Bienda melangkah perlahan masuk ke dalam bilik gadis itu. Dia melihat Afiyah sedang duduk berdepan dengan meja solek merenung wajahnya sendiri. Bienda menarik nafas dalam sebelum menghampiri. Dia duduk di atas katil gadis itu. Afiyah berpaling memandang wanita itu. Senyuman manis terukir di bibirnya. Afiyah bangun dari kerusi lalu mengambil tempat di sebelah wanita itu. Bienda menarik gadis itu ke dalam pelukannya.
“I miss you,” ucapnya dengan senyuman.
“Mama beritahu Fiyah hari itu, petang ini baru sampai. Ini rindu Fiyah atau rindu papa?” soal Afiyah separuh mengusik.
“Issh dia ini. Mama rindu Fiyah lah. Papa itu pun selalu cerita pasal Fiyah dengan mama. Katanya Fiyah macam tak gembira aje sejak akhir-akhir ini. Kenapa? Ada masalah dengan Eij?” soal Bienda pula sambil melepaskan pelukannya. Afiyah terdiam mendengar soalan wanita itu.
“Bila dengar cerita papa yang Fiyah dah terima Eij, mama sebenarnya agak keliru. Biasanya kalau itu berita gembira pasti Fiyah sendiri yang beritahu mama. Bukannya mama dengar daripada orang lain. Why?” soal Bienda lagi dengan kening berkerut.
“Fiyah tak sempat beritahu mama. Sorry,” balas Afiyah dengan suara perlahan tanpa memandang wajah wanita itu. Bienda menggelengkan kepalanya.
“Mama bukannya baru kenal Fiyah semalam,” katanya dalam penuh makna. Afiyah mengeluh perlahan.
“Entah lah. Fiyah cuma rasa takut. Fiyah keliru dan tak yakin. Betul ke keputusan Fiyah terima Eij itu keputusan yang tepat?” soalnya dengan kening berkerut.
“Fiyah, dengar apa yang mama nak cakap ini. Mama tahu Fiyah masih terkesan dengan masa lalu. Sebelum Fiyah berangkat ke Australia tiga tahun yang lalu, mama masih ingat Fiyah kata nak mulakan hidup baru. Kenapa sampai sekarang Fiyah masih tak kotakan janji Fiyah itu? Kenapa mesti perlu ingat lagi masa lalu yang menyakitkan?” soal Bienda sambil merenung tajam gadis itu.
“Fiyah bukan tak pernah cuba ma. Tapi ia terlalu menyakitkan. Sehingga buat Fiyah terlalu berhati-hati,” balas Afiyah tanpa memandang wajah wanita itu. Bienda menyentuh jemari gadis itu.
“Fiyah kena percaya dengan pilihan hati Fiyah sendiri. Jangan paksa diri untuk membuat keputusan,” nasihatnya lembut. Dia faham dengan perasaan gadis itu. Masa lalu mengajarnya supaya lebih berhati-hati. Afiyah tersenyum hambar membalas pandangan wanita itu.
*****
“Jadi tak petang ini pergi butik?” soal Puan Sri Erma sambil memandang Eijaz yang sedang menikmati sarapannya. Eijaz mengangguk tersenyum.
“Kawan mama kata kelmarin Eij ada datang sana. Tapi Eij dan Fiyah tak cuba pun baju itu. Kenapa?” soal Puan Sri Erma lagi. Nalurinya kuat mengatakan ada sesuatu yang tidak kena antara anak lelakinya itu dan Afiyah.
“Tak sempat,” jawab Eijaz dengan senyuman.
“Fiyah sihat?” celah Tan Sri Fakrul sambil menarik kerusi di sebelah isterinya.
“Sihat pa. Dia kirim salam dengan mama dan papa,” beritahu Eijaz.
“Waalaikumsalam,” jawab Tan Sri Fakrul. Puan Sri Erma hanya diam membisu. Dia tidak senang melihat senyuman Eijaz yang nampak sangat direka pada pandangan matanya.
“Macam mana dengan persiapan?” tanya Tan Sri Fakrul lagi.
“Semua okay setakat ini,” jawab Eijaz dengan senyuman.
“Eij pergi dulu. Fiyah mesti dah tunggu Eij kat office,” sambungnya sambil bangun dari kerusi.
“Kirim salam dengan Fiyah semula,” pesan Tan Sri Fakrul. Eijaz hanya mengangguk sebelum berlalu. Puan Sri Erma mengeluh perlahan.
“Awak kenapa pula?” soal Tan Sri Fakrul dengan kening terangkat.
“Ma risau. Abang yakin ke Eij dan Fiyah itu okay?” tanya Puan Sri Erma kembali. Tan Sri Fakrul menggeleng perlahan.
“Awak itu aje yang terlebih risau. Eij sendiri dah kata mereka okay,” balasnya sambil mencapai sudu. Puan Sri Erma hanya membisu mendengar kata-kata suaminya itu.
Tapi kenapa aku rasa tak sedap hati?
*****
Rina menarik nafas dalam. Dia memandang semula wajah sahabatnya itu.
“Mesti lah Fiyah rasa kurang senang bila kau tolong Eij. Kau ingat tak sebelum ini kau itu siapa di hati Eij?” soalnya dengan kening berkerut. Aliya mengeluh perlahan.
“Aku dan Eij dah tak ada apa-apa Rina. Siapa pun aku sebelum ini, perkara itu dah lepas. Aku dah tak nak ingat lagi,” balasnya dengan nada tegas.
“Aku tahu. Kalau aku di tempat Fiyah pun mungkin aku akan rasa perasaan yang sama,” kata Rina perlahan.
“So, aku perlu buat apa? Perlu ke aku keluar dari rumah itu supaya Fiyah tak sakit hati?” soal Aliya bertalu. Dia agak geram dengan gadis itu yang kelihatan seolah-olah turut menyalahkan dirinya.
“Tak lah sampai macam itu. Liya, aku yang tak alami apa yang korang bertiga lalui pun rasa sakit. Apatah lagi korang. Aku rasa Fiyah masih perlukan masa untuk terima Eij. Kau jangan lah cepat sangat terasa. Kau sendiri tahu apa yang berlaku dengan Fiyah dulu. Ditambah lagi dengan kisah korang bertiga. Mesti Fiyah keliru dan rasa takut. Kau ada tak bincang pasal ini dengan Fiyah?” soal Rina tepat memandang gadis itu.
“Pernah. Cuma aku yang tak tahu apa sebenarnya yang tersirat di hati Fiyah. Tak semua perkara dia nak kongsikan dengan aku,” balas Aliya dengan senyuman hambar. Rina menyentuh lembut jemari gadis itu.
“Kau jangan lah fikir sangat pasal ini. Biar Fiyah dan Eij yang selesaikan masalah mereka berdua,” nasihatnya lembut. Aliya hanya mengangguk tanpa berkata apa-apa lagi.
*****
Eijaz merenung lama wajah gadis itu yang kelihatan agak pucat.
“Fiyah sihat? Kalau tak sihat, kita batalkan temujanji kita dengan butik petang ini,” tanyanya yang agak bimbang melihat gadis itu hanya mendiamkan diri sejak mereka melangkah masuk ke dalam Cafe.
“Eij,” panggil Afiyah perlahan sambil membalas pandangan lelaki itu.
“Kenapa?” tanya Eijaz agak berdebar melihat wajah serius gadis itu. Afiyah menarik nafas dalam.
“Tangguhkan perkahwinan kita. Saya nak kita bertunang dulu,” pintanya dengan kening berkerut. Eijaz agak terkejut mendengar kata-kata gadis itu.
“Saya tak bersedia lagi,” sambung Afiyah dengan perasaan bersalah. Eijaz bersandar pada kerusinya. Lama dia merenung wajah gadis itu sebelum melepaskan keluhan berat.
“Boleh Eij tanya Fiyah?” soalnya kini dengan wajah tenang. Afiyah agak berdebar membalas pandangan lelaki itu.
“Fiyah pernah tak sayangkan Eij?” sambung Eijaz tepat memandang gadis itu. Afiyah terkedu.
“Saya…, memang sayang awak,” jawab Afiyah perlahan tanpa memandang wajah lelaki itu. Bibirnya digigit kuat. Eijaz mengukir senyuman nakal.
“Okay. Eij akan bincang dengan family pasal ini. Tapi Fiyah janji dengan Eij. Jangan larikan diri lagi daripada Eij,” pinta Eijaz penuh mengharap. Afiyah tersenyum membalas pandangan lelaki itu. Eijaz terkesima sejenak melihat senyuman gadis. Senyuman yang dirinduinya. Sudah lama sehinggakan dia lupa bila kali terakhir dia melihat senyuman manis gadis itu. Afiyah hanya mengangguk tanpa berkata apa-apa. Dia lega bercampur takut.
Sekarang ini aku dah beri Eij harapan. Harapan yang aku sendiri tak tahu boleh atau tak aku tunaikan.
*****
Afiyah menghampiri Datuk Hashim dan Bienda yang sedang leka berbual di halaman rumah.
“Awal Fiyah balik hari ini,” tegur Bienda sambil menarik lembut lengan gadis itu supaya duduk di sebelahnya.
“Selalunya Fiyah balik lewat malam. Papa lagi suka kalau Fiyah selalu balik awal macam ini,” celah Datuk Hashim dengan senyuman.
“Hari ini rasa tak berapa sihat,” kata Afiyah dengan senyuman hambar.
“Fiyah demam ke?” tanya Bienda sambil meletakkan tangannya pada dahi gadis itu. Afiyah pantas menggeleng.
“Fiyah nak buat permintaan,” katanya perlahan sambil memandang kedua-duanya. Bienda dan Datuk Hashim saling berpandangan.
“Fiyah okay?” soal Datuk Hashim pula. Sikap gadis itu pada hari ini agak pelik di matanya. Afiyah menarik nafas dalam.
“Fiyah nak apa sayang?” tanya Bienda dengan kening berkerut.
“Fiyah nak mama dan papa kahwin,” balas Afiyah dengan nada yang agak tegas. Bienda terkedu. Datuk Hashim terdiam memandang gadis itu.
“Fiyah nak mama dan papa kahwin. Kalau tak, Fiyah tak akan kahwin dengan Eij,” sambung Afiyah separuh mengugut sebelum bangun untuk beredar.
“Saya rasa bagus juga cadangan Fiyah itu,” kata Datuk Hashim tenang memandang Bienda.
“Abang!”
*****
Suha menarik nafas lega mendengar cerita gadis itu.
“Tahniah. Akhirnya Fiyah mengaku. Susah sangat nak dengar pengakuan itu dari mulut Ainun Afiyah. Mesti Eij sedang berada di awang-awangan saat Fiyah buat pengakuan itu,” katanya sambil tergelak kecil.
“Jangan nak mengarut,” balas Afiyah. Dia melepaskan keluhan perlahan.
“Lah, kenapa mengeluh pula ini?” tanya Suha agak pelik apabila mendengar keluhan gadis itu.
“Kau tahu tak Dahin pergi mana?” tanya Afiyah perlahan sambil memandang rumah sebelah yang gelap tanpa lampu. Sudah lama dia tidak melihat kelibat lelaki itu. Suha berdehem perlahan.
“Kenapa? Aku bukan nak larang kau untuk tak rasa bersalah dengan Dahin. Sekarang kau dah ada Eij. Maksud aku, kau tak payah lah fikir sangat pasal Dahin. Nanti apa pula kata Eij,” nasihatnya.
“Dahin itu pun kawan aku Suha. How can I? Aku tahu dia terluka sebab aku. Aku just tak nak dia berdendam dengan aku. Sebenarnya itu yang buat aku tak keruan Suha. Kalau boleh aku nak dengar sesuatu dari mulut Dahin yang buat aku tenang semula. Tapi aku dah lama tak nampak kelibatnya,” balasnya dengan nada perlahan. Suha menarik nafas dalam.
“Dia tak ada kat Malaysia sekarang. Aku ada juga call dia. Dia tak beritahu kat mana cuma yang aku pasti dia tak ada kat sini sekarang. Dia juga tengah bertenang Fiyah,” beritahunya. Afiyah terdiam mendengar kata-kata gadis itu.
“Oh ya, kau beritahu aku tadi papa kau dan aunty Bienda nak kahwin. Apa yang berlaku?” tanya Suha setelah agak lama mendiamkan diri.
“Fiyah sayang kedua-duanya. Dah tiba masanya ada seseorang yang menjaga mama dan begitu juga papa,” jawab Afiyah dengan senyuman. Dia tidak tahu apa perasaan kedua-duanya namun dia yakin mama dan papanya itu saling memerlukan.
“Liya macam mana?” tanya Suha pula.
“Dia tak tahu lagi. Aku rasa dia tak ada masalah sebab dia dah biasa dengan mama,” balas Afiyah. Suha mengangguk tersenyum.
“Aku tak sabar nak tengok papa dan mama kau itu bersanding. Eij dah beritahu pasal penangguhan itu?” tanyanya lagi. Afiyah terdiam sejenak.
“Atau kau nak sanding sekali dengan papa kau?” sambung Suha lagi separuh mengusik. Afiyah tergelak kecil.
“Eij tak beritahu lagi kot. Aku sebenarnya berdebar. Tak tahu nak jawab apa kalau keluarga Eij tanya,” balasnya dengan perasaan bimbang.
“Aku rasa mereka faham. Lagipun bukan mereka tak tahu apa yang berlaku antara kau dan Eij tiga tahun yang lalu. Kau jangan lah risau,” kata Suha dengan senyuman. Afiyah hanya tersenyum hambar mendengar kata-kata gadis itu.
Aku juga harap macam itu Suha.
*****
“Tak sangka jumpa kau kat sini,” kata Daffa dengan senyuman. Dahin ikut tersenyum.
“Norway, aku suka tempat ini,” balasnya perlahan.
“Tunang Kau?” tanya Dahin sambil memandang seorang gadis yang duduk tidak jauh dari mereka. Daffa mengangguk tersenyum.
“Dia kerja. Aku saja temankan dia. Kebetulan aku sedang bercuti,” beritahunya. Giliran Dahin pula yang mengangguk.
“Aku dah tahu pasal Fiyah. Semalam my mom ada call. Uncle Shim jemput masa majlis Fiyah nanti,” sambung Daffa dengan nada perlahan.
“Aku yang bodoh Daf. Aku terlalu mudah lepaskan Fiyah untuk orang lain,” balas Dahin seiring dengan keluhannya. Daffa menepuk bahu lelaki itu perlahan.
“Kau lelaki baik Dahin. Kau sangat sayangkan Fiyah hingga tak sanggup tengok Fiyah menderita. Aku sendiri tak mampu lakukan itu,” balas Daffa perlahan. Perasaan sebak muncul saat mengimbau kenangan lalu yang cuba dilupuskan dari ingatannya. Dahin menarik nafas dalam.
“Aku redha dengan apa yang berlaku. Fiyah berhak memilih siapa yang ada di hatinya. Siapa lah aku nak memaksa,” katanya dengan senyuman hambar.
“Aku nak tanya kau. Kita pernah mencintai orang yang sama. Apa yang ada pada Fiyah yang buat kau masih ingatkan dia?” tanya Daffa dengan senyuman. Terangkat kening Dahin memandang lelaki itu.
“Tak takut tunang marah ke?” tanyanya separuh bergurau. Daffa hanya tergelak kecil.
“She’s too honest. Tak suka beri harapan,” jawab Dahin dengan senyuman. Walaupun kecewa dengan apa yang berlaku namun dia masih mampu merawatnya kerana tahu sedari dulu Afiyah memang tidak pernah menganggapnya lebih daripada seorang kawan. Cuma dia yang hendak lari daripada kenyataan itu. Sentiasa berharap hati Afiyah terbuka untuknya. Daffa mengangguk.
“Fiyah sebenarnya cuba mengelak daripada disakiti dan menyakiti. Dia pernah terluka disebabkan aku. Kali ini kita kena pastikan Fiyah bahagia dengan pilihannya. Allah dah tentukan siapa pemilik hati Fiyah. Kita kena redha,” katanya dengan senyuman. Dahin mengangguk perlahan setuju dengan lelaki itu.
“Kau jangan cakap kau tak move on lagi?” tanyanya separuh mengusik. Daffa tergelak kecil.
“Sekarang aku dah ada Dayana,” jawabnya dengan senyuman. Dahin ikut tersenyum. Dia menarik nafas panjang.
Semoga Fiyah bahagia.
*****
Aliya menghampiri Afiyah yang sedang berdiri di beranda biliknya.
“Betul ke apa yang Liya dengar?” tanyanya perlahan. Afiyah berpaling memandang gadis itu.
“Fiyah nak mama dan papa kahwin?” tanya Aliya dengan kening berkerut. Afiyah menyentuh jemari gadis itu.
“Liya tak suka?” tanyanya lembut. Aliya terdiam sejenak mendengar soalan gadis itu. Dia memandang jemarinya yang berada dalam genggaman gadis itu.
“Liya tak suka mama?” tanya Afiyah lagi apabila gadis itu agak lama mendiamkan diri.
“Kalau Fiyah dah setuju Liya pun tak ada halangan. Liya memang sukakan mama,” balas Aliya kini dengan senyuman. Memang dia sukakan Bienda sedari awal lagi. Sikap penyayang wanita itu menambat hatinya.
“Petang tadi Eij dan keluarganya ada datang bertandang. Kebetulan Liya balik awal. Eij nak tangguhkan dulu nikah dengan Fiyah. Kenapa? Sebab Liya? Fiyah, dah berapa kali…,”
“No! Bukan sebab Liya. Fiyah masih tak bersedia. Fiyah masih perlukan sedikit masa lagi,” pintas Afiyah sambil menggelengkan kepalanya. Aliya menggigit bibir sebelum menarik gadis itu ke dalam pelukannya.
“Fiyah tahu tak apa yang Liya sangat takutkan sekarang ini? Liya takut Fiyah tak nak kahwin dengan Eij sebab Liya. Sampai Liya terfikir nak larikan diri supaya Fiyah dan Eij tak jumpa Liya lagi. Maafkan Liya,” ucapnya dengan perasaan sebak. Afiyah membalas pelukan gadis itu.
“Kalau Liya larikan diri, Fiyah tak akan kahwin dengan Eij,” balasnya separuh mengugut. Aliya menepuk lembut bahu gadis itu.
“Jahat!” katanya geram. Afiyah tergelak kecil.
“Liya jangan risau. Kami tangguhkan majlis bukan disebabkan oleh sesiapa,” katanya cuba menyakinkan gadis itu. Aliya mengangguk tersenyum. Dia menarik nafas lega.