. Esok aku bertugas. Nak kena pergi awal sikit,” kata Norita lalu bangun menuju ke bilik.

Sara Raihana hanya melihat kelibat Norita sehingga Norita hilang di sebalik pintu. Siaran televisyen yang terpasang tidak menarik minat Sara Raihana. Fikirannya masih menerawang mengingati kata-kata Norita sebentar tadi.

Abang, cinta Sara tetap kukuh buat abang. Walau siapa pun yang datang, Sara janji akan pertahankan cinta kita. Sara tak mungkin terima sesiapa selepas ni. Tak mungkin, bisik hati Sara Raihana cuba meyakinkan diri sendiri.


CHAN Chee Hong yang memegang janjinya kepada Ustazah Habsah turut membataskan dirinya daripada berhubung dengan Sara Raihana. Selama tiga bulan Sara Raihana berjaya mengelak dan tidak bertemu secara bersemuka dengan Chan Chee Hong hinggalah pada minggu terakhir persekolahan tahun itu.

Chan Chee Hong telah bertemu dengannya selepas majlis Redha Ilmu untuk pelajar tingkatan lima yang akan menduduki SPM. Disebabkan Sara Raihana tidak mengajar tingkatan lima, jadi dia tidak terlibat dengan majlis itu. Oleh kerana itu Chan Chee Hong datang bertemu dengannya di bilik guru.

“Cikgu, saya mintak maaf atas apa yang telah saya lakukan terhadap cikgu dan halalkan ilmu yang diajarkan dan makan minum saya,” ujar Chan Chee Hong penuh sopan.

“Saya maafkan dan halalkan segala-galanya. Mudah-mudahan Chan akan berjaya mencapai kejayaan dan seterusnya berjaya dalam hidup,” kata Sara Raihana sambil mendoakan Chan Chee Hong.

“Cikgu, boleh tak kita terus berhubung walaupun saya dah tak ada kat sini nanti?” tanya Chan Chee Hong mengharap.

Sara Raihana hanya mengangguk.

“Terima kasih, cikgu. Saya akan sentiasa ingatkan cikgu dan berharap kita akan bersua lagi,” kata Chan Chee Hong.

“Insya-ALLAH,” jawab Sara Raihana.

Sebelum Chan Chee Hong berlalu pergi dia memberikan sekeping kad ucapan dan hadiah untuk Sara Raihana. Sara Raihana mengambil hadiah dan kad itu lalu memasukkannya ke dalam beg. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu orang lain melihat pemberian Chan Chee Hong itu. Takut timbul fitnah baru.


KETIKA di rumah, Sara Raihana membuka balutan hadiah yang diberi Chan Chee Hong perlahan-lahan. Terdapat bingkai gambar kosong di dalam bungkusan itu. Dia meletakkan bingkai gambar itu. Sampul berisi kad dan gambar dibuka. Dia mengeluarkan kad bertulis tangan lalu dibacanya.

If I’ve caused hurt, I’m sorry

I hope you can forgive me

Your love I truly treasure

It’s value no one can measure.

Kad itu diletakkan di tepi dan gambar yang terselit di dalam sampul kad itu diamatinya. Gambar dirinya dan Chan Chee Hong sedang berdiri membelakangi laut ketika lawatan mereka ke Tasik Meromitik. Di dalam gambar itu mereka berdua kelihatan tersenyum gembira. Dia turut tersenyum

mengenang memori itu. Dan bila dialihkan gambar itu, terdapat kata-kata yang menyentuh hatinya.

Please wait for me...

Chan Chee Hong meletakkan harapan yang tinggi terhadapnya. Hatinya menjadi tidak menentu. Haruskah menunggu sesuatu yang tidak pasti? Lagipun Chan Chee Hong tidak pernah melahirkan kata-kata cinta terhadapnya.

Apa yang dilihat cuma perbuatan Chan Chee Hong yang membayangkan keadaan itu. Mungkin sahaja Chan Chee Hong terkeliru. Cintanya pada Sara Raihana sekadar cinta monyet yang akan hilang bila usia menginjak dewasa. Sara Raihana melepaskan sebuah keluhan.

Chan, kau pasti tak sedar yang kau sedang bermain api. Aku takut nanti kau terbakar sendiri. Kau sepatutnya cari orang yang sebaya atau yang lebih muda daripada aku. Kalau kau tahu aku hanya

terima kau sebagai adik, adakah kau akan kecewa? Perlukah aku berterus terang dan melukakan hati kau? Bisik hati Sara Raihana.

Dalam dia melayani perasaan, tiba-tiba di luar bilik dia terdengar bunyi hempasan pintu yang kuat. Dia segera melangkah ke luar bilik untuk melihat apa yang terjadi.

“Ita, kenapa ni?” tanya Sara Raihana.

“Benci...benci...benci!” kata Norita marah-marah.

“Apa yang kau benci ni?”

“Alif.”

“Kau gaduh dengan dia?”

Norita hanya mendiamkan diri.

“Kalau kau tak cakap macam mana aku nak tolong kau?”

“Kalau aku cakap pun kau bukan boleh tolong!” marah Norita.

“Kalau tak nak cakap, sudah! Aku nak masuk bilik,” kata Sara Raihana mahu melangkah pergi.

“Sara,sorry. Aku bukannya tak nak cerita tapi aku tak tahu mana nak mula,” kata Norita menyebabkan Sara Raihana duduk di sisinya semula.

“Kau cerita apa yang penting aje,” ujar Sara Raihana memberi cadangan.

“Alif mintak putus. Tapi salah aku jugak,” kata Norita memulakan cerita.

“Putus? Hari tu beria nak masuk meminang. Kenapa tak jadi?”

“Sebenarnya aku yang tak bagi Alif pergi ke rumah aku untuk meminang. Aku mintak tangguhkan dulu hasrat dia untuk meminang sebab aku tahu ibu bapa aku akan menolak lamaran dia. Sebelum dia dapat malu, lebih baik tangguh. Bila ibu bapa aku dah boleh terima dia, barulah masuk meminang.”

“Habis tu kenapa Alif mintak putus?”

“Dia berkeras nak jumpa orang tua aku. Aku marahlah. Lepas gaduh, tiba-tiba dia kata lebih baik putus sebab aku banyak alasan. Itu yang aku angin satu badan. Tapi sebenarnya aku sayangkan dia, aku tak nak kehilangan dia, Sara.”

“Sabarlah, Ita. Bila dia dah sejuk, kau pergilah pujuk. Lelaki, kalau kena gaya kau pujuk, cairlah hati dia. Lepas dia sejuk, kau berbincanglah elok-elok. Kalau kau benar-benar cintakan dia, kau mesti sanggup hadapi segala dugaan.”

“Aku sedar hal tu sejak mula. Tapi aku takut dia dihina dan dicerca keluarga aku. Aku masak sangat dengan sikap keluarga aku.”

“Cinta perlu diperjuangkan. Jangan cepat mengalah, Ita.”

“Yalah. Aku takkan mengalah. Baru sekarang aku tahu sakitnya bila bercinta,” kata Norita, perlahan.

“Tapi tak sesakit bila tiba-tiba kita kehilangan cinta itu.”

Jawapan Sara Raihana membuatkan Norita terdiam. Dia baru merasakan sedikit sakit akibat cinta tetapi Sara Raihana telah dahulu merasakan kehilangan sedang cintanya mekar di hati.

“Maafkan aku, Sara,” ucap Norita bila dia melihat wajah Sara mulai muram dan ada air jernih tergenang di matanya.

“Tak apa. Kalau dulu bila aku teringat Izzat, rasa macam tak nak hidup lagi. Tapi sekarang bila aku rasa ada sikit kekuatan dan semangat untuk hidup, lain pulak jadinya,” keluh Sara Raihana.

“Maksud kau, Chan?”

Sara Raihana mengangguk.

“Ita, kenapa aku ditemukan dengan orang yang salah pada waktu yang salah sehingga membuat aku menjadi serba salah? Apa perlu aku buat? Perlukah aku menunggu sesuatu yang tak pasti? Kau pun tahu hati aku dah tertutup untuk bercinta lagi.”

“Aku nak lihat kau bahagia, Sara. Lupakan semua masalah yang buat kau kecewa. Aku rasa kau perlu berterus terang dengan Chan. Jangan sebab kau diamkan dia anggap kau terima dia. Aku nak kau kuatkan diri dan anggap aje semua ni sebagai cabaran untuk kau. Carilah kebahagiaan kau dan

bila kau ketemu jangan sesekali berpaling daripadanya,” kata Norita sambil memegang tangan Sara Raihana seolah-olah memberi semangat.

“Terima kasih, Ita. Aku akan cuba jadi kuat dan berterus terang dengan Chan tapi selepas dia selesai mengambil SPM.

Aku tak nak sebab rasa kecewa, dia gagal dalam SPM.”

Norita mengangguk dan mengukir senyuman. Sara Raihana membalas senyuman Norita. Terasa lapang dadanya apabila dapat meluahkan apa yang terbuku di hati.

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.