Home Novel Fantasi HARIS SI KUCING JADIAN
Bab 39

MALAM SEMALAM

 

“Hoi, beruang bodoh! Kau siapa? Berani kau ganggu perbualan indah aku dengan bakal suami aku! Kau tak nampak ke kami sedang merancang masa depan kami. Berambus kau dari sini!” Ujar Tini dengan nyaring.

“Dah ler tu, nenek kebayan! Kau tu yang patut berambus! Ada hati nak kahwin dengan sahabat baik aku. Kau tak setaraf dengan dia. Dia tu manusia, kau tu bunian. Dia takkan bahagia hidup dengan kau. Dah, pergi balik sebelum aku cakar muka kau yang penuh jeragat tu.

“Grrr….beruang bangang! Balik rumah nanti aku beritahu bapak aku! Biar dia sumpah kau jadi babi hutan!” Bentak Tini lalu terbang menghala ke arah tasik dan menghilang di sebalik kabus.

“Emm….dah berambus dah si nenek kebayan tu. Baiklah, biar aku berterus terang saja dengan kau. Nama aku Kuganah. Aku nak berkawan dengan kau,boleh?”

Harimau kumbang itu mendekati Haris, menundukkan kepala dan merebahkan badannya  di kaki Haris.

“Kau ni siapa sebenarnya?” Tanya Haris.

“Nama aku Kuganah.”

“Yalah, kau dah cakap tadi. Maksud aku, kau ni apa? Setan ke? Jembalang ke? Jin Afrit ke?”

“Semua tu bukan. Aku ialah semangat harimau kumbang.”

“Semangat harimau kumbang? Maksud kau, roh harimau kumbang?”

“Kau memang pandai. Setiap makhluk yang bernafas mempunyai satu kuasa atau tenaga yang menguasai jasad masing-masing. Ada yang memanggil tenaga itu sebagai semangat, ada yang memanggilnya sebagai roh, spirit, dan sebagainya. Kalau manusia ada roh, haiwan juga ada roh. Dan aku, adalah roh seekor harimau kumbang yang agak advance berbanding roh haiwan-haiwan yang lain.”

 “Apa? Advance? Oh, pasal kau boleh bercakap tanpa menggerakkan mulut tu ya? Macam mana ya suara kau boleh keluar walaupun mulut kau tak bergerak?”

 “Oh, ini ialah salah satu daripada kebolehan yang aku belajar daripada pengalaman hidup. Kau tahu apa itu ventriloquist?”

“Ventriloquist? Orang yang boleh buat patung bercakap tu? Okey, aku dah faham.”

“Aku juga boleh bercakap dengan kau menggunakan telepati.”

“Ooo…okey.”

“Yang kau nak berkawan dengan aku ni apahal? Kau nak apa?”

“Panjang ceritanya, sahabat. Aku takut kau terlepas waktu subuh.”

“Kau bagi je lah versi pendek cerita kau tu.”

“Nanti kau tak faham.”

“Okey. Paling senang, kau beritahu aku kau nak apa sebenarnya?”

“Aku dah cakap, aku nak berkawan dengan kau.”

“Yalah, pasal apa?”

 “Aku ingin tawarkan sesuatu yang tak mampu kau tolak.”

“Apa dia?”

“Keupayaan mengubah rupa menjadi seekor harimau! Satu keistimewaan yang dimiliki oleh nenek moyang kau satu masa dahulu yang kini telah terhapus daripada keturunan kau.”

“Bertukar jadi harimau? Memang menarik tu. Macam mana cara-caranya?”

“Senang saja. Sama macam kau bertukar jadi kucing, kau cuma perlu niat dalam hati dan bayangkan tubuh kau bertukar menjadi seekor harimau kumbang yang gagah perkasa dan paling kacak dalam dunia.”

 “Macam tu je? Senangnya!”

“Tapi ada syarat-syaratnya.”

“Dah agak dah! Kau nak aku bela kau, kan?”

“Bukan. Aku nak kau jadikan aku sebagai pendamping kau.”

“Samalah tu!”

“Tak sama. Kau tak perlu bagi aku makan. Aku boleh cari makan sendiri. Aku cuma perlukan perlindungan dan tempat tinggal.”

“Tempat tinggal? Maksud kau, kandang?”

“Bukanlah.”

“Habis tu, tempat tinggal yang macam mana? Dalam rumah?”

“Bukan. Dalam tubuh kau! Lebih tepat lagi, aku nak tinggal dalam hati kau!”

“Cakap betullah wei, apa maksud kau ni?”

“Beginilah, supaya kau lebih faham, biar aku ceritakan serba sedikit tentang diri aku. Lapan ratus tahun dahulu, aku adalah seekor harimau kumbang yang gagah perkasa dan segak bergaya. Aku sedang berada di kemuncak prestasiku. Kegemaran aku ialah makan daging manusia. Suatu hari, selepas membaham seorang budak yang suka melastik burung, aku terkena panah beracun yang dilancarkan oleh bapa budak itu. Aku berjaya melarikan diri namun malang terus menimpa apabila aku terjatuh ke dalam lubang yang digali oleh pemburu untuk memerangkap babi hutan. Sebilah buluh runcing menembusi perutku. Nyawaku berada di hujung kuku. Aku tercungap-cungap menanti saat kematianku apabila aku nampak dia-”

“Dia? Dia siapa?”

“Guntur!”

“Guntur? Guntur tu siapa?”

“Guntur ialah leluhur kau.”

“Leluhur? Leluhur tu apa?”

“Dalam bahasa Melayu yang mudah, leluhur itu maksudnya nenek moyang.”

“Nenek moyang? Maksudnya aku ni keturunan Guntur?”

“Ya, kau berasal dari tulang belikat Guntur. Begitu juga dengan papa kau, tokwan kau serta datuk-datuk kau yang sebelumnya.”

“Ooo…so, kau jumpa Guntur. Lepas tu?”

“Guntur dan tiga sahabatnya yang lain pada mulanya menyangka aku seekor babi hutan sehinggakan sahabatnya yang bernama Parjo terjun ke dalam lubang untuk menyembelihku. Mujurlah sahabatnya yang seorang lagi bernama Campaka dapat membezakan antara harimau dengan babi. Waktu-”

“Yang nama Campaka tu mesti pompuan, kan?”

“Ya, mana kau tahu?”

“Biasalah tu, dah jadi trend, yang bijak pandai selalunya pompuan, yang bodoh bengap selalunya lelaki.”

“Tak juga. Perempuan selalunya bijak masa jawab periksa dan jawab soalan kuiz je. Masa-masa lain senang aje kena tipu dengan lelaki. Ada yang sampai tergadai harta benda dan wang ringgit. Yang paling biasa, tergadai maruah diri.”

“Kau pun ikut perkembangan semasa jugak ya. Rimau educated ler ni?”

“Taklah educated sangat tapi berita pukul lapan aku jarang miss.Tapi aku tak nafi memang ada ramai lelaki yang bodoh bengap di Malaysia ni. Bagaimanapun, leluhur kau Guntur, dia bukan lelaki yang bodoh bengap. Pertama kali bertentang mata dengannya sudah ku tahu Guntur bukan lelaki sembarangan.Dia punya aura yang sangat memikat hati. Aku cuba bertelepati dengannya dan sungguh di luar jangkaanku, dia membalasnya. Dia dan para sahabatnya mengeluarkan aku daripada lubang perangkap itu. Dengan kepakaran Campaka yang mahir menawarkan racun dan mengubati luka, aku berjaya diselamatkan daripada maut. Sebagai membalas jasa Guntur dan para sahabatnya, aku bersumpah setia dengan Guntur akan melindungi mereka semua dari segala ancaman bahaya selagi nyawaku dikandung badan.”

“Lepas tu?”

“Selepas peristiwa itu, aku sering menemani Guntur dan para sahabatnya mengembara ke segenap pelosok alam demi mencari pengalaman hidup. Kemudian, ketika kami dalam perjalanan pulang dari pengembaraan terakhir kami, kami mendapat berita yang menyayat hati. Seluruh keluarga Guntur termasuk isteri kesayangannya habis mati dibunuh. Anak lelakinya yang bernama Rentap iaitu satu-satunya anak Guntur bersama isterinya Mayang Sari hilang entah ke mana. Kejadian itu menghancurkan perasaan Guntur. Guntur menjadi seperti orang gila. Dia lebih suka bersendiri dan tidak peduli keadaan sekelilingnya. Amarah dan dendam menguasai dirinya hingga kami tidak lagi berani mendekatinya. Suatu hari Guntur datang berjumpa denganku untuk mengucapkan selamat tinggal kerana ingin pergi mencari anaknya dan membalas dendam atas kematian isteri dan ahli keluarganya yang lain. Dia mahu aku berjanji akan meneruskan usahanya sekiranya dia terkorban lebih awal. Sejak itu aku tidak lagi bertemu dengannya.”

“Kenapa kau tak ikut dia?”

“Dia tak benarkan kerana dia tak mahu aku turut jadi mangsa amarah dendamnya.”

“Lepas tu kau buat apa?”

“Beberapa hari kemudian aku kembali ke dalam hutan. Si bapa budak yang aku baham itu masih belum mahu memaafkan aku. Akhirnya dia berjaya menangkap aku dengan bantuan beberapa pemburu yang terkenal dengan ilmu penunduk haiwan. Berhari-hari lamanya aku disiksa oleh si bapa dan orang-orang kampung. Keempat-empat kakiku dipotong dan aku dibiarkan kelaparan hingga terpaksa memakan sisa-sisa kakiku yang dipotong itu. Badanku dikelar-kelar dengan pisau dan tempat lukanya diselar dengan besi panas. Akhirnya aku dijadikan sasaran latihan memanah. Beratus-ratus anak panah menembusi badanku namun aku masih lagi bernafas. Kesudahannya si bapa membakar aku hidup-hidup.”

“Seksanya cara kau mati. Lepas tu?”

“Walau jasadku telah mati namun semangat aku terus hidup. Entah berapa hari lamanya aku hidup sebagai roh yang gentayangan dalam keadaan halimunan. Namun pada suatu hari, sesuatu yang ajaib telah berlaku. Aku dapati diriku boleh menampakkan diri sebagai seekor harimau kumbang dan juga boleh kekal halimunan. Aku rasa cukup teruja lalu-”

“Yeaa, masa untuk balas dendam! Kau bunuh bapak budak dengan orang-orang kampung tu, kan?”

“Tak, aku tak bunuh.”

“What? Habis tu kau maafkan diorang?”

“Tak juga.”

“Habis tu?”

“Aku makan diorang!”

“Ler, samalah tu!”

“Tak, tak sama. Aku tak suka membazir.”

“Siapa-siapa yang kau makan?”

“Semua.”

“Semua? Maksud kau satu kampung kau makan?”

“Semua manusia yang tinggal dalam kampung itu aku makan termasuklah mereka yang tidak terlibat dalam penyiksaan dan pembunuhanku. Lelaki, perempuan, orang tua, kanak-kanak, bayi dalam buaian, bayi dalam kandungan, semuanya aku baham tanpa tinggal sisa kecuali seorang.”

“Siapa? Bapak budak tu?”

“Ya, aku cuma baham kedua-dua belah tangannya dan juga kedua-dua biji matanya. Aku mahu dia hidup sebagai manusia cacat sepanjang hayatnya.”

“Huishh, dahsyatnya kau. Macam mana dia nak cari makan kalau takde tangan? Buta pulak tu?”

“Mulutnya masih ada. Dia masih boleh mengunyah sesuatu.”

“Ah-ah, lepas tu?”

“Lepas itu aku seperti hilang arah. Dendamku sudah berbalas tapi mengapa aku masih di sini. Bukankah aku sepatutnya berada di alam kematian? Aku gagal mencari jawapan kepada matlamat kewujudanku. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk kembali ke pangkuan Guntur.”

“Kau jumpa dia?”

“Tak. Tapi aku berjaya mengesan Rentap, anak Guntur. Rupa-rupanya Rentap telah diselamatkan oleh bapa kandung Guntur bernama Kartala yang menjumpainya merayau-rayau dalam hutan sambil menangis. Dari bapanya aku mendapat tahu mereka semua adalah keturunan manusia harimau.”

“Kejap. Maknanya keluarga Guntur yang mati kena bunuh itu adalah keluarga angkat dia?”

“Ya.”

“Guntur tahu ke perkara yang sebenar?”

“Selepas berjumpa dengan Rentap, Kartala berjaya mencari Guntur dan telah menceritakan segala-galanya kepada Guntur tentang asal usul keturunan mereka.”

“Bila Guntur dapat tahu dia boleh bertukar jadi harimau mesti dia jadi lebih bersemangat untuk balas dendam, kan?”

“Ya, selepas berjumpa dengan Rentap dan Kartala, aku cuba menjejaki Guntur. Setiap kali aku mendengar khabar ada orang mati dibunuh harimau, aku akan segera pergi menyiasat namun aku gagal menemui Guntur.”

“Lepas tu?”

“Lepas itu aku kembali ke pangkuan Rentap dan Kartala. Aku memberitahu mereka tentang janjiku kepada Guntur dan bersumpah akan melindung imereka dan keturunan mereka selama mana diizinkan Sang Pencipta. Masa berlalu musim beralih, keturunan Guntur bersilih ganti. Setiap daripada mereka boleh bertukar menjadi harimau. Namun bila tiba giliran leluhur kau yang bernama Kasap, dia mendapati dirinya cuma boleh bertukar menjadi seekor kucing. Sejak itu hampir semua keluarga manusia harimau di Semenanjung Tanah Melayu dan kepulauan Borneo hilang keupayaan menjadi harimau dan mereka juga cuma mampu melahirkan seorang anak sahaja.

“Ooo… sebab itulah aku dengan Ezrina tak ada adik beradik. Eh, kau kenal Ezrina kan?”

“Kenal atau tidak, dia bukan urusan aku. Urusan aku adalah melibatkan keturunan Guntur. Bagaimana? Engkau setuju untuk menjadikan aku sebagai pendamping?”

“Mmm…nantilah, bagilah masa aku pikir dulu.”

“Nak fikir apa lagi, sekaranglah masa yang paling sesuai. Aku tahu, engkau dalam kerisauan bukan? Seseorang yang kau cinta sedang diancam bahaya?”

“Kau tahu pasal Amelia? Pasal orang minyak?”

“Ya, aku tahu semua perkara tentang diri kau. Aku dah lama memerhatikan kau kerana itulah tugas aku. Aku tak pernah lupa dan tetap berpegang teguh dengan janjiku kepada Guntur untuk melindungi keturunan Guntur daripada ancaman bahaya.”

“Kalau betul kau nak tolong aku, kau pergilah cari orang minyak tu.Tak pun kau pergi je tunggu dekat Aspuri tu. Kalau orang minyak tu datang, kau bunuh je dia, habis cerita. Tak payah nak ambik kau jadi pendamping semua tu.”

“Nampaknya kau sama saja dengan Tokwan dan papa kau. Semuanya pengecut. Kenapa kau tak mahu jadikan aku pendamping kau? Kau takkan rugi apa-apa pun. Malah, kau patut rasa gembira kerana akhirnya kau akan dapat kembali bertukar jadi harimau seperti mana nenek moyang kau dahulu. Dan juga,ada bonus yang menanti kau! ”

“Bonus? Maksud kau?”

“Sekiranya engkau makan jantung orang yang kau bunuh, segala ilmu dan kesaktian yang ada padanya akan jadi milik kau. Sebagai contoh, sekiranya jantung yang kau makan itu milik seorang manusia halimunan, engkau pun akan turut mewarisi kuasa halimunannya. Sungguh seronok, bukan?”

“Tapi, kalau Tokwan dengan papa pun tak nak terima tawaran kau, mesti ada sebab yang tertentu yang buat diorang tak mahu.”

“Mereka tak ada sebab, mereka cuma pengecut. Kau tentu tak mahu jadi pengecut macam mereka, kan?”

“Tak boleh ke kau tolong aku tanpa aku perlu ambik kau jadi pendamping, tolong aku dengan ikhlas, tanpa harapkan apa-apa balasan?”

“Haha…wahai sahabatku yang naif, setiap sesuatu  dalam hidup ini tentu ada harga yang perlu kau bayar. Kalau kau mahukan pertolongan aku, berikan hati kau sebagai tempat tinggalku. Tanpa aku, mustahil kau boleh bertukar menjadi harimau. Mampukah engkau melindungi Amelia dengan kekuatan seekor kucing?

“Tapi…ah, aku percaya mesti ada something yang tak kena dengan tawaran kau ni.”

“Mmm…itu terpulanglah pada kau. Ingat Amelia, ingat Kuganah. Hahaha…”

“Isshh…okey, baiklah. Demi Amelia, aku terima tawaran kau. Tapi aku cuma akan gunakan kuasa engkau bila aku betul-betul terdesak dan dalam kebuntuan sahaja. Kalau aku ada cara lain, aku sama sekali takkan gunakan kuasa engkau.”

“Ikut suka hati kaulah, sahabat. So, kau setujulah ni nak berikan hati kau sebagai tempat tinggal aku?”

“Yalah, aku setujulah ni. Kau nak aku sign kat mana?”

“Haha, kau memang kelakar. Sekarang, hati kau dah jadi milik aku.Aku pun dah rasa mengantuk, aku nak pergi tidur dalam hati kau. Oh ya, aku rasa kau perlu bangun sekarang. Waktu Subuh dah nak habis.”

Previous: BAB 38
Next: BAB 40

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh JACK EL JAMILY