JENAZAH Pak Ngah Salim dan Harris telah dibawa
pulang ke kampung atas permintaan Mak Ngah Milah
sekeluarga. Oleh itu hanya jenazah Izzat Hafis dan
bapanya yang diuruskan di rumah mereka. Tubuh
kaku Izzat Hafis dan bapanya yang hampir siap dikafan
ditatap dengan penuh kepiluan oleh Sara Raihana. Air
matanya seperti tidak mahu mengalir lagi. Tubuhnya yang
lesu disandarkan ke badan Norita yang bergegas pulang
dari tempat kursus. Norita sebenarnya menghadiri kursus
kepimpinan Kelab Usahawan di Pulau Pangkor.
Cikgu Maimunah serta rakan-rakan guru yang lain
dan beberapa orang pelajar yang mengetahui berita itu
turut berada di situ. Chan Chee Hong hanya memerhati
dari jauh tanpa mengalihkan pandangan ke arah jenazahjenazah
itu. Kalau malam tadi dia begitu teringin menatap
wajah suami Sara Raihana yang pastinya berseri-seri kerana
perkahwinannya, tapi bila wajah itu di depan matanya tidak
sanggup rasanya menatap wajah itu lama-lama. Kesedihan
turut melanda sanubarinya.
Sara Raihana mengucup dahi suaminya buat kali terakhir.
Dahi Izzat Hafis dingin, sedingin air batu. Sara Raihana
merenung sepuas-puasnya wajah Izzat Hafis yang pucat
sebelum wajah itu ditutup dengan kapas dan kain kafan.
Mengalir juga air jernih di pipinya walaupun cuba ditahan.
Sewaktu solat jenazah diadakan, Sara Raihana terperasan
kelibat Chan Chee Hong turut berada di saf belakang.
Hatinya tertanya-tanya untuk seketika tetapi dibiarkan sahaja.
Otaknya bagai tidak dapat memproses apa yang dilihat.
Jenazah-jenazah itu kemudian dibawa ke tanah
perkuburan Islam Tekah, Assam Kumbang untuk disemadikan.
Talkin dibaca setelah selesai jenazah-jenazah itu dikebumikan
secara sebelah-menyebelah. Sayu hati Sara Raihana melihat
perjalanan terakhir suami dan bapa mentuanya menuju
persinggahan abadi.
“Di akhirnya kami ucapkan selamat berpisah dan
selamat tinggal kamu di sisi ALLAH Taala. Semoga TUHAN
akan memberi sejahtera kepada kamu. TUHAN jua yang
menetapkan hati kamu. Kami sekalian berdoa mudahmudahan
ALLAH Taala menjinakkan hati kamu yang liar, dan
ALLAH menaruh belas kasihan kepada kamu yang berdagang
seorang diri di dalam kubur ini.
Mudah-mudahan TUHAN akan memberi keampunan
dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal
kebajikan kamu. Ya ALLAH ya TUHAN kami, kami merayu
dan bermohon kepada-MU supaya tidak diseksa mayat ini
dengan kemegahan penghulu kami Muhammad SAW. Subhana
rabbika rabbil izzati amma
ya sifun wassalamun alalmursalin
walhamdulillahi rabbil
alamin. Setiap yang bernafas, pasti akan
mati. Kullu nafsin za iqatul maut.”
Bunga rampai ditabur di atas kubur bersama-sama
jirusan air mawar. Moga perginya Izzat Hafis ibarat pengantin
Mukmin yang memasuki kubur dengan rahmat ALLAH,
seumpama menjalani malam pengantin di situ.
Selamat jalan wahai kekasih hatiku. Hanya doa yang
dapatku panjatkan agar dipermudahkan perjalananmu. Cinta
daripadamu akan kusimpan di dalam kalbu menjadi kenangan
seumur hidupku, bisik hati Sara Raihana, pilu.
Sara Raihana dan keluarga terus pulang ke Bukit
Mertajam selepas urusan pengebumian jenazah selesai.
Sepanjang perjalanan, dia hanya mendiamkan diri. Matanya
merenung ke luar dengan pandangan kosong, sekosong
jiwanya. Tanpa sedar dia terlena kerana keletihan yang amat
sangat.
Sebaik sahaja matanya dibuka, dia melihat ramai orang
berada di rumahnya. Majlis kenduri tetap diadakan tetapi
telah bertukar menjadi kenduri doa selamat dan tahlil
untuk arwah. Bunga telur, beg hadiah dan cenderahati tetap
diberikan kepada para tetamu.
Perlahan-lahan Sara Raihana membuka pintu kereta dan
sebaik sahaja dia turun dari kereta, Amalina terus menerpa
ke arahnya. Dia memeluk Amalina yang sedang menangis.
Hadirin yang ada di situ hanya memerhati dengan penuh
kesayuan. Ada yang mengalirkan air mata, bersimpati dengan
nasib Sara Raihana. Hari yang sepatutnya menjadi hari
gembira buat Sara Raihana telah bertukar menjadi hari yang
paling menyedihkan. Dia menjadi balu setelah beberapa jam
bergelar isteri.
“Amal, tolong bawa aku ke bilik,” bisik Sara Raihana,
kelesuan.
Terasa berat untuk kakinya melangkah. Amalina segera
membawa sepupunya itu ke bilik dan membiarkan Sara
Raihana duduk di birai katil. Kak Haida datang bersama-sama
segelas air lalu dihulurkan kepada Sara Raihana. Sara Raihana
mengambil gelas itu dan hanya meneguk sekali lalu diberi
semula kepada Kak Haida.
“Minum lagi, Sara. Dah lama benar Sara tak minum dan
makan. Nanti Kak Haida ambilkan nasi untuk Sara.”
Sara Raihana diam tanpa perasaan. Perlahan-lahan Kak
Haida melangkah keluar bilik.
“Amal, tinggalkan aku. Aku nak bersendirian,” tutur Sara
Raihana perlahan.
Amalina tidak sampai hati meninggalkan Sara Raihana
seorang diri tetapi dia mesti menghormati permintaan Sara
Raihana.
“Rehatlah dulu, Sara. Kalau kau perlukan aku, panggillah
nanti.”
Sara Raihana hanya mengangguk dan sebaik sahaja
Amalina keluar dari bilik, dia terus mengunci bilik itu. Dia
memerhatikan seluruh bilik yang dihias cantik dan susunan
hadiah yang diberi para tetamu yang hadir. Hatinya menjadi
semakin sebak dan dia menangis lagi.
Abang, kenapa abang pergi tinggalkan Sara? Abang tak
sayangkan Sara? Mana janji abang nak hidup bersama Sara?
Sara sunyi tanpa abang. Sampai hati abang pergi dan tinggalkan
kepiluan ini, rintih hati Sara Raihana.
Sepatutnya hari ini majlis perkahwinan mereka
berlangsung dengan gembira dan diraikan sanak saudara
serta jemputan yang tiba. Tapi kini segalanya tiada. Tiada gelak
ketawa, tiada usik-mengusik, tiada marhaban, tiada berzanji,
tiada kompang dan tiada pengantin. Segalanya menjadi sunyi
dan sepi. Sesepi tanah perkuburan.
“Sara, bukak pintu ni.”
Terdengar suara Kak Haida memanggil tetapi tidak
diendahkan Sara Raihana. Berkali-kali pintu diketuk dan
namanya dipanggil tetapi dia hanya mematikan diri. Seketika
kemudian telefon bimbit berbunyi berulang kali. Bosan
dengan bunyi deringan, Sara Raihana menjawab panggilan
itu.
“Sara, ni ibu nak. Tolong bukak pintu.”
Senyap.
“Jangan buat ibu macam ni. Sara tak kesian kat ibu, ke?
Bukaklah pintu, Sara.”
Tanpa menjawab panggilan itu, Sara Raihana terus
bangun dan membuka pintu. Mak Cik Rohaya, Kak Haida dan
Amalina segera memasuki bilik dengan membawa hidangan
tengah hari.
“Sara, mari duduk sini,” ajak Mak Cik Rohaya sambil
menunjukkan kerusi yang terletak di meja solek.
Hidangan tengah hari itu diletakkan di atas meja solek.
Bau nasi minyak yang berlaukkan ayam masak merah, daging
masak hitam, dalca dan acar memenuhi ruang bilik itu.
Terdapat juga udang yang menjadi kegemaran Sara Raihana.
Sara Raihana duduk di kerusi dan hanya memerhati hidangan
itu tanpa nafsu.
“Sara, makanlah nak. Dari semalam Sara tak makan apaapa.
Risau hati ibu. Makan sikit, ya?” Mak Cik Rohaya terus
memujuk.
Tiada respons.
“Makan sikit, Sara. Kalau tak nak nasi, jamahlah udang
tu,” ujar Amalina pula cuba memujuk.
Tetap tiada respons. Mata Sara Raihana hanya terpaku
memandang udang. Air matanya mengalir tanpa sedar. Udang
adalah hidangan yang kerap dipilih apabila keluar makan
bersama-sama Izzat Hafis. Mak Cik Rohaya, Kak Haida
dan Amalina saling berpandangan. Tidak tahu macam mana
hendak memujuk Sara Raihana lagi. Di dalam hati mereka
sendiri pun terdapat perasaan yang meruntun kalbu.
Terdayakah mereka memujuk sedangkan hati mereka
juga karam dalam tangisan? Mak Cik Rohaya mengajak Kak
Haida keluar dan meninggalkan Sara Raihana bersama-sama
Amalina. Pada Amalina dipesan agar memujuk Sara Raihana
untuk makan walaupun hanya beberapa suap.
Amalina menutup pintu bilik tetapi tidak dikunci. Sara
Raihana mengambil air dan minum beberapa teguk. Tanpa
menjamah nasi yang terhidang, dia bingkas bangun dan
merebahkan diri di atas katil. Amalina duduk di birai katil
sambil memandang Sara Raihana tanpa kata. Dia dapat
merasakan betapa beratnya beban perasaan yang dialami
Sara Raihana kini. Berat mata memandang, berat lagi bahu
yang memikul.
Sepanjang hari itu Sara Raihana hanya berkurung di
dalam bilik bertemankan Amalina. Dia tidak mahu berjumpa
sesiapa pun kecuali ahli keluarga terdekat. Apabila masuk
waktu solat, dia bersolat dan duduk lama membaca Surah
Yasin serta ayat-ayat suci al-Quran. Hatinya mendapat sedikit
ketenangan apabila membaca ayat-ayat suci itu. Apabila
sedang berduka atau kecewa, al-Quranlah penawarnya.