Udara malam yang lembab dingin menyebabkan bulu-bulu halus di tubuh Haris meremang dengan sendiri. Haris bergerak pantas menyusup di celah-celah koridor memastikan kehadirannya tidak dikesan oleh penghuni Aspura. Ketampanan rupa dan kegebuan bulunya yang halus lebat tentu saja akan menarik perhatian mereka untuk menangkapnya. Dia tidak rela dipeluk dan dibelai oleh jejaka-jejaka kesepian di malam yang dingin.
Haris kini sudah menguasai sepenuhnya mekanisme pergerakan seekor kucing. Keadaan tubuhnya yang ringan dan fleksibel menjadikan setiap pergerakan yang dilakukannya terasa begitu mudah dan menyeronokkan. Dia berlari, melompat, berhenti memerhatikan keadaan sekeliling dan kemudian kembali berlari dengan laju menuju ke blok C Aspuri.
Haris tiba di tingkat bawah blok C Aspuri dengan perasaan yang bercampur baur antara seronok dan gementar. Seronok kerana akhirnya berjaya memasuki Aspuri yang selama ini menjadi kawasan larangan bagi penghuni-penghuni Aspura. Gementar kerana tidak dapat menjangka apakah reaksi penghuni Aspuri sebaik saja melihat seekor kucing yang tampan bergaya berada di hadapan mereka. Semua penghuni Aspuri yang cantik manis dan memakai baju tidur seksi dan juga yang berkembankan tuala mandi pasti akan mengepung dan cuba untuk menangkapnya. Mereka tentu akan berebut-rebut untuk memeluk dan membelainya dengan penuh perasaan geram. Oh, Haris tak sabar untuk menikmati saat-saat indah itu.
Tingkat 2 blok C kelihatan lengang dan sunyi. Tidak ada seorang pun penghuni Aspuri yang kelihatan berlegar-legar di ruang koridor seperti lazimnya di Aspura. Haris berasa agak kecewa. Mungkin kerana cuaca pada malam itu agak dingin membuatkan mereka lebih suka memerap dalam bilik masing-masing. Haris bergerak lambat-lambat menyusuri koridor. Matanya tajam memerhatikan bilik-bilik di kiri dan kanan koridor kalau-kalaua da yang terbuka namun semuanya kelihatan tertutup rapat.
Haris akhirnya tiba di hujung koridor. Sebuah pintu berwarna merah yang tertutup rapat menghalang laluannya namun dia tahu di sebalik pintu itu terletaknya tangga kecemasan. Sebuah pemadam api ditempatkan bersebelahan dengan pintu berwarna merah itu. Bilik terakhir yang terletak di hujung koridor itu adalah bilik mandi berserta tandas manakala bilik yang bertentangan dengannya adalah bilik utiliti yang menempatkan mesin basuh, seterika dan sebagainya. Haris menjenguk ke dalam kedua-dua bilik itu namun ia kelihatan kosong.
Haris melompat ke atas tembok koridor, mengemaskan duduknya dan secara spontan menjilat-jilat tapak tangannya dan kemudian menyapunya ke muka dan kepalanya. Dia mengambil keputusan untuk melepak di situ sekejap kalau-kalau Amelia ada melalui kawasan itu. Ketika Haris sedang asyik berdandan, tiba-tiba dia mendengar suara perempuan bergelak ketawa datang dari bilik di hujung hadapan koridor. Jantung Haris berdebar kencang.
Dari tempat dia bertenggek itu, dia dapat melihat dua orang perempuan berjalan beriringan sambil berbual rancak menuju ke arah Haris. Kedua-duanya memakai seluar trek dan berbaju t-shirt kolej. Haris berasa agak kecewa.
“Ishh… mana pergi semua yang comel-comel, yang cute-cute, yang seksi-seksi dekat Aspuri ni. Diorang semua pergi bertapa dekat Gunung Ledang ke apa? Yang standard pelakon tambahan nak buat apa.”
Pada mulanya kedua-dua perempuan itu seperti tidak perasan kewujudan Haris namun tiba-tiba salah seorang daripada mereka terus menjerit sebaik saja melihat Haris.
“Eh,Jun, ada kucinglah! Tengok tu….”
“Mana Meen?”
“Tuu….”
“Holamak, comelnya dia! Eee....comelnyaaa!”
“Eh,Jun, jom kita ajak dia masuk bilik.”
“Ha’ah, tapi lepaih ni la. Aku nak masuk jamban dulu.”
Perempuan yang bernama Jun itu merapati Haris lalu menghulurkan tangannya ke badan Haris dengan niat untuk membelai bulu Haris. Haris cepat-cepat mengangakan mulut menunjukkan gigi taringnya kepada Jun sambil mengeluarkan bunyi mendesis yang agak kuat. Jun segera menjauhkan diri.
“Huih! Garangnya dia. Ooo….hang jual mahal ya? Sombong bukan main hang ni. Nak pegang sikit pun tak boleh ke?”
“Tak boleh! Pompuan yang comel-comel, yang cute-cute, yang seksi-seksi je yang boleh pegang aku. Bagi hang pegang nanti habis kusut masai bulu aku. Hang ingat senang ke nak jaga bulu yang cantik gebu macam gini.”
“Eh Jun, dia lapar kot. Tak pun dia ingat kita nak tangkap dia. Pendatang haram kan suka tangkap kucing lepas tu sembelih buat lauk.”
“Ah-ah, yalah kot. Meen, maybe kalau kita pujuk dia, cakap baik-baik dengan dia, dia setuju kot ikut kita masuk bilik.”
“Eh, keropok yang kau beli dekat pasar malam tadi ada lagi kan? Apa kata kita try pujuk dia dengan keropok tu?”
“Boleh jugak. Tapi sebelum tu jom la teman aku masuk dalam sat. Tak tahan dah ni.”
“Laa….takkan kau masuk jamban pun aku kena ikut sama. Itulah, suka sangat tengok video hantu dekat Youtube. Aku tunggu kat sini, apa-apa hal kau jerit je.”
“Okey, tapi hang jangan pergi mana-mana tau, apa-apa pun hang kena tunggu sini jugak.”
“Yelah, aku tunggu sini. Pergilah cepat.”
Perempuan yang dipanggil Jun itu pun dengan segera melangkah masuk ke dalam bilik mandi. Perhatian Meen kembali tertumpu kepada Haris yang kembali menjilat bulu.
“Hai kucing comel, awak buat apa kat sini? Tunggu jamban ya?”
“Ah-ah. Awak pulak buat apa kat sini? Tunggu kawan berak ya?”
“Awak ni comel betullah. Siapa nama awak?”
“Nama saya Haris. Saya tak sukalah awak ganggu saya macam ni. Saya dah ada girlfriend tau. Nama dia Amelia. Eh, awak tau tak bilik girlfriend saya tu kat mana?”
“Mmm…awak suka tak makan keropok lekor? Dalam bilik saya kan, ada keropok lekor. Made in Terengganu lagi. Makcik pasar malam tu ler yang cakap. Betul ke tak keropok lekor Terengganu manalah saya tau, kan? Tapi kalau awak nak rasa keropok lekor tu, jomlah ikut saya pergi bilik.”
“Keropok lekor? Ooo… yang batang dia besar-besar, panjang-panjang, keras-keras tu ek? Tak nak lah saya. Entah apa aktiviti yang awak dah buat dengan keropok lekor tu, manalah saya tahu, kan?Bukan boleh percaya sangat dengan awak ni.”
“Kalau awak tak suka keropok lekor, keropok segera pun ada. Alaa… yang ada tulis dekat plastik dia “BOLEH DI MAKAN SELALU” tu. Keropok tu keras sikit tapi rasa dia sedap tau. Kalau awak nak rasa jomlah kita pergi bilik saya.”
“Awak ni tak faham bahasa ke? Saya cakap tak nak, tak naklah. Sekarang ni saya nak jumpa girlfriend saya Amelia. Awak pergi panggil dia sekarang. Cepat pergi!”
“Ke awak suka makan biskut? Saya ada biskut Munchys tau, tapi saya simpan dekat bilik ler. Awak nak ke biskut Munchys tu?”
“Hmm… biskut Munchys ya? Bolehlah, pergi ler ambik biskut tu bawak mai sini. Lepas ambik biskut tu, awak pergi panggil girlfriend saya pulak ya.”
Tiba-tiba kedengaran suara perempuan menjerit dari dalam bilik air. Kelihatan Jun dengan muka yang pucat lesi tergopoh gapah keluar dari bilik air lalu mendekati Haris dan Meen.
“Eh, kau ke yang jerit tadi Jun? Ada apa?” Tanya Meen dengan muka berkerut.
“Bu-bu-bukan a-aku yaa-yang je-je-jerit. Di-di-dia yang je-je-jerit!” Jawab Jun tergagap-gapap sambil menudingkan jari telunjuknya ke arah lembaga berbungkus kain putih lusuh yang sedang terapung-apung menuju ke arah mereka bertiga.
“Po-po-po-po-pocong!”Jun dan Meen menjerit serentak sambil membuka langkah seribu menuju ke bilik mereka.
Haris juga turut sama terperanjat melihat lembaga berbungkus kain putih lusuh yang dipanggil pocong oleh Jun dan Meen itu. Dia serta merta menjadi panik dan tidak tahu apa tindakan yang perlu dilakukannya.
Pocong itu kini berada betul-betul di hadapan Haris. Dia memandang tepat ke muka Haris. Dengan bantuan lampu koridor, Haris dapat melihat dengan jelas wajah pocong itu. Kulit mukanya hitam menggerutu dan dipenuhi bisul-bisul kecil yang membengkak di sana sini. Kelihatan nanah dan lendir yang bercampur darah hitam menitik keluar dari bisul-bisul itu. Hidungnya kelihatan rompong dan yang tinggal hanyalah dua rongganya sahaja. Mulutnya juga rompong dan hanya tinggal beberapa batang gigi yang sudah reput. Kedua-dua biji matanya yang diselaputi urat-urat merah dan tidak berkelopak hampir tersembul keluar dari kelongsongnya.
Naluri kucing yang wujud dalam diri Haris segera mengambil alih. Dia segera mengubah posisi badannya dan terus berada dalam posisi menyerang. Haris mengumpul seluruh tenaganya. Dia menyeringaikan taringnya, mengeluarkan kuku-kukunya yang tajam dan bersedia untuk menerkam pocong itu.
“Ya Allah, buruknya muka kau. Makhluk terkutuk! Engkau buat apa datang sini, hah? Kau nak hisap darah manusia? Baik kau pergi dari sini. Kalau tak, aku siat-siat muka kau yang penuh dengan bisul tu!” Haris bertelepati memberikan amaran kepada pocong itu.
“Apa kau cakap? Eh, kau boleh bercakap? Kau kucing apa boleh bercakap?” Balas pocong yang tersentak mendengar kata-kata Haris itu.
“Hah? Apa?” Haris pula yang tersentak.
“Eh, betullah kau boleh bercakap. Kau ni kucing ke apa sebenarnya?”
“Hah? Kau tanya aku? Eh, kau tu pulak hantu ke apa? Macam mana kau boleh pakai telepati cakap dengan aku, hah?”
“Isskk… kaulah cakap dulu. Kau tu kucing ke apa boleh bercakap dengan aku?”
“Aku manusia kucing. Maksud aku, aku ni manusia tapi boleh bertukar rupa jadi kucing.”
“Ooo… macam harimau jadian tu ke?”
“Ah-ah. Cuma aku tak boleh bertukar jadi harimau. Aku cuma boleh bertukar jadi kucing je. Kau tu pulak, pocong ke apa sebenarnya?”
“Hmm… entahlah. Aku sendiri pun tak tahu. Dah berapa hari aku duduk memikirkan pasal perkara ni. Macam mana aku boleh ada kat sini, pasal apa aku ada kat sini, aku sendiri pun tak tahu. Yang aku tahu,nama aku Ayu.”
“Ayu? Ooo…betullah dia ni hantu pompuan. Hilang ingatan pulak tu. Aku rasa maybe dia ni dulu akak senior kat sini. Err….Ayu dulu pernah jadi student dekat UM ni ke?”
“Manalah aku…err, manalah saya tahu. Saya kan hilang ingatan.”
“Ya tak ya. So, saya kena panggil Ayu ni Kak Ayulah ya?”
“Hmm… suka hati awaklah. Awak pulak siapa nama?”
“Nama saya Haris.”
“Haris? Haris buat apa sebenarnya kat sini? Nak sekoden awek mandi bogel ya?”
“Hajat di hati tu memang macam itulah Kak Ayu. Tapi itu aktiviti sampingan je. Saya datang sini sebenarnya nak jumpa girlfriend saya.”
“Waah, dah ada girlfriend rupanya dia. Eh,dia dah tahulah ya Haris ni kucing jadian?”
“Tak, dia belum tahu lagi Kak Ayu. Sebenarnya kitorang baru je kenal. Belum pun jadi couple lagi. Baru dalam proses introduction.”
“Ooo…baru first level ya. Siapa nama dia?”
“Amelia.”
“Amelia? Mesti cantik orangnya, kan?”
“Kalau Kak Ayu tanya saya mestilah saya cakap dia cantik. Tapi untuk lebih memuaskan hati, akak kena tengok sendirilah.”
“Mmm… bilik dia kat mana?”
“Itulah masalahnya Kak Ayu. Saya tak tahu bilik dia kat mana. Saya dah tanya nombor bilik dia tapi dia tak nak beritahu.Yang saya tahu, blok C, tingkat 2. Itu je. So, saya pun duduk sinilah tunggu dia kalau-kalau dia lalu sini nak basuh kain ke, seterika baju ke.”
“Iskkk… macam tu sampai pagilah Haris kena tunggu sini. Biar akak tolong cari kat mana bilik dia.”
“Kak Ayu nak cari macam mana? Kan Kak Ayu tak kenal dia.”
“Mmm… ya tak ya jugak.”
“Tak apalah Kak Ayu, itu kita buat lain kali. Sekarang ni kita cuba selesaikan dulu masalah Kak Ayu ni. Betul ke Kak Ayu langsung tak ingat apa-apa pasal diri Kak Ayu?”
“Betul Haris, akak memang tak ingat apapun pasal diri akak. Tahu-tahu akak dah ada kat sini. Mula-mula akak cuba jugak tanya budak-budak perempuan yang lalu lalang kat sini tapi diorang semua buat tak endah je dengan akak. Diorang buat macam akak ni tak wujud.”
“Diorang tak nampak Kak Ayu ler tu. Kak Ayu kan hantu. Tapi macam mana pulak sekarang ni diorang boleh nampak Kak Ayu? Saya pun boleh nampak Kak Ayu?”
“Itu pun akak tak tahu. Yang akak tahu, akak sangat-sangat perlukan maklumat pasal diri akak. So tadi, bila akak nampak perempuan tu dalam bilik mandi, akak terus pergi dekat dengan dia. Bila akak buka mulut nak tanya dia awak apa khabar, tiba-tiba bunyi suara yang keluar dari mulut akak macam suara perempuan menjerit. Serentak dengan itu dia paling belakang. Kesian akak tengok dia. Muka dia pucat lesi macam orang baru nampak hantu. Akak rasa dia dah terkencing sebab seluar dia sebelah depan nampak basah.”
“Mana tak terkencingnya Kak Ayu, kalau saya dalam bentuk manusia mungkin saya pun turut terkencing sama tengok muka Kak Ayu.”
“Iya? Teruk sangat ke rupa akak ni Haris?”
“Kak Ayu tak pernah cuba tengok depan cermin?”
“Pernah, cermin dalam bilik mandi tu lah. Dah banyak kali akak tengok tapi akak tak nampak apapun dekat cermin tu. Betul ke muka akak ni nampak buruk Haris?”
“Buruk Kak, sangat-sangat buruk. Kalau kawan saya Razif tengok Kak Ayu mesti dia cakap muka Kak Ayu macam Hantu Mat Gobeng.”
“Hantu Mat Gobeng?”
“Ha’ah. Kawan saya Razif cakap, Hantu Mat Gobeng ni pada asalnya ialah seorang pemuda kampung bernama Ahmad Ghaffar tapi dipanggil Mat Gobeng oleh orang-orang kampung. Mat Gobeng ni ialah seorang yang baik hati dan suka tolong orang. Tapi oleh sebab muka dia yang sangat buruk, sangat hodoh dan sangat menjijikkan, orang-orang kampung gelar dia Hantu Mat Gobeng. Orang kampung semuanya tak mahu berkawan dengan dia menyebabkan dia menderita kesunyian dan akhirnya suatu hari ada orang nampak dia bunuh diri terjun dalam sungai.
Tiga hari tiga malam orang kampung cari mayat dia tapi tak jumpa. Lepas tu sebulan kemudian waktu bulan mengambang ada orang nampak dia merayau-rayau dalam kampung. Orang kampung semua percaya Mat Gobeng betul-betul dah jadi hantu. Lalu, gelaran Hantu Mat Gobeng pun terus kekal sampai ke hari ni.”
“Tragis juga ya cerita Hantu Mat Gobeng ni. Ini cerita betul ke cerita rekaan, Haris?”
“Eh, ini cerita betul Kak Ayu. Kawan saya Razif cakap, sampai sekarang pun Hantu Mat Gobeng masih lagi merayau-rayau mencari siapa saja yang sudi berkawan dengan dia.”
“Ooo…eh, cukuplah cerita pasal hantu Mat Gobeng. Pasal kes akak ni macam mana pulak ceritanya?”
“Hmm…saya ada satu idea yang boleh kita cuba try. Kalau ikut firasat sayalah, saya rasa Kak Ayu perlukan seorang perantara untuk dapatkan balik ingatan Kak Ayu yang hilang tu.”
“Perantara? Maksud Haris?”
“Maksud saya, Kak Ayu sekarang ni wujud dalam bentuk roh. Saya pernah terbaca dekat internet yang roh itu sebenarnya adalah salah satu bentuk tenaga. Macam elektrik, ia perlukan konduktor untuk berfungsi. So, untuk mengembalikan semula ingatan Kak Ayu saya cadangkan Kak Ayu gunakan otak saya sebagai konduktor. Melalui sel-sel otak saya, Kak Ayu boleh access semua pancaindera saya dan gunakan ia sebagai alat untuk melihat,mendengar, menghidu dan sebagainya.
Dalam masa yang sama juga, minda saya tetap aktif dan dapat berkongsi maklumat dengan Kak Ayu. Dalam bahasa yang lebih mudah, apa yang Kak Ayu nampak dan dengar, saya juga akan nampak dan dengar seolah-olah macam kita sedang menonton TV. Kak Ayu faham, kan?”
“Okey. akak rasa akak faham maksud Haris.”
“Kalau macam tu, cuba Kak Ayu sentuh kepala saya dan concentrate ingatan Kak Ayu pada saat yang paling penting ketika Kak Ayu menjadi student di kampus ni.” Haris memejamkan mata, mengosongkan minda dan membiarkan sel-sel otaknya menyerap tenaga dari tapak tangan Ayu.