Home Novel Cinta pilihan terakhir
Bab 13

Datuk Hashim menolak pintu bilik Aliya yang tidak berkunci. Kelihatan gadis itu sedang termenung di meja belajarnya.

“Boleh papa masuk?” tanyanya dengan nada lembut. Aliya berpaling menoleh.

“Masuk lah pa,” jawabnya dengan senyuman hambar. Datuk Hashim melangkah masuk sambil berjalan perlahan menghampiri gadis itu.

“Kenapa gaduh dengan Fiyah?” tanyanya dengan kening berkerut.

“Perempuan itu dah melampau pa. Dia boleh kata nak bunuh Liya depan papa. Liya dah tak tahan. Liya nak papa hantar perempuan itu balik semula ke Melaka. Kalau tak, Liya akan keluar dari rumah ini!” balas Aliya separuh mengugut.

“Aliya!” Datuk Hashim menyentuh dadanya yang terasa pedih.

“Fiyah itu pun anak papa juga. Kakak Liya. Kenapa susah sangat nak berbaik dengan Fiyah? Papa tak suka Liya cakap macam itu dengan Fiyah. Lagi satu, papa tak nak ada sesiapa pun antara kamu yang keluar dari rumah ini!” sambungnya dengan nada tegas.

“Papa selalu menangkan perempuan itu. Papa ada tanya perempuan itu apa dia buat kat Liya? Papa dah lupa yang perempuan itu tak pernah anggap papa ini papa dia? Come on papa. Perempuan itu buat silap papa boleh aje pejam mata. Kalau Liya yang buat silap, papa tak pernah tak tegur Liya. Papa memang tak adil! I hate you!” kata Aliya separuh menjerit. Dia bangun lantas berlari keluar dari bilik. Datuk Hashim terduduk lemah di atas lantai.

Maafkan papa, Liya.

*****

Suha menghampiri Afiyah yang sedang termenung. Dia memandang sekeliling. Masih sedikit pelajar yang sampai awal pagi itu.

"Awal Fiyah masuk kelas," tegurnya sambil menarik kerusi. Afiyah hanya tersenyum hambar sambil memandang sekilas ke arah gadis itu. Suha mengeluh perlahan. Dia menyentuh bahu gadis itu.

"Fiyah," panggilnya lembut.

"Saya tak tahu sampai bila saya nak hidup macam ini Suha," kata Afiyah dengan suara yang perlahan hampir tidak kedengaran.

"Bahagia itu pilihan Fiyah," balas Suha sambil memandang tepat wajah gadis itu.

"Kalau macam itu, saya akan kembali semula ke Melaka. Di sini saya tak pernah rasa bahagia. Saya terluka dan rasa berdosa dengan semua orang," balas Afiyah tanpa memandang wajah gadis itu.

"Fiyah, saya bukannya nak masuk campur dengan masalah keluarga awak. Tapi sebagai kawan, saya nasihatkan awak supaya tinggal lah dulu dengan papa awak dan Liya. Betulkan dulu semuanya sebelum kembali. Kalau awak nak balik sekarang, masalah tak akan pernah selesai. Awak tak akan tenang sebab kebahagiaan yang awak nak itu tak akan datang tanpa kasih sayang. Saya tahu awak faham dengan apa yang saya maksudkan," nasihat Suha dengan ikhlas. Dia tahu jauh di sudut hati gadis itu ada kekesalan yang cuba menyelit namun mungkin kerana dendamnya yang lebih kuat maka gadis itu menafikan sekerasnya perasaan bersalah itu. Afiyah terdiam mendengar nasihat gadis itu. Suha menyentuh jemari Afiyah.

"Mungkin saya tak faham Fiyah. Sebab saya tak lalui apa yang Fiyah dah lalui. Tapi kita berdua memang mempunyai tujuan yang sama. Nak hidup bahagia dalam dunia yang sementara ini," sambungnya dengan senyuman. Afiyah hanya memandang gadis itu tanpa berkata apa-apa. Dia mengeluh lagi dalam diam.

Bahagia...?

*****

Eijaz memandang sekilas Aliya yang sedang termenung di mejanya.

“Kau nak lunch apa?” soal Kamal sambil memandang rakannya yang sedang sibuk memasukkan bukunya ke dalam beg.

“Kau pergi aje lah. Aku nak jumpa Fiyah,” jawab Eijaz tanpa memandang.

“Rindu ke?” usik Kamal dengan senyuman nakal. Eijaz hanya tersenyum.

Rindu? Mungkin.

Kamal mencebik memandang senyuman lebar rakannya itu.

“Wei, aku dengar Aliya dan Afiyah itu adik beradik. Betul ke? Kau tahu tak pasal benda ini?” tanyanya sambil memandang Aliya yang duduk di bahagian belakang kelas. Eijaz terkedu mendengar pertanyaan lelaki itu.

“Tak serupa pun,” komen Kamal masih memandang Aliya.

“Kalau ya pun tak payah lah tenung anak dara orang macam itu,” balas Eijaz dengan nada agak keras. Sakit pula hatinya apabila melihat Kamal yang ralit merenung Aliya. Berkerut kening Kamal memandang rakannya itu.

“Aku pergi dulu,” kata Eijaz lantas berlalu tanpa memberi peluang untuk Kamal bersuara. Kamal hanya menggeleng melihat langkah laju Eijaz menuju ke pintu utama kelas.

Tak faham aku dengan mamat ini.

*****

Eijaz mengambil tempat di sebelah gadis itu. Afiyah hanya memandang sekilas lelaki itu sebelum menumpukan semula perhatiannya pada buku di hadapannya.

"Fiyah," panggil Eijaz dengan tenang.

"Nak apa?" soal Afiyah tanpa memandang lelaki itu.

"Dah okay?" soal Eijaz tanpa menjawab.

"Saya ada hak untuk tak beritahu awak. Awak tak payah nak tunjuk yang awak itu care sangat," balas Afiyah sinis.

"Saya memang care dengan awak. Hati saya tak pernah menipu," kata Eijaz dengan wajah serius.

"Nak cakap pasal hati pula? Fine. Awak nak sangat saya jadi girlfriend awak kan? Okay, saya akan tunaikan permintaan awak itu. Tapi awak kena beritahu saya seribu alasan yang saya nak itu. Apa dia?" tanya Afiyah kini membalas pandangan lelaki itu.

Mamat ini, aku baru aje nak tenangkan hati dah menyibuk kat sini. Tak nak mengalah ek. Siap lah.

Eijaz tersenyum mendengar pertanyaan gadis itu.

“Sebab awak adalah Ainun Afiyah. Kalau Fiyah nak sejuta alasan pun, jawapan Eij tetap sama. Sebab awak Ainun Afiyah,” jawabnya dengan senyuman penuh makna. Berkerut kening Afiyah membalas pandangan Eijaz.

“Awak ini kenal saya ke?” soalnya agak takut mendengar jawapan lelaki itu. Eijaz tergelak kecil.

"Awak kena beri saya peluang itu Fiyah. Peluang untuk kenal awak dengan lebih dekat," balas Eijaz tenang. Afiyah menarik nafas dalam. Wajah Aliya mula terbayang di matanya. Dia tersenyum sinis.

Okay. Kalau itu yang awak nak, saya dengan hati terbuka akan tunaikan permintaan awak, Eij.

Afiyah menutup buku di hadapannya lantas bangun dari kerusinya. Dia memandang Eijaz.

“Awak lulus,” katanya ringkas sambil mencapai beg sandangnya. Eijaz terkedu mendengar jawapan gadis itu.

“Tapi hari ini awak tak dibenarkan untuk mengekori saya,” sambung Afiyah separuh mengarah sebelum berlalu. Eijaz hanya tersenyum memandang langkah gadis itu.

Fiyah, awak buat saya berdebar.

*****

Langkah Afiyah terhenti apabila melihat ada seseorang yang duduk di kerusi miliknya. Lelaki itu berpaling memandangnya. Afiyah terkedu.

"Fiyah," Suha berdiri dan berjalan ke arahnya dengan senyuman lebar.

"Mesti Fiyah dah kenal kan? Dia dah beritahu kami," katanya sambil tergelak kecil. Afiyah memandang Suha.

"Beritahu apa?" soalnya agak berdebar.

"Beritahu yang Fiyah ini kawan baik dia lah. Jom, dia dah lama tunggu Fiyah tau," beritahu Suha sambil menarik lengan gadis itu namun Afiyah pantas menepis. Suha agak terkejut dengan tindakan gadis itu. Afiyah pantas menggeleng. Daffa bangun dari kerusi lantas berjalan perlahan menghampiri.

"Jangan dekat!" kata Afiyah sambil mengangkat tangan kanannya. Suara kerasnya menarik perhatian pelajar yang berada di dalam kelas.

"Fiyah," panggil Daffa perlahan. Rindunya terubat saat memandang raut wajah yang sering mengganggu lenanya itu.

"Awak jangan berani nak dekat dengan saya. Awak buat apa kat sini? Ini bukan tempat awak. Awak sepatutnya tak berada kat sini!" marah Afiyah yang sudah tidak mampu menahannya lagi. Matanya mula berkaca.

"Fiyah, I miss you," ucap Daffa agak sebak.

"Don't you dare!" balas Afiyah separuh menjerit. Air matanya mula menitis perlahan. Dia pantas bergegas keluar semula dari kelas. Daffa ingin mengejar langkah gadis itu namun Suha pantas menahan.

"Saya tak tahu apa yang berlaku. Tapi bukan sekarang. Biarkan Fiyah tenang dulu," nasihat Suha dengan rasa terkejutnya yang masih belum hilang. Daffa mengeluh perlahan. Dia akhirnya membatalkan niatnya untuk mengejar Afiyah. Dahin yang memerhati sedari tadi menarik nafas perlahan. Dia bangun dari kerusi dan berlalu keluar dari kelas.

*****

Eijaz memandang sekilas ke arah Aliya yang sedang menarik kerusi di sebelahnya.

Mana pula perginya si Kamal ini.

Bisiknya geram dalam hati.

"Eij, I'm sorry," ucap Aliya perlahan.

"For what?" soal Eijaz tanpa memandang gadis itu. Pandangannya masih tertumpu pada skrin telefonnya. Aliya mengeluh perlahan. Dia menarik telefon bimbit lelaki itu.

"Look at me Eij," arahnya dengan nada tegas. Eijaz tersenyum sinis. Dia menurut permintaan gadis itu. Kedua-duanya saling berpandangan tanpa senyuman.

"I'm sorry," ucap Aliya lagi kini dengan nada suara yang agak rendah.

"I'm afraid I can't," balas Eijaz sambil memandang tajam ke arah gadis itu.

"Eij," kata Aliya kurang percaya dengan kata-kata yang baru keluar dari mulut lelaki itu.

"Boleh, tapi Liya kena setuju dengan Eij. Hubungan kita ini bukan rahsia lagi," balas Eijaz dengan tegas. Aliya menggigit bibirnya.

"Fine. Liya setuju. Tapi selepas rancangan Liya berjaya. Eij faham kan maksud Liya," kata Aliya akhirnya. Eijaz memandang gadis itu dengan perasaan kurang percaya.

"Dalam situasi sekarang ini pun Liya masih nak teruskan rancangan Liya itu? Liya sedar tak apa yang Liya sedang buat ini? Liya semakin buat Eij hilang rasa percaya pada Liya," balasnya dengan perasaan kecewa. Eijaz mengambil semula telefonnya dari tangan gadis itu.

"Selagi Liya tak batalkan rancangan Liya itu, Eij pun tak mampu nak maafkan Liya. Eij sayangkan Liya lebih dari segalanya. Tapi Liya jangan silap. Eij juga ada perasaan. Liya buat Eij dah macam tak ada perasaan. Liya memang tak pernah hargai Eij," sambung Eijaz dengan hati yang terluka. Dia bangun lantas berlalu meninggalkan Aliya.

"Eij," panggil Aliya separuh menjerit. Namun Eijaz langsung tidak menoleh. Aliya menghentakkan kakinya dengan kuat. Rina mengurut dadanya perlahan. Dia melangkah perlahan-lahan mengorak langkah ke belakang. Rina tidak mahu Aliya tahu yang dia sudah mendengar semua perbualan antara dia dan Eijaz. Keluar sahaja dari kelas, Rina menarik nafas lega.

Aku masih tak percaya. Aku mimpi ke?

*****

Dahin hanya memandang Afiyah dari jauh. Kelihatan gadis itu sedang tunduk sambil menutup wajahnya dengan tangan. Dahin mengeluh perlahan.

"Kau buat apa kat sini?" soal Suha yang sudah berdiri di sebelahnya. Dahin menoleh memandang gadis itu.

"Kau pula buat apa kat sini?" soalnya kembali tanpa menjawab. Suha tersenyum membalas pandangan lelaki itu.

"Aku cuma nak pastikan Fiyah okay. Kau pula?" soal Suha sambil membesarkan matanya memandang lelaki itu. Dahin terdiam. Cuma pandangannya yang dihalakan ke arah Afiyah. Suha tersenyum lebar.

"Dahin, kau suka Fiyah kan?" soalnya tepat memandang lelaki itu. Dahin menggigit bibir mendengar soalan gadis itu. Suha menggeleng perlahan melihat telatah rakannya itu.

"Kenapa tak beritahu Fiyah? Tapi aku rasa kau dah terlambat. Aku tak tahu apa hubungan sebenar Daffa dan Fiyah. But I'm really sure, ada sesuatu yang istimewa antara mereka berdua," tekanya sambil memandang Afiyah semula.

Siapa Daffa sebenarnya? Aku tak rasa Daffa itu kawan baik Fiyah. Kalau tak kenapa Fiyah menangis?

Suha mengeluh perlahan. Dahin menoleh memandang gadis itu.

"Pastikan dia okay," katanya separuh mengarah sebelum mengorak langkah untuk beredar. Bulat mata Suha memandang langkah lemah lelaki itu.

Amboi mamat ini. Pandai nak arahkan aku pula. Macam lah aku tak tahu.

*****

Terangkat kening Aliya mendengar cerita Suha.

Daim Daffa?

"Aku tak faham, maksudnya budak baru yang bernama Daffa itu bekas kekasih Fiyah ke?" soalnya masih keliru. Suha menarik nafas perlahan.

"Aku tak pasti lagi pasal itu. Emosi Fiyah pun tak stabil lagi. Aku tak sampai hati nak tanya," balasnya dengan riak kebimbangan yang jelas terpancar pada wajahnya. Aliya tergelak kecil.

"Perempuan itu dah balik ke?" soalnya yang agak teruja mendengar cerita mengenai Afiyah.

"Dah," jawab Suha ringkas. Dia kurang senang melihat reaksi sahabatnya itu. Aliya mengangguk dengan senyuman.

"Lelaki itu?" soalnya lagi.

"Aku tak tahu," balas Suha mula geram. Aliya tergelak kecil. Berkerut kening Suha. Dia memandang Rina yang hanya membisu sedari tadi. Gadis itu hanya mengangkat bahu.

"Apa yang lucu sangat Liya?" soal Suha mula hilang sabar.

"Tak ada. Aku balik dulu. Jumpa esok," balas Aliya sambil berdiri. Senyumannya lebar seiring dengan langkahnya. Suha menggeleng perlahan.

"Kau okay ke?" soalnya pada Rina. Dia perasan gadis itu lebih banyak mendiamkan diri hari ini. Tidak seperti hari-hari biasa. Rina mengangguk sambil tersenyum kecil. Suha membalas senyuman gadis itu tanpa berkata apa-apa lagi. Fikirannya melayang mengingat semula wajah muram Afiyah. Gadis itu memutuskan untuk balik awal ke rumah tanpa kembali ke kelas terlebih dahulu. Dia memang tidak menahan tindakan gadis itu kerana risau apabila melihat Afiyah seperti sudah hilang semangat.

Fiyah, siapa Daffa itu sebenarnya?



Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.