Home Novel Keluarga I LOVE YOU CIKGU
Bab 14

“TOLONGLAH Kak Mai, Sara. Hajar tak dapat ikut rombongan ke Taman Negara, Pulau Pinang,” rayu Cikgu Maimunah memujuk Sara Raihana untuk menggantikan tempat Hajar yang terpaksa menarik diri daripada menjadi salah seorang guru pengiring rombongan itu.

Sara Raihana hanya mendiamkan diri memikirkan permintaan itu. Melihatkan tiada jawapan di bibir Sara Raihana, Cikgu Maimunah terus memujuk. Seboleh-bolehnya dia mahu Sara Raihana mengikutinya melakukan aktiviti luar bilik darjah, agar Sara Raihana tidak terus diselimuti kedukaan. Dia mahu menceriakan hati Sara Raihana.

“Pengetua mintak Kak Mai cari pengganti Hajar untuk cukupkan bilangan guru pengiring perempuan. Kita dah ada dua orang guru lelaki.”

Walaupun dia keberatan tetapi disebabkan Cikgu Maimunah meminta tolong, dia bersetuju untuk menggantikan tempat Hajar. Persetujuan Sara Raihana cukup menggembirakan Cikgu Maimunah.

“Kak Mai nak jumpa pengetua, nak beritahu yang Sara dah setuju. Nanti boleh pengetua keluarkan surat perlantikan guru pengiring untuk Sara.”

“Tak payah susah-susahlah, Kak Mai. Tak ada surat perlantikan pun tak apa. Sara tak kisah.”

“Jangan begitu. Surat perlantikan tu penting kerana surat tu boleh jadi bukti bertulis bahawa kita menjalankan tugas rasmi. Secara tak langsung surat tu boleh mengelakkan kita daripada dikenakan tindakan undang-undang jika berlaku perkara yang tak diingini kepada pelajar yang kita bawa. Jika tak ada surat tu, semua kesalahan akan ditanggung sendiri oleh guru tu,” terang Cikgu Maimunah panjang lebar.

“Oh, begitu rupanya. Terima kasih kerana beritahu kerana Sara tak tahu semua tu,” jawab Sara Raihana, jujur.

“Kak Mai yang patut berterima kasih kerana Sara sudi gantikan tempat Hajar. Okeylah Sara. Kak Mai nak mintak diri dulu. Nak jumpa pengetua.”

“Baiklah. Yang mana boleh tolong, Sara akan tolong.”


TIBA hari yang ditetapkan, rombongan yang diketuai Cikgu Maimunah berkumpul dan mendengar taklimat aktiviti. Bas bergerak ke destinasi yang dituju setelah bacaan doa dibacakan. Mereka tiba di Pejabat Perhutanan Taman Negara Pulau Pinang yang terletak di Teluk Bahang jam 10.00 pagi. Para pelajar mengambil kesempatan bergambar di sekitar pejabat itu dan kawasan jeti berhampiran. Pemandangan di situ memang menarik dengan kebiruan air laut yang mendamaikan.

Cikgu Maimunah menunjukkan surat kebenaran lawatan dan senarai nama pelajar kepada pegawai bertugas di kaunter pendaftaran. Mereka semua berkumpul di hadapan bangunan itu untuk bergambar kenangan. Cikgu Maimunah sekali lagi mengingatkan peraturan masuk ke hutan dan larangan yang perlu dipatuhi setiap pelajar dan guru.

Mereka mula bergerak beramai-ramai mengikut kumpulan melalui jalan darat. Cikgu Bahar dan Cikgu Jalil mengiringi kumpulan pelajar yang bergerak pantas ke hadapan. Manakala Cikgu Maimunah dan Sara Raihana mengikuti kumpulan pelajar yang berjalan perlahan di belakang. Aktiviti ini agak mencabar juga bagi sesiapa yang kurang stamina atau kurang lasak. Trek permulaan agak mudah untuk dilalui kerana berturap dengan tar. Tetapi selepas melepasi titi kecil, tiada lagi trek berturap malah mereka terpaksa mendaki bukit melalui lorong kecil.

Tidak sampai satu kilometer mereka mendaki, beberapa orang pelajar perempuan dan pelajar lelaki yang berbadan gempal berhenti rehat. Cikgu Maimunah mengarahkan yang lain untuk berhenti sebentar. Kumpulan yang mengikuti Cikgu Bahar dan Cikgu Jalil telah tidak kelihatan. Mungkin mereka telah jauh ke hadapan.

“Cikgu, saya rasa tak larat nak daki lagi. Naik semput dibuatnya,” kata Muis yang berbadan gempal.

“Kita jalan sikit lagi, lepas daki bukit ni kita akan berjumpa jalan yang landai,” ujar Cikgu Maimunah cuba memujuk.

“Nak daki bukit yang tinggi tu? Err... tak sanggup dah cikgu,” jawab Muis lagi sambil menggeleng berkali-kali.

“Yalah, cikgu. Kami pun dah tak larat. Semput rasanya kalau kami daki lagi,” ujar seorang pelajar perempuan pula sambil kawan di sebelah menyokongnya.

“Takkan nak biarkan kamu bertiga turun sendiri? Siapa nak jaga kamu nanti?” soal Cikgu Maimunah.

“Tak apalah, cikgu. Kami dah besar, dah tingkatan dua pun. Kami boleh jaga diri sendiri,” jawab Muis mewakili kawan-kawannya.

“Hisy, tak boleh jadi ni. Sara, awak tolong ikut pelajar yang lain hingga sampai ke Tasik Meromitik. Kak Mai nak turun dengan pelajar-pelajar ni. Takut pulak kalau tinggal mereka kat tempat mula tadi.”

“Baiklah, Kak Mai. Insya-ALLAH saya akan pastikan mereka tiba kat sana,” jawab Sara Raihana memberi keyakinan kepada Cikgu Maimunah.

“Chan, kamu tolong Cikgu Sara tengok-tengokkan adik-adik yang lain,” arah Cikgu Maimunah.

Kebanyakan pelajar yang mengikuti rombongan itu adalah terdiri daripada pelajar tingkatan dua dan hanya ada beberapa orang pelajar senior yang memegang jawatan di dalam koperasi sekolah termasuk Chan Chee Hong.

“Okey, cikgu. Tanggung beres. Cikgu Sara pun saya akan jaga,” jawab Chan Chee Hong sambil tersenyum lebar.

“Ada-ada aje kamu ni, Chan.”

Cikgu Maimunah ketawa kecil sambil mengajak pelajar yang ingin menuruni bukit bergerak. Lima orang pelajar mengikuti Cikgu Maimunah dan meninggalkan enam orang lagi termasuk Chan Chee Hong.

“Jom, kita bergerak. Pastikan jangan ada yang terpisah daripada kumpulan ni,” kata Sara Raihana.

Mereka semua meneruskan pendakian bukit mengikut lorong yang tersedia. Sara Raihana terperasan, hanya Chan Chee Hong sahaja pelajar lelaki dan yang lainnya pelajar perempuan.

Chan, you are a thorn among roses,” kata Sara Raihana sambil ketawa kecil.

How lucky I’am,” balas Chan Chee Hong. Hatinya berlagu ria kerana peluang untuk mendekati Sara Raihana terbuka luas.

Apabila tiba di sebatang anak sungai, mereka berhenti seketika. Peluang ini digunakan lima orang pelajar perempuan itu untuk bermain air bukit yang sejuk dan nyaman. Sara Raihana cuba menelefon Cikgu Maimunah tetapi tidak dapat kerana tiada liputan di atas bukit.

“Chan, telefon awak ada line tak?” tanya Sara Raihana. “Tak ada, cikgu,” jawab Chan Chee Hong sambil membelek-belek telefonnya.

“Jauh lagi ke nak sampai?” tanya Julia, salah seorang pelajar perempuan itu.

“Entah, saya tak tahu. Saya tak pernah sampai ke sini. Cikgu Maimunah aje yang pernah datang ke sini dua tahun lepas,” jawab Sara Raihana jujur.

“Tak apa, kita ikut aje trek ni sampai ke hujung. Nanti jumpalah tu,” jawab Chan Chee Hong penuh yakin.

Mereka terus bergerak sehinggalah sampai ke laluan yang menuruni bukit. Laluan itu agak licin dan mempunyai rekahan tanah yang luas. Mereka berhenti dan memikirkan bagaimana hendak menuruninya. Chan Chee Hong menawarkan diri untuk turun dahulu dan berdiri di bahagian bawah cerun.

Ketinggiannya dapat membantu pelajar yang lain untuk turun. Mereka berpaut pada akar pokok dan kemudian memegang tangan Chan Chee Hong sebagai sokongan ketika menuruni cerun itu. Sara Raihana teragak-agak untuk turun kerana dia tidak mahu memegang Chan Chee Hong.

Nak pegang ke tak? Kalau tak pegang takut jatuh pulak, bisik hati Sara Raihana.

“Cikgu, lekaslah turun. Jangan takut. Cikgu pegang akar tu kemudian pegang tangan saya,” ujar Chan Chee Hong memberi arahan.

Sara Raihana yang tiada pilihan menuruti suruhan Chan Chee Hong. Dia memegang akar dan kemudiannya menghulur tangan untuk memegang Chan Chee Hong. Tetapi sebelum sempat tangannya dapat berpaut pada Chan Chee Hong, kakinya tergelincir dan akar yang dipegang terlepas.

Badannya terus melayang ke arah Chan Chee Hong. Chan Chee Hong yang tergamam terus memaut pinggang Sara Raihana dan menyebabkan mereka jatuh ke tanah.

“Aduh.”

Sara Raihana mengaduh kesakitan. Sakit terasa di kedua-dua belah telapak tangannya kerana dia jatuh tersembam. Badannya berada di atas Chan Chee Hong.

Chan Chee Hong terkelu. Walaupun terasa sakit di bahagian belakang, dia merasakan seperti mendapat bonus kerana Sara Raihana berada betul-betul di dalam dakapannya. Sedetik terasa waktu terhenti, seolah-olah dunia miliknya.

Telinga Sara Raihana dapat mendengar degupan jantung Chan Chee Hong yang kencang. Seketika dia terleka mendengarkannya tetapi apabila fikiran warasnya datang, cepat-cepat dia bangun dan duduk di tepi Chan Chee Hong. Mukanya merona merah tetapi cuba disembunyikan. Dia cuba membantu Chan Chee Hong bangun.

“Cikgu! Abang Chan!”

Panggilan Mira menyedarkan mereka bahawa bukan hanya mereka berdua yang berada di situ.

“Cikgu tak apa-apa?” tanya Mira lagi.

“Tak, okey aje. Chan, awak okey tak?” tanya Sara Raihana kepada Chan Chee Hong yang duduk menghadap Sara Raihana sambil menggosok-gosok kepala yang terasa pening.

“Tak apa cikgu, sikit aje,” jawab Chan Chee Hong.

“Ya ALLAH, Chan. Siku awak berdarah. Mira, mana first aid kit yang awak bawak?”

Sara Raihana gagal menyembunyikan perasaan cemas.

“Ada dalam beg Julia,” jawab Mira sambil menolong Julia membuka beg bagi mengambil kotak ubat itu.

Sara Raihana segera mengambil kapas dan mencuci luka Chan Chee Hong.

“Aduh.” Chan Chee Hong mengaduh sambil menarik tangan spontan.

“Maafkan saya. Saya dah menyebabkan Chan luka dan sakit.”

Wajah Sara Raihana dilihat seperti hendak menangis.

“Tak apa, cikgu. Sikit aje luka ni. Tadi sebab pedih tu yang saya mengaduh. Cikgu letakkanlah ubat, saya akan tahan,” jawab Chan Chee Hong separuh memujuk.

Sara Raihana meneruskan kerja-kerja mencuci luka di kedua-dua siku Chan Chee Hong. Pelajar-pelajar yang lain hanya memerhati. Mungkin mereka tidak mahu mengganggu Sara Raihana yang sedang merawat Chan Chee Hong. Selepas menyapu antiseptik, Sara Raihana meletakkan pula ubat luka di atas kapas lalu ditekap di atas luka itu.

Chan Chee Hong asyik memandang wajah Sara Raihana yang hanya sekaki sahaja jaraknya daripada wajahnya. Wajah itu ditatap sepuas-puasnya. Sara Raihana yang terperasan akan tatapan mata Chan Chee Hong terus memanggung kepala. Mata mereka bertaut dan buat seketika mata itu mengasyikkan jiwa remaja Chan Chee Hong. Dia terbuai seketika menyaksikan keindahan sepasang mata kurniaan ALLAH.

Sara Raihana turut terkelu dan merasakan debaran jantungnya bertambah kencang. Tangannya pantas bekerja melekatkan balutan di luka itu.

“Okey, siap.”

Sara Raihana bingkas bangun dan membiarkan Chan Chee Hong terpinga-pinga.

“Cikgu, tangan cikgu pun luka. Letaklah ubat dulu.”

Kata-kata Mira membuatkan Sara Raihana baru tersedar yang sikunya berdarah dan kedua-dua telapak tangannya calar-balar.

“Okey. Cikgu pulak duduk. Biar saya yang ubatkan cikgu,” ujar Chan Chee Hong kemudian bangun sambil tangannya ingin mengambil kotak ubat daripada tangan Mira.

“Err... tak payah susah-susah, Chan. Saya boleh buat sendiri.”

Sara Raihana mengambil ubat dan merawat lukanya sendiri sambil dibantu Mira. Hatinya masih berdebar kencang kerana dia tahu Chan Chee Hong masih merenungnya.

“Untung siapa jadi cikgu, kan Intan.” Julia bersuara kepada Intan di sebelahnya seolah-olah mengejek.

“Kenapa?” tanya Intan.

“Yalah, guru boleh jadi macam-macam. Sekejap jadi juru pandu arah, sekejap jadi pengawal pengiring, sekejap jadi doktor...”

“Sekejap jadi pesakit,” sampuk Sara Raihana sebelum sempat Julia menghabiskan ayatnya.

Mereka semua ketawa serentak tetapi Julia hanya mencebik. Kemudian mereka meneruskan perjalanan sehingga tiba ke destinasi yang ditetapkan. Dari atas titi yang menyambungkan bahagian bukit dengan bahagian pantai, mereka dapat melihat kumpulan pelajar yang mengikuti

kedua-dua guru lelaki itu sedang mandi-manda di dalam Tasik Meromitik.

“SUBHANALLAH, cantiknya tempat ni,” kata Sara Raihana terpegun dengan apa yang disaksikan.

Mereka bergambar beramai-ramai di atas titi berlatar belakangkan tasik dan laut.

“Cikgu Sara, mana Cikgu Maimunah?” tanya Cikgu Jalil apabila Sara Raihana menghampiri mereka yang duduk di bawah pokok.

“Cikgu Maimunah turun balik tadi. Ada lima orang pelajar yang tak dapat teruskan perjalanan,” beritahu Sara Raihana.

“Kita bagi masa pelajar yang baru sampai rehat dalam 30 minit. Nanti kita ke hujung sana untuk lihat tempat pengumpulan dan penetasan penyu,” beritahu Cikgu Jalil sambil menunjuk ke arah tempat penetasan penyu.

Sara Raihana meminta diri untuk berjalan-jalan sambil melihat kawasan sekitar. Tasik Meromitik ini sebenarnya terletak di dalam kawasan Taman Negara di Pantai Kerachut, Pulau Pinang. Tasik ini merupakan fenomena bermusim yang berlaku apabila beting pasir terjadi berhampiran pantai berikutan tindakan angin dan ombak yang kerap. Beting ini akan menghalang pergerakan air laut yang dibawa ombak besar sehingga membentuk sebuah lagun bermusim yang kemudian terjadinya Tasik Meromitik.

“Cikgu,” panggil Chan Chee Hong dari arah belakang.

Sara Raihana menghentikan langkah dan memerhati Chan Chee Hong yang berlari mendapatkannya.

“Kenapa?”

“Nak ambil gambar dengan cikgu boleh?”

“Tadikan dah ambil.”

“Tadi beramai-ramai. Saya nak ambil berdua aje dengan cikgu.”

Sara Raihana hanya mendiamkan diri.

“Bolehlah cikgu, please. Sebagai kenang-kenangan aje,” pujuk Chan Chee Hong.

“Okey. Tapi nak ambil kat mana?” Termakan juga Sara Raihana dengan pujukan Chan Chee Hong.

“Kita ambil kat batu besar yang dekat dengan beting pasir tu,” cadang Chan Chee Hong.

Mereka bergerak ke arah yang dimaksudkan dan Chan Chee Hong memanggil salah seorang pelajar perempuan yang berada tidak jauh dari situ untuk menolong mereka mengambil gambar. Beberapa posisi diambil dan akhirnya mereka bergerak ke tepi tasik.

“Cikgu, terima kasih kerana sudi bergambar dengan saya,” ucap Chan Chee Hong sambil memandang Sara Raihana yang duduk bermain-main air tasik.

Sekumpulan pelajar yang mandi-manda telah keluar untuk menukar pakaian. Sara Raihana hanya mengangguk sambil tangan terus bermain-main dengan air itu.

“Chan, cuba awak rasa air tasik ni.” Chan Chee Hong duduk bertinggung di tepi Sara Raihana sambil memasukkan tangan ke dalam air.

“Ada dua rasa, panas dan sejuk,” kata Chan Chee Hong berminat.

“Kalau awak nak tahu, tasik ni mempunyai dua lapisan air yang berbeza suhu dan ketumpatan. Air laut yang lebih berat akan berada di bawah dan air tasik yang merupakan air tawar akan berada di atas. Suhu air di sebelah atas adalah sejuk tetapi di sebelah bawah pulak panas. Tetapi fenomena ni hanya terjadi pada peralihan musim monsun timur laut dalam bulan November hingga Mac dan angin monsun barat daya dalam bulan Mei hingga September,” terang Sara Raihana panjang lebar. Maklumlah cikgu Geografi.

“Hebat sungguh ciptaan ALLAH,” puji Chan Chee Hong.

Buat seketika mereka memandang sekeliling bukit hingga ke laut.

“Jom, Chan. Cikgu Jalil dah bagi isyarat tu. Kita kena bergerak ke tempat pengumpulan dan penetasan penyu kat hujung tanjung sana,” kata Sara Raihana sambil menunjuk ke arah Cikgu Jalil dan Cikgu Bahar.

Mereka bergerak beramai-ramai ke Pusat Penetasan dan Pemuliharaan Penyu. Pegawai bertugas memberikan penerangan kepada mereka semua. Pusat itu diadakan bagi membolehkan pelancong termasuk pelajar serta penyelidik mengenali habitat haiwan itu secara lebih dekat.

Pantai Keranchut merupakan salah sebuah lokasi persinggahan penyu spesies agar dan penyu lipas yang aktif bertelur sepanjang tahun. Biasanya penyu-penyu jenis itu akan naik ke pantai pada waktu malam untuk mengelak daripada terserempak dengan manusia dan haiwan pemangsa. Terdapat beberapa kemudahan disediakan untuk pelancong di situ.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.