Eijaz menghampiri Puan Sri Erma yang sedang menyediakan bahan masakan untuk makan malam.
"Hai mama," sapanya dengan senyuman.
"Hai. Sorry, mama tak siap masak lagi ini. Eij nak minum? Mama boleh tolong buatkan," balas Puan Sri Erma tanpa memandang. Tangannya sibuk mengupas kulit bawang.
"Tak apa Eij tak haus lagi,” jawab Eijaz sambil menarik kerusi.
“Mama tak penat ke balik dari office terus buat kerja rumah? Dah banyak kali Eij suruh mama cari pembantu. Tapi mama degil,” rungut Eijaz.
“Mama masih boleh lah buat kerja. Bukannya susah sangat,” balas Puan Sri Erma sambil tergelak kecil. Eijaz hanya tersenyum menggeleng mendengar jawapan wanita itu.
“Mama, Eij nak tanya sikit boleh tak?” soal Eijaz setelah agak lama mendiamkan diri. Puan Sri Erma memandang sekilas anak tunggalnya itu.
"Apa dia? Pasal Aliya lagi?" soalnya pula dengan senyuman.
"Ainun Afiyah," jawab Eijaz dengan perasaan berdebar. Puan Sri Erma mengangkat wajahnya memandang Eijaz.
"Eij kenal ke dengan Fiyah? Dah jumpa dengan dia?" soalnya ingin tahu.
"Satu kolej dengan Eij. Tak jumpa lagi. Tapi mama tahu tak yang Fiyah dah tinggal dengan uncle Shim?" tanya Eijaz semula. Puan Sri Erma tersenyum.
"Mama tahu. Kenapa tiba-tiba tanya pasal Fiyah pula?" soalnya sambil menyambung semula kerjanya.
“Mama tak pernah pun beritahu Eij pasal Fiyah selama ini," balas Eijaz dengan suara perlahan.
"Sebab Eij tak pernah tanya. Lagipun mama bukannya tahu anak mama ini dah mula tertarik dengan gadis lain selain Liya," jawab Puan Sri Erma separuh menyindir. Eijaz terdiam seketika.
"Arwah mama Fiyah baru aje meninggal tiga bulan yang lepas. Sebab itu uncle Shim bawa Fiyah ke sini. Dulu Fiyah kat Melaka. Tinggal dengan arwah ibunya sejak kecil," beritahu Puan Sri Erma tanpa memandang Eijaz. Eijaz mengangguk perlahan.
"Ejz masih ingat kan yang kita pernah menetap kat Melaka masa Eij kecil dulu? Masa itu mama mengandung Eij. Mama memang agak rapat dengan arwah mama Fiyah. Masa itu arwah mama Fiyah pun sedang mengandungkan Fiyah. Tapi Eij lahir dulu sebelum Fiyah. Eij dan Fiyah memang rapat masa kecil. Tapi bila Eij dah masuk umur 4 tahun kita pun pindah kat sini. Selepas beberapa tahun berlalu, mama agak terkejut bila dengar uncle Shim buat keputusan untuk pindah ke Johor dan tinggalkan arwah dan Fiyah kat Melaka. Masa itu mama dan papa memang agak marah dengan uncle Shim," cerita Puan Sri Erma sambil mengeluh perlahan. Sebak hatinya apabila mengingat semula peristiwa tersebut. Masih jelas di matanya akan wajah tenang Ain Rosnidar apabila setiap kali mendengar maki hamun daripada Sofea isteri pertama Datuk Hashim.
"Apabila kita berpindah ke sini, mama dan papa sibuk mengurus syarikat baru kita. Sebab itu mama terputus hubungan dengan arwah mama Fiyah. Bila Eij tanya pasal Fiyah, mama pun tak tahu nak cakap apa sebab mama pun dah lama tak jumpa Fiyah. Uncle Shim ada juga tunjukkan gambar Fiyah baru-baru ini. She is really beautiful. Sama macam arwah mamanya," sambung Puan Sri Erma dengan senyuman. Eijaz turut tersenyum.
Ya mama. She is really beautiful. Tapi memori aku masih kabur. Aku langsung tak ingat yang aku pernah jumpa dengan Fiyah masa kecil.
"Boleh mama tahu kenapa Eij tiba-tiba tanya pasal Fiyah?" soal Puan Sri Erma sambil melangkah ke sinki.
"Er…,saja. Eij naik atas dulu mama," jawab Eijaz sambil bangun lantas beredar. Puan Sri Erma berpaling memandang kelibat Eijaz yang sudah menghilang di sebalik pintu.
Saja?
*****
Datuk Hashim menarik nafas perlahan sebelum mengetuk pintu bilik Afiyah. Apabila tidak ada jawapan, dia cuba memulas tombol pintu tersebut. Tidak berkunci. Datuk Hashim menolak perlahan pintu bilik Afiyah. Kelihatan Afiyah sedang leka dengan laptopnya. Datuk Hashim menarik nafas dalam sebelum melangkah masuk.
"Fiyah, jom dinner dengan papa dan Liya malam ini," ajaknya dengan suara lembut. Afiyah hanya diam tidak memberi reaksi.
Aduh! Kacau betullah!
Afiyah merungut dalam hati.
"Fiyah, papa tahu Fiyah masih marahkan papa pasal hari itu. Papa minta maaf," ucap Datuk Hashim dengan perasaan bersalah. Afiyah menarik nafas perlahan.
"Kalau Fiyah cuba nak mengelak dari papa dan Liya, sampai bila-bila hubungan kita tak akan baik. Tolong lah. Berikan papa dan Liya peluang. Papa merayu," sambung Datuk Hashim dengan wajah berharap.
"Cara papa cakap macam semuanya salah Fiyah. Sebelum papa buka mulut. Apa kata papa cuba ingat semula kenapa Fiyah berperangai macam ini," balas Afiyah mula hilang sabar. Dia berpaling memandang Datuk Hashim.
"Tapi Fiyah dah janji nak beri papa peluang untuk jadi papa yang baik," balas Datuk Hashim agak sayu. Afiyah tersenyum sinis.
"Papa dah sia-siakan peluang itu. Dah hampir empat bulan Fiyah kat sini. Apa yang papa buat? Papa tak sedar ke? Setiap kali Fiyah dan Liya bertengkar papa asyik menangkan Liya. Memang Fiyah selalu cari pasal dengan Liya. Tapi Fiyah tak buat tanpa sebab. Papa langsung tak nampak kesilapan Liya. Papa percaya aje semua cakap Liya dan salahkan Fiyah. Begini lah pa, kalau papa tak nak bertanggungjawab just hantar Fiyah balik Melaka. Fiyah pun tak sanggup lah nak tinggal dengan papa. Lagi lama Fiyah duduk dengan papa. Lagi banyak dosa Fiyah," balas Afiyah dengan kasar sebelum memandang laptopnya semula. Datuk Hashim melepaskan keluhan berat. Dia melangkah perlahan keluar dari bilik gadis itu dengan perasaan kecewa. Afiyah mengeluh.
I'm sorry mama. Fiyah bukan anak yang baik. Fiyah rasa tak mampu nak tunaikan permintaan mama.
*****
Aliya memerhatikan saja Afiyah yang baru keluar dari rumah. Melihat gadis itu semakin hampir dengannya, Aliya pantas menghalang langkah Afiyah.
"Kau dah kenapa?" soal Afiyah memandang tepat wajah gadis itu.
"Kau tanya aku kenapa? Kau dah cakap apa kat papa? Kau memang anak derhaka Fiyah!" balas Aliya keras. Dahin yang baru sahaja melangkah keluar dari rumahnya tidak jadi menghampiri keretanya apabila melihat kedua-dua gadis itu di halaman rumah.
"Kalau dah tahu kenapa nak tanya lagi?" soal Afiyah malas. Dia mahu melangkah semula namun bahunya ditolak kasar oleh Aliya.
"Kalau kau tak suka tinggal kat rumah ini, kau boleh berambus lah! Anak tak guna macam kau ini tak layak tinggal dengan papa!" marah Aliya. Afiyah tergelak kecil.
"Macam kau itu baik sangatkan. Sedar diri sikit, kau itu ada kat dunia ini sebab perampas itu," balas Afiyah tidak mahu mengalah.
Pangg!!
Dahin terkedu. Dia pantas beredar untuk ke rumah sebelah. Afiyah menyentuh pipinya yang terasa perit.
"Kau memang kurang ajar Fiyah! Kau tak sedar mama kau itu yang rampas papa dari my mom! Memang patut pun papa tinggalkan perempuan yang dia tak cinta. Dah tahu papa tak suka nak juga kahwin dengan papa. Perempuan tak ada maruah!" kutuk Aliya sambil meludah ke tanah. Afiyah mengangkat tangannya mahu menampar Aliya namun sempat ditahan oleh seseorang.
"Cukup. Tak malu ke jiran lain tengok? Let's go Liya," kata Dahin separuh mengarah sambil melepaskan tangan Afiyah. Dia menarik pula lengan Aliya untuk beredar.
"Lepas lah Dahin! Kau dengar sini Fiyah. Aku tak akan berhenti selagi kau tak keluar dari rumah ini!!" jerit Aliya kuat sambil meronta. Afiyah hanya memandang kedua-duanya berlalu. Dia menarik nafas perlahan cuba untuk menenangkan diri. Terasa bahunya disentuh oleh seseorang. Mak Isma tersenyum memandang gadis itu sambil mengusap lembut bahunya. Afiyah hanya tersenyum hambar.
"Fiyah pergi dulu Mak Isma," katanya sambil bersalaman dengan wanita itu sebelum beredar. Mak Isma mengeluh perlahan memandang langkah gadis itu. Dia tinggal dengan Datuk Hashim sudah hampir sepuluh tahun. Dia tahu sangat apa yang berlaku dalam keluarga itu. Dia tidak menyebelahi sesiapa. Apa yang dia harapkan adalah keluarga itu akan kembali bersatu semula suatu hari nanti.
*****
"Suha dengar Fiyah dan Liya gaduh," kata Suha dengan suara yang agak perlahan. Risau sekiranya dia melukakan hati gadis itu. Afiyah menarik nafas perlahan sambil tersenyum hambar membalas pandangan Suha.
"Betul lah itu," jawabnya sambil mengalihkan semula pandangannya ke arah tasik. Suha mengangguk perlahan.
"Saya memang tak suka perempuan itu Suha. Selama ini saya tak pernah anggap pun perempuan itu sebagai ahli keluarga yang saya ada," beritahu Afiyah dengan jujur. Suha agak terkejut mendengar kata-kata gadis itu.
"Kalau bukan sebab mama perempuan itu, papa tak mungkin akan tinggalkan Fiyah dan mama,” sambung Afiyah dengan perasaan sebak. Suha menyentuh lembut bahu gadis itu.
“Perkahwinan papa dan mama adalah merupakan rancangan keluarga. Semasa mama mengandung Fiyah, baru mama tahu rupanya papa dah ada isteri lain. Mama sangat kecewa apatah lagi bila tahu perempuan itu pun turut sarat mengandung. Selama mama dan papa masih bersama, perempuan itu selalu ganggu mama. Papa tak tahu sebab mama tak pernah mengadu dengan papa. Akhirnya masuk umur Fiyah dua belas tahun, papa ambil keputusan untuk tinggal bersama dengan perempuan itu dan Liya.” Afiyah berhenti sejenak. Dia menarik nafas dalam dan melepaskan perlahan.
“Papa gantung mama tak bertali. Semuanya sebab perempuan itu. Saya tak pandai berlakon Suha. Saya memang tak mampu terima kehadiran Aliya. Walaupun saya tahu bukannya salah Aliya. Tapi Aliya itu tetap anak kepada perempuan yang saya paling benci dalam dunia ini," sambung Afiyah sambil menggigit kuat bibirnya. Dia tidak mahu air matanya jatuh di depan gadis itu. Suha hilang kata-kata mendengar cerita gadis itu. Afiyah memandang Suha semula.
"Saya tahu saya ini jahat. Terpulang dengan awak untuk menilai. Saya pun tak paksa kalau awak tak nak berkawan dengan saya lagi lepas ini. Kalau papa pun tak suka saya apatah lagi orang lain. Saya faham," katanya dengan senyuman hambar. Suha agak sebak mendengar kata-kata Afiyah. Dia memeluk gadis itu.
"No. Fiyah adalah kawan Suha. Bukan setakat kat kolej ini. Tapi kawan Suha dunia akhirat. Insya Allah," balasnya sayu. Afiyah terharu mendengar kata-kata gadis itu.
"Terima kasih Suha," ucapnya sambil membalas pelukan gadis itu. Suha mengangguk tersenyum.
Fiyah kena kuat.
*****
Dahin memerhatikan saja gadis yang sedang melangkah tenang berjalan menuju ke arahnya.
"Fiyah," panggilnya lembut. Afiyah tidak jadi melangkah masuk ke dalam kelas. Dia membalas pandangan Dahin yang sedang berdiri berhampiran dengan pintu kelas. Suha yang berdiri di sebelah Afiyah menghadiahkan jelingan tajam kepada lelaki itu.
“Sekejap aje,” pinta Dahin sambil tersenyum membalas pandangan Suha.
"Suha masuk dulu," kata Suha akhirnya. Dia sempat menunjukkan penumbuknya kepada Dahin sebelum melangkah masuk ke dalam kelas. Afiyah hanya memandang gadis itu berlalu.
"Kau nak apa? Nak cari pasal lagi?" soalnya sinis sambil beralih memandang wajah tenang Dahin.
"Awak okay?" soal Dahin tanpa menjawab. Afiyah menarik nafas perlahan.
Mamat ini memang sengaja buat darah aku naik.
"Yang kau sibuk sangat kenapa? Nak jadi hero lagi?" soalnya dengan nada keras.
"Fiyah,”
"Dengar sini Dahin. Bagi aku, kau itu orang luar. Mungkin kau dah kenal lama dengan Liya dan papa. Tapi bukan aku. Jangan asyik nak sibuk hal orang aje. Kita ini dalam dunia nyata bukannya tengah buat filem. Tak payah nak drama sangat!" pintas Afiyah dengan suara lantang. Suha yang mendengar suara Afiyah dari dalam kelas mula tidak senang duduk.
"Lagi satu, kalau kau nak beri amaran supaya aku tak cuba lempang Aliya lagi, minta maaf sangat ek. Sebab itu aku tak boleh jamin. Lagipun kau itu just orang luar aje. Memang tak layak langsung nak bagi aku amaran bagai. Ingat Dahin, jangan cuba nak masuk campur dalam hal keluarga aku lagi!" Afiyah memberi amaran keras sebelum berlalu masuk ke dalam kelas. Dahin bersandar perlahan pada dinding. Dia mengeluh perlahan.
*****
Rina menarik nafas perlahan apabila melihat wajah muram Aliya.
“Liya, apa sebenarnya yang tak kena lagi antara kau dan Fiyah? Bila kau dah angkat tangan kat Fiyah mesti ada sebab yang kukuh. Aku kenal kau dah lama,” tanyanya masih tidak berpuas hati dengan cerita gadis itu pagi tadi. Aliya memberitahu mereka yang dia telah menampar Afiyah tanpa menyatakan sebabnya.
“Aku tak nak dengar nama perempuan itu lagi Rina. Aku benci,” balas Aliya sambil meletakkan kepalanya di atas meja. Berkerut kening Rina memandang gadis itu.
“Aku tak sokong sesiapa tau. Sebagai kawan, aku nasihatkan kau supaya betulkan apa yang salah. Kau dan Fiyah satu keluarga,” nasihatnya ikhlas. Aliya tersenyum sinis mendengar nasihat rakannya itu.
Keluarga? Mungkin dulu ya. Tapi sekarang dah lain! Perempuan tak guna itu bukan keluarga aku!
*****
Dahin melangkah perlahan keluar ke beranda biliknya. Dia memandang telefonnya.
Nak call ke tak?
Pandangannya dialihkan memandang ke rumah sebelah. Kelihatan bilik tidur Afiyah masih bercahaya menandakan gadis itu belum tidur. Dahin menarik nafas dalam. Jarinya bergerak perlahan menekan nombor gadis itu. Afiyah yang sedang leka dengan laptopnya agak terganggu dengan deringan telefon bimbitnya. Dia mencapai telefonnya dengan kasar.
"Eijaz Elman! Boleh tak sehari jangan ganggu hidup saya?!" marahnya dengan nada agak keras. Dahin memandang skrin telefonnya.
Aku silap nombor ke?
"Sekali lagi awak call, siap awak!" sambung Afiyah sebelum menekan punat merah. Dia mendengus geram.
Langsung tak bagi aku peluang untuk bernafas!
Terkebil-kebil Dahin memandang telefonnya.
Eijaz Elman?
Dahin mengenggam telefon bimbitnya dengan erat. Wajah Eijaz mula terbayang di matanya.
Kau jangan nak cari pasal Eij.