Home Novel Cinta Mr. Debater Miss Motivater
Mr. Debater Miss Motivater
Gorjes
20/11/2019 09:55:38
69,851
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 16

Kabus halus menutupi jalan gelap di sekeliling danau.

Ditinjau sekeliling, permandangan ini sama seperti permandangan dalam lukisan yang dimilikinya.

Semakin lama, kabus semakin menebal. Permandangan danau tidak lagi kelihatan.

Kasih baru perasan yang dia bertelekung putih. Dia menarik kain belakang telekung ke atas leher. Ukiran sulaman kerawang bermotif orkid menarik perhatiannya. Halus sungguh seni pembuatannya. Beruntung dia dapat memakai telekung seindah ini. Paling dia hairan, apakah motif dia memakai telekung putih di danau sesunyi ini.

Alam tidak dapat berbicara menjawab persoalan Kasih. Fikiran dan hatinya bingung.

 

Dia percepatkan jalan.

 

“Ibu…ibu…ibu kat mana? Ibu, Kasih takut bu. Sampai hati ibu tinggal Kasih sorang-sorang. Ibu dah tak sayang Kasih ke?” Rintih Kasih.

 

Ditoleh ke kanan dan ke kiri. Kasih resah. Tidak kelihatan seorang manusia pun. Yang ada, hanya dia. Tiba-tiba dia ternampak kelibat seseorang.

 

Amanda.

 

“Amanda…Amanda…” Jerit Kasih.

 

Kasih berlari mendapatkan Amanda. Dia terus memeluk Amanda.

 

“Syukurlah aku jumpa kau. Amanda tolong bawa aku keluar dari sini. Aku nak balik rumah. Kau kan tahu kita banyak tempahan baju nak siapkan. Aku takut tak sempat. Jom la kita balik. Aku tak nak tinggal kat sini.” Rayu Kasih lagi.

 

Amanda mendiamkan diri.

 

Dia memegang pipi Kasih lalu mengucapkan sesuatu, “Tahniah Kasih. Dia tunggu kau.” Renungan mata Amanda jauh melihat ke suatu sudut nun jauh dari situ. Amanda terus berlalu meninggalkan Kasih.

 

“Kenapa kau ucap tahniah kat aku? Kau nak pergi mana tu Amanda? Amanda! Amanda!”

 

Tubuh Amanda sudah hilang dari penglihatan Kasih.

 

“Kenapa kau hilang pulak? Ini aku nak minta tolong siapa pulak ni? Ishhh,…menyusahkan betul la. Aku nak balik la…!” Rungut Kasih lagi.

 

Kasih percepatkan langkah.

 

Laju.

 

Dari berjalan, dia kini berlari. Dari jauh jelas kelihatan sebuah titi gantung. Semakin hampir ke titi gantung itu, dia melihat kelibat manusia.

 

Ya, manusia.

 

Lelaki.

 

Lariannya terhenti di belakang susuk tubuh lelaki itu.

 

“Arrrr…hahhhh… Encik…tolong saya.” katanya termengah-mengah sambil menyapa lembut bahu lelaki itu.

 

Lelaki berhoodie hitam memaling wajah melihatnya.

 

Kasih terpempan lalu tubuhnya luruh terduduk.

 

Wajah lelaki berhoodie hitam tidak jelas dipamerkan.

 

Dekat di hati tapi masih terasa asing.

 

Topeng mata menutupi bahagian atas wajahnya.

 

Miss Motivater.” Kata lelaki itu tersenyum sambil menghulurkan tangan.

 

Kasih tercengang mendengar kata-kata itu. Lama dia menatap lelaki di hadapannya.

 

“Miss Motivater.” Bisik Kasih.

 

“Tunggu…” Arahnya sebaik melihat tindakan lelaki bertopeng itu memalingkan wajah daripadanya.

 

Arahan Kasih tidak diendahkan. Lelaki bertopeng itu terus berjalan menghiraukan Kasih.

 

Lantas dia bangun berdiri dan memberanikan diri mengejar lelaki itu.

 

“Awak siapa?” Pertanyaan Kasih mematikan langkah lelaki itu.

 

Your Mr. Debater.

 

Tiba-tiba kabus mula menebal.

 

Kabus menjadi jurang pemisah antara dia dan lelaki yang menggelarkan dirinya sebagai ‘Mr. Debater’. Gempa tiba-tiba berlaku. Titi gantung bergoyang-goyang.

 

Kasih ingin melepaskan diri keluar dari titi gantung itu, namun belum sempat dia berbuat demikian, ada individu berjubah hitam yang tidak dikenalinya cuba memotong tali titi gantung itu dengan sebilah pedang.

 

“Jangan potong tali tu. Tolong jangan… Arrrr….” Desak Kasih.

 

Kini tali titi itu sudah terputus sebelah. Kasih terpaksa bergayut sambil memeluk salah satu tali yang tersisa akibat kayu yang menjadi penampan sudah reput.

 

Susuk tubuh berjubah hitam itu memotong tali sebelah lagi. Tiada guna Kasih menghalang kerana dia sudah tidak berdaya untuk menampung beban tubuhnya yang gempal. Akhirnya, Kasih terlepas pegangan tali titi.

 

“‘Arrrrrrr…..”

 

***

Kasih celik mata saja, dilihatnya seorang jururawat sedang mengambil bacaan nadinya.

 

“Eh, Cik Kasih dah sedar! Sekejap ye, saya panggikanl doktor.” Kata jururawat itu.


Kembali dari mendapatkan doktor, jururawat itu keluar semula dari ruangan bilik Kasih.

 

Doktor memeriksa kedua-dua belah mata Kasih dengan lampu suluh. Setelah itu, dia meninjau rekod laporan pesakit yang tergantung pada hujung katil. Sambil memerhatikan air muka pesakitnya dia menandakan sesuatu pada rekod catatan itu. Dilihat waktu pada jam tangannya kemudian dia mencatat semula. Setelah selesai meneliti rekod kesihatan pesakitnya yang terbaring di atas katil, doktor mengambil stetoskop. Kasih diminta untuk menarik nafas dan menghembusnya keluar.

 

40% keadaan tubuhnya tidak dapat bergerak.

 

Kepala berbalut. Lehernya pula memakai ‘splint collar’ bagi menampung tulang tengkuk yang tercedera akibat hentakan yang kuat pada cermin dan tar jalan. Tangan kanan patah. Akibatnya tangan itu telah disimen. Mujurlah bahagian pusat sehingga ke kaki tidak berlaku kecederaan serius. Hanya luka-luka biasa sahaja. Kasih dinasihatkan untuk menjalani fisioterapi selepas keluar dari hospital.

 

“Nurse, ambil rekod pesakit ini, buat salinan untuk saya sebelum simpan data ini dalam fail ya. Satu lagi, tolong maklum kepada keluarga pesakit yang pesakit dah boleh discharge. Minta keluarga pesakit berjumpa saya sebelum pulang ya.” Pesan doktor.

 

“Baiklah doktor.” jawab jururawat yang barusan tadi keluar mengambil bekas kecil berisi ubat.

 

“Aduh,…!” Keluh Kasih apabila dia cuba untuk bangun dari pembaringan yang agak lama itu.

 

Jururawat membantu Kasih untuk bersandar. Jururawat menaikkan bahagian penyandar katil hospital kepada sudut 45 darjah.

 

“Terima kasih.” ucap Kasih.

 

“Doktor, saya baik-baik saja kan?” Soal Kasih teragak-agak.

 

“Keadaan Cik Kasih dah stabil. Lima hari Cik Kasih koma. Syukurlah Cik Kasih dah sedar. Untuk rekod kesihatan ini, kecederaan yang dialami Cik agak serius. Cik banyak kehilangan darah akibat kecederaan di kepala. Kalau lambat Cik dibawa ke hospital, mungkin hari ini Cik tak akan ada di sini. Alhamdulillah, kecederaan di kepala itu dapat ditangani pantas oleh pihak kami,” terang doktor sejelas-jelasnya.

 

“Lima hari saya tak sedarkan diri?”

Buku penumbuknya dibuka. Jari-jemarinya ditenung lama.

 

Terkejut.

 

“Cik Kasih patut bersyukur sebab sedar dalam tempoh koma yang agak singkat. Sebab ada pesakit yang mengalami koma dalam tempoh seminggu, sebulan dan ada kes koma sehingga bertahun-tahun.”

 

Riak wajah Kasih jadi bertambah takut mendengar angka ‘bertahun-tahun’. Baginya, lima hari pun dia sudah terasa perbezaannya. Bayangan mimpi berkeseorangan di danau, ialah mimpi yang mengerikan. Inikan pula, bila diberitahu koma bertahun-tahun. Kasih pernah mendengar cerita, sebenarnya orang yang koma ini dengar sebarang perkara yang berlaku di sekeliling cuma mereka tak dapat untuk bersuara.

 

Sebab itu bila koma, orang di sekeliling, ahli keluarga terutamanya perlu sentiasa berbual-bual dengan pesakit. Jangan pernah biarkan pesakit ditinggalkan keseorangan. Bercerita selalu tentang kisah yang paling dekat dengan pesakit. Tindak balas dan respons pesakit yang koma ini pasti ada cuma tidak tahu bila mereka akan menunjukkan tanda-tanda untuk pulih. Kena banyak bersabar.

 

“Cik Kasih untung sebab selalu ditemani oleh ibu Cik Kasih, Puan Salmah. Ibu Cik Kasih orang yang paling tabah. Dia tak pernah penat. Your mom is a strong woman. She is very talkative…”  

 

‘Amboi, doktor baru tahu ke?! Dah agak dah! Ibu kalau bercakap, mana kenal noktah! Salah satu keajaiban aku cepat tersedar daripada koma ini mesti sebab ibu bercakap tak berhenti.’ Seloroh dalam hatinya.

 “...but in a good way, she never give up approached you to wake up again.” Sambungnya lagi.

 

Ayat terakhir itu sememangnya menyentuh hati Kasih. Sungguh ibunya ialah semangat untuk dia terus hidup. Tak dapat dibayangkan keadaan ibunya jika peristiwa kemalangan lima hari lepas meragut nyawanya. Ternyata ajalnya belum sampai. Allah SWT masih berikan peluang untuk dia terus berbakti kepada ibunya, syurga hidupnya. Pada masa sama, dia juga bersyukur kerana masa dia diuji koma oleh Allah SWT adalah sangat pendek.

 

Tiba-tiba mata Kasih berkaca.

 

“Get well soon, stay positive. Kalau tak ada apa-apa lagi, saya minta diri dulu. Ingat hidup kena ‘Chill’.” pesan doktor

‘Kan dah kantoi, doktor pun layan ‘Aisyah Cupcake’

 

“ By the way,…anak saya peminat ‘Aisyah Cupcake’. Cik Kasih berehat la.” Sambungnya lagi sebelum dia meninggalkan Kasih untuk mententeramkan diri.

 

‘Alamak! Dia dengar aku mengumpat dia la!’

 

“Nurseeee,…saya lapar.” pinta Kasih malu-malu kucing untuk meminta makanan.

 

“Sekejap ya, saya ambilkan makanan. Selepas makan nanti Cik Kasih kena makan ubat yang saya letak atas meja tu.” Nurse menunjukkan bekas ubat yang baru sahaja dibawa masuk ke dalam bilik seketika tadi.

 

Kasih hanya mengangguk.

 

Mimpi yang dialaminya sangat buruk. Berada di sebuah danau bersama-sama Amanda, dan dua orang insan misteri. Kasih cuba menolak kemungkinan itu hanyalah sebuah alam bunian yang ‘menculik’ rohnya untuk menghadapi tekanan dan disapa oleh sahabat baik yang hanya muncul untuk beritahu ada orang ketiga yang menunggu di atas titi gantung. Kasih sempat mengkritik dalam hati tentang pengakhiran ‘alam bunian’ yang dijelajahi semasa koma. Sungguh, dia hairan bagaimana mungkin dia boleh bertahan bergayut sambil memakai telekung. Dengan bentuk fizikalnya yang gempal, mustahil dia mampu bergayut lama. Kata orang mimpi ialah mainan tidur. Tapi dia masih tidak dapat menolak kemungkinan itu ialah suatu situasi yang memberi ‘alamat’ atau petanda.

 

Tetapi ‘alamat’ tentang apa?

Kasih masih buntu.

Adakah lelaki misteri yang dia jumpa dalam ‘mimpi’ itu orang yang sama memberikan nota dan minuman 100 Plus beberapa minggu lepas. Bagaimana pula dengan individu berjubah hitam itu. Adakah dia orang jahat yang akan mengapa-apakan Kasih? Akibat terlalu banyak berfikir, kepalanya tiba-tiba sakit.

 

Lama dia pejamkan mata.

 

Seketika suara itu bermain-main dalam fikiran Kasih.

 

Your Mr. Debater,…your Mr. Debater,…Mr….Mr…Debater..ter…ter…!

 

Secepat mungkin Kasih membuka matanya.

 

“Mr. Debater….Miss Motivater???? Hahhhh!” Dia mengeluh deras.

 

Kasih menarik laci meja dan akhirnya dia menemui sesuatu, cermin. Ditatap wajahnya. Kepala yang masih berbalut diteliti. Kemudian, tangan menyentuh pipinya yang tembam. Dia seakan melihat bayangan dirinya dalam cermin sedang mengejek dirinya yang semakin hari semakin gemuk. Keyakinan dirinya sudah ke laut.

 

“Aku…Miss Motivater?!” katanya seperti tidak mahu mengiyakan. Kasih menyimpan kembali cermin di dalam laci.

 

Menjadi seseorang yang berkeyakinan ialah dirinya yang dahulu bukan yang sekarang. Ibu dan Amanda sering menjadi Tukang Nasihat jika semangatnya luntur. Kata-kata motivasi diri sudah lama tidak diucapkan olehnya. Bila dia stres, makanan la penawarnya. Makan, makan, makan sampai stres hilang, itulah kerjanya. Naik pening ibunya untuk mengubah tabiatnya itu. Pernah dia disuruh untuk mencari identitinya yang dahulu oleh ibunya.

 

“Kasih, ibu nak Kasih pilih untuk bermotivasi atau berobesiti?” Amaran Mak Salmah.

Dia sedikit pun tidak takut dengan amaran Mak Salmah sebaliknya dia pula yang membuat Mak Salmah terliur untuk menjamah makanan. Alih, alih Mak Salmah menyerah diri.

 

Yeayyy…1-0.” Tersenyum dia meraikan kemenangan.

 

Perkataan ‘motivasi’ paling tinggi itu pernah hadir bersama-sama dua perkataan lain, ‘Armel Kashaf’. Dan perkataan keramat itu tidak ditemuinya lagi sejak dia sendiri melihat sekujur jasad Armel Kashaf dikebumikan di tanah perkuburan kampungnya. Motivasinya masih tersisa namun untuk dia bangkit melawan keraguan dalam dirinya, dia perlukan masa untuk membaiki diri dan masa untuk melupakan Armel Kashaf.

 

Kasih merenung kipas yang berputar di siling bilik itu sehingga dia kembali tenggelam dalam kegelapan.

 

Kasih terlelap lagi.

 

Derapan telapak kaki lelaki berjaket hitam melangkah masuk ke dalam kamar Kasih. Dititipkan sebuah jambangan ‘pucuk paku’ yang siap digubah cantik.

 

Terselit sekeping kad.

Get well soon my dear.

‘Remember? ‘This’ is our immortal memory.’

I’m Yours.

 

Jururawat masuk menghantar makanan kepada Kasih lalu terus beredar. Lelaki itu cepat-cepat membetulkan topinya dan turut keluar dari kamar Kasih. Dari arah bertentangan, Mak Salmah dan Amanda sedang berjalan laju untuk menemui Kasih. Selepas mendapat panggilan mereka terus bergegas ke hospital.

 

“Puan Salmah.”

“Ya, nurse.

“Doktor nak jumpa puan. Sila ikut saya.” Jururawat sebentar tadi memandu arah ke bilik doktor.

“Tak apalah Mak Cik Sal, Aman pergi tengok Kasih dulu.” Kata Amanda setelah itu dia berlari ke arah kamar Kasih.

 

“Kasihhhhh… Ish, mak cik ni, tidur ke koma balik ke?” Amanda terus melangkah masuk. Baru saja dia ingin membuat kejutan. Nampaknya kejutan dia tidak laku hari ini.

 

Amanda memerhati jambangan pucuk paku yang berada di atas adjustable overbed table dan dia menarik kad yang diselit pada jambangan itu lalu membacanya.

 

“Kasih tak boleh tahu ini.”Amanda membungkuskan jambangan pucuk paku itu sebelum dibuang ke dalam tong sampah.

 

Dia tidak perasan bahawa kad tersebut tercicir jatuh di atas lantai. Baginya bahan bukti yang besar itu sudah dibersihkan, tetapi dia pasti tidak menyangka bahawa bahan bukti yang kecil itu jauh lebih berbahaya dan mampu membongkarkan segala rahsia.

 

“Good job, Amanda.”

 

Dia selalu angkat bakul sendiri. Namun, bakul kali ini dah berlubang dan hal itu tidak disedarinya.

 

 

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Gorjes