Home Novel Cinta pilihan terakhir
Bab 8

Eijaz melangkah masuk ke dalam kelas dengan perasaan tidak menentu. Apabila melihat kerusi Aliya yang kosong menambahkan lagi kebimbangan hatinya. Semalam panggilannya langsung tidak disambut oleh Aliya.

Liya merajuk…,

Eijaz menarik kerusinya sambil melepaskan keluhan berat.

“Kau okay ke?” soal Kamal rakannya yang duduk bersebelahan dengannya. Eijaz hanya mengangguk dengan senyuman hambar.

“Biar betul kau ini. Macam tak ada semangat aje aku tengok,” kata Kamal agak tidak berpuas hati dengan anggukan lelaki itu.

“Aku okay. Petang nanti aku tak dapat ikut korang. Aku ada hal,” balas Eijaz dengan senyuman.

Nampaknya aku tak ada pilihan lain.

Tanpa sedar dia mengeluh lagi. Kamal hanya mengangguk. Dia ingin bertanya lagi namun dia melupakan hasratnya itu apabila melihat Eijaz yang mula meletakkan kepalanya di atas meja.

Tak nak diganggu lah itu.

*****

Dahin memeluk bahu gadis itu. Aliya hanya tersenyum hambar.

"Liya dah okay?" soal Dahin agak risau melihat keadaan gadis itu.

"Okay? Nampak Liya okay ke?" soal Aliya pula dengan nada sinis. Dahin sekadar tersengih.

"Sorry. Nak lepak dengan Dahin tak hari ini? Kita boleh pergi tempat biasa," ajaknya. Dalam diam dia sebenarnya ada niat lain. Sejak semalam fikirannya tidak tenang apabila teringat semula Afiyah menyebut nama lelaki itu.

"Tak ada tempat lain ke?" berkerut kening Aliya memandang lelaki itu. Tempat biasa yang disebut oleh lelaki itu adalah rumahnya sendiri. Dahin tergelak kecil.

"Okay fine. Liya nak pergi mana?" soalnya mengalah. Aliya tersenyum mendengar soalan lelaki itu.

"Dahin tengah buat drama ek?"

"Dahin serius lah," balas Dahin sambil menarik hidung mancung gadis itu.

"Sakit lah!" Aliya menepis tangan lelaki itu dan menyentuh hidungnya yang terasa perit.

"Liya sebenarnya malas nak keluar hari ini. Tapi nak balik rumah lagi lah Liya tak suka. Perempuan tak guna itu selalunya balik awal," beritahunya sambil mendengus geram. Dahin terdiam mendengar kata-kata gadis itu.

"Ikutkan hati, Liya memang nak halau perempuan itu. Tapi bila ingatkan papa, Liya tak sampai hati pula. Perempuan itu dah keterlaluan. Ada ke patut dia buat papa nangis? Tak derhaka namanya macam itu," sambung Aliya masih tidak berpuas hati.

"Cuba Liya dan Fiyah bincang baik-baik perkara ini," Dahin mencadangkan.

"No. Tak nak. Liya benci dengan perempuan itu. Jangan harap Liya akan berbaik dengan perempuan itu sebelum perempuan itu minta maaf dengan papa,” balas Aliya dengan nada tegas.

“Tak nak lah cakap pasal perempuan gila itu lagi. Jom. Masa rehat dah nak habis ini," kata Aliya lagi sambil bangun dan mula beredar. Dahin mengikut saja langkah gadis itu. Dalam diam dia mengeluh perlahan.

*****

Suha hanya mengikut langkah pantas Afiyah tanpa berkata apa-apa.

"Suha tunggu kat sini tau. Saya jumpa mamat sewel itu dulu," arah Afiyah sambil menghulurkan begnya kepada gadis itu.

"Okay bos. Good luck," balas Suha separuh mengusik. Dia menyambut beg yang dihulurkan oleh gadis itu. Bulat mata Afiyah membalas pandangan gadis itu. Dia menarik nafas perlahan sebelum berlalu menghampiri Eijaz yang berada di tengah gelanggang. Suha tersenyum memandang dari jauh. Apabila Afiyah memberitahunya yang dia ingin bertemu dengan Eijaz, dia agak terkejut. Ingin bertanya lebih lanjut dia tidak pula berani apabila melihat wajah sahabatnya yang berang apabila menyebut nama lelaki itu. Afiyah berdiri di depan lelaki itu tanpa senyuman. Wajahnya masam. Dia terpaksa mendongak sedikit disebabkan ketinggian lelaki itu. Eijaz tersenyum memandang gadis itu. Dia tidak menyangka yang gadis itu akhirnya setuju untuk bertemu dengannya setelah beberapa kali dia memujuk.

"Hai," ucap Eijaz dengan perasaan berdebar.

"Dah tak ada kerja lain?" soal Afiyah sinis. Sakit hatinya melihat senyuman lelaki itu. Hidupnya tidak tenang apabila lelaki itu asyik menelefonnya hampir setiap jam hanya semata-mata untuk mengajaknya bertemu.

"Susahnya nak jumpa awak," balas Eijaz tanpa menghiraukan soalan gadis itu. Afiyah menarik nafas dalam.

"Awak nak apa sebenarnya?" soalnya dengan nada keras. Eijaz tersenyum tenang.

"Awak nak tak jadi girlfriend saya?" soalnya sambil memandang tepat pada wajah gadis itu. Afiyah terkedu.

"Saya nak awak jadi girlfriend saya," sambung Eijaz kini dalam nada yang tegas.

"Dah gila?" soal Afiyah dengan perasaan masih terkejut. Dia teringat semula cerita Suha.

Wait. Aliya minat dengan mamat sewel ini!

"Awak ini dah terdesak ke?" soal Afiyah lagi kini dengan suara mendatar.

Kalau Aliya minat dengan mamat ini maknanya aku ada peluang nak kenakan minah itu!

Afiyah menggaru kepalanya. Eijaz hanya membisu tanpa menjawab soalan Afiyah. Cuma bibirnya yang masih tersenyum dan pandangannya yang langsung tidak beralih daripada memandang wajah gadis itu. Afiyah mengangguk perlahan. Akal sihatnya mula dipengaruhi dengan aura negatif.

Ah! Lantak lah apa nak jadi.

"Okay. Tapi sebelum itu, awak kena beri saya seribu sebab kenapa saya perlu jadi girlfriend awak. Kalau awak berjaya, saya akan pertimbangkan permintaan awak itu. One more thing, selagi tak cari sebab itu jangan cuba nak call saya pula. Saya rimas," putus Afiyah dengan tegas sebelum beredar meninggalkan lelaki itu. Eijaz hanya memandang langkah gadis itu berlalu. Dia menarik nafas dalam.

Sorry Fiyah.

*****

"Fiyah serius?" soal Suha terkejut mendengar cerita gadis itu.

"Saya sebenarnya ada rancangan," balas Afiyah sambil tersenyum jahat.

"Rancangan apa?" soal Suha agak berdebar namun dalam masa yang sama turut rasa teruja.

"Ingat tak hari itu? Suha ada beritahu yang Liya suka mamat itu kan?" soal Afiyah sambil cuba mengingatkan gadis itu.

"Ha'ah betul lah. Oh my!" Suha menutup mulutnya. Bulat matanya memandang gadis itu.

"Fiyah nak kenakan Liya ke?" tekanya. Afiyah tergelak kecil sambil menganggukkan kepalanya.

"Kejap. Fiyah ke perempuan itu? Perempuan yang bertuah," soal Suha dengan kening berkerut. Afiyah terdiam sejenak. Ini merupakan kali kedua Suha bertanya soalan yang sama.

Perempuan bertuah? Siapa agaknya perempuan itu? Kejap. Kalau betul perempuan bertuah itu wujud. Kenapa Eij nak aku jadi girlfriend dia pula?

Kening Afiyah mula berkerut.

"Suha pasti ke yang Eij itu ada girlfriend kat kolej ini?" soalnya sambil memandang Suha dengan wajah serius. Giliran Suha pula yang terdiam.

Ya tak ya juga. Aku pun tak pasti sahih ke tak gosip itu.

Suha tergelak kecil. Terangkat kening Afiyah dengan reaksi gadis itu.

"Sebenarnya Suha pun tak pasti. Suha dengar aje dari pelajar lain. Sorry," ucapnya sambil tersengih. Afiyah menarik nafas lega.

Bagus. Kalau perempuan bertuah itu wujud, memang aku rasa bersalah nak teruskan rancangan ini. Sorry Eij. Aku harap kau tak degil sangat. Aku dah bagi peluang hari ini untuk kau fikir semula.

Afiyah mengeluh dalam diam.

Perlu ke aku libatkan semua orang?

Suha hanya memandang Afiyah yang mula termenung. Sejujurnya dia masih terkejut dengan rancangan gadis itu. Dia tidak dapat membayangkan sekiranya rancangan gadis itu diteruskan.

Dah lah Liya minat gila dengan mamat itu. Ditambah pula hubungannya yang kurang baik dengan Fiyah. Aku rasa perang dunia ketiga akan mula di kolej ini.

Suha menarik nafas dalam.

*****

Afiyah bersandar tenang pada kepala katilnya. Permintaan Eijaz sebenarnya masih mengganggu fikirannya. Dia rasa bersalah dengan lelaki itu.

Eij tak salah apa pun. Yang salah adalah bila Aliya minat dengan Eij. So, secara tak langsung Eij pun bersalah sebab…,ahh!

Afiyah menendang bantal yang berada di hujung kakinya.

Eij tak ada kena mengena dalam hal ini. Dia bukannya kenal Aliya pun.

Afiyah mengeluh perlahan.

Aku minta maaf Eij. Aku berharap sangat esok kau dah ubah fikiran.

Kata Afiyah dalam hati dengan penuh harapan. Dia tidak jadi menutup lampu apabila mendengar pintu biliknya diketuk perlahan.

Lah…,aku baru aje nak tidur.

Afiyah turun dari katil menuju ke arah pintu. Dia tersengih apabila wajah Mak Isma yang menyapa pandangannya.

"Mak Isma rupanya. Masuk lah. Lah, saya dah makan kat kolej tadi dengan kawan. Kenapa nak susah-susah pula ini. Kalau ya pun Fiyah lapar, Fiyah boleh aje turun kat bawah," berkerut kening Afiyah memandang Mak Isma yang sedang meletakkan makanan di atas meja.

"Mana ada susahnya. Lagipun papa kamu yang suruh Mak Isma hantar makanan ini. Papa itu risaukan kamu Fiyah," beritahu Mak Isma dengan senyuman. Dia menepuk lembut bahu Afiyah sebelum berlalu keluar. Afiyah hanya memandang makanan yang terhidang di atas meja belajarnya.

Paparisau?

Afiyah tersenyum sinis. Dia berlalu ke katilnya semula. Selimutnya ditarik sehingga hampir menutupi seluruh tubuhnya.

So what??

*****

Eijaz melangkah menghampiri Puan Sri Erma yang sedang duduk bersendirian di halaman rumah yang menempatkan taman mini yang direka sendiri oleh wanita itu sejak dia masih kecil.

“Mama,” sapanya sambil mengambil tempat di sisi wanita itu.

“Tak tidur lagi?” soal Puan Sri Erma dengan senyuman.

“Tak mengantuk lagi. Mama, Eij nak beritahu mama sesuatu ini.”

“Apa dia?” tanya Puan Sri Erma dengan lembut. Eijaz tersenyum.

“Eij dah mula sayang kat Fiyah,” beritahunya agak berdebar. Puan Sri Erma terkedu.

"Eij, mama rasa itu tak lucu," katanya dengan nada serius. Eijaz tersenyum kecil.

"Kalau Eij kata yang Eij memang serius, mama percaya tak?" tanyanya. Semakin berkerut kening Puan Sri Erma mendengar pertanyaan anak lelakinya itu.

"Mama tak suka Eij mainkan anak dara orang macam ini. Apa lagi Fiyah atau Liya," balasnya dengan nada tegas. Eijaz tersengih.

"Eij gurau aje lah mama. Tapi kalau betul Fiyah jadi girlfriend Eij, mama suka tak?" soalnya lagi sengaja mahu melihat reaksi wanita itu.

"Habis itu Liya macam mana? Eij balik Malaysia pun sebab Liya tau. Peluang yang ada kat sana Eij lepaskan macam itu aje tanpa fikirkan masa depan Eij sendiri. Mama dan papa diam aje selama ini sebab tahu Eij memang dah lama sayangkan Liya. Tapi mama tak boleh terima bila Eij buat perangai macam ini. Eij tak kasihankan mama ke?" soal Puan Sri Erma mula geram dengan anak lelakinya itu. Eijaz terdiam seketika. Jemari wanita itu disentuh lembut.

"I'm sorry mama," ucapnya dengan perasaan bersalah. Puan Sri Erma mengeluh.

"Mama dan papa dah beri Eij peluang untuk tentukan hidup Eij sendiri. Jangan sampai Eij sia-siakan peluang itu. Bijak lah dalam membuat keputusan. Jangan terlalu ikutkan kata hati," nasihatnya lembut. Eijaz tersenyum hambar sambil mengangguk perlahan.

Thank you mama. But I’m really sorry. Kali ini Eij masih nak ikut kata hati.



Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.