Home Novel Fantasi HARIS SI KUCING JADIAN
BAB 11

SEKSYEN 8, SHAH ALAM

 

Haris tiba di rumahnya lebih kurang pukul 3.38 petang. Pintu pagar rumah semi D dua tingkat itu kelihatan tertutup tapi tidak dikunci. Setelah memarkir motosikalnya di garaj, Haris menuju ke pintu depan rumahnya. Dia memulas tombol beberapa kali namun pintu rumah tak dapat dibuka kerana dikunci dari dalam.Haris menekan loceng pintu dua tiga kali. Seketika kemudian pintu rumah dibuka oleh Encik Hamdan. Dia membiarkan pintu rumah terbuka seluas-luasnya lalu kembali duduk di sofa menghadap skrin televisyen.

            Haris membuka kasut Conversenya dan membawa kasut itu masuk ke dalam rumah. Pintu rumah kembali dikunci. Sejak rumah itu dimasuki orang kurang siuman beberapa bulan yang lalu, ia sentiasa berada dalam keadaan berkunci siang dan malam.

Haris meletakkan kasutnya di rak kasut dan kemudian duduk di sofa di sebelah papanya. Pandangan matanya terpacak ke skrin televisyen. Rancangan Finding Bigfoot sedang bersiaran.

            “Dah jumpa bigfoot papa?” Tanya Haris sambil membuka stokingnya. Bau stoking yang ‘semerbak’ mengisi lubang hidungnya.

            “Hah?” Jawab papanya.         

            “Bigfoot yang diorang cari tu, dah jumpa ke papa?” Haris ulang tanya.

            “Belum.”

            “Agak dah. Kelakar kan papa diorang ni. Cari benda yang tak wujud, sampai kiamat pun takkan jumpa punya.”

            “Diorang jumpa bulu tadi.”

            “Bulu beruang kot?”

            “Hmmm...”

            “Mama mana papa, senyap je?”

            “Atas.”

            Haris beredar ke dapur sambil membawa stokingnya. Tiba di dapur, stoking itu kemudian dicampakkannya ke dalam mesin basuh yang berada berhampiran dengan pintu dapur. Tekaknya tiba-tiba berasa haus. Setelah mengisi tekaknya dengan air minum yang diambil daripada peti sejuk, Haris membuka saji. Beberapa ketul ayam goreng kelihatan tergolek di atas sebuah pinggan bujur. Haris tersenyum sendiri. Kalau dalam bab memasak,mamanya memang pantang dicabar.

Haris mencapai paha ayam goreng lalu digigit dan dikunyah. Rasa masin masih lagi terasa tapi tidaklah terlalu ketara. Sambil meratah ayam goreng, Haris membuka tudung periuk stainless steel yang berada di atas dapur gas. Aroma bubur kacang berhamburan keluar daripada periuk lalu masuk menusuk ke dalam rongga hidungnya. Haris cepat-cepat menghabiskan ayam goreng yang berada di tangannya. Giliran bubur kacang akan menyusul tiba.

            “Hah, Haris dah sampai ya. Mama tak dengar apa-apa, khusyuk sangat solat.” Sapa Puan Juliza yang baru turun dari tingkat atas. 

            “Mama baru solat ke? Asar dah nak masuklah mama. Tak baik tau solat last minute.”

            “Issyyh..lambat lagilah nak masuk waktu Asar. Haris lapar ke? Mama ada masak bubur kacang, roti Gardenia pun ada tu.”

            “Ah-ah, nak makan bubur kacanglah ni. Mama campur sagu tak?”

            “Sagu tak ada tapi mama campur dengan kacang merah sikit. Mama makan sikit tadi, sedap tau.”

            “Mama kalau masak bubur, buat kek, memang champion. Cuma bak goreng menggoreng je kureng sikit.”

            “Alah, Haris sorang je yang banyak komlen. Mama tengok papa makan sedap je, tak ada komplen pun.”

            “Mama kan cinta hati dia. Takkan dia berani nak komlen. Haris komlen pun untuk kebaikan mama jugak, supaya masakan mama ada improvement. Cuba mama kurangkan sikit lagi garam dalam ayam goreng mama tu, barulah ada kick ayam goreng tu.”

            “Haris ratah macam tu memanglah masin. Cuba makan dengan nasi, hilanglah rasa masin tu.”

            “Eh, papa dah makan ke bubur kacang ni mama?” Haris menyenduk bubur kacang ke dalam mangkuk.  

            “Entahlah, belum lagi kot. Tadi dia cakap nak tengok Bigfoot dulu. Haris makan jelah dulu. Kan mama masak banyak tu.” Puan Juliza melangkah ke ruang tamu untuk turut sama menonton rancangan Finding Bigfoot.

            Haris meletakkan mangkuk bubur kacang di atas meja makan berdekatan bungkusan roti Gardenia. Dia mengambil dua keping roti Gardenia lalu dimasukkan ke dalam pembakar roti. Roti bakar cicah bubur kacang memang menjadi kegemaran Haris sejak dari kecil lagi. Keenakan rasa lemak manis kuah bubur kacang yang meresap masuk ke dalam roti bakar memang sukar digambarkan dengan kata-kata. Haris menghening diri menikmati kelazatan anugerah Tuhan itu dengan penuh kusyuk.

            Setelah selesai menikmati bubur kacang dengan roti bakar, Haris bergerak ke ruang tamu untuk menyertai papa dan mamanya. Kelihatan di skrin TV sekumpulan rakyat Amerika yang sarat dengan pelbagai alat rakaman sedang mengejar satu lembaga berbulu yang mereka percaya adalah Bigfoot ataupun dikenali juga sebagai Sasquatch.

Setelah beberapa minit mengejar, mereka akhirnya bertemu dengan lembaga itu.Rupa-rupanya lembaga berbulu itu ialah seekor beruang coklat  yang sedang mengejar seekor anak rusa. Haris tersengih sendiri.

“Eh Haris, mana dia budu yang Razif kirim tu? Mama tak sabar nak rasa apa yang special sangat pasal budu tu.” Puan Juliza membuka bicara.

Haris membuka beg galasnya dan mengeluarkan botol-botol budu yang dimaksudkan oleh mamanya. Botol-botol budu itu diserahkan kepada mamanya berserta sekeping kertas bertulis tangan.

“Ooo…memang budu asli nampaknya. Label pun tak ada.” Puan Juliza membaca senarai bahan-bahan penyedap budu yang ditulis oleh Razif.

“Bawang merah, bawang putih, halia, serai, bunga kantan, cili padi, mangga harum manis, nanas Sarawak, strawberry Cameron Highland, eh, betul ke senarai ni Haris? Kenapa melalut sampai buah strawberry?”

“Razif tu memang suka melalut mama. Yang betulnya sampai cili padi je. Mama hiris halus-halus semua tu kemudian tumbuk tapi tak payah sampai lumat. Lepas tu mama campur semua tu dengan budu. Akhir sekali mama perah limau nipis ataupun limau kasturi dalam budu tu. Macam tu lah yang dia ajar Haris.”

“Mmm…mesti best ni. Lepas solat Asar nanti mama nak panggang ikan kembung. Haris pulak tolong kutip kacang botol, terung, bendi kat belakang rumah tu. Terung dengan bendi tu mama nak celur. Makan nasi ulam kita malam ni.” Puan Juliza memberi arahan dan kemudian beredar ke dapur bersama-sama botol-botol budu itu.

Selesai sembahyang Asar, Haris ke belakang rumah untuk mengutip kacang botol, terung, bendi serta sayur-sayuran lain yang boleh dibuat ulam. Tanah kosong sekangkang zirafah di belakang rumah itu digunakan sepenuhnya oleh papa Haris untuk menanam sayur-sayuran dan herba kampung seperti serai, lengkuas, kunyit dan sebagainya.

Sedang Haris leka memilih kacang-kacang botol yang muda dan rangup, seekor rama-rama berwarna hitam bertompok putih hinggap pada kuntum bunga kacang botol. Melihat kepada bunga kacang botol yang berwarna putih keunguan itu, Haris serta merta teringat kepada kain tudung yang masih lagi berada dalam beg galasnya. Dia mengambil keputusan untuk menghadiahkan kain tudung itu kepada mamanya selepas makan malam nanti.

Kain tudung berwarna ungu yang sepatutnya menjadi lambang persahabatan yang erat antara Haris dan Razif hampir mencetuskan perbalahan besar antara mereka berdua. Sikap Razif yang suka mendesak dan endah tak endah bila bercakap kadangkala benar-benar menyakitkan hati Haris.

Haris faham dia perlu banyak bersabar bila berkawan dengan seorang yang mempunyai mental tidak stabil seperti Razif. Namun sebagai manusia biasa, kadangkala dia juga gagal mengawal perasaan marahnya. Sekali-sekala, dia perlu juga memberi peringatan kepada Razif bahawa dia bukan orangnya yang boleh dibuli sesuka hati.   

Aksi rama-rama hitam bertompok putih yang hinggap pada bunga kacang botol itu juga mengembalikan ingatan Haris kepada pertemuan pertamanya dengan Amelia. Ketika itu dia memakai baju berwarna hitam manakala Amelia pula memakai T-shirt lengan panjang berwarna ungu.

Memang pertemuan pertama itu bukanlah satu pertemuan romantis yang boleh dijadikan modal untuk dimuatkan dalam novel cinta muda mudi. Pertemuan itu bagi Haris adalah satu tragedi. Akibat daripada pertemuan itu dia kini dianggap sebagai parasit, atau mungkin juga pelesit oleh Amelia.

Sudah hampir seminggu Haris mengelakkan diri daripada bertembung dengan Amelia.Mungkin sekarang perasaan marah Amelia terhadapnya telah reda. Haris tidak mahu Amelia berterusan menganggapnya sebagai parasit mahupun pelesit. Dia perlu berterus terang. Dia perlu menceritakan perkara yang sebenar kepada Amelia. Macam mana sekalipun, Amelia perlu tahu bahawa dia tidak bersalah.  

Disamping membersihkan namanya, Haris juga masih lagi menyimpan impian untuk menjadikan Amelia sebagai special girlfriendnya. Bukan mudah untuk dia melupakan Amelia begitu saja sebelum dia betul-betul yakin bahawa Amelia tidak berminat kepadanya. Bagi Haris, amatlah rugi andainya dia melepaskan Amelia pergi tanpa terlebih dahulu mengenali hati budinya.

Walaupun ada desas desus yang bertiup kencang mengatakan Amelia sudah punya boyfriend,Haris tak akan mempercayainya sehinggalah Amelia sendiri yang mengaku kepadanya kebenaran desas desus itu. Seandainya benar Amelia sudah mempunyai steadyboyfriend, dia dengan senang hati akan mengundurkan diri. Tak ada gunanya dia membuang masa cuba mencuri hati Amelia yang sebenarnya sudahpun diberikan kepada orang lain.

 

Makan malam di rumah sendiri adalah salah satu aktiviti yang amat dinanti-nantikan oleh Haris. Kebebasan untuk makan secara ‘tidak bertamadun’ adalah salah satu kelebihan apabila makan di rumah. Banyak mana lauk hendak diratah, banyak mana nasi hendak ditambah, tiada siapa yang menegah. Hendak pakai seluar pendek tanpa baju, hendak makan sambil menjerit macam hantu, tiada siapa yang cemburu.

“Okay, semua sudah complete. Dah boleh makan sekarang. Haris, baca doa makan.” Puan Juliza mengemaskan duduknya di kerusi lalu menadah tangan. Haris dan papanya turut sama menadah tangan. Haris mencangak seketika cuba mengingati kembali lafaz doa makan.

“Bismillahirrahmanirrahim. Allahumma bariklanna fiima razaqtana waqina azabannar.” Haris berasa sangat bangga kerana dia tidak tersilap lafaz doa makan dengan niat mandi wajib.        

Setelah masing-masing mengaminkan doa, ritual makan malam pun bermula. Haris menceduk kari udang lalu dicurah ke dalam pinggan nasi. Dia menyambar seketul ayam goreng lalu digigit dan dikunyah. Encik Hamdan mengupas udang lalu diatur satu-persatu di atas pinggan nasi yang dibasahi kuah kari udang. Puan Juliza mematahkan sebiji kacang botol lalu dicelupnya ke dalam mangkuk budu. Dia menggaulkan kacang botol yang dicelup budu itu dengan nasi dan cebisan ikan kembung bakar lalu disuap ke dalam mulut.

“Emm..eh,sedap betullah budu ni. Memang beza rasanya dengan budu biasa. Abang, cuba rasa bang, sedap ni.” Puan Juliza mengalihkan mangkuk budu dan pinggan ulam-ulaman ke tengah meja supaya lebih mudah dicapai oleh mereka bertiga. Encik Hamdan mencapai sebiji bendi celur lalu mencelupnya ke dalam mangkuk budu. Bendi celup budu itu kemudian digaul dengan nasi lalu disuap ke dalam mulut. Encik Hamdan mengunyah dengan penuh berselera.

“Ha, macam mana? Sedap kan bang?” Encik Hamdan mengangguk tanda bersetuju.

“Inilah rasa budu yang sebenar. Rupa-rupanya budu yang kita makan dulu bukan budu asli.Hah, giliran Haris pulak rasa budu ni.”

 Sebaik mendengar saranan mamanya itu, Haris segera mengangkat tangan memberikan isyarat berhenti.

“Takpelah mama, Haris tak suka budu. Mama dengan papa je lah makan.”

“Eh, Haris kan tak pernah makan budu, mana tahu Haris tak suka. Cuba dulu, lepas tu baru boleh cakap suka ke tak suka. Lagipun ini kan daripada kawan baik Haris sendiri, Haris kena hargai pemberian dia. Dah, cuba rasa dulu.”

Oleh kerana Haris tak mahu tazkirah mamanya bertambah panjang, dia dengan berat hati mencapai kacang botol yang telah dipatahkan oleh mamanya tadi lalu mencelupkannya ke dalam mangkuk budu. Kacang botol yang dicelup budu itu kemudian digaul dengan nasi lalu disuap ke mulut.

Sebaik saja Haris mengunyah suapannya itu, dia dapat merasakan satu sensasi kelazatan yang tak pernah dirasanya selama ini. Otaknya sukar untuk mentafsirkan apakah istilah yang hendak diberi kepada rasa lazat itu. Namun seandainya Haris berbangsa Jepun, dia pasti tahu rasa lazat itu dikenali sebagai umami.

Umami ialah rasa kelima yang dapat dikesan oleh lidah manusia selain daripada rasa manis, masam, masin dan pahit. Di Asia ia dianggap sebagai rasa keenam selepas rasa manis, masam, masin, pahit dan pedas.

“Hah, macam mana Haris? Sedap tak makan budu?” Puan Juliza inginkan kata putus daripada Haris.

“Hantu kau Razif, sedap pulak budu ni.Issyyy…camne nak jawab ni?” Haris tak pasti apa jawapan yang hendak diberikan kepada mamanya.

“Emm…bolehlah, tapi kalau makan selalu muak jugak rasanya.” Haris memberikan jawapan yang pada fikirannya paling logik. Takkanlah dia nak mengaku depan papa dan mamanya yang dia suka makan budu. Jatuhlah maruahnya sebagai penyokong pasukan Selangor.

“Maknanya Haris mengakulah budu ni sedap, kan? Inilah kata orang belum cuba belum tau.Mama dulu pun cakap tak suka budu. Pernah dengar orang Penang suka makan budu?Mesti Haris tak pernah dengar kan? Ataupun orang Pahang suka makan cencaluk?Tak pernah dengar kan? Tapi kita tak boleh nak terus cakap tak suka sebelum kita sendiri mencubanya. Jangan hanya dengar cakap orang terus mudah percaya.”

“Yalah mama, Haris mengaku budu ni sedap. Lain kali Haris takkan terus percaya dengan cakap-cakap orang. Sebelum apa-apa Haris akan cuba dulu.”

“Tapi bukan dalam semua perkara tau. Kalau hukumnya haram atau membahayakan kesihatan, Haris jangan sekali-kali cuba nak try, ingat tu!”

“Pulaak….”

Previous: BAB 10
Next: BAB 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh JACK EL JAMILY