SARA Raihana memerhati persekitaran tanah
perkuburan yang bersih, kemas dan tersusun rapi
dengan susunan kubur mengikut urutan nombor.
Para pengunjung boleh menyemak kedudukan
kubur melalui nombor pada pelan yang terdapat di
pintu masuk utama.
Kenapa dia tidak perasan semua itu sebelum ini? Dia
melangkah ke arah pondok yang dibina bagi menempatkan
tikar dan payung yang telah diwakafkan. Segera tangannya
mengambil sebidang tikar dan sekaki payung yang terdapat
di situ. Dia melangkah melalui lorong pejalan kaki yang dibina
antara kuburan. Kubur Izzat Hafis dan bapa mentuanya
terletak di bahagian tengah barisan kedua.
Dia membentang tikar itu di tepi kubur suaminya sambil
dibantu Pak Cik Majid dan Mak Cik Rohaya. Pak Cik Majid
duduk di bahagian kepala kubur diikuti Mak Cik Rohaya dan
Sara Raihana yang memegang payung. Surah Yasiin dibaca
bersama-sama dan setelah selesai air disiram dan bunga
ditabur memenuhi kedua-dua kuburan itu. Inilah kali kedua
Sara Raihana mengunjungi pusara suaminya setelah lebih
seminggu Izzat Hafis meninggal dunia.
Pak Cik Majid dan Mak Cik Rohaya dalam perjalanan
menghantar Sara Raihana pulang ke rumah sewa tetapi
mereka singgah dahulu di tanah perkuburan itu atas
permintaan Sara Raihana. Keadaan Sara Raihana masih tidak
banyak berubah sejak hari kematian Izzat Hafis lagi. Dia
masih dalam keadaan muram dan kurang bercakap, malah
tidur malamnya pun tidak pernah nyenyak.
“Kita singgah rumah Mak Nab dulu. Tadi Abang Khairul
pesan suruh kita ke sana,” beritahu Sara Raihana kepada
bapanya.
“Baiklah. Macam mana keadaan Imran? Ada tak Khairul
beritahu Sara?” tanya Pak Cik Majid lagi.
“Okey sikit. Dah duduk dalam wad biasa.”
“Nanti Sara tolong tengok-tengokkan Mak Nab dan
Imran, ya. Mereka tu bukan orang lain lagi dengan Sara. Sara
kena bantu mana yang patut. Kesian ibu dengar masalah
mereka,” kata Mak Cik Rohaya pula.
Sara Raihana tidak menjawab. Dia sendiri tidak pasti
adakah dia perlu melakukan semua yang disuruh ibunya?
Khairul Hafis telah meminta pertolongannya untuk menjaga
Mak Zainab dan Imran Hafis sepanjang tempoh Khairul
Hafis tiada di situ. Khairul Hafis yang bertugas sebagai
anggota TLDM yang berpangkalan di TLDM Lumut, terpaksa
mengikuti pelayaran Kapal KD Mahawangsa untuk tugas
menghantar bantuan kemanusiaan bagi pelarian Afghanistan.
Rosliana merupakan jururawat di Hospital Angkatan Tentera,
Lumut (HAT) terpaksa bertugas semula dan anak-anak
mereka juga perlu ke sekolah kerana cuti persekolahan telah
tamat.
Mak Zainab dan Rosliana telah menyiapkan makan
tengah hari untuk menyambut Sara Raihana walaupun secara
ala kadar sahaja. Tiada lagi kenduri menyambut menantu
seperti yang selalu dilakukan orang. Khairul Hafis sedang
berkemas-kemas untuk pulang ke rumahnya yang terletak di
dalam Pangkalan Tentera Laut, Lumut. Kereta Sara Raihana
yang dipandu Pak Cik Majid membelok masuk ke pekarangan
rumah Mak Zainab.
“Jemput masuk Sara, Kak Rohaya, Abang Majid,” pelawa
Mak Zainab setelah dia bersalam-salaman dan berpelukan
dengan Sara Raihana dan Mak Cik Rohaya.
Sayu hati Sara Raihana bila memasuki rumah itu. Terasa
bagaikan baru semalam dia menyaksikan suami dan bapa
mentuanya dikafankan di ruang hadapan rumah itu. Air mata
yang ingin menitis ditahan. Dia perlu kuat untuk menghadapi
semua itu.
“Mari kita makan dulu. Nasi dah terhidang.”
Khairul Hafis mengajak mereka semua ke meja makan.
Mereka semua menikmati hidangan sambil berbual ringan.
Sara Raihana lebih banyak mendengar sambil menguis-nguis
nasi di pinggan dan akhirnya berhenti makan. Bila ditanya dia
memberi alasan, sudah kenyang walhal pagi tadi dia hanya
menjamah sedikit sarapan yang disediakan.
Mak Zainab, Mak Cik Rohaya dan Rosliana telah
bergerak ke dapur untuk kerja-kerja membersih setelah
selesai makan. Sengaja Pak Cik Majid dan Khairul Hafis
mengajak Sara Raihana duduk di sofa hadapan agar mereka
dapat berbincang dengannya.
“Sara, abang nak mintak tolong sangat-sangat kat Sara
agar dapat jaga mak sepanjang abang tak ada kat sini. Sara
pun tahukan, yang mak tak boleh memandu. Jika Sara tak
tolong, siapa yang akan bawa mak ke hospital untuk lihat
Imran? Mak bukan ada siapa-siapa lagi,” pinta Khairul Hafis
separuh merayu.
Sara Raihana memang maklum akan hal itu, malah
dia juga tahu yang Mak Zainab adalah anak tunggal. Sara
Raihana menghela nafas. Ada tugas berat menantinya kini.
Dahulu Izzat Hafis pun pernah berpesan agar dia selalu
menjenguk dan bertanya khabar emaknya. Kini dia bukan
hanya menjenguk malah perlu menjaganya pula. Siapa lagi
yang dapat menolong kalau bukan dirinya? Sudah menjadi
kewajipan sebagai menantu keluarga itu.
“Abang jangan risau. Insya-ALLAH Sara akan datang
setiap hari untuk melihat dan jaga keperluan mak serta
Imran,” ujar Sara Raihana memberi keyakinan walaupun dia
tahu tugas itu agak berat untuk dilaksanakan.
“Terima kasih, Sara. Hanya ALLAH yang dapat
membalas jasa baik Sara,” ucap Khairul Hafis terharu dengan
kesanggupan Sara Raihana.
Dia sebenarnya tidak mahu membebankan Sara Raihana
yang sedia terbeban perasaannya tetapi dia tidak punya
pilihan. Mak Zainab enggan tinggal di pangkalan bersamasama
Rosliana dengan alasan tiada siapa hendak menjaga
rumah peninggalan arwah ayahnya itu. Dia tahu emaknya
tidak mungkin keluar dari rumah itu dalam masa terdekat.
Petang itu setelah pulang dari melawat Imran Hafis,
Khairul Hafis meneruskan perjalanan balik ke Lumut
manakala Sara Raihana membawa bapa, ibu dan emak
mentuanya ke rumah sewa. Norita telah sampai lebih awal
dari kampungnya dan dia menyambut kedatangan mereka
dengan senyuman di bibir. Mereka bersalaman dan masuk
ke dalam rumah sewa yang mempunyai tiga buah bilik tidur.
Habis semua ruang dilihat Mak Cik Rohaya dan Mak Zainab
kecuali Pak Cik Majid yang lebih selesa duduk di ruang
hadapan.
“Ita, malam ni kau tidur seorang, ya. Aku nak tidur kat
rumah mak mentua aku. Ibu dan abah aku nak tidur kat sana
malam ni. Esok pagi-pagi aku kena hantar ibu dan abah aku
ke stesen bas. Lepas tu baru aku pergi sekolah. Kalau aku
terlambat tolong beritahu pengetua,” beritahu Sara Raihana
kepada Norita semasa mereka menyediakan minuman di
dapur.
“Okay, no problem.Kalau aku tanya kau marah tak?”
tanya Norita menduga.
“Tak tanya lagi nak marah
apa?” Sara Raihana cuba
berjenaka walaupun di telinganya sendiri terdengar
sumbang.
“Malam ni aku pinjambearkau yang besar tu boleh tak?
Buat teman, tak adalah aku nak cakap seorang nanti,” kata
Norita sambil melakukan aksinya sekali, membuatkan Sara
Raihana tergelak kecil.
Mak Cik Rohaya berasa gembira melihat perlakuan itu
kerana sebelum ini Sara Raihana sukar tersenyum apatah lagi
hendak mendengarnya ketawa.
“Beartu untuk aku aje. Kalau kau nak, ambil yang kecil
tak apa.”
“Cis, kedekut. Kalau yang kecil aku tak naklah.”
Sara Raihana hanya tersenyum mendengar kata-kata
Norita. Sikap Norita yang gemar berjenaka dan ceria selalu,
menghiburkan hatinya. Dia tahu Norita sengaja mengusiknya
kerana di dalam bilik Sara Raihana terdapat beberapateddy
bearpelbagai saiz dan yang paling besar, sebesar orang
utan.
“Nah Cik Ita, air dah siap. Tolong bawakan,” pinta Sara
Raihana sambil menyuakan dulang air kepada Norita.
Norita mengambil dulang itu dan bergerak ke ruang
hadapan. Sara Raihana mengekori sambil membawa sepinggan
pisang goreng yang telah dibelinya. Mereka semua menikmati
minum petang itu sambil bercerita ringan.