Afiyah memandang agak lama telefon bimbitnya yang berada di atas meja soleknya. Biasanya setiap pagi dia akan menerima panggilan daripada lelaki itu. Namun sudah hampir lima hari lelaki itu tidak menghubunginya. Afiyah mengeluh perlahan. Esok dia akan berangkat pulang ke Melaka. Terlalu cepat masa berlalu. Dia merasakan tempoh dua tahun seperti dua bulan sahaja. Afiyah menggeleng perlahan sambil mencapai pakaiannya semula. Tangannya sibuk mengemas namun fikirannya sudah menerawang jauh mengingatkan kata-kata Datuk Hashim dua hari lepas.
***
“Eij dah balik London,” beritahu Datuk Hashim dengan nada mendatar. Afiyah hanya membisu mendengar kata-kata papanya itu.
“Eij minta maaf dengan Fiyah,” sambung Datuk hashim lagi. Hatinya kuat mengatakan ada sesuatu yang berlaku antara Afiyah, Aliya dan Eijaz. Namun sehingga kini dia masih tidak tahu sebabnya. Niat ingin tahunya dibatalkan apabila ketiga-tiga insan itu sukar untuk berkongsi dengannya. Dia pula bukan jenis yang memaksa.
“Saya dah maafkan Eij. Thank you, pa,” ucap Afiyah dengan senyuman hambar. Entah mengapa tiba-tiba hatinya terasa sayu mendengar pemergian lelaki itu.
***
Lamunan Afiyah terhenti apabila telefonnya tiba-tiba berdering. Hatinya berdebar. Dia bangun dari sofa dan melangkah menghampiri meja soleknya. Nama Dahin terpampang pada skrin telefonnya. Berkerut kening Afiyah. Dia menekan punat hijau.
“Morning,” ucap Dahin dengan nada cerianya. Afiyah mencebik.
“Fiyah masih marahkan saya ke?” soal Dahin separuh mengusik.
“Dah tahu kenapa tanya lagi?” soal Afiyah pula dengan nada agak keras. Dahin terdiam.
“Sorry,” ucapnya dengan nada perlahan. Dia tidak pernah berniat untuk menyakitkan hati gadis itu. Dia membantu Daffa kerana yakin yang gadis itu juga masih sayangkan Daffa. Afiyah mengeluh perlahan.
“Awak nak apa?” soalnya semula kini dengan nada yang rendah. Dahin tersenyum hambar.
“Dahin nak ajak Fiyah keluar. Boleh?” tanyanya separuh mengajak. Hatinya berdebar menanti jawapan gadis itu.
“Okay,” balas Afiyah ringkas. Dia memang ingin bertemu dengan lelaki itu sebelum berangkat esok. Dahin tersenyum gembira.
Yes!
*****
“Kau okay?” tanya Rina sambil memandang gadis itu yang hanya termenung sedari tadi. Aliya sekadar tersenyum hambar menjawab pertanyaan rakannya itu. Suha yang duduk berdepan dengan mereka menarik nafas dalam.
“Liya, tak semua yang kita rancang akan menjadi. Aku tahu kau bukan seorang yang mudah berputus asa,” nasihatnya ikhlas.
“Liya rasa berdosa sangat dengan semua orang,” balas Aliya dengan nada kesal. Rina menyentuh lembut bahu gadis itu.
“Kita manusia biasa yang sentiasa melakukan kesilapan Liya,” katanya separuh memujuk. Aliya tersenyum hambar. Apabila dia mendapat khabar yang Eijaz tidak jadi meminang Afiyah, dia jadi serba salah. Siapa yang patut dipersalahkan dalam hal ini kalau bukan dia. Dia yang memulakan segala-galanya. Aliya mengeluh perlahan.
“Sudah lah itu. Kita keluar hari ini sebab nak tenangkan fikiran,” celah Suha dengan senyuman.
“Sayangnya Fiyah tak dapat ikut sekali,” balas Rina dengan perasaan agak kecewa.
“Dia ada hal sebab itu tak dapat datang,” beritahu Aliya dengan senyuman. Dia ada juga mengajak Afiyah. Namun gadis itu nampaknya sibuk mengemas barangnya.
“Sunyi lah nanti bila Fiyah dah balik Melaka. Lama ke Fiyah kat sana?” soal Rina ingin tahu.
“Tak pasti lagi,” jawab Aliya dengan nada perlahan. Suha hanya membisu mendengar perbualan kedua-duanya. Fikirannya mengimbau semula perbualannya dengan Afiyah dimana gadis itu ada memberitahunya mungkin dia tidak akan kembali lagi ke Johor dalam masa terdekat. Suha mengeluh perlahan. Rina dan Aliya saling berpandangan melihat telatah sahabat mereka itu.
*****
Dahin hanya memandang gadis yang sedang mempamerkan wajah seriusnya itu.
“So?” soal Afiyah seiring dengan keningnya yang terangkat membalas pandangan lelaki itu.
“I’m sorry,” ucap Dahin tenang merenung mata gadis itu. Afiyah tersenyum sinis.
“Awak ingat kita ini sedang buat drama ke?” tanya Afiyah masih tidak berpuas hati. Dahin menarik nafas dalam.
“Saya sayang awak Fiyah. Sekiranya rasa sayang itu tak ada, saya mungkin tak akan beri Daf peluang itu,” katanya dengan nada lembut. Afiyah menggeleng.
“Dari dulu lagi saya tak suka awak sebab awak sibuk sangat nak masuk campur dengan masalah saya. Awak ingat kalau awak dah ambil berat pasal saya maka saya akan terima awak? Awak ingat bila awak beri peluang dengan Daf, saya akan berterima kasih? No Dahin! Saya dah tutup pintu hati saya ini untuk Daffa dan untuk awak juga. Saya tak nak awak ada perasaan itu dengan saya. I’m sorry. I have to be honest. Saya tak nak awak berharap. Saya dah maafkan awak sebelum ini dan anggap awak sahabat yang saya boleh percaya. So please, jangan rosakkan kepercayaan saya pada awak,” balas Afiyah panjang lebar dengan nada yang tegas. Dahin terkedu sejenak. Agak lama dia membalas pandangan gadis itu tanpa sepatah kata. Lidahnya kelu apabila dengan lantang Afiyah menolak dirinya tanpa memberinya peluang untuk bersuara.
“Esok saya akan balik ke Melaka. Kalau boleh saya tak nak bermusuh dengan sesiapa apabila kembali ke sana. I’m sorry again,” ucap Afiyah lagi kini dengan nada suara yang rendah. Dahin mengeluh perlahan.
Aku terlambat ke? Atau aku yang terlalu baik?
*****
Eijaz merenung lama foto gadis yang terletak di atas meja kerjanya. Foto itu diambil tanpa pengetahuan Afiyah. Walaupun dalam foto tersebut wajah Afiyah tanpa senyuman namun tetap kelihatan manis pada pandangannya. Eijaz mengeluh perlahan. Dia sendiri hairan dengan dirinya. Bercinta hampir lima tahun dengan Aliya namun wajah Afiyah yang sering mengganggu lenanya. Malah sebab utama dia berhijrah semula adalah disebabkan oleh gadis itu. Dia tahu memang mustahil gadis itu akan menerimanya. Bukan sahaja disebabkan Aliya tetapi dia tahu perasaan gadis itu masih ada pada Daim Daffa. Eijaz melepaskan keluhan berat. Teringat semula perbualannya dengan Aliya sebelum dia meninggalkan Malaysia. Gadis itu ada menghubunginya malam sebelum dia berangkat.
***
“Eij, saya call ini bukan sebab pasal kita. Saya tahu sekarang ini awak sangat sayangkan Fiyah. Tengok aje cara awak layan Fiyah pun saya dah boleh lihat yang awak sangat sayangkan dia. Dulu masa kita pun awak tak tunjuk kasih sayang macam itu dengan saya. Itu adalah kerugian buat diri saya. Kehilangan awak adalah kesilapan paling besar yang saya pernah lakukan. Saya menyesal tapi awak jangan pula rasa bersalah. Sebab saya yang patut dipersalahkan dalam hal ini,” kata Aliya panjang lebar seiring dengan keluhan beratnya. Eijaz hanya membisu mendengar kata-kata gadis itu.
“Saya tak nak awak rasa bersalah sebab sayangkan Fiyah. Kisah kita dah tamat. Saya nak awak mulakan hidup baru Eij. Kita semua kena mulakan hidup baru. Apa yang berlaku adalah pengajaran buat kita semua,” sambung Aliya dengan nada sebak. Eijaz menarik nafas dalam.
“I’m sorry Liya. Untuk segalanya. Eij tak pernah berniat nak kecewakan Liya. Tapi…”
“No Eij. Liya yang patut minta maaf. Liya tak pernah hargai Eij. Terima kasih untuk tempoh lima tahun itu. Liya bahagia dengan Eij. Sayangnya Liya tak pandai hargai orang yang sayangkan Liya,” pintas Aliya dengan perasaan bersalah. Eijaz tunduk meraup wajahnya.
“Liya nak bila Eij pulang semula, Eij jangan pernah ragu-ragu untuk pikat hati Fiyah semula. Fiyah perlukan masa Eij,” sambung Aliya dengan senyuman hambar.
***
Eijaz menarik nafas berat.
Pikat hati Fiyah semula?
*****
Aliya mengambil tempat di sisi gadis itu. Dia melentokkan kepalanya pada bahu gadis itu. Afiyah hanya tersenyum melihat telatah gadis itu.
“Bila Fiyah nak balik sini semula?” soal Aliya dengan nada perlahan.
“Tak pasti lagi,” balas Afiyah masih memandang langit malam. Aliya mengangkat kepalanya sambil memandang gadis itu.
“Fiyah nak larikan diri? Masih marahkan Liya dan papa?” soalnya bertalu agak gelisah. Afiyah membalas pandangan gadis itu. Wajah sayu Aliya mengundang simpatinya.
“Memang Fiyah nak larikan diri. Kalau boleh tak nak kembali ke sini lagi. Ini bukan tempat Fiyah,” balasnya dengan wajah serius sengaja mahu mengusik gadis itu. Aliya menarik jemari gadis itu dan menggenggamnya erat.
“I’m sorry Fiyah. Liya tak tahu nak cakap apa lagi. Walaupun berjuta kali Liya ucapkan kata maaf, namun perasaan bersalah itu masih tak berkurang. Liya menyesal Fiyah. Tapi tak apa kalau Fiyah bencikan Liya, Liya terima. Cuma Liya tak nak Fiyah berdendam dengan papa,” katanya dengan perasaan sebak. Afiyah tergelak kecil. Berkerut kening Aliya memandang gadis itu.
“Dah habis buat drama?” soal Afiyah separuh mengusik.
“Tak baik lah,” balas Aliya kini dengan muncung panjangnya. Afiyah tergelak besar. Dia membalas genggaman tangan gadis itu.
“Johor dan Melaka bukannya jauh sangat. Fiyah pasti akan pulang semula,” katanya dengan senyuman. Aliya ikut tersenyum.
“Boleh Liya tanya sesuatu?” soalnya apabila kedua-duanya membisu agak lama. Afiyah menoleh memandang gadis itu.
“Who’s you first love?” soal Aliya seiring dengan senyuman nakalnya. Afiyah terdiam mendengar soalan gadis itu.
My first love?
*****
Datuk Hashim membantu pemandunya memasukkan barang-barang Afiyah ke dalam kereta.
“Fiyah kena balik cepat tahu. Liya dan papa tak ada kawan kat sini,” kata Aliya sambil menggenggam erat jemari gadis itu. Afiyah hanya tersenyum tanpa membalas.
“Sorry Fiyah. Kali ini papa dah tak boleh tangguh meeting lagi dengan klien papa ini. Dah beberapa kali tangguh papa risau dia tak jadi buat projek dengan papa,” celah Datuk Hashim dengan perasaan bersalah. Dia terpaksa meminta tolong pemandunya Pak Samad untuk menghantar Afiyah balik ke Melaka kerana dia ada urusan kerja yang memang tidak dapat dielakkan pada hari itu.
“Tak apa pa,” balas Afiyah dengan senyuman.
“Fiyah pergi dulu,” katanya sambil memeluk bahu Aliya.
“Jaga diri. Liya tunggu Fiyah tau,” balas Aliya dengan berat hati. Hubungan mereka baru sahaja pulih namun Afiyah sudah mahu kembali ke Melaka. Walaupun gadis itu mengatakan yang dia akan kembali namun jauh di sudut hatinya dia sukar untuk percaya kata-kata gadis itu. Gadis itu masih terluka. Sudah pasti dia perlukan masa yang lama untuk merawat hatinya.
“Jaga diri Fiyah. Kirimkan salam papa pada aunty Brenda,” pesan Datuk Hashim apabila Afiyah menghulurkan tangannya untuk bersalam. Sayu hatinya melihat penerimaan gadis itu. Inilah masa yang dia nanti-nantikan.
Syukur alhamdullillah ya Allah.
“Fiyah!” panggil satu suara dengan nada agak kuat. Ketiga-tiga mereka serentak menoleh memandang pintu pagar yang terbuka luas. Kelihatan Suha dan Rina sedang berjalan masuk menghampiri mereka dengan senyuman. Afiyah tersenyum melihat kedatangan kedua-dua rakannya itu.
Macam lah aku akan pergi selama-lamanya.
Bisik hati kecilnya separuh merungut melihat telatah insan-insan yang disayanginya itu.
“Kenapa lambat?” soal Aliya dengan riak wajah yang tidak puas hati.
“Sorry. Budak seorang ini bangun lambat,” balas Suha sambil menunjuk ke arah Rina.
“Eleh, lambat sikit aje,” kata Rina sambil tersenyum nakal.
“Saya nak berangkat dah ini,” celah Afiyah sambil tergelak kecil. Suha memeluk gadis itu.
“Jaga diri tau. Jangan lupa pula kami kat sini,” pesannya agak sebak.
“Ya makcik. Mana boleh saya lupa,” balas Afiyah separuh mengusik. Suha tergelak kecil diikuti yang lain.
“Kami tunggu Fiyah tau. Jangan pula tak balik sini lagi,” celah Rina turut memeluk gadis itu.
“Okay bos,” balas Afiyah dengan senyuman. Datuk Hashim hanya tersenyum melihat telatah gadis-gadis itu.
“I have to go,” kata Afiyah sebelum melangkah masuk ke dalam kereta papanya.
“Bye Fiyah,” ucap Aliya, Rina dan Suha serentak. Afiyah hanya tersenyum membalas sebelum menaikkan cermin kereta.
Selamat tinggal Johor.
*****
Tan Sri Fakrul menarik nafas perlahan melihat sahabatnya yang termenung selepas klien mereka berlalu.
“Aku minta maaf sekali lagi Shim,” ucapnya dengan nada perlahan. Datuk Hashim menoleh memandang lelaki itu.
“Sudah lah Rul. Tak ada sesiapa yang bersalah dalam hal ini. Kita sebagai ibu bapa tak patut menghukum mereka kerana kita tak tahu apa sebenarnya yang berlaku antara mereka bertiga. Saya sayang anak-anak saya. Saya juga sayangkan Eij. Kita lupakan apa yang berlaku. Saya tak nak hubungan kita pula yang retak. Saya dah serik Rul,” balas Datuk Hashim dengan senyuman. Tan Sri Fakrul mengangguk tersenyum.
“Eij kat London okay ke? Saya agak terkejut bila dia beritahu akan ke London hari itu. Kalau lah dia beritahu awal-awal, memang saya tak nak lagi dia berhijrah,” sambung Datuk Hashim agak kecewa apabila menjadi orang terakhir yang tahu lelaki itu akan kembali ke London.
“Dia okay. Dengan kami sendiri pun sehari sebelum berangkat itu baru Eij buka mulut beritahu. Nak halang dah tak guna sebab dia dah beli tiket. Lagipun Pakciknya kat sana pun beria nak Eij balik sana,” beritahu Tan Sri Fakrul sambil mengeluh perlahan. Walaupun agak geram dengan tindakan anak lelakinya itu namun hatinya tetap sayu apabila Eijaz pergi buat kali kedua meninggalkan dia dan isterinya. Datuk Hashim mengangguk faham.
“Fiyah pun dah balik Melaka. Katanya tak lama kat sana tapi tak tahu lah kenapa saya tak sedap hati. Kalau dia tak balik bulan depan saya mungkin akan ke sana dengan Liya,” beritahunya turut melepaskan keluhan berat.
“Brenda masih ada kat sana?” tanya Tan Sri Fakrul.
“Ada. Sebab itu saya berani benarkan Fiyah balik seorang,” jawab Datuk Hashim seiring dengan kerutan pada dahinya. Tan Sri Fakrul menepuk perlahan bahu rakannya itu.
“Jangan risau Shim. Fiyah itu kuat. Sama seperti arwah ibuya,” katanya memberi semangat. Dia tahu rakannya itu masih risaukan keadaan Afiyah. Datuk Hashim tersenyum hambar.
Ain memang wanita yang kuat. Cuma aku yang buta.