Home Novel Cinta pilihan terakhir
Bab 24

Rina hanya memandang gadis yang sedang termenung itu.

“Aku dah tahu cerita sebenar. Liya, cuba beritahu aku, kenapa kau boleh jadi macam ini? Kau dah jadi orang lain Liya. Tak sama dengan orang yang aku kenal dulu. Kenapa?” tanyanya dengan nada yang agak keras. Aliya membalas pandangan gadis itu.

“Kenapa? Aku teruk sangat ke sekarang ini?” soalnya pula. Rina mengeluh perlahan.

“Kita dah lama berkawan. Kau boleh tak sekali ini aje dengar cakap aku,” pintanya dengan perasaan sebak. Dia benar-benar simpati melihat keadaan gadis itu. Aliya tersenyum hambar.

“Tolong betulkan semula keadaan. Aku tak sanggup tengok kau macam ini Liya,” sambung Rina separuh merayu.

“Aku minta maaf kalau aku dah buat kau risau. Aku tahu Rina. Aku dah buat jahat. Aku pun tak sangka yang aku akan bertindak sejauh ini. Tapi dah terlambat. Eij dah buang aku. Aku dah kehilangan dia. Semuanya disebabkan sikap aku sendiri,” balas Aliya sambil menundukkan wajahnya. Air matanya menitis perlahan.

“Aku mengaku Rina. Selama ini aku langsung tak pernah hargai kasih sayang yang Eij berikan pada aku. Aku nampak dan rasa kasih sayangnya namun malangnya aku manusia bodoh yang tak pernah bersyukur ada insan sepertinya yang sayangkan aku lebih dari segala-galanya. Aku memang jahat Rina,” sambung Aliya dengan suara yang agak serak. Rina menyentuh lembut bahu gadis itu.

“Demi Allah yang aku cintakan dia. Tapi aku terlalu takut nak akuinya. Aku takut kehilangan dia Rina. Aku takut bila aku dah akui semuanya dia akan pergi dari hidup aku. Aku tak nak itu berlaku,” kata Aliya lagi sambil mengesat air matanya. Rina melepaskan keluhan berat. Bibirnya terkunci untuk membalas kata-kata gadis itu.

Tapi dah berlaku pun apa yang kau takutkan itu Liya. Semuanya dah terlambat.

Bisik hati kecil Rina dengan perasaan kecewa. Dia akui memang kesal dengan sikap gadis itu.

*****

“Hadiah Fiyah dah beli ke?” soal Afiyah agak teruja membalas pandangan lelaki itu. Daffa hanya tersenyum. Dia pura-pura membelek buku yang berada di atas rak tanpa mempedulikan soalan gadis itu. Afiyah menggigit bibir.

“Tak ingat lah itu,” katanya dengan perasaan kecewa. Dia menarik kasar salah satu buku yang berada di atas rak. Daffa bersandar tenang pada rak sambil memandang gadis itu dengan senyuman nakal.

“Hadiah untuk apa?” soalnya sengaja mengusik. Afiyah menjeling tajam. Dia berlalu ke rak yang lain.

“Sayang…” panggil Daffa lembut sambil mengikut langkah gadis itu. Afiyah berhenti melangkah sambil berpaling memandang lelaki itu.

“Betul tak tahu?” soal Afiyah dengan kening terangkat. Daffa yang sedaya upaya cuba menahan tawanya sedari tadi akhirnya tergelak kecil. Afiyah mendengus geram. Dia menumbuk lembut perut lelaki itu.

“Jahat!” marahnya. Dia pantas berlalu.

“I love you, Ainun Afiyah,” laung Daffa dengan senyuman nakal. Langkah Afiyah terhenti. Dia memandang sekeliling. Beberapa orang yang berada di kedai buku tersebut mula memandang mereka. Afiyah pantas berpaling menuju ke arah Daffa semula.

“Daf!” bisiknya geram sambil memandang sekeliling.

“I love you,” ucap Daffa sambil memandang tepat wajah gadis itu. Wajah Afiyah mula merona merah..

“I love you,” ucap Daffa lagi dengan senyuman nakal.

“I love you too,” balas Afiyah dengan senyuman sambil menjulingkan matanya. Daffa tergelak besar melihat telatah gadis itu.

***

Amylia berdehem perlahan apabila melihat lelaki itu termenung sedari tadi.

“Sorry,” ucap Daffa. Dia mengeluh perlahan. Rindunya dia pada Afiyah.

“Amy dengar Daf akan ke luar negara minggu depan?” kata Amylia separuh menyoal. Walaupun sudah hampir lima bulan peristiwa itu berlalu namun seri di wajah lelaki itu masih seperti dulu. Suram dan kelihatan kosong.

“Ya. Daf nak uruskan cawangan baru papa kat sana,” jawab Daffa tanpa memandang gadis itu. Memandang sahaja laut di hadapan mereka itu membuat fikirannya tidak lari dari memikirkan Ainun Afiyah.

“Fiyah macam mana?” soal Amylia perlahan. Dia ingin tahu adakah lelaki itu masih berhubung dengan Afiyah atau tidak. Daffa membalas pandangan gadis itu.

“Daf dah lama tak ambil tahu pasal dia,” jawabnya dengan suara bergetar.

“Kenapa nak putuskan terus hubungan dengan dia? Daf dan Fiyah memang dah berpisah tapi hubungan itu tak boleh putus macam itu aje. Korang masih boleh berkawan,” kata Amylia agak tidak berpuas hati dengan jawapan lelaki itu. Daffa mengeluh perlahan.

“Daf tak pernah putuskan hubungan dengan Fiyah. Kami memang masih berkawan. Cuma Daf dah lama tak call dia. Daf takut Amy. Daf masih tak mampu lupakan dia,” balasnya dengan perasaan sebak.

“Aunty macam mana?” soal Amylia dengan kening berkerut. Daffa hanya membisu mendengar soalan gadis itu. Amylia mengeluh lagi. Datin Isnawiyah memang terlalu keras hati. Dia simpati dengan lelaki itu. Namun dia juga buntu untuk membantu Daffa lagi.

*****

Puan Sri Erma memandang anak lelakinya itu dengan wajah kurang percaya. Dia mengurut dadanya yang terasa sakit.

“Eij dah gila?” soalnya dengan nada keras.

“Eij tak gila lagi mama. Eij nak mama dan papa masuk meminang Fiyah untuk Eij,” balas Eijaz dengan wajah serius. Puan Sri Erma pantas berdiri.

“Habis itu Liya?” soalnya tajam memandang lelaki itu.

“Kami dah berpisah. Eij dah tak cintakan dia. Selama ini, dia tak pernah walau sekali pun hargai apa yang Eij dah buat untuk dia. Apa yang dia tahu cuma pentingkan diri sendiri,” jawab Eijaz dengan perasaan agak sebak. Dia tunduk meraup wajahnya. Puan Sri Erma menarik nafas perlahan cuba menenangkan dirinya. Dia akhirnya duduk semula di sebelah lelaki itu.

“Mama tak yakin yang Fiyah akan terima Eij,” katanya perlahan. Dia memang marah dengan anak lelakinya itu namun melihat wajah sayu Eijaz membuatnya tidak sampai hati pula untuk memarahinya. Dia percaya mesti ada sebab mengapa anak lelakinya itu bertindak sedemikian.

“Eij pun tak yakin ma. Tapi Eij nak ikat Fiyah. Eij nak Fiyah jadi milik Eij seorang,” balas Eijaz sambil mengangkat wajahnya memandang wanita itu.

“Eij janji. Lepas ini Eij tak minta apa-apa lagi dari mama dan papa. Eij akan ikut semua arahan mama dan papa tanpa bantahan. Cuma Eij mohon sangat permintaan Eij kali ini dapat ditunaikan. Please ma,” sambungnya sambil menyentuh jemari wanita itu. Puan Sri Erma mengeluh berat. Wajah Datuk Hashim, Aliya dan Afiyah silih berganti terbayang di matanya.

“Kenapa boleh putus dengan Liya? Mama ingatkan bila Eij dah beria nak balik sini hari itu, Eij dah serius dengan Liya. Boleh pula Eij kata dah tak cintakan dia,” marahnya kerana masih tidak berpuas hati dengan sikap lelaki itu.

“Sorry ma,” ucap Eijaz dengan perasaan bersalah.

“Bukan dengan mama. Eij patut minta maaf dengan semua ahli keluarga uncle Shim,” balas Puan Sri Erma dengan nada tegas. Eijaz terdiam mendengar kata-kata mamanya itu.

“Perkara ini bukan main-main Eij. Mama tak tahu lagi apa reaksi papa kamu bila tahu hal ini nanti,” sambung Puan Sri Erma sambil mengeluh perlahan. Eijaz tunduk sambil mengenggam erat jemari wanita itu.

Maafkan Eij ma…,

*****

“Kenapa dengan suara itu lain macam aje? Ada yang aunty tak tahu ke?” soal Bienda sambil duduk di atas sofa. Sejak akhir-akhir ini gadis itu sering saja menelefonnya memberitahu mengenai aktiviti hariannya. Namun malam itu dia perasan yang suara gadis itu kedengaran agak lain. Afiyah mengeluh perlahan.

“Fiyah…,” panggil Bienda agak risau mendengar keluhan gadis itu.

“Fiyah ini jahat sangat ke aunty?” soal Afiyah perlahan. Giliran Bienda pula yang terdiam.

“Fiyah kurang ajar dengan papa. Fiyah maki hamun Liya. Fiyah gunakan Eij untuk sakitkan hati Liya. Fiyah…”

“Fiyah, semua manusia akan melakukan kesilapan. Fiyah tak terkecuali,” potong Bienda dengan nada lembut. Afiyah bersandar pada kepala katilnya. Apa yang berlaku antara dia, Aliya dan Eijaz benar-benar membuatnya terjaga dari mimpi ngeri hasil ciptaannya sendiri. Walaupun dia mengatakan tidak terkesan langsung dengan permainan Aliya dan Eijaz, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Rasa bersalah, kecewa dan takut silih berganti menghantuinya. Dia kecewa apabila Eijaz menipunya namun dalam masa yang sama dia juga rasa bersalah kerana mempergunakan lelaki itu untuk menyakiti Aliya. Selain itu dia juga takut sekiranya apa yang berlaku sampai pada pengetahuan keluarga mereka.

“Fiyah, walaupun masa tak akan berulang kembali, tapi kita manusia tak pernah terlambat untuk membetulkan kesilapan yang kita dah buat. Peluang sentiasa ada. Cuma keinginan itu datang dari diri kita sendiri,” nasihat Bienda lagi.

“Fiyah akan cuba aunty,” balas Afiyah dengan nada perlahan.

“Macam itulah Ainun Afiyah yang aunty kenal,” kata Bienda sambil tersenyum manis. Afiyah hanya tersenyum mendengar kata-kata wanita itu.

Dulu dan kini. Aku tak sama ke?

*****

Daffa memandang lama nombor telefon gadis itu. Sejujurnya dia takut akan reaksi Afiyah. Daffa turut risau sekiranya dia akan mengganggu hak orang. Wajah Dahin mula terbayang di matannya. Daffa melepaskan keluhan perlahan. Dia meletakkan semula telefon bimbitnya di atas meja dan menuju ke arah balkoni biliknya.

Agaknya Fiyah tengah buat apa sekarang?

Daffa menarik nafas perlahan.

Ahh…,kenapa susah sangat saya nak lupakan awak, Fiyah.

Daffa meraup wajahnya.

***

“Awak ini degil lah. Biar saya yang ambil,” kata Daffa yang risau apabila Afiyah berdegil mahu memanjat pokok mangga di halaman rumahnya semata-mata hanya kerana si Tompok yang tersadai di atasnya.

“Tak apa, si Tompok ini tak biasa dengan orang lain. Dia biasa dengan saya aje,” balas Afiyah sambil mula memanjat.

“Fiyah awak ini degil lah,” marah Daffa sambil mendongak memandang gadis itu yang sedang memanjat. Afiyah hanya tergelak kecil.

“Awak berdiri aje kat situ. Kalau saya jatu…ahh semut!!.” Afiyah menjerit apabila tangannya digigit oleh sang semut. Tanpa sedar Afiyah mengangkat kedua-dua tangannya dan…

Bussh!

Daffa terkedu. Afiyah terperanjat. Tangannya pantas memeluk leher lelaki itu. Jantungnya berdegup kencang.

“Sa…saya selamat,” katanya sambil tepat memandang wajah lelaki itu. Daffa mengangguk perlahan kerana masih kurang percaya yang dia sempat menyambut tubuh Afiyah sebentar tadi.

“Ehem,”

Daffa melepaskan pelukannya.

“Aduh!” Afiyah menyentuh pinggangnya sambil menjeling tajam ke arah lelaki itu.

“Sorry,” ucap Daffa pantas membantu gadis itu. Puan Rosnidar hanya menggeleng melihat telatah kedua-duanya.

“Daf mari minum. Mama ada masak kuih kegemaran Daf ini,” ajaknya lembut.

“Okay ma,” jawab Daffa sambil tersengih. Dia memandang wajah Afiyah semula.

“Sorry sayang. Tak sengaja,” ucapnya lagi dengan perasaan bersalah.

“Tak nak kawan,” balas Afiyah sambil mula menarik muncung panjang.

***

Daffa mula tersenyum apabila mengenang kembali kenangan tersebut. Rindunya dia dengan kedua-dua wanita itu. Daffa berpaling memandang telefon bimbitnya semula.

Tak salah mencuba Daf.

*****

Datuk Hashim hanya tersenyum memandang Afiyah yang sedang menarik kerusi di hadapannya.

“Morning,” ucap Afiyah dengan senyuman.

“Morning. Senang hati papa bila tengok wajah ceria anak papa pagi ini,” jawab Datuk Hashim dengan senyuman lebar. Afiyah sekadar tersenyum mendengar komen Datuk Hashim sambil mencapai teko di depannya. Dia menuangkan kopi hitam yang masih berasap ke dalam cawan.

“Jarang tengok Fiyah gembira macam ini Datuk. Agaknya Datuk nak dapat menantu kot?” celah Mak Isma separuh mengusik.

“Mana ada makcik,” nafi Afiyah sambil tersengih memandang wanita yang sedang membuat kerjanya di bahagian sinki. Datuk Hashim sudah tergelak besar.

“Alhamdulillah. Tak lama lagi dapat lah papa menantu baru,” katanya turut mengusik.

“Papa,” Afiyah mula tidak senang hati apabila cerita menantu mula timbul.

“Papa bergurau aje,” kata Datuk Hashim apabila melihat wajah gadis itu mula berubah. Dia tidak mahu emosi gadis itu terganggu hanya kerana gurauannya. Afiyah mula tersenyum semula.

“Tahu. Pa, kita bercuti nak?” soalnya separuh mengajak. Datuk Hashim terkedu. Mak Isma yang sedang membuat kerjanya berhenti sebentar sambil berpaling memandang Afiyah.

“Papa tak suka?” soal Afiyah lagi apabila melihat papanya hanya memandangnya tanpa berkata apa-apa.

Aku salah cakap ke?

“Tak…,tak. Papa setuju. Nanti papa semak semula jadual papa. Bila papa dah ada masa, kita pergi,” balas Datuk Hashim dengan perasaan gembira yang sukar untuk digambarkan olehnya. Mak Isma hanya tersenyum melihat telatah lelaki itu. Dia tumpang gembira kerana Afiyah kini sudah boleh menerima Datuk Hashim.

“Nak pergi mana?” soal Aliya yang baru sahaja melangkah masuk ke dapur. Dia menarik kerusi di sebelah Datuk Hashim. Senyuman Afiyah perlahan menghilang.

“Fiyah ajak bercuti. Nanti kita ajak uncle Fakrul, aunty Erma dan Eij sekali,” beritahu Datuk Hashim sekaligus mencadangkan. Hampir tersedak Afiyah apabila mendengar nama Eijaz disebut. Dia meletakkan semula sudu di tangannya. Seleranya hilang.

“Fiyah dah siap,” katanya sambil bangun dari kerusinya lantas berlalu. Datuk Hashim hanya mengangguk sambil memandang langkah Afiyah yang berlalu keluar dari dapur. Aliya diam membisu tanpa berkata apa-apa. Dalam diam dia mengeluh perlahan.

*****

Tan Sri Fakrul menarik nafas perlahan mendengar cerita isterinya itu. Dia meletakkan semula surat khabar di atas meja sebelum memandang Puan Sri Erma.

“Sekarang ini Eij kata dah tak sayang Liya?” soalnya inginkan kepastian.

“Saya tak pasti bang. Dia kata macam itu. Tapi saya tak yakin,” jawab Puan Sri Erma sambil memicit dahinya perlahan.

“Apa dah kena dengan Eij itu? Kata sayang kat Liya tapi nak kahwin dengan Fiyah pula. Budak itu serius ke?” soal Tan Sri Fakrul lagi. Dia masih tidak percaya dengan apa yang baru sahaja didengarinya dari mulut isterinya itu.

“Nak buat macam mana kalau dia nak kahwin dengan Fiyah. Lagipun Fiyah itu baik dan manis orangnya. Saya rasa nak suruh Eij bawa Fiyah ke UK lepas kahwin,” balas Puan Sri Erma sambil bersandar tenang di kerusinya. Terangkat kening Tan Sri Fakrul memandang wanita itu.

“Nampaknya awak dah merancang,” katanya separuh menyindir.

“Saya memang setuju sebab bukan dengan orang lain pun,” balas Puan Sri Erma sambil berdehem perlahan.

“Kita nak kata apa dengan Shim nanti? Kecil hatinya kalau tahu yang Eij nak kahwin dengan Fiyah pula. Sedangkan selama ini Shim tahu yang Eij itu bercinta dengan Liya,” kata Tan Sri Fakrul dengan perasaan bimbang.

“Tak apa biar saya yang cakap perkara ini dengan Shim. Abang jangan risau,” balas Puan Sri Erma dengan senyuman. Tan Sri Fakrul ikut tersenyum. Sudah agak lama isterinya itu tidak menunjukkan riak wajah sedemikian. Gembira dan teruja.

“So, abang setuju?” soal Puan Sri Erma sambil memandang tepat wajah suaminya itu.

“Dah awak suka takkan saya tak suka pula,” balas Tan Sri Fakrul sambil mencapai surat khabarnya semula. Puan Sri Erma tersenyum gembira.

Alhamdullillah.



Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.