Home Novel Cinta Mr. Debater Miss Motivater
Mr. Debater Miss Motivater
Gorjes
20/11/2019 09:55:38
69,860
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 26

Seharian dia puas memujuk ibunya tapi ibunya tak makan pujuk.

 

Pintu diketuk berkali-kali, namun masih tak dibuka.

 

Nota ‘I’m Sorry’ dihantar melalui ruang sempit yang berbaki antara pintu dan lantai.

 

Tapi balasan ‘Naik lori’ yang diterimanya.

 

Kasih sunyi. Tiada ibunya di sisi melayan karenahnya. Makan malam semalam pun dia keseorangan. Dengan keadaan tangan yang masih berbalut simen, Kasih tetap jalankan tanggungjawab sebagai seorang anak. Makan malam dihantar sehingga ke depan pintu bilik. Tombol berkunci. Dia hanya meninggalkan makanan di atas lantai sambil menitipkan pesanan supaya ibunya ambil makanan itu dan makan. Khuatir perut Mak Salmah masuk angin. Lagi dia risau keadaan kaki ibunya yang membengkak. Sampai saja di rumah jangankan kata nak sentuh balutan, sapu minyak panas pun tidak dapat dia lakukan.

 

Ini semua gara-gara dia mempersoal wang yang digunakan oleh ibunya untuk kelas zumba Aunti Siew Ling. Menyesal pula diajak bertanya.

 

Dia sudah dapat mengagak bahawa wang kelas zumba itu diperoleh daripada akaun bank simpanan Tabung Haji. Kasih sudah menyemak baki akaun dalam Bank Tabung Haji dan ternyata telahannya tepat. Bulan lepas jumlah wang yang tersimpan ialah RM22,498 tetapi wang tersebut telah kurang sebanyak RM1000. Semuanya sudah terjawab.

 

Kalau turutkan hatinya mahu saja dia pergi berjumpa Auntie Siew Ling. Bersemuka meminta supaya dikembalikan wang seribu ringgit itu. Lagipun dia dan ibunya sudah jatuh ditimpa tangga. Seorang patah tangan dan seorang lagi terseliuh kaki. Nasib mereka berdua sungguh malang.

 

Bertalu-talu malang menimpa sejak dia berjumpa dengan Noah Kashman. Sudahlah baju tempahan jadi ganti rugi atas kecuaian dia melanggar kereta Noah Kashman. Inikan pula dia terpaksa menuruti kemahuan Noah yang mahukan Kasih mereka baju termahal buat dirinya. Itu sebagai syarat agar permasalahan ini selesai. Syarat supaya permohonan maafnya diterima. Susah berurusan dengan orang berada yang hidung tinggi macam Noah Kashman. Lagi-lagi rakyat marhean sepertinya yang perlu beralah dan mengikuti apa-apa sahaja kemahuan yang diinginkan oleh pelanggannya itu. Duit butik bulan ini masih belum ada. Mujur Amanda dapat tempahan baharu.

 

Jika diikutkan seperti apa yang Amanda ceritakan menerusi panggilan telefon semalam, pelanggan yang datang menempah pakaian di butiknya ialah seorang lelaki berusia kira-kira separuh abad, kaya dan paling membuat Amanda terkejut, lelaki tu katanya kenal rapat dengan arwah ayah Kasih.

 

Pelik bin aneh.

 

Tak pernah pula Mak Salmah bercerita mengenai kenalan arwah ayahnya. Apa yang dia tahu, ayahnya tidak ada ramai kenalan. Siapa pula gerangan lelaki tua yang dimaksudkan Amanda?


 

Khabarnya, lelaki tua itu menempah sepasang baju Melayu Johor. Tidak pelik la kenapa baju Melayu tradisi yang ditempah oleh lelaki tua itu. Kan butiknya ialah butik pakaian tradisional. Kalau tak ada yang mahu memartabatkan pakaian tradisi Melayu ini, mari Kasih dan Amanda yang jadi penggerak generasi muda. Jangan hilang budaya dek kerana kita mengagung-agungkan pakaian Barat. Ketuanan Melayu itu indah, seindah budi pekerti dan rukun adat pertuanan. Orang Melayu indah dengan bahasa, cantik tutur kata, elok budi pekerti dan kalau nak lihat kebaikan seseorang itu, lihatlah akhlak terpuji yang ada dalam diri individu tersebut. Sebut tentang baju Melayu Johor, Amanda lagi menggalas tanggungjawab ini. Dia sedang menguruskan tempahan itu dengan jayanya. Banyaknya pengorbanan Amanda di saat dia hilang kemampuan untuk memegang jarum dan benang, menggunting pola kertas dan mengalunkan melodi jahitan di mesin jahit elektroniknya.

 

Kasih sujud syukur. Akhirnya masuk juga sale untuk butik kecilnya.

 

Kasih sudah membuat tempahan Grab. Lepas router menemui pemandunya, dia sudah tak ada mood untuk meneliti maklumat pemandu Grab itu. Baginya, setakat hari ini, semua pemandu Grab yang ditempahnya amat disenangi. Mudah untuk bersembang dan tak lokek dengan senyuman. Cuba tanya, kereta apa yang belum pernah dinaikinya. Myvi, Proton, Mazda, Honda, Peugeot, Subaru…tinggal cakap saja. Boleh kata kebanyakan pemandu Grab ini menjadikan kerjaya sebagai pemandu sebagai profesion sampingan. Dia juga tak pernah memandang serong kepada pemandu Grab. Biar rezeki halal, itu sudah menjadi syarat meraih keberkatan hidup.

 

Dia mahu keluar ke kedai buku. Pada masa sama, dia perlu bergerak sendiri tanpa menyusahkan Amanda. Lagipun Amanda sudah memulakan kerja-kerja untuk menjahit baju Melayu Johor.

 

Tangan yang masih bersimen ditatap lama.

 

“Tolong baik-baik ye ‘Cik Tangan’. Aku nak cari ilham sikit di kedai buku. Jadi kau kena behave, okay.”

 

“Bismillah.”

 

Kasih menyarung kasut kanvasnya sambil bermonolog seolah-olah berharap agar tak terjadi apa-apa dengan tangannya. Dengan bismillah dia memulakan langkah menunggu di hadapan pintu pagar. Pesanan balas pemandu Grab diterimanya. Kasih membaca. Pemandu Grab menyatakan yang keberadaannya akan tiba di perkarangan rumah dalam masa lima minit. Saat ini, anak matanya tertancap pada raut wajah pemandu Grab itu.

 

‘Apa?’ Terjojol anak matanya.

 

“Tak boleh jadi ni?” Secepat dan sepantas yang boleh, dia mahu menekan butang ‘cancel’. Gelabah dibuatnya. Telefon pintarnya terjatuh menghadap lantai. Kasih melutut memerhatikan keadaan telefon pintarnya. Skrin telefon pintarnya retak seribu. Gelap dan tak boleh dihidupkan. Seraya itu juga, sebuah kereta BMW i5 telah selamat mendarat di hadapan perkarangan rumahnya. Tingkap hitam di tempat duduk hadapan penumpang diturunkan. Kelihatan seraut wajah yang dia amat kenali.

 

Kedua-dua mereka terkejut besar.

 

“Kau”

“Awak”

 

Serentak itu juga jari telunjuk menghala ke arah satu sama lain.

 

Baru dua minit dia menaiki kenderaan Grab paling mewah saat ini, lidahnya sudah kelu. Dia curi-curi memandang wajah pemandu Grab yang sedang memandu. Bila Kasih mengintai sesaat di balik cermin pandang belakang pemandu , persis mengetahui gerak-geri, pemandu Grab membalas dengan renungan yang tajam. Ketika ini dia tak rasa seperti menaiki kenderaan e-hailing berbayar, rasa seperti menaiki kapal Pirate of Carribean pula dan Ketua Lanunnya sedang memandu kapal untuk membelah waktu untuk pergi ke zon masa berhantu.

 

“Encik Noah dah lama buat Grab?” Soal Kasih menyedapkan rasa anak tekaknya yang kian mengering. Air-cond kuat sangat. Kejung dan kebas jari-jemarinya.

 

“First day.” Balasnya acuh tak acuh.

 

“Oh… agaknya nak isi masa lapang kut. Saya faham kerjaya encik sibuk dan stres. Nak kena layan banyak karenah manusia. Wartawan la, belum lagi netizen.”

 

Kasih masih lagi berlapik. Anak orang kaya bawa Grab untuk isi masa lapang? Untuk hilagkan stres? Macam tak je. Macam tak ada kerja lain. Jadi pemandu e-hailing ni, kalau kemahiran sosial rendah, agak sukar sikit nak dapat lima bintang masa isi feedback daripada pelanggan. Noah Kashman bukanlah orang yang sesuai dengan kerjaya ini. Dia akui, Noah lebih sesuai kerja menghadap lensa kamera berbanding memandang lensa jalan raya. Jangan kan Amanda. Mesti Noah disergah dengan kata-kata yang lebih memedihkan telinga.

 

Kasih sudah mati akal. Kakunya dia bila berhadapan dengan si Cashman ini. Apa yang nak dibualkan, tiada. Mustahil untuk dia mempersoalkan tentang kejadian kemalangan itu. Hutang pula tempahan baju paling ‘mahal’ dengan lelaki ini. Kalau dah tak tahu nak berkata-kata, lebih baik berdiam diri. Dosa pun kurang dicipta.

 

Kasih menarik majalah yang terselit di belakang kerusi pemandu. Majalah Gentlamen. Kulit hadapan keras dah seperti buku nota kosong Ukami. Tapi versi yang ini lain sikit. Mungkin ini edisi terhad. Dilihat susuk tubuh pemandu terpampang sebagai muka hadapan majalah bulan ini.

 

‘Laku keras si Cashman ni. Ini majalah bulan ni. Majalah bulan lepas kat butik tu pun muka dia jugak. Nasiblah majalah tu dah ada cap kaki aku. Siapa suruh perkecilkan butik aku. Dah dapat hentakan kembar Shrek.’ Bisik hatinya.

 

Majalah ditangannya kini menampilkan Noah mengenakan sepersalinan pakaian tradisi Jepun iaitu Hakama berwarna hitam putih. Di bahagian dahi dan sekeliling kepala terikat kain hitam. Tangannya pula memegang pedang. Gaya seperti seorang Samurai. Sudah semestinya cerita mengenai diri Noah dimuatkan sebanyak enam helaian. Kasih tak tahu apa yang seronok sangat wartawan itu menulis tentang pemandu Grabnya ini. Kasih mengira helaian halaman dalam majalah itu.

 

‘Lapan helai! Ini kalau setakat ‘bual-bual kosong’ aku kasi cap kasut pula.’

 

Kasih semakin teruja ingin mengetahui apakah isi kandungan tulisan wartawan yang mewawancarakan si Cashman ni. Adakah diceritakan mengenai kemewahan semata-mata? Atau cerita mengenai kerjayanya sebagai seorang model? Tapi mungkin juga cerita di belakang tabir. Kisah cinta! Kasih beranggapan jika betul Noah Kashman ini ingin menamatkan zaman bujangnya jadi dia tak sepatutnya dukacita dengan permintaan Noah yang sengaja mahukan tajaan pakaian pengantin. Lagi-lagi dari butik yang sedang mencipta nama seperti butik Orked.

 Jika dia benar. Maka inilah pelaburan jangka masa panjang. Dia harus lakukan sesuatu agar hasil jahitan pakaian Noah Kashman turut menjadi buah mulut orang ramai. Bukan senang untuk tumpang glamour. Alang-alang Noah Kashman dah provok, apa salahnya kalau kita layankan aje. Silap haribulan, namanya akan duduk sebaris dengan pereka-pereka fesyen tanah air. Wah, lebih sukacita apabila Noah dan isterinya memakai pakaian rekaan butik Orked dan jadi cover untuk mana-mana majalah. Nanti masa tu Kasih sudah dapat mengagak yang perniagaannya pasti akan berkembang pesat. Inilah yang dinamakan ‘win-win situation’.

 

Tajuk artikel, “Noah Kashman Personaliti 5 Bintang.”

 

Sekembali dari khayalan, baru sahaja ingin mula membelek isi kandungan majalah itu, tiba-tiba dia tersedar dari mimpi siang.

 

 

Tappp…

 

Majalah di tangannya kini sudah ‘dirampas’. “It’s mine!”

 

Kasih berubah wajah. Kini, wajah Kasih sudah memerah.

 

‘Biadapnya! Aku ni pelanggan, kau tu pemandu. Respect la sikit. Kalau dah tahu tak boleh nak sentuh majalah tu, simpan terus dekat rumah kan senang. Tak pun bingkaikan aje. Tayang di dinding. Tak ada orang akan sentuh.’

 

Jeritan batin Kasih melaung kuat.

 

Patutlah Noah dapat merampas majalah itu, kereta mereka sedang berhenti di lampu trafik. Kanan dan kiri kereta ditemani oleh dua buah kereta Mercedes Benz hitam dan putih. Cermin Mercedes Benz  di sebelah kanan diturunkan lalu pemandunya mengangkat tangan kepada Noah manakala apabila Noah memandang ke kiri pula, sekali lagi lagak pemandu Mercedes Benz putih pula menyapa seribu bahasa. Kedua-dua pemandu itu memakai cermin mata hitam dan berblazer hitam. Senyuman yang diukir Noah sudah senget sebelah tatkala kedua-dua pemandu itu memandang penumpang di belakang Noah, Kasih. Tika itu Kasih sedang cuba sedaya upaya menghidupkan telefon pintarnya yang sudah rosak akibat terjatuh menyembah lantai semasa menunggu kedatangan Grab.

 

Noah jadi tidak sedap hati. Naluri ihsannya muncul. Kali ini bukan sebagai musuh tetapi sebagai pelindung.

 

“Kasih Amani.”

 

Bebola mata Kasih tergamam. Dia mengangkat wajah yang asyik memerhati telefon pintarnya itu. Kemudian dia menyahut panggilan Noah. Jarang Noah ingin menyebut nama penuhnya. Kali ini dia tidak salah dengar, ‘Kasih Amani’ bukannya ‘Kasih Disleksia’.

 

“Ya.”

Jawab Kasih sambil mendepani tubuhnya ke hadapan kerusi pemandu.

 

“Kau kenal dua ‘mangkuk’ dalam kereta Mercedes Benz hitam dan putih ini?” Soal Noah serius. Lampu trafik masih lagi merah.

 

Kasih melihat lagat kedua-dua pemandu Mercedes Benz itu. Mercedes Benz hitam dan putih sedang memandang dirinya dan rasanya mereka menunggu pandangan balas daripadanya. Kasih menyapa kedua-dua mereka dengan cara mengangkat tangan sambil menguntumkan senyuman. Non-verbal comunication.

 

Setelah itu, Kasih terus menggeleng-gelengkan kepalanya sebaik sahaja melihat Noah Kashman sedang menanti jawapan daripada soalannya tadi.

 

“Woi, yang kau sapa mangkuk-mangkuk tu dah kenapa?” jerkah Noah.

“Encik Noah, relaks. Bukannya mereka orang jahat pun. Setakat senyum tak berbekas apa-apa la. Senyum kan sedekah.” Terang Kasih.

“Kau ni kan. Kenapalah kepala otak tu suci sangat! Kau tak rasa ke yang kedua-dua pemandu itu pelik. Cukuplah setakat pandang aku, pemandu Grab ni. Dah tu kenapa nak sapa penumpang pulak! Entah-entah itu Along! Hmm…Kau,… pinjam Along ek? Don’t you?” Tekaan Noah.

 

“Encik Noah, makan boleh sebarang makan, cakap jangan sebarang cakap. Saya dah ulang dua kali ayat ni. Semiskin-miskin saya, untuk pinjam Along itu mungkin saya buat tapi bila saya tak waras. Saya belum terdesak untuk pinjam Along. Encik Noah jangan nak naikkan darah tinggi saya. Ini pertama kali dalam sejarah saya naik Grab jumpa pemandu macam Encik Noah. Sombong, tak peramah, biadap pulak tu. Nah ambil duit ni. Terima kasih untuk perjalanan sampai sini. Saya kalau diberi peluang sama ada nak naik Kancil atau BMW i5 ni, saya lebih memilih Kancil. Nak tahu sebab apa? Walaupun kecil nampak murah di mata Encik Noah, tapi mungkin pemandunya lebih mahal nilai penghormatan terhadap penumpang. Buat apa naik kereta mahal, kalau tak pandai hormat orang. Dah lama saya nak cakap ni, tapi saya diamkan je, sebab Encik Noah itu anak pelanggan saya yang saya hormati. Encik Noah patut malu sebab budi bahasa pemandu Grab ni lagi murah daripada kenderaannya. Assalamualaikum.”

 

Zappp…

Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Gorjes