PERASAAN Iman tidak tenteram ketika itu. Berita yang diterimanya daripada
Pak Cik Majid semalam, benar-benar menyesakkan jantungnya. Sara Raihana bakal
berkahwin tidak lama lagi. Hatinya menjerit pedih. Kenapa Sara Raihana tidak mahu
menunggunya? Adakah dia telah terlambat dalam memenangi hati Sara Raihana?
Kenapa sampai sekarang Sara Raihana seolah-olah tidak mempedulikan perasaannya
dan masih menganggap dirinya sebagai seorang adik? Persoalan itu bermain-main di mindanya.
“Bro, kenapa aku tengok kau resah gelisah aje? Apa yang tak
kena?” tanya Munzir, teman sebilik Iman.
“Aku susah hatilah, Munzir. Awek aku, nak kena kebas. Aku cintakan
dia separuh mati tapi dia macam tak hargai cinta aku. Sanggup dia terima
lamaran orang lain sedangkan aku mintak dia tunggu aku. Bukannya lama mana, lepas
aku kerja aku pinanglah dia.”
“Oh, kes patah hatilah ni? Apa susah bro? Bunga bukan sekuntum. Kalau dia dah tolak kau, elok kau
pilih aje yang lain. Senang cerita dan tak memeningkan kepala otak.”
“Masalahnya aku tak boleh lepaskan dia. Aku cintakan dia sejak di
bangku sekolah lagi. Aku tak nak perempuan lain. Aku nakkan dia. Kau faham
tak?” Agak keras kata-kata Iman.
“Woo...woo...relaks bro! Aku cuma bagi cadangan. Kau jangan
marahkan aku pulak.”
“Sorry. Aku ter emo sikit.”
“No hallah bro! Tapi aku nak nasihatkan kau sikit.
Kalau kau betul-betul syokkan awek tu, aku rasa kau kena ayat dia lebih lagi.
Tunjukkan kesungguhan kau. Kalau perlu, kau jumpa dia secara berdepan. Rayu dia
habis-habisan. Buatlah apa aje asalkan dia tahu kau memang nakkan dia.”
“Walaupun aku terpaksa bawak dia lari ke Siam dan nikah kat sana?”
tanya Iman sekadar menduga.
“Apa salahnya? Tanam pinang rapat-rapat biar senang puyuh berlari,
kalau diayat-ayatkan pun tak dapat, kau pujuk-pujuklah dan bawak lari. Nikah
kat Siam pun okey, apa? Lepas balik sini, kau kena bayar denda aje. Nikah tetap
sah.”
“Err... aku rasa kalau aku buat begitu, tentu dia akan bencikan
aku. Aku nak dia terima aku dengan rela dan bukan dalam bentuk paksaan. Aku tak
nak hubungan baik aku dan dia terpisah kerana kesilapan aku.” Perlahan nada
suara Iman.
“Kalau macam tu, elok kau bincang dengan dia baik-baik. Mana tahu
hati dia berubah lepas tengok keikhlasan kau.”
“Yalah, aku rasa itulah yang sebaiknya. Berbincang dari hati ke
hati. Biar dia tahu kesungguhan aku. Mungkin selama ni dia anggap aku terkeliru
antara cinta seorang kekasih dengan kasih seorang adik kepada kakaknya. Aku
tahu, hati aku tak keliru. Aku memang cintakan dia dari dulu.”
“Kakak? Apa maksud kau? Dia lebih tua daripada kau?” soal Munzir
tayang muka hairan.
“Ya, dia lebih berusia daripada aku dan merupakan guru kat sekolah
aku.”
“Apa?” Bulat mata Munzir kerana terkejut.
“Kenapa? Tak boleh ke aku cintakan perempuan yang berusia lebih
daripada aku? Bukan banyak pun bezanya, setakat enam tahun aje. Tak jadi hal
pada aku.”
“Aku respect kau,bro! Kalau boleh bercinta dengan cikgu sendiri.
Ini kes special. Tentu lawa cikgu kau sebab tu kau tak nak lepaskan.”
“Dia cukup sempurna bagi aku. Orangnya bukan aje lawa tapi tinggi
keperibadiannya, pandai jaga maruah diri, lemah lembut dan beriman. Pendek
kata, dia ada pakej lengkap untuk dijadikan isteri. Aku yakin dia mampu jadi isteri
solehah seperti idamanku,” ujar Iman tersenyum lebar membayangkannya.
“Wah! Kalau perempuan macam tu, memang patut kau kejar. Satu dalam
seribu. Aku sokong kau, bro. Berusahalah, semoga kau
berjaya,” ujar Munzir sambil menepuk bahu Iman.
“Thanks, bro! Bersemangat sikit rasanya nak pikat dia. Aku akan
berusaha. Selagi dia tak diakad nikahkan, selagi tu aku ada harapan.”
Iman dan Munzir ketawa serentak. Munzir meminta diri untuk membeli
makanan dan kemudian keluar dari bilik, meninggalkan Iman seorang diri.
Kesempatan itu digunakan Iman untuk menelefon Sara Raihana. Iman menunggu
dengan sabar. Sara Raihana masih tidak mengangkat telefon walaupun telah dua kali Iman mendail nombornya. Kali ketiga barulah Sara
Raihana menjawab panggilan Iman.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam,” jawab Sara Raihana.
“Kak Sara, Iman nak berbual sikit dengan Kak Sara. Kak Sara sibuk
tak?”
Iman masih menggunakan panggilan ‘Kak’ kerana dia merasakan belum
tiba masanya untuk dia menukar panggilan itu. Dia akan menukar panggilan buat
Sara Raihana kepada yang lebih sesuai setelah dia bekerja. Itu azamnya.
“Nak kata tak sibuk, memang sibuk. Tapi untuk Iman, Kak Sara akan
dengar. Ada hal apa Iman telefon Kak Sara? Nak tahu gosip pasal Kak Sara ke?”
tanya Sara Raihana ketawa.
Sara Raihana sering bergurau dengan Iman jika mereka berbual.
Walaupun bukan selalu mereka berbual tetapi topic perbualan mereka lebih kepada
soal biasa dan kadangkala hal keluarga Sara Raihana. Sesekali Iman akan
bercerita perihal Aisyah. Tidak pernah Iman membangkitkan soal cinta secara terang.
Kerap kali Iman menghantar mesej berbentuk ucapan biasa atau sekadar bertanya
khabar jika rindunya mendatang kepada Sara Raihana. Tetapi di dalam setiap
mesejnya, Iman akan selitkan kata-kata, ‘ Please wait for me’. Berharap agar Sara
Raihana terus menanti dirinya walaupun dia tahu Sara Raihana menganggapnya
sekadar adik sahaja.
“Err... betul ke Kak Sara nak kahwin? Kenapa tak tunggu Iman?”
soal Iman teragak-agak.
Sara Raihana hanya ketawa di hujung talian.
“Kak Sara! Iman serius ni. Betul ke Kak Sara nak kahwin?” Lebih
tegas suara Iman.
Sara Raihana menghentikan ketawanya.
“Iman, Kak Sara tak pasti lagi. Hati Kak Sara masih berbelah
bahagi. Tapi kalau dah jodoh, Kak Sara terima aje.”
“Kenapa tak tunggu Iman? Kenapa pilih orang lain?” Agak emosional
soalan Iman.
“Iman, Kak Sara mintak maaf. Kak Sara hanya anggap Iman sebagai
adik dan tak mungkin terima Iman atau tunggu Iman. Dah banyak kali Kak Sara
suruh Iman cari gadis yang sesuai untuk Iman dan jangan harapkan Kak Sara. Iman
kena sedar, antara kita tak mungkin bersatu. Iman hanyalah adik buat Kak Sara dan jika Kak Sara pilih orang lain, itu adalah hak
Kak Sara.”
“Tapi Iman sayangkan Kak Sara. Tolonglah jangan terima lamaran
lelaki tu. Kak Sara pun baru aje kenal dengan dia. Takkan Kak Sara nak terima
dia dengan mudah?”
“Iman, soal terima atau tak
itu adalah hak Kak Sara. Kalau Kak Sara terima lamaran Farid pun, Iman tak
boleh nak halang. Ini soal hidup Kak Sara. Jika Iman nak teruskan hubungan
kita, Kak Sara harap Iman hormatinya,” tegas Sara Raihana.
“Iman sedar Iman tak ada hak tapi Iman cuma mintak Kak Sara
pertimbangkan dulu keputusan Kak Sara. Jangan terima jika hati Kak Sara masih
tak pasti. Iman tak nak Kak Sara kecewa. Fikir masak-masak sebelum buat
keputusan,” ujar Iman masih mengharap agar Sara Raihana membatalkan niat untuk berkahwin dengan Farid.
“Terima kasih Iman atas nasihat tu. Kak Sara akan fikirkan dulu
dan bincang dengan Mak Zainab. Kak Sara tak nak kecewakan Mak Zainab.”
“Kenapa Mak Zainab pulak? Bukan ke sepatutnya Kak Sara berbincang
dengan ibu dan abah?”
“Kak Sara ada sebab tersendiri. Iman tak perlu tahu semuanya.
Cukuplah Iman dengar dan lihat. Kak Sara tak nak Iman campur tangan,” ujar Sara
Raihana, tidak mahu menjelaskan di sebalik kata-katanya itu.
“Kak Sara masih anggap Iman orang luar? Tak nak berkongsi perasaan
dan masalah?” Iman bernada seperti berjauh hati.
“Bukan macam tu, Iman. Ada sesetengah benda atau perkara perlu
dikongsi dengan orang tertentu aje. Soal Kak Sara dan Farid ada kaitan dengan
Mak Zainab. Jadi Kak Sara rasa Kak Sara perlu berbincang dengan dia dan bukan
dengan mak atau abah. Jauh sekali dengan Iman. Tapi Kak Sara harap Iman tak
kecil hati. Kak Sara nak semua orang gembira. Itu aje harapan Kak Sara.”
Iman melepaskan sebuah keluhan. Terasa seperti dia telah gagal
memenangi hati Sara Raihana.
“Jika itu keputusan Kak Sara, Iman tak boleh nak kata apa. Tapi
Iman masih berharap Kak Sara fikirkan dulumasaknya sebelum terima Farid.”
“Ya, Kak Sara akan fikirkan. Kak Sara mintak diri dulu sebab nak
keluar makan dengan Mak Zainab dan Im. Hari ni hari lahir Im. Jadi nak makan
yang istimewa sikit.” Suara Sara Raihana berubah ceria bila menceritakan perihal
Mak Zainab dan Imran.
“Oh, hari lahir Imran rupanya. Tolong ucapkan selamat hari lahir
untuk dia. Iman tak ada hadiah nak beri buat masa ni. Hanya doa semoga dia
panjang umur dan murah rezeki.”
“Amin... doa yang ikhlas lahir daripada hati. Itu lebih baik daripada
hadiah yang mahal.”
“Terima kasih.”
“Baiklah Iman. Jaga diri baik-baik dan harap suatu hari nanti Iman
akan berjaya dalam apa yang Iman impikan.”
“Amin... Insya-ALLAH impian Iman pasti berjaya dengan doa daripada
Kak Sara. Iman harap Kak Sara sentiasa doakan Iman. Iman harap sangat agar
impian Iman akan jadi kenyataan suatu hari nanti,” kata Iman tanpa menjelaskan impian
sebenarnya.
Pada Sara Raihana, impian Iman adalah untuk menjadi seorang
jurutera tetapi bagi Iman, impian sebenarnya adalah memiliki Sara Raihana.
“Bye, Iman. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Iman menatap skrin telefon yang masih terpapar gambar Sara
Raihana. Hati Iman tidak tenang. Sara Raihana masih tidak memberi kata putus.
Dia tidak pasti sama ada Sara Raihana akan memilih Farid atau tidak. Apa yang mampu
dilakukannya kini adalah berdoa agar Sara Raihana membatalkan niat untuk
berkahwin dengan Farid. Telefon Iman berbunyi tiba-tiba. Segera Iman menekan
butang jawab setelah melihat nama yang terpapar di skrin.
“Abang dah tahu ke yang Kak Sara nak kahwin?” tanya Aishah setelah
menjawab salam yang diberikan Iman.
Sebenarnya, Aisyah telah memeluk Islam sewaktu di tingkatan empat
lagi.
“Dah,” jawab Iman, malas.
“Abang nak buat apa sekarang? Aisyah tahu abang kecewa, kan?”
“Ya, abang kecewa tapi abang takkan menyerah kalah. Selagi mereka
tak disahkan sebagai suami isteri, abang masih ada peluang.”
“Apa rancangan abang? Nak Aisyah pujuk Kak Sara?”
“Boleh jugak kalau Aisyah nak pujuk. Tapi hati-hati. jangan sampai
dia marahkan Aisyah dan abang. Abang tak nak hubungan kita putus dengan dia
gara-gara tersalah tindakan.”
“Abang jangan risaulah. Aisyah tahu nak pujuk Kak Sara. Kalau
perempuan cakap dengan perempuan tentu lebih mudah.”
“Baiklah. Abang harapkan Aisyah kali ni. Pandai-pandailah Aisyah
bertindak.”
“Hmm... abang, mummy hubungi abang tak lagi?” soal Aisyah
menukar topik perbualan.
“Kenapa?Mummy jumpa Aisyah ke?”
“Ya, tapi Aisyah tak layan macam yang abang suruh.”
“Bagus. Abang tak nak Aisyah berlembut hati dengan dia.”
“Papa tahu tak yang mummy ada kat sini?”
“Papa tak tahu tapi Aisyah jangan beritahu papa pulak. Takut papa
mengamuk lagi. Kita perlu yakinkan papa yang kita takkan ikut mummy kerana kita sayangkan papa.”
“Baiklah. Aisyah takkan beritahu papa. Esok Aisyah nak balik ke
rumah dan harap mummy takkan cari Aisyah kat rumah pulak. Takut papa
bertindak kasar pada mummy.”
“Aisyah beritahu mummy yang Aisyah nak balik ke rumah?”
“Tak, malah Aisyah tak bersua muka pun dengan mummy masa dia datang ke sini,” kata Aisyah yang sedang
belajar diperingkat Matrikulasi.
Ibu mereka sering melawat mereka apabila berkesempatan pulang ke
Malaysia. Ibu mereka akan merayu agar mereka mengikutnya ke Amerika. Tetapi
semua rayuan itu ditolak mentah-mentah.
“Aisyah kena hati-hati. Jika ada masalah beritahu aje pada papa.
Biar papa halang mummy jika mummy berkeras nak bawak Aisyah lari.”
“Abang jangan risau. Aisyah bukan budak kecil lagi. Aisyah akan
mengelak daripada mummy dan minta bantuan papa jika keadaan mendesak.”
“Yalah. Nanti kalau dah balik, pergilah jumpa Kak Sara. Cuba risik
macam mana Farid tu. Apa-apa hal beritahu abang.”
“Okey, roger and out! Aisyah mintak diri dulu. Nanti Aisyah beritahu abang
perkembangan Kak Sara. Jangan risau sangat. Serah pada ALLAH. Mudah-mudahan
jodoh abang dengan Kak Sara tetap ada.”
“Terima kasih, Aisyah. Moga ALLAH permudahkan urusan kita berdua.”
Iman menamatkan perbualan dengan Aisyah. Matanya tertancap pada
album gambar yang berada di atas meja. Iman mencapai album gambar itu.
Gambar-gambar sewaktu percutian di Tasik Meromitik bersama-sama Sara Raihana direnungnya.
Tiba-tiba dia mendapat suatu idea. Senyumannya melebar. Dia perlu lakukannya
sebelum terlambat. Akan dipujuk hati Sara Raihana walau apapun caranya. Itu tekadnya.