Home Novel Cinta Mr. Debater Miss Motivater
Mr. Debater Miss Motivater
Gorjes
20/11/2019 09:55:38
69,929
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 22

“Arggg…”

 

Keriau Amanda mengusap-usap bahunya. Biarpun cubitan Kasih kecil, kesakitannya hanya Allah saja yang tahu.

 

Ini semua gara-gara peristiwa di hospital tempoh hari. Amanda senyap-senyap membuang jambangan pucuk paku yang diterima Kasih semasa Kasih terlelap. Dia bukan sengaja berbuat demikian tetapi bersandarkan pada sebab musabab yang kukuh lagi konkrit. Dia tidak mahu Kasih mengingati Kashaf. Lagipun Kashaf sudah tiada dan sahabat till Jannahnya itu perlu reda.

 

Betapa dia risaukan Kasih sejak Kashaf tiada. Sejak lapan tahun yang lalu. Benarlah orang kata cinta itu buta, kerana cinta badan binasa. Minggu berganti minggu, bulan berganti bulan. Kasih hanya termenung. Disebabkan alasan itu juga selepas Kasih habis tingkatan lima, keluarga Mak Salmah berhijrah ke Selangor.

 

Apa boleh buat, saat itu dirasakan bahawa dia pula akan kehilangan Kasih. Syukur dia dipertemukan dengan Kasih semula semasa di universiti. Sejak itu ke mana Kasih pergi, Amanda akan membuntuti. Jodoh persahabatannya masih panjang.

 

Kasih sudah menrimau. Di tangan kirinya jelas terpapar sekeping kad yang tertulis

 

Get well soon my dear. Remember?

‘This’ is our immortal memory. I’m Yours.” Kasih mengulang-ulang kata-kata di atas kad itu. Satu pandangan tajam singgah ke wajah Amanda.

 

Amanda tunduk terdiam. Dia pelik bagaimana kad itu boleh ada pada Kasih. Setahunya, dia telah buang kad itu bersama-sama jambangan pucuk paku yang dikirimkan kepada Kasih.

 

‘Masak aku kali ini. Harta orang, lain kali jangan pandai-pandai sentuh. Kan dah nak kena terkam dengan ibu harimau yang kepatahan tangan ni.’ Seloroh hatinya.

 

“Apa tu Kasih?”

 

Kura-kura dalam perahu, pura-pura tak tahu.

 

“Soalan itu, aku yang kena tanya kau. Macam mana kad ini boleh ada atas lantai bawah katil aku masa di hospital hari itu?”

 

Destinasi mereka kini sudah berada di butik dan ketika ini suasana senyap sunyi. Selepas Kasih menemui doktor di hospital berkenaan isu tangannya yang masih bersimen, Kasih memberitahu niatnya untuk menemui Noah Kashman untuk membuat permohonan maaf dan mengucapkan terima kasih atas kesudian membayar bil rumah sakit selama dia terlantar di sana. Amanda pula asyik mengekang niat  Kasih itu. Dia orang pertama yang akan halang Kasih. ‘Never is never’ katanya. Keegoan Noah Kashman tidak boleh diajak berjual beli apatah lagi mahu diajak untuk berunding. Lelaki itu betul-betul perasan bagus. Dibukanya kisah lama, kisah Kasih yang mula-mula bertemu dengan lelaki bajet bagus itu. Lelaki yang menolak pakej rekaan kostum sekali dengan mulut pedasnya mengkritik kesemua design kostum di belakang Kasih sehingga sahabat till jannahnya itu kurang motivasi. Gara-gara cara pandangan kali pertama menghakimi tubuh gempal Kasih. Lebih kejam, diia telah menjatuhkan air muka mereka berdua dengan memanggil butik kecil mereka dengan gelaran ‘Silly boutique’.

Oh, tidak bererti tidak bagi Amanda.

Jika tadi dia seperti peguam cara yang menghalang anak guamnya untuk menarik kes, kini dia pula berasa kerdil di hadapan Kasih. Sahabatnya itu masih menunggu jawapan daripada mulutnya. Mahu dia jujur atau berbohong? Tapi dia juga bingung bagaimana harus dia mulakan. Jika hari itu dia semak betul-betul dan pastikan semua evidence dinyahkan, sudah pasti kini dia tidak perlu berhadapan dengan seribu satu pertanyaan tentang kad yang diutuskan oleh gerangan yang mengaku diri sebagai ‘I’m Yours’.

 

“Eh, mana aku tahu!”

“Jangan bohong! Aku tahu, kau tahu. Kalau tak kau tak akan macam ni?”

 

Kasih sejak tadi mula berasa curiga dengan sikap Amanda. Perubahan sikap Amanda jelas menunjukkan yang sahabatnya itu ada kena mengena dengan sekeping kad yang masih dipegangnya.

 

Tiba-tiba Kasih mendapat akal. Tetapi dia masih tidak tahu adakah akalnya ini berhasil untuk membuat Amanda mengakui bahawa Amanda tahu segala-galanya. Wajah berang Kasih kini tiba-tiba berubah. 360 darjah perubah habis. Dia tersenyum sehingga ke telinga menampakkan gigi Colgate yang tersusun sama. Kemudian, helah yang kedua, dia mula mengerlipkan matanya. Berkali-kali dia buat. Setelah itu, dia memeluk erat lengan Amanda.

 

‘Putus wayar ke Kasih ni. Aduh, dia dah buat gila.’

 

Bahasa basi Amanda dalam hati. Dia buat tak peduli apabila Kasih menggesel-geselkan kepalanya pada bahu Amanda.

 

“Amannndaaaa…” Sengaja dimanjakan nada suara Kasih.

 

“Hmm…” Jawab Amanda acuh tak acuh. Mulutnya seperti terkunci.

 

Serta-merta Kasih mengangkat wajahnya mendepani Amanda.

 

“Amanda, aku tahu, kau tahu apa yang aku nak tahu. Kalau kau mengaku, sumpah, aku tak marah pun. Mengaku la.”

 

“Ish, merepek la kau ni. Nak mengaku ke bendanya, aku tak tahu la Kasih. Dah…dah, lagi aku layan kau, menjadi-jadi perangai kau. Menggeletis. Geli la.”

 

“Amanda…mengakulah. Pleaseee…aku janji tak marah kau.”

 

Pujuk Kasih menguis-nguis lengan Amanda dengan jari telunjuknya.

 

“Eh, Kasih! Tadi bukan ke, kau kata nak pergi jumpa Noah Kashman. Jomlah kita pergi. Permohonan maaf kau tu aku rasa lagi penting. Nak-nak kalau dia tak terasa hati kau remukkan ‘Bff’ dia tu, aku rasa maaf kau diterima. Kalau dia maafkan. Kalau tak, orang kata antara dia dengan Allah la. Yang penting kau minta maaf tiga kali, kau dengan dia dah selesai.” Balas Amanda panjang lebar. Laju saja bahasanya hari ini.

 

Tingkah laku Amanda seperti ingin melarikan diri. Dia sengaja mengubah topik agar Kasih lupa akan sekeping kad itu. Sebaik Amanda berdiri untuk memajukan langkah, Kasih menjerit kesakitan.

 

Amanda tak jadi melangkah, dia terus mendapatkan Kasih.


“Kenapa Acih?” Nama Acih hanya akan tersembur keluar setiap kali ada sesuatu yang tak merelakan dia dan Kasih bertikam lidah. Itu tandanya, Amanda masih mengambil berat tentang dirinya.

 

“Jari aku ni, tiba-tiba kebas.”Adu Kasih sambil memegang jari-jemari kanannya yang lengannya masih lagi dalam balutan simen.

 

“Boleh tak kau tolong ambilkan aku tuala basah kat sinki tu. Aku ingat nak lap jari-jemari ni. Mungkin tangan aku ‘dehydrated’ . Kering ni.” Kasih menunjuk-nunjuk tangan kanannya yang konon kering sedangkan dia sedang memasang muslihat.

 

Dari lirikkan mata Kasih mencapai gugusan kunci milik Amanda bersama-sama beg sandangnya. Dia berlari keluar lalu menarik gate besi dan memangganya. Amanda yang terkulat-kulat berhenti melangkah. Dia terkejut. Lantas berlari ke pintu pagar besi. Meronta-ronta dia.

 

“Eh, eh…Kasih. Kau buat apa ni?Kau tipu aku” Amanda tidak lepas berkata-kata. Gagap melihat Kasih mengunci pintu pagar besi.

 

“Hah, puas hati aku. Amanda, kalau kau nak aku buka pintu pagar besi ini, lebih baik kau cerita perkara sebenar. Aku ni asyik terfikirkan…”

 

“Kashaf?”

 

Laju ayat hujung Kasih Amanda sambungkan.

 

“Kasih, kau boleh tak jangan fikir tentang orang yang dah tak ada. Kashaf itu dah meninggal dunia, lapan tahun lepas. Apa yang kau harap dia boleh hidup sampai ke hari ini? Ish, aku pun tak faham la dengan kau ni. Nak kata tak berakal, kau tu graduate first honour.” Teriak Amanda.

 

Geram.

 

“Ya, memang aku teringatkan Kashaf. Aku yakin yang ‘I’m Yours’ ni Kashaf. Amanda, tolonglah aku. Banyak sangat klu yang menjurus kepada dia. Kalau dia dah mati, kenapa muncul orang yang tiba-tiba bagi kata-kata persis yang pernah dia ucap kat aku? Logiknya, aku je yang tahu. Entahlah…”

 

Kasih sudah terduduk di atas lantai. Bersandar pada dinding luar kedai.

 

“Kad ni, beri aku nafas baru. Andai kata Kashaf hidup, ya aku nak tanya dia, selama ini dia pergi ke mana? Kenapa dia tak datang cari aku. Aku betul-betul rindukan dia.”

 

“Apa lagi yang aku tak tahu tentang Kashaf yang kau boleh beritahu aku, boleh buat aku percaya dengan assumption bahawa apa yang kau tebak tu boleh diterima akal aku ni? Orang mati boleh hidup semula!”

 

“Hati aku kata Kashaf tak mati. Aku jadi was-was bilamana seorang pun tak dibenarkan lihat wajah Kashaf masa di hari dia dikafankan. Katanya untuk tutup keaiban mayat. Hatta ketika tu, ayah Zaki nak tengok pun pihak yang menguruskan jenazah kata tak boleh. Kat situ aku jadi pelik. Lagi satu, masa di tapak pengebumian, ada insiden van jenazah dilanggar, lama pulak tu nak tiba di tapak pengebumian. Sedangkan jarak rumah Zaki dengan tapak perkuburan tak jauh mana pun.” Terangnya.

 

“Kasih, aku masih tak percaya dengan teori kau. Semua benda tu kebetulan je. Jangan la serabutkan kepala kau fikir benda yang sia-sia. Susah sangat ke nak terima kenyataan yang Kashaf dah tiada. Kau buat roh Kashaf tak tenang di sana. Reda aje la.” Pujuk Amanda lagi, Ketika ini, air mata Kasih sudah bergenang apabila Amanda menyebut perkataan ‘reda’.

 

“Selagi aku tak tengok mayat yang dikebumikan itu Kashaf, aku masih tak percaya yang ditanam itu Kashaf.” Getap bibir Kasih. Dia jadi bertambah geram bila teori dan analisisnya dipandang enteng. Jujur dia begitu kecewa kerana sahabat juga prejudis dengannya.

 

Daripada duduk, kasih pantas bangun. Kasih melangkah laju.

 

“Kasih, kau nak pergi mana tu? Kalau ye pun bukalah pintu ini.”

 

Amanda menggoncang-goncangkan pintu pagar besi yang berjaring-jaring petak empat segi sama.

Kuat, semakin kuat.

Saat itu Kasih tidak hiraukan. Amanda melihat Kasih menuju ke arah keretanya. Dari arah pintu depan butik, memang terserlah jalan raya. Amanda memakir kereta di parking kereta yang dikhaskan di hadapan butik mereka. Amanda memerhati setiap gerak-geri Kasih. Kunci di tangan di arahkan pada pintu penumpang dibelakang pemandu. Amanda tidak duduk diam lagi.

 

“Kasih, kereta aku tu. Jangan kau apa-apakan. Awas!” Jerit Amanda. Tangan Amanda sudah keluar daripada pintu besi memberi amaran. Bibir digigit marah.

 

Krrreeekkkkk…

 

Amanda jatuh terduduk. Dia meratap.

 

Kereta Myvi kesayangannya sudah digores oleh sahabat kesayangannya.

 

Masih lagi jadi kesayangan ke?

 

“Aku tanya kau baik-baik, kau tak jawab. Last, beritahu aku, apa sebenarnya rahsia di sebalik kad ni?” Ugut Kasih kali terakhir sebelum tangannya menggores permukaan pintu sebelah pemandu pula. Dua bahagian yang berbeza, banyak kos yang Amanda kena tanggung. Dia tak ada pilihan, Kasih mesti menang kali ini.

 

“Kasih, jangan Kasih! Aku beritahu kau, aku beritahu kau…” Rayu Amanda bersungguh-sungguh.

 

Kening terangkat, tanda Kasih mahu Amanda berbicara.

 

“Macam ni, masa aku sampai hari tu, aku nampak ada jambangan atas meja adjustable overbed kau. Jambangan itu sebenarnya paling pelik yang aku pernah lihat.”

 

“Jambangan macam mana? Jambangan pucuk paku?” Paksa Kasih inginkan kepastian. Anak mata Kasih tidak berkelip.

 

Amanda melopong tersentak mendengar telahan Kasih. Dia kaku. Hairan bagaimana Kasih boleh tahu. Sedangkan dia ada meminta jururawat untuk meminta pekerja kebersihan mengosongkan tong sampah di bilik sakit Kasih sebelum sahabatnya terjaga.

 

“Aku dah agak. Aku dah agak…” Kata Kasih sambil mundar-mandir menggenggam jari-jemarinya.

 

“Macam mana kau tahu?” Soal Amanda terpinga-pinga.

 “ ‘Immortal memory’. Aku dan Kashaf kenal tak lama dan lepas tu Kashaf ….”

 

Entah, tak tahu dia nak mengandaikan keadaan kehilangan Kashaf. Ada, tiada, hilang atau mati seperti apa yang kebanyakan orang bercakap.

 

“Tak ada kenangan yang istimewa dan kekal dalam ingatan kami melainkan kenangan jambangan pucuk paku.” Kasih tampil di hadapan pintu, dia membuka pintu besi yang berkunci dengan mangga. Selepas pintu besi dibuka, Amanda berlari mendapatkan keretanya.

 

“Aku tak kira, ‘luka’ ini kau tanggung! Memang tak sayang tangan la. Nanti aku patahkan tangan kiri pulak. Nak?”

 

“Eh, kejap. Mana jambangan aku tu? Oh, jadi kau la yang buang jambangan aku?” Celah Kasih.

 

“Baru padan muka! Ganti ni!” jari terlunjuk mengarah ke kesan calar lebih kurang 10 milimeter.

 

“Dah jom. Kata nak pergi jumpa Noah Kashman. Lambat pulak nanti.” getus Kasih selamba masuk ke dalam kereta. Kasih tahu Amanda akan sejuk nanti. Biarlah sahabatnya membebel tak berhenti sekali pun yang pasti dia sudah mendapat tahu kebenaran.

 

‘Berita muka hadapan hari ini.

Ruangan Hati Kasih: Kashaf Masih Hidup.’

 

***

 

Suasana di perkarangan rumah agam itu ternyata berbeza. Empat mata memandang dua tubuh gadis dengan perasaan tertanya-tanya tujuan kedatangan mereka berdua. Ruang tamu yang tenang dengan motif hiasan rumah Melayu bangsawan tak dapat menenangkan debaran yang berkocak di hati. Jantung Kasih asyik tak berhenti berdegup kencang.

 

Gementarkah dia berhadapan dengan kedua-dua orang lelaki yang sedari tadi memandang tak berkelip. Kelibat Puan Sri Mariam tidak pula kelihatan. Ke manakah wanita itu agaknya?

 

Dia tahu kedatangannya tidak diundang. Lebih-lebih lagi pada hari ini.

 

Tidak bekerjakah mereka berdua? Hari ini cuti umumkah?

Persoalan demi persoalan bermain di mindanya.

Lupa pula, bos mana yang perlu patuh jadual kedatangan bekerja. Kalau dah namanya majikan, sudah pasti mereka akan masuk sesuka hati ke pejabat. Lagi pula, semua urusan pejabat kan sudah digajikan. Tak seperti dia dan Amanda, setiap hari perlu membuka butik, kecuali hujung minggu. Itupun masih bekerja jika ada majlis-majlis penting yang perlu mereka hadiri. Bukan sebagai tetamu tetapi sebagai fesyen designer yang bertanggungjawab memastikan pakaian selamat tersarung di badan individu-individu penting yang menggunakan khidmat mereka. Kalau tak buka ‘office’, tak ada income la jawabnya.

 

Noah Kashman, jejaka sempoi. Dia mengenakan seluar jeans pendek bawah lutut bersama-sama baju kemeja berlengan panjang berwarna merah hati. Sapu tangan putih terlipat kemas dalam saku baju kemejanya di dada kiri. Irish cap berwarna kelabu menutupi bahagian rambutnya. Menambahkan kekacakannya lagi apabila dia memakai cermin mata tanpa kaca berbentuk bulat. Itulah fesyen.

 

Model sepertinya tidak terikat dengan etika pemakaian yang formal. Dia bebas memilih pakaian yang kasual. Lelaki hidung tinggi ini gemarkan warna-warna sweet. Tempoh hari memakai kemeja merah hati, hari ini juga warna yang sama menjadi pilihan. Sudah pasti banyak mata yang akan tertumpu memandangnya.

Oh, salah!

Dia dan Amanda sedikit pun tak goyah dengan penampilan Noah Cashman itu.

 

Seorang lagi lelaki mempunyai iras Noah Kashman tak lepas memerhatikan mereka berdua. Wajah yang sedikit matang namun masih tersembunyi kekacakan. Kasih mengagak usia lelaki tersebut dalam lingkungan akhir 30-an. Penampilan yang rapi, berseluar panjang hitam dan t-shirt biru berlengan panjang tertera tulisan ‘Guess’ di bahagian hadapan. Santai. Amanda sudah jadi tak keruan. Kasih seperti pernah melihat wajah ini, tetapi dia tak ingat di mana.

 

Crush Amanda!

 

Spontan dia dapat menangkap perubahan reaksi Amanda yang jadi seperti gadis Melayu terakhir. 

 

Kalau dah Singa tu Singa juga. Tak akan sama seperti merpati.

 

Faked!

 

‘Urghhh…’ jerit batin Kasih.

 

Baru tadi dia membebel dan menyinga gara-gara keretanya dicalar oleh Kasih.

But now, she’s change 360 degrees! 

Agak-agak kalau ada besen di situ, Kasih dah memuntahkan segala isi perutnya akibat loya melihat betapa hipokritnya sahabatnya yang satu itu.

 

“Tujuan kami datang sini sebenarnya nak ucap terima kasih sebab Encik Noah sudi datang melawat saya masa saya koma hari itu.”

 

Muqadimmah Kasih tanpa memperkenalkan diri. Noah sudah mengenali dia hanya Crush Amanda jelas riak kebingungan. Perlu ke dia memperkenalkan diri atau permulaannya sebentar tadi sudah cukup baik. Lagipun, urusan kedatangannya itu adalah untuk menemui Noah Kashman dan bukannya Si Crush Amanda tu.

 

Diam seribu bahasa.

 

Tidakkah Noah nampak keikhlasan hatinya ini? Datangnya Kasih untuk memberi ucapan terima kasih, bukan lagaknya seperti seorang kekasih menagih kemaafan daripada kekasihnya.

 

“You must be Kasih Dyslexia!” Sampuk Crush Amanda.

 

‘Apa! Kasih Dyslexia. Melampau sungguh Noah Kashman ni. Gelaran nama itu pun Crush Amanda boleh tahu. Aku disleksiakan.’ Gumam hatinya. Sakit.

 

“Ar…betul la tu. Tapi panggil Kasih aje. Part Dyslexia itu mimpi ngeri kejap.” Balas Kasih ketawa kecil. Bukan dia malu tapi ‘migrain’ dengan situasi ini.

 

“And you…” Kali ini telunjuk Faliq ke arah Amanda.

 

“Amanda…and you can call me ….”

 

“Panda!” Noah mula bersuara.

 

Cashman!” Balas Amanda sambil mengangkat tangannya kemudian ibu jari bergesel dengan jari telunjuk dan jari hantu. Digesel-geselkan jari-jemari itu. Maka terhasillah simbol ‘money’. Cash is money. Cashman!

 

Serta-merta Faliq ketawa menampakkan kedua-dua lesum pipitnya. Tak jadi Amanda nak naik angin mendengar gelaran ‘Panda’. Cair macam ais hatinya. Mendengar balasan Amanda yang sedikit pun tak gentar dengan Noah, Faliq mengagak ada tragedi besar yang terjadi antara mereka berdua. Masakan gadis itu berani-berani memanggil adiknya dengan gelaran ‘Cashman’.

 

Kehadiran Bik Mun mematikan ketawa Faliq. Bik Mun membawa dulang air bersama-sama kuih seri muka. Berseri-serilah wajah Amanda, perutnya berkroncong.

Dari pagi sehingga tika ini, hanya air sahaja mengisi usus perutnya. Tindakan Kasih sebentar tadi di butik, sudah mematikan ‘mood’ untuk dia menjamah makanan. Tak di sangka hatinya yang terluka akibat goresan tangan ‘kejam’ Kasih terubat dengan senyuman crush yang berseri-seri macam kuih di hadapannya.

Terus datang rasa lapar.

 

Puan Sri Mariam menuruni anak tangga. Walaupun sudah berusia. Wajahnya masih awek muda. Tak dimamah usia. Sepantas kilat Amanda berdiri. Kasih menuruti tindakan Amanda.

“PSM.” Sapa Amanda.

“PSM?” Keluar kalam yang sama ketiga-tiga mereka.

“Puan Sri Mariam.” Jawab Amanda spontan.

“Wah, semua orang ada nama baru. Kasih Dyslexia, Noah Cashman, PSM dan Panda.” Seloroh Faliq.

“Eh, bukan Panda.” Tiba-tiba Amanda bersuara.

“Habis tu apa?” Soal Faliq kehairanan.

“Pandulah aku ke hatimu! Chia…chia…chiaaa…”

Kasih jadi bertambah angin dengan sikap Amanda. Dia menjegilkan mata sambil bibir diketap-ketap. Isyarat meminta Amanda menjaga air muka mereka di rumah orang.

“Buat pick-up line pun tengok situasi la sikit. Aku tengok Noah tu dah buat muka meluat dah.”Bisik Kasih kepada Amanda.

Amanda hanya senyum Colgate.

“So, I’ll be your ‘drive thru’, macam McD. I’m loving it!” Berdekah lagi ketawa Faliq.

Amanda tersipu-sipu malu. Tatkala terpandang Noah, serta-merta senyuman itu mati. Nampaknya cuma Kasih dan Noah aje yang tak suka dengan situasi ini. Tidak lelaki di hadapannya ini.

Puan Sri Mariam mengambil tempat duduk di kerusi kayu tunggal. Pandangannya beralih kepada gadis yang masih tangannya berbalut.

“Kasih, apa khabar? Simen kat tangan itu bila doktor kata boleh buang?” Soalnya ambil berat seperti menyoal anak sendiri. Penuh perhatian.

“Saya baru balik dari jumpa doktor kat hospital. Doktor minta saya datang untuk x-ray semula tangan ni. Katanya ada bahagian simen yang tak menutupi kawasan tangan. Jadi tadi baru mereka tambah simen tu. Terus terang cakap, saya pun tak pasti bila boleh tanggalkan simen ni.” Terang Kasih.

 

Tangan Kasih tidak disimen dengan kemas oleh doktor tempoh hari. Rupa-rupanya, doktor pelatih yang membuat prosedur tersebut. Nasib baik mereka menyedari keadaan simennya itu tidak sekemas prosedur asal melalui beberapa keping gambar yang diambil oleh doktor pelatih itu. Patutlah beria-ria doktor pelatih itu mengambil gambar tangannya sebelum mereka menempatkan dia di bawah jagaan doktor di wad. Kalau kesalahan itu tak disedari, entah-entah lama lagi dia perlu berkepit dengan simen ini ke hulu ke hilir. Mak Salmah ialah orang yang paling marah sebentar tadi. Sikap cuai ini betul-betul menyebabkan anaknya terpaksa melalui fasa-fasa yang sukar. Maknanya lambat lagi la Kasih nak berlesen kereta. Itu tandanya khidmat Amanda amat diperlukan dalam masa pemulihan ini.

 

“Kebiasaannya, kalau kes macam ni memang ambil masa yang lama mama. Kalau buka simen terlalu awal, risau bahagian tulang yang patah itu tak betul-betul bersambung dengan aliran tulang satu lagi. Kalau berlaku macam itu, nampaknya tak ada cara lain selain pesakit menjalani pembedahan untuk betulkan aliran tulang. Bertambah tempoh masa untuk sembuh. Bertambah juga perit tu.” Terang Faliq.

 

“Faliq tahu tentang ni semua.” Soal Puan Sri Mariam sekadar ingin tahu.

“I’m learning it throught reading and friends. Lagipun zaman belajar ada la belajar satu dua bab, tapi tak menyeluruh macam Ortopedik.” Jelasnya lagi.

 

Kini Kasih menjadi bertambah selesa dengan lelaki matang ini. Dia tak menyombong diri. 

 

“Hah! Cepatlah cakap apa tujuan kau datang sini?” Celah Noah kasar.

Satu jelingan tajam singgah ke mata Noah daripada si mamanya.

“Oh, sebenarnya saya datang sini nak ucapkan terima kasih atas kesudian Encik Noah datang melawat saya hari itu di hospital. Terima kasih sebab dah bayarkan bil hospital. Tapi saya rasa saya tak boleh terima budi baik itu.”

Kasih mengeluarkan sesuatu daripada beg sandangnya. “Ini bayaran bil hospital tempoh hari.”

 

Kasih menghulurkan sampul berisi wang. Dia harap Noah Kashman dapat menerimanya. Noah mengambil sampul tersebut lalu dia membuka sampul tersebut di hadapan Kasih. Semua yang melihat terkejut dengan tindakan Noah.

 

“Tak cukup.”

 

Membuntang anak mata Kasih.

 

“Kau ingat aku pergi melawat saja-saja ke? Itupun mama aku yang minta. Kalau bukan kerana mama, tak ingin aku melawat. Aku anggap ini wang pendahuluan ganti rugi kereta aku yang kau langgar. Selebihnya, aku tuntut nanti.”

 

“Noahhh!” suara tegas Puan Sri Mariam kedengaran.

 

“What?” Seperti tidak bersalah.

 

“Kan kita dah bincang.” Puan Sri Mariam bersuara lagi.

“Ya, perbincangan hari itu dah tak valid. Noah dah ubah fikiran.”Getusnya lagi.

“Puan Sri, tak apa. Lagipun saya yang langgar kereta Encik Noah, jadi sememangnya saya yang perlu bertanggungjawab. Saya pun dah fikir tentang isu ganti rugi itu. Untuk buat bayaran itu, saya nak minta jasa baik untuk bayar secara ansuran kalau Encik Noah setuju.”

“No.”

Jawapan yang berat untuk ditepis.

“ Kau ingat beli peti ais ke nak buat ansuran? Aku nak cash hujung bulan ini.”

Masakan hujung bulan ini. Duit untuk membayar gaji mereka juga belum nampak sinar. Inikan pula nak bayar ganti rugi itu.

Amanda mula bersuara.

“Macam ni la, apa kata kita buat deals. Saya dan Kasih dah bincang tentang hal ini, kami dah bersetuju untuk tidak cas satu sen pun kostum sambutan hari lahir cucu Puan Sri. Jadi macam mana?”

 

Kasih memandang Amanda dengan wajah mencerlung.

 

Bila masa pula mereka berbincang tentang hal ‘deals’ ini. Sudahlah bulan ini tempahan kurang. Tak bergaji la kalau macam tu. Silap-silap hari bulan mesti sewa butik pun tak boleh nak jelaskan. Pengorbanan apakah ini?

 

Noah tersenyum senget, lalu dia bersuara.

“Boleh tapi dengan satu syarat.”

 

“Anything.” Balas Amanda tersengeh paksa.

 

Kasih menyiku Amanda. Itu tandanya dia tak bersetuju. Amanda kalau buat keputusan memang selalu lebih sudu dari kuah. Kasih juga rakan perniagaannya, berhak untuk mempersetujui jika keputusan itu ternyata jalan paling baik buat mereka dan membangkang sekeras-kerasnya jika keputusan itu mendatangkan malapetaka.

 

“Made for me, my wedding coat. The same price must be ‘paid’ for the coat. Expensive and luxury.” Permintaan yang sempurna mewah.

 

Bagi Noah, harga kot itu tak boleh dibandingkan dengan harga keretanya yang dilanggar Kasih. Dia sengaja mahu menduga. Adakah permintaannya dilayan atau sebaliknya.

 

 

“Noah, its to much.” celah Faliq.

Dia memihak kepada mereka berdua.

 

‘Malapetaka apakah ini? Aih, Noah ni dah lebih. Ada ke patut tambah tempahan tak berbayar. Percuma! Yang seorang buat keputusan tanpa berbincang, yang seorang lagi minta macam-macam, boleh tambah retak tulang tangan aku ni. Ya ampun, ujian apakah ini?’ Hati Kasih berperang. Macam meletus gunung berapi Krakatau je. Nak dia buat tak tau, bertambah-tambah pula dia kena ambil tau!

 

Puan Sri Mariam dan Faliq masing-masing menepuk dahi. Mereka sekalipun tidak menduga bahawa Noah akan membuat permintaan sedemikian rupa. Jika sebelum ini Noah bersetuju untuk melupakan insiden pahit itu bersandarkan pada nasihat mamanya tetapi kini tiba-tiba saja dia berubah hati. Memang mamanya yang mengeluarkan wang membayar bil hospital Kasih. Dia berang kerana mengapa mamanya melebih-lebihkan orang luar daripada anak sendiri. Bil hospital Kasih dibayar sedangkan bil kerosakan keretanya yang dibuat oleh Kasih, dia yang menanggung. Ini tidak adil.

 

Serta-merta senyuman kedua-dua gadis itu tenggelam, kelam dan kelat.

 

“I’ve to go. Ada meeting penting di Akademi Model. Bye, ma.”

Noah sudah berlalu dari sesi perbincangan itu. Kasih dan Amanda cuba mengawal lagak terkejut dengan permintaan Noah.

 

“Jangan ambil hati dengan Noah ya. Auntie akan pujuk dia untuk ubah fikirannya. Kasih perlu banyak rehat dan jangan fikirkan tentang kostum itu. Biar auntie deals dengan Amanda. Baju Elle katanya ada perubahan. Amanda katanya dah siapkan dah. Cuma tunggu masa yang sesuai auntie nak bawa Elle try.” Kata-kata Puan Sri Mariam sedikit mententeramkan jiwanya yang kusut. Tapi, adakah dia salah dengar yang Puan Sri Mariam menggelarkan dirinya sebagai ‘auntie’. Rasa-rasanya dia belum pekak lagi. Kasih tahu Amanda turut perasan.

 

Kasih hanya tersenyum. Baru sahaja dia ingin meminta izin untuk pulang, Faliq pula bersuara.

 

“Kasih.”

“ Ya.”

“Would you mind do me a favour?”

“What is it?”

“Please follow me.”

Kasih memandang Amanda dan Amanda turut memandang Kasih. Amanda mengiyakan baru Kasih bangun mengikuti Faliq dari belakang. Amanda ditinggalkan bersama-sama Puan Sri. Pelbagai persoalan yang bermain di benak hati Kasih. Pertolongan jenis bagaimana yang boleh dia berikan. Fizikalnya saja sudah cukup menidakkan soalan Faliq. Namun, disebabkan perasaan ingin tahu, dia lantas membuntuti Faliq yang sudah keluar ke kawasan kolam ikan. Kasih berharap semuanya akan lebih baik daripada sebelum ini.

Doanya dalam hati.

 

 

 

Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Gorjes