Home Novel Cinta pilihan terakhir
Bab 34

Berkerut kening Afiyah apabila melihat Dahin yang sedang duduk sarapan bersama dengan papanya dan Aliya.

“Morning,” sapa Dahin dengan senyuman nakalnya memandang Afiyah yang sedang menarik kerusi di hadapannya. Afiyah hanya tersenyum nipis.

“Dahin ajak keluar hujung minggu ini. Pergi pantai Desaru,” beritahu Datuk Hashim sambil menuangkan tea panas ke dalam cawan Afiyah.

“Kita ajak Suha dan Rina sekali,” cadang Aliya yang duduk bersebelahan dengan Dahin. Afiyah membisu sejenak memikirkan ajakan tersebut.

“Ahad Fiyah cuti kan?” tanya Dahin apabila melihat gadis itu langsung tidak mahu membalas pandangannya.

Apa yang berlaku? Aku ada buat silap ke?

“Takkan lah ahad nak kerja pula,” celah Aliya dengan kening berkerut. Datuk Hashim hanya memandang Afiyah yang sedang mengunyah kuih karipap tanpa berkata apa-apa. Setahunya gadis itu tidak akan bekerja pada hari ahad. Afiyah mengeluh perlahan.

“Kalau tak sibuk saya okay aje,” katanya sambil membalas pandangan Dahin tanpa senyuman. Dahin mengangguk tersenyum.

“Kita ajak lah aunty Wiyah sekali. Esok aunty Wiyah nak datang sini,” beritahu Aliya dengan riak wajah yang teruja. Afiyah agak berdebar mendengar kata-kata Aliya itu. Sejak kembali ke Malaysia dan tahu mengenai cerita sebenar, dia masih belum lagi berkesempatan bertemu dengan wanita itu. Datuk Hashim berdehem perlahan.

“Kita juga boleh ajak aunty Erma sekeluarga. Dahin tak kisah kan?” tanyanya sambil tepat memandang Dahin yang leka memandang Afiyah. Dia sedar dengan telatah anak muda itu. Malah dia sudah lama tahu yang Dahin menyimpan rasa pada Afiyah. Tidak ada halangan bagi pihaknya kerana dia memang senang dengan kehadiran lelaki itu. Dahin menarik nafas dalam. Melihat Afiyah yang membisu membuatnya tidak senang hati.

“Saya okay kalau Fiyah okay,” balasnya sambil memandang tepat wajah gadis itu. Afiyah mengangkat wajahnya membalas pandangan lelaki itu.

Kenapa semua orang macam nak kenakan aku aje?

Bisik hati kecil Afiyah. Dia yang masih tidak mampu melupakan atau memang orang di sekelilingnya sengaja mahu mengujinya?

“Kalau Fiyah…,”

“Saya okay,” pintas Afiyah akhirnya. Dia mencapai tisu sebelum bangun dan terus beredar. Dahin mengeluh dalam diam. Aliya menyentuh bahu lelaki itu.

“Tak apa Dahin. Fiyah okay itu,” katanya dengan senyuman. Dia cuba menyakinkan Dahin walaupun dalam masa yang sama dia sebenarnya masih ragu-ragu. Bukan sebab Afiyah tetapi dirinya sendiri.

Liya, kau itu yang kena kuat!

“Dahin jangan kecil hati dengan Fiyah ek,” celah Datuk Hashim dengan senyuman.

“Tak uncle. Dahin tak ada pun perasaan itu melainkan perasaan sayang,” balas Dahin dengan berani.

“Gatal!” usik Aliya. Datuk Hashim tergelak kecil.

“Uncle tunggu Dahin aje ini,” balasnya dengan senang hati. Dahin tersenyum nipis.

“Dahin tahu uncle okay. Cuma yang seorang itu Dahin tak yakin. Entah lah uncle. Ada masa itu Dahin rasa Fiyah dah boleh terima Dahin. Tapi ada masa itu juga Fiyah secara terang menolak Dahin. Rasa dah macam main tarik tali dengan Fiyah,” luahnya dengan senyuman hambar.

“Fiyah pernah kecewa Dahin. Beri dia masa,” balas Datuk Hashim. Aliya hanya mengangguk mengiyakan kata-kata papanya.

“Dahin faham uncle. Sebab itu Dahin masih setia menunggu Fiyah sampai saat ini,” balas Dahin dengan senyuman.

“Terima kasih kerana memahami anak uncle,” ucap Datuk Hashim agak terharu dengan kata-kata lelaki itu. Dia mula nekad untuk membantu lelaki itu. Dia yakin Dahin boleh bahagiakan Afiyah.

*****

Aliya bersandar pada kerusinya sambil merenung kuntuman bunga ros yang berselerak di atas mejanya.

“Hoi!” tegur satu suara. Berkerut kening Aliya memandang Rina yang tersengih di muka pintu bilik pejabatnya.

“Tak reti ketuk pintu ke Cik Rina?” soalnya geram. Rina tergelak besar sebelum melangkah masuk. Dia menarik kerusi di hadapan gadis itu.

“Dah lama aku tak melawat kau. Sihat ke? Suha ada datang tak?” soal Rina sambil mencapai kuntuman bunga ros di depannya.

“Kau itu yang sibuk memanjang. Dah dua minggu tak datang jenguk aku. Suha ada aje datang melawat aku,” beritahu Aliya separuh merungut.

“Sorry. Aku banyak urusan lah. Kau tahu kan aku nak kahwin. So, kau sihat ke ini?” soal Rina semula.

“Tahu. Aku macam ini lah. Okay aje,” balas Aliya dengan senyuman.

“Maksud aku dalaman itu. Hati cik Liya itu,” kata Rina dengan senyuman nipis.

“Aku tak faham lah,” balas Aliya dengan kening berkerut.

“Aku dengar Fiyah kerja dengan Eijaz sekarang ini,” kata Rina malas mahu bertapis lagi. Aliya terdiam mendengar kata-kata sahabatnya itu.

“Aku cuma nak pastikan yang kau itu dah move on,” sambung Rina sambil memandang tepat wajah gadis itu. Dia bukannya sengaja ingin menyakiti hati Aliya. Cuma sebagai kawan, dia tidak mahu lagi gadis itu melakukan kesilapan yang sama. Aliya tergelak kecil.

“Kalau aku tak move on, dah lama aku pinang Eij itu,” balasnya separuh bergurau. Rina menarik nafas lega.

“Aku bukan apa Liya. Aku sayangkan kau. Aku sayang Fiyah dan Suha. Aku sayang persahabatan kita. Aku harap sangat selepas ini tak ada lagi perkara yang berlaku boleh mengganggu gugat hubungan persahabatan kita,” katanya dengan senyuman hambar. Aliya tersenyum mengangguk.

“Aku faham Rina. Kau jangan risau. Insya Allah tak akan ada,” balas Aliya sambil menyentuh jemari gadis itu.

Mungkin aku masih tak mampu lupakan dia. Tapi aku percaya, perpisahan adalah pilihan yang tepat buat aku dan dia.

*****

Afiyah melangkah masuk ke dalam kereta lelaki itu dengan berat hati. Dahin tersenyum sebelum memulakan perjalanan.

“Puas hati?” soal Afiyah separuh menyindir. Sakit hatinya melihat senyuman nakal lelaki itu.

“No. Selagi Fiyah tak jadi milik Dahin selagi itu Dahin tak puas hati,” balasnya masih dengan senyuman. Afiyah mendengus perlahan sambil membuang pandang ke luar cermin.

“Saya malas nak ulang ayat yang sama Dahin,” katanya dengan nada perlahan.

“Tak apa. Tak payah ulang. Dahin tahu yang Fiyah masih tak bersedia lagi. Dahin dah ambil keputusan akan tunggu sehingga Fiyah benar-benar bersedia,” balas Dahin sambil memandang sekilas ke arah gadis itu. Afiyah mengeluh pula.

“Awak memang jenis tak faham bahasakan?” soalnya kini menoleh memandang lelaki itu dengan kening berkerut. Dahin tergelak kecil.

“Nampaknya awak dah faham saya,” jawabnya tanpa memandang Afiyah. Afiyah menggigit bibir geram dengan sikap lelaki itu.

“Berhenti kat sini. Lain kali tak payah nak bodek papa semata-mata nak hantar saya. Saya tak suka,” katanya dengan nada tegas. Dahin hanya tersenyum sambil memberhentikan keretanya di bahu jalan.

“Petang nanti saya tunggu Fiyah kat sini,” pesannya sebelum Afiyah keluar dari keretanya. Afiyah tidak membalas kata-kata lelaki itu. Dahin memerhatikan sahaja langkah gadis itu yang semakin menjauh. Dia menarik nafas dalam. Suka atau tidak dia kini sudah nekad. Afiyah akan jadi miliknya.

*****

“Minggu depan ini ingat nak buat majlis kecil untuk sambutan hari jadi Eij. Sebenarnya Eij kata tak payah tapi kau faham aje lah Erma itu macam mana. Kalau boleh nak buat kat hotel,” beritahu Tan Sri Fakrul sambil menggeleng perlahan. Datuk Hashim hanya tergelak kecil.

“Tak apa lah. Bukannya selalu. Tapi elok lah itu. Lagipun kami juga dah lama tak bertandang. Sebenarnya minggu depan aku cadang nak pergi bercuti dengan kamu sekeluarga. Kebetulan Wiyah sekeluarga akan datang Johor. Boleh lah kita pergi sama-sama sambil mengeratkan hubungan silahturahim,” katanya separuh mengajak.

“Wiyah kakak arwah Sofea ke?” soal Tan Sri Fakrul yang memang mengetahui apa yang berlaku dengan sahabatnya itu. Datuk Hashim mengangguk. Fikirannya melayang mengingatkan Afiyah. Dia sebenarnya agak risau. Walaupun dia tahu gadis itu sudah melupakan Daffa, dan Daffa pula sudah bertunang namun masih ada saja kegusaran yang timbul di dadanya.

“Fiyah okay ke?” tanya Tan Sri Fakrul dengan kening berkerut. Seingatnya sahabatnya itu pernah memberitahu mengenai hubungan Afiyah dan Daffa yang tidak kesampaian disebabkan oleh Datin Isnawiyah.

“Insya Allah, Fiyah okay,” balas Datuk Hashim dengan senyuman walaupun hatinya sendiri ragu-ragu dengan jawapannya.

“Aku dah anggap kau sekeluarga macam keluarga aku sendiri. Aku cuma nak kau berhati-hati Shim. Jangan biarkan Fiyah itu lari lagi,” kata Tan Sri Fakrul separuh menasihati.

“Insya Allah, perkara itu tak akan berlaku lagi Rul. Fiyah sekarang bukan Fiyah yang dulu lagi. Walaupun sikapnya masih agak kasar namun hatinya lembut sama seperti arwah ibunya,” balas Datuk Hashim dengan senyuman. Tan Sri Fakrul mengangguk tersenyum. Dia agak lega mendengar kata-kata sahabatnya itu.

*****

Afiyah membuka kasut tumit tingginya sambil meneliti jari-jari kakinya yang kemerahan. Hujung kakinya pula sudah berdarah. Eijaz yang duduk berdepan dengannya langsung tidak diendahkan. Dia sebenarnya masih geram dengan lelaki itu. Lelaki itu tiba-tiba membawanya ke tapak binaan tanpa memberitahunya terlebih dahulu sehinggakan dia tidak sempat membeli kasut yang sesuai untuk dipakainya di kawasan tersebut.

“Boleh saya bantu bos?” celah Ishika yang simpati melihat keadaan Afiyah.

“Awak boleh keluar,” celah Eijaz tanpa sempat Afiyah menjawab. Ishika mengangguk sebelum berlalu keluar. Afiyah mengangkat wajahnya memandang lelaki itu.

“Puas hati?” soalnya separuh menyindir. Ikutkan hatinya mahu saja kasut tumit tingginya itu dilemparkan ke arah lelaki itu. Biar wajah kacaknya berparut. Eijaz berdiri dan berjalan menghampirinya tanpa menjawab soalannya. Dia duduk berteleku di hadapan Afiyah. Berkerut kening Afiyah memandang tingkah laku lelaki itu.

“Jangan sentuh!” larangnya kerana sudah dapat meneka apa yang akan dilakukan oleh lelaki itu.

“Boleh tak duduk diam aje?” tanya Eijaz separuh meminta. Dia mengeluarkan ubat sapu dari dalam poket kotnya. Berkerut kening Afiyah memandang lelaki itu.

Sempat pula mamat ini belikan aku ubat sapu.

“Tak payah lah. Saya boleh sapu sendiri. Nak tunjuk baik lah itu lepas dah kenakan saya,” sindir Afiyah sambil mengangkat kakinya ke atas sofa. Eijaz menarik nafas dalam. Dia turut bangun dan duduk disebelah Afiyah. Afiyah ingin menurunkan semula kakinya namun ditahan oleh Eijaz.

“Awak ini degil lah. Saya nak jawab apa dengan uncle Shim bila uncle lihat kaki awak macam ini?” soal Eijaz dengan nada agak tegas. Afiyah menarik kakinya dengan kasar dari tangan lelaki itu.

“Biar lah awak kena marah. Memang salah awak pun,” katanya agak keras sebelum bangun untuk melangkah. Baru sahaja dua langkah Afiyah terdduduk semula di atas lantai.

Geramnya aku dengan kasut itu. Boleh pula dia makan tuan. Tapi salah aku juga. No! Ini semua salah mamat poyo itu!

Afiyah mendengus geram. Dia bangun semula. Afiyah agak terkedu apabila ada tangan yang memeluk pinggangnya dan terus mengangkatnya.

“Hei! Awak buat apa ini?!” jeritnya yang terkejut dengan tindakan Eijaz. Dia sempat memeluk leher lelaki itu kerana takut terjatuh. Eijaz tidak menjawab dia langsung meletakkan Afiyah di atas sofa semula dan menarik lembut kakinya. Afiyah menarik nafas dalam cuba menenangkan hatinya.

Sabar Fiyah. Kaki kau itu kena sapu ubat dulu!

Bisik hati kecil Afiyah.

“Lain kali bawa lah kasut yang sesuai bila turun ke tapak,” tegur Eijaz tanpa memandang gadis itu. Tangannya masih sibuk menyapu ubat. Afiyah tersenyum sinis.

“Awak sedar tak yang ini semua salah awak? Awak …”

“Memang semuanya salah saya. Sejak dulu memang semuanya salah saya,” pintas Eijaz kini mula memandang gadis itu. Afiyah terkedu. Eijaz merenung lama gadis itu. Terubat rindu yang cuba disembunyikan.

“Bos, ada orang nak jumpa,” tegur Ishika yang sedang berdiri di muka pintu. Afiyah menoleh memandang setiausahanya dengan kening berkerut. Belum sempat dia bertanya muncul Dahin dengan senyuman manisnya.

“Sayang,” sapanya sebelum senyumannya hilang apabila melihat Eijaz.

“Sorry bos,” ucap Ishika apabila melihat riak Afiyah yang berubah.

“Tak apa,” balas Afiyah sambil memandang jam dinding yang sudah menunjukkan lima setengah petang. Eijaz bangun setelah selesai melakukan kerjanya.

“What’s wrong?” soal Dahin sambil memandang tajam ke arah Eijaz.

“Nampaknya awak kena papah dia,” jawab Eijaz sebelum berlalu keluar dari bilik pejabat Afiyah. Dahin menghampiri Afiyah.

“Saya okay,” kata Afiyah apbila Dahin ingin menyentuh kakinya. Dia dengan pantas menurunkan semula kakinya dari sofa. Dahin menarik nafas perlahan.

“Tolong call Liya,” pinta Afiyah dengan kening berkerut.

“Kenapa tak pakai kasut yang sesuai? Awak turun site ke?” soal Dahin seperti dapat meneka apa yang berlaku.

“Saya tak tahu nak turun site. Tak sempat beli,” balas Afiyah sambil bersandar pada sofa. Dia menoleh mamandang bilik setiausahanya melalui dinding kaca yang memisahkan bilik pejabat mereka. Lampu sudah dimatikan di bilik tersebut.

“Liya tak angkat call,” beritahu Dahin.

“Tak apa saya call Suha,” balas Afiyah sambil cuba mencapai telefon bimbitnya yang berada di atas meja. Dahin pantas mencapai telefon tersebut dan menyerahkannya kepada gadis itu. Afiyah tersengih.

“Saya tak makan awak lah,” kata Dahin separuh mengusik.

“Awak ingat saya percaya?” balas Afiyah dengan senyuman sinis. Tidak ingin dia dipapah oleh lelaki itu sepanjang perjalanan pulang nanti. Lelaki nakal seperti Dahin boleh buat apa sahaja. Afiyah berdehem perlahan sebelum mendail nombor Suha. Dahin hanya tersenyum memandang telatah gadis itu.

Degil minah ini tapi tak sanggup nak marah.

*****

“Kenapa tak balik?” tanya Suha sambil memandang sekilas ke arah Afiyah yang sedang termenung di sebelahnya. Masih terbayang riak terkejut Dahin sebentar tadi apabila Afiyah mengatakan akan bermalam di rumahnya.

“Awak tak suka saya datang ke?” soal Afiyah semula tanpa memandang gadis itu.

“Bukan macam itu. Saya lagi suka kalau cik Fiyah terus tinggal kat sini. Lagipun saya tinggal seorang aje,” balas Suha separuh mengusik sambil menyusun kek lapis di atas pinggan.

“Boleh ke?” tanya Afiyah kini mula memandang Suha. Riak wajahnya agak serius.

“Suha okay aje. Tapi papa awak okay ke?” soal Suha semula dengan senyuman nipis.

“Rasanya tak ada hal kot. Bukannya saya lari balik ke Melaka,” balas Afiyah sambil mengeluh perlahan.

“Kaki itu macam mana?” tanya Suha sambil memandang ke arah kaki gadis itu.

“Okay aje. Mungkin esok dah boleh jalan kot,” jawab Afiyah turut memandang kakinya yang berbalut.

“Sayangnya Dahin kat awak. Balutannya pun nampak kemas dan cantik. Mungkin sebab awak orang yang tersayang,” usik Suha sambil tergelak kecil. Afiyah terkedu mendengar usikan sahabatnya itu.

Dahin? Bukan Da…,

Dia berdehem perlahan.

“Lapar lah. Ada makanan tak?” tanyanya cuba mengubah topik.

“Jom lah. Suha ada masak tadi. Tapi Suha dah makan. Suha teman Fiyah makan aje lah,” jawab Suha sambil membantu gadis itu untuk berdiri.

“Maaf lah menyusahkan,” ucap Afiyah tersengih memandang Suha.

“Tak apa. Cepat lah kahwin supaya tak menyusahkan saya lagi,” balas Suha separuh mengusik.

“Jahat!” balas Afiyah sambil tergelak kecil.

Kahwin? Maybe no.



Previous: Bab 33
Next: Bab 35

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.