Home Novel Cinta Mr. Debater Miss Motivater
Mr. Debater Miss Motivater
Gorjes
20/11/2019 09:55:38
69,867
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

Ejen Leo menggenggam botol air mineral kosong. Hampir sahaja botol di tangannya hilang bentuk asal. Hanya penutup botol mineral sahaja masih kelihatan, badan botol sudah kemik.

 

Ralit matanya merenung tajam ke arah punching bag yang tergantung di tengah-tengah gelenggang tinju. Dia mendekati punching bag lalu tindakan menjadi semakin agresif. Ditumbuk-tumbuk punching bag itu. Bukan sekali, tapi berulang-ulang kali. Saat satu tumbukan dilepaskan, air halus mengalir deras dari kelopak matanya. Suara tangisan tidak kedengaran yang ada hanya esakkan halus.

 

Apa yang pasti, dia mendengus kasar, marah dan geramnya dihamburkan kepada punching bag itu. Akhirnya, dia memeluk punching bag kerana tiada daya lagi dirinya untuk melawan takdir yang memisahkan dia bersama ayahnya, Ejen Lee yang telah maut dalam perdebat Dead Debate.

 

Dead Debate atau Debat Maut bukan permainan sebarangan.

 

Dead Debate ialah debat ngeri.

 

Atas dasar keputusan tidak dapat dibuat kerana bukti yang tidak mencukupi, ejen yang telah disabitkan kesalahan akan bermain permainan ini. Syaratnya mudah, apabila dua pihak menerima tuduhan yang sama kerana telah terlibat dan melakukan kes berat serta kedua-dua pihak tidak dapat membuktikan siapa salah dan siapa benar, maka debat ini ialah jalan terakhir.

 

Debat ini dimainkan di atas puncak menara batu-batuan yang tinggi. Menara tinggi berbentuk tiang, seperti tiang elektrik dijadikan medan asas permainan ini. Keluasan setiap permukaan petak batu-batuan menara ialah 30x30 sentimeter sebesar petak mozek. Menara petak batuan ini dibina di kawasan pergunungan. Jarak antara setiap menara ialah satu depa.

 

Sangat kecil dan bahaya.

 

Setiap kali melangkah dari satu menara ke satu menara, menara yang sebelumnya akan hancur dan tiada lagi langkah boleh diundur.

 

Kedua-dua pendebat akan berdebat tentang segala kepincangan yang timbul antara mereka. Kes yang mereka terlibat akan diperdebatkan.

 

Tamsilnya, seperti gelanggang mahkamah. Peguam bela mendengar hujah pihak plaintif dan defenden manakala Ketua Hakim akan menjatuhkan hukuman setelah semua bukti dikumpulkan. Bukti yang kukuh. Tiada persengketaan dan apa yang ada keputusan muktamad untuk menjatuhkan hukuman kepada pihak yang bersalah.

 

Itu bayangan mahkamah dan tidak sama seperti Dead Debate. Tiada peguam bela, tiada Ketua Hakim. Yang ada hanya setiap gerak-geri, hujah dan perselisihan akan dicorakkan oleh dua ejen yang terlibat dan akan disaksikan oleh semua ejen PSADC.

 

Mereka akan menggunakan semua ilmu dan kemahiran menetang musuh untuk bersaing sehingga tiba di atas puncak bendera PSADC. Hanya seorang pemenang sahaja yang akan berjaya mencabut pasakan bendera PSADC. Maka ejen yang kalah secara automatik akan jatuh ke gaung bersama runtuhan menara.

 

Ejen Lee sungguh malang.

 

Tuah ayam nampak di kaki tuahnya menghilang pergi. Kini Ejen Leo menganggap dia perlu membalas dendam atas kematian ayahnya kerana sememangnya Dead Debate ini sungguh tidak adil.

 

Dia harus menjadi pencetus kepada pembuburan Dead Debate. Jika tidak, pada masa akan datang Dead Debate akan dijadikan sebagai peluang kepada pesalah untuk lari daripada tanggungjawab.

 

Risiko besar melanda golongan yang tidak bersalah!

 

Jikalau kes sudah terbongkar semasa perdebatan, ejen yang tidak bersalah mempunyai risiko yang tipis untuk menang sekali gus menamatkan perlawanan.

 

Apabila kes terbongkar, di situlah menjadi titik kalah mati untuk mereka menyambar bendera PSADC. Ironinya, nasib dan keputusan tidak boleh ditanggapi kerana apa-apa saja boleh terjadi. Kebenaran boleh sekelip mata hilang jika Si Pengkhianat yang sampai di menara petak batu yang terakhir dahulu untuk mencabut bendera PSADC.

 

Itu yang berlaku kepada Ejen Lee.

 

Kebenaran bahawa dia tidak bersalah sudah terlerai semasa perdebatan dan dia terlebih dahulu sampai ke menara terakhir.

Disebabkan dia tidak mahu lawannya terkorban dan ingin menidakkan realiti yang mana pemain kedua juga boleh diselamatkan dalam Dead Debate. Dia cuba memaut lengan lawannya yang sudah kehilangan menara untuk berdiri.

 

Kebaikannya telah menjadi racun kepada dirinya sendiri apabila lawannya telah menarik dia sehingga Ejen Lee terjatuh lalu sempat memaut pada kasut but lawannya.

 

Pertandingan tetapi pertandingan. Lawannya menanggalkan but tersebut sehingga menyebabkan Ejen Lee terkorban dalam Dead Debate.

 

Satu syarat dalam Dead Debate, sekiranya ejen yang tidak bersalah memenangi perlawanan, maka ejen tersebut diberikan penghargaan.

 

Namun, jika kemenangan berpihak kepada ejen yang bersalah sehingga menyebabkan ejen yang tidak bersalah terkorban, maka ejen yang bersalah itu akan dipecat serta merta daripada PSADC. Identitinya ditukar dan dirahsiakan daripada pengetahuan semua ejen terutamanya keluarga si mati.

 

Identiti ejen itu menjadi rahsia PSADC dan tiada sesiapa pun yang tahu kecuali Tuan Ghaz.

 

Ejen Leo cuba merungkai dua perkara kini.

 

Pertama, dia ingin menuntut bela atas kematian ayahnya dengan mencari tahu tentang identiti ejen yang telah menganiayai ayahnya.


Kedua, dia ingin menghapuskan perlawanan Dead Debate kerana baginya debat ini suatu yang berat sebelah dan tidak adil jika peluang untuk hidup diberikan kepada orang yang salah.

 

 

Selepas dia menjadi anak yatim piatu, Tuan Ghaz mengambilnya sebagai anak angkat. Dia sangat disayangi oleh Tuan Ghaz, namun hati Ejen Leo masih lagi tak dapat memaafkan Tuan Ghaz kerana tidak membela Ejen Lee yang telah dituduh bersalah atas kesalahan orang lain.

 

“Ayah, Leo akan menuntut bela atas kematian ayah. Leo janji bawa si bangsat tu ke muka pengadilan. Macam mana dia buat ayah, macam tu jugak Leo akan heret dia.” Satu renungan tajam dilemparkan pada punching bag.

 

Tubuh Ejen Leo sudah bermandi peluh. Latihannya pada hari ini bukan sekadar latihan biasa. Dia perlu menguatkan stamina untuk misinya.

 

Tanpa disedari Caprice menghulurkan tuala, “Cukuplah latihan hari ni… Malam nanti Tuan Ghaz akan umumkan enam orang pemenang untuk pertandingan debat minggu hadapan. Ejen Leo, okay?” lambat-lambat dia menanyakan status Ejen Leo.

 

“Terima kasih. Aku okay.”  

 

Ejen Leo ingin berlalu pergi meninggalkan gelanggang tinju namun belum sempat dia melangkah, Caprice bersuara lagi.

“Tuan Ghaz minta saya tanyakan sesuatu. Masa hari pertandingan semalam, kenapa riak wajah ejen berubah? Macam ada sesuau yang tak kena.”

 

“ Aku okay. Katakan saja, aku okay. Caprice, I need your favour.” suara garau Ejen Leo bernada serius.

 

Permintaan? Jarang-jarang Ejen Leo meminta pertolongan Caprice. Dia selalu bertindak seorang diri. Baginya, untuk jadi seorang yang kental, kena hidup berdikari. Seorang ejen perlu ada semangat tu.

 

“Tolong apa Ejen Leo?” Caprice merenung lama wajah lelaki di hadapannya.

 

Ejen Leo melangkah setapak, dua tapak dan langkahnya mati di hadapan Caprice.

 

“Mind your own business.” kata-katanya itu cukup membuatkan Caprice hanya menelan air liur.

 

Kata-kata itu sangat ringkas, namun maksudnya padat dan mendalam.

 

Walau bagaimanapun, amanah tetap amanah, bisik hati Caprice.

 

Dia tahu Ejen Leo masih memerlukan ruang untuk bersendirian dan dia hanya membiarkan tubuh sasa Ejen Leo hilang di balik pintu masuk ke gelanggang itu.

 

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Gorjes