Home Cerpen Komedi/Romantik Komedi Prekuel Pudina Cinta - Media Hiburan
Prekuel Pudina Cinta - Media Hiburan
A. Darwisy
22/5/2013 21:47:02
4,229
Kategori: Cerpen
Genre: Komedi/Romantik Komedi

Fakulti Pergigian, Universiti Kebangsaan Malaysia

Kalut Rabunah mencari tempat berhimpun para pelajar Tahun 1 Fakulti Pergigian. Berpeluh jugalah dia dibuatnya ke sana ke mari serupa rusa masuk kampung. Yalah, dia datang seorang dan tidak berteman. Ah, dia sudah biasa lone ranger! Jika tidak kerana hari ini adalah hari pendaftaran bagi pelajar-pelajar baru yang mengambil program Ijazah Sarjana Muda Pergigian, tidak mungkin dia akan jejakkan kaki ke sini.

Mengikut dalam surat rasmi universiti yang diterimanya, setiap pelajar baru diminta untuk menghadirkan diri di UKM Bangi bagi mengikuti Minggu Mesra Pelajar selama seminggu. Aduhai, inilah yang dia malas sebenarnya! Hendak bermesra-mesra bagai. Rabunah menceceh sendiri.

“Tengah beratur untuk registration ke?” sapa lembut satu suara. Rabunah yang sedang beratur panjang menunggu giliran di Dewan Gemilang universiti itu, menoleh ke belakang.

“Eh, taklah! Saya tengah beratur beli tiket konsert Avril Lavigne,” respon Rabunah selamba. Sudah sah-sahlah dia sedang beratur untuk pendaftaran, mahu ditanya lagi. Nah, kena sebiji. Rabunah memandang ke hadapan semula, kuasa dia hendak melayan.

“Awak kelakarlah! Saya suka!”

Pulak dah!

Rabunah menepuk dahi. Berpusing tubuhnya, menghadap pemuda berkemeja petak-petak dan berkaca mata yang sedang berdiri di hadapannya. Jangan main-main dengan Rabunah. Malanglah siapa-siapa yang mencari pasal dengannya. Rock chicklah katakan!

“Apa masalah awak sebenarnya ni?” soal Rabunah, membuat muka garang walau hakikatnya, raut comelnya itu membuatkan orang lain bertambah tertawan memandang.

“Saya akan bermasalah kalau saya tak tahu nama awak. He he he. By the way, nama saya Aaron. Nama awak?”

Rabunah tidak menjawab. Dia sibuk mengomel dalam hati. Nama hendak Aaron, bajet artislah sangat! Rabunah menjeling malas.

“Rabunah,” jawab Rabunah pendek.

Come again?”

“Rabunah. Pekak ke?”

“Eh! Kenapa tak hari lain? Isnin ke, Selasa ke? He he he!”

Ringan saja Rabunah mahu melayangkan buku limanya ke muka pemuda yang sedang terkekeh-kekeh itu. Ingat lawak sangatlah tu! Sabar sajalah!

“Mari sini dokumen-dokumen awak. Saya senior yang menguruskan pendaftaran hari ni. Untuk awak, saya sanggup buat apa saja. He he he.”

Pemuda bernama Aaron itu mengumpan. Rabunah berfikir lama. Awalnya, dia malas hendak menghiraukan kata-kata pemuda itu tetapi mengenangkan barisan yang agak panjang, apa salahnya dia melayankan saja kerenah pemuda berkenaan. Rabunah melihat tag pengenalan diri yang tergantung di leher Aaron. Memang betul pemuda itu salah seorang senior yang sedang bertugas. Rabunah akhirnya menggunakan peluang itu.

“Terima kasih,”

“Terima kasih aje? Lain-lain tak ada?”

Rabunah mengetap giginya. Geram dengan perangai Aaron yang serupa Joker dalam filem Batman. What a good start! Rabunah sekali lagi mengomel dalam hati. Hari pertama di universiti sudah dimulakan dengan peristiwa yang membuatkan dirinya mahu flying kick orang sampai patah riuk!

***

Rabunah teruja. Pada malam ini, program Minggu Mesra Pelajar yang dihadirinya itu menampilkan Angkasawan Negara Pertama Malaysia. Siapa yang tidak teruja dapat bertentang mata dengan Datuk Dr Sheikh Muszaphar lagi-lagi pelajar baru sepertinya yang penuh dengan impian dan cita-cita.

Tetapi keseronokannya itu terbantut apabila sebaik saja majlis selesai, Aaron menunjukkan muka tersengih-sengihnya. Balik-balik muka dia! Geram sungguh Rabunah!

“Rabunah, hujung minggu ni... habis aje minggu orientasi, kita tengok wayang berdua mahu?” ajak Aaron sambil menjongket-jongketkan keningnya. Mencuba-cuba nasib.

“Tak berminat,” balas Rabunah dan cepat-cepat mengatur langkahnya laju. Hendak balik ke UPP, Unit Perumahan Pelajar. Lagi dilayan si Aaron ini, boleh pitam dibuatnya!

“Kalau macam tu, kita keluar minum-minum. Saya belanja!” pelawa Aaron lagi tidak berputus asa. Rabunah mendesah. Tak faham bahasa apa mamat ini?

Let me clarify one thing, so that lepas ni, awak tak perlulah ganggu hidup saya lagi. Saya tidak suka keluar dengan lelaki yang bukan mahram saya. Lagi-lagi keluar berdua. Awak lupa yang agama kita ada berpesan tentang tu?”

ZASS!

Aaron terkelu lidahnya hendak berkata-kata. Rabunah berjalan terus ke hadapan. Beberapa langkah meninggalkan Aaron di belakang, pemuda itu bersuara.

“Tak payah nak bajet ustazah pilihan sangatlah! Boleh jalanlah!”

“Terpulang!” jawab Rabunah dan terus berlalu.

***

Tujuh hari sudah berlalu dan ini menandakan Minggu Mesra Pelajar di UKM Bangi pun berakhir. Beberapa hari lagi, Rabunah akan memulakan pengajiannya di Kampus Kuala Lumpur bersebelahan Hospital Kuala Lumpur.

Rabunah yang sedang berehat-rehat di rumah, duduk di ruang tamu menemani ayahnya menonton televisyen. Malam-malam begini, Doktor Ashraff dan isteri, Puan Fatimah memang gemar mengikuti drama Melayu. Ayah Rabunah merupakan seorang doktor gigi dan mempunyai klinik gigi sendiri.

“Ayah, Una nak dengar pendapat daripada ayah boleh tak?” Rabunah meminta izin sebaik saja iklan ke udara. Si ayah mengalihkan tumpuannya kepada Rabunah. Rabunah di rumah, nama panggilannya Una.

“Mestilah boleh. Una nak tanya pendapat ayah tentang apa?” Doktor Ashraff memaniskan roman mukanya.

“Hmm... kenapa ya sesetengah lelaki tidak punya rasa hormat terhadap perempuan? Kadang-kadang bagi mereka, perempuan ini tidak ubah seperti barang di pasar, boleh ditawar-tawar pula.” Luah Rabunah apabila mengenangkan peristiwa yang menimpa dirinya beberapa hari yang lepas. Bukanlah dia menaruh perasaan benci terhadap Aaron kerana memerlinya dengan gelaran ‘ustazah pilihan’ tetapi dia terkilan kerana pemuda itu tidak menghormati prinsipnya.

Doktor Ashraff berfikir sejenak. Mencari ayat yang sesuai. Hendak memberi input yang baik kepada anak, perlulah bersandarkan pada agama.

“Sebelum kedatangan Islam di tanah Arab, martabat seorang perempuan itu seperti tidak punya nilainya. Tetapi alhamdulilah, sampai saja Islam, kedudukan kaum perempuan itu diangkat tinggi oleh ALLAH. Beruntunglah menjadi seorang wanita Islam kerana Nabi ada bersabda, ‘Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan Ramadan, menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai.’ The point is, Nabi sendiri menghormati kaum perempuan. Jadi, patutkah seorang lelaki tidak menghormati kaum perempuan yang diberi ALLAH, hak-hak istimewa?” Doktor Ashraff berucap lembut. Membawa sembang-sembang santai itu ke satu perbincangan yang lebih intelektual dan tidak sia-sia. Baik Rabunah mahupun Puan Fatimah, mendengar dengan khusyuk. Sekali-sekala, Rabunah mengangguk-anggukkan kepala.

“Ini mesti ada orang ajak anak ayah bercinta ni kan?” duga Doktor Ashraff tepat sekali.

“Bukanlah ajak bercinta tapi Una tak selesalah kalau lelaki mengurat tak kena gaya ni! Macamlah perempuan ni boleh senang-senang aje diajak keluar, diajak minum... it’s really annoy me much!” Rabunah melepaskan geram. Puan Fatimah dan Doktor Ashraff saling memandang sesama sendiri. Kedua-duanya mengukir senyum di wajah. Di hati masing-masing, memanjatkan syukur kepada ALLAH kerana satu-satunya puteri kesayangan mereka mempunyai jatidiri yang kuat. Tidak mudah terpedaya dengan janji-janji manis dan terlarut dengan kata-kata berlumur madu di hujung lidah. Alhamdulilah.

***

“Eh, korang tengok apa tu? Punyalah ralit membelek dari tadi,” tanya Rabunah apabila melihat kawan-kawan sebiliknya sedang berkongsi menatap sebuah majalah hiburan. Rabunah tidak ketinggalan untuk menempel sama. Yalah, segala tugasan pun sudah selesai dibuatnya.

“Eh! Kau layan majalah hiburan juga ke, Una?” soal Zubaidah, teman Rabunah yang paling becok mulutnya.

“Amboi kau Bedah, mahu perli akulah tu!”

“He he he. Tidaklah perli, aku tanya aje.” Zubaidah terkekeh-kekeh.

“Cantiknya Irma Hasmie ni kan? Suka aku tengok gambar dia dengan suami dia. Bercahaya-cahaya aje wajah dia orang,” celah Kuntum, seorang lagi kawan sebilik Rabunah yang paling klasik namanya. Rabunah turut tersenyum. Cover majalah hiburan itu ditatap penuh minat mereka bertiga.

“Kau orang setuju tak bila aku cakap, tak kira siapa kita, artis ke, cikgu ke, student macam kita ke... everyone has their role and responsibility towards the religion,” Rabunah berkongsi pandangan. Zubaidah dan Kuntum teruja mendengar. “Biarlah apa orang nak cakap pun, penting sekali kita ada berusaha untuk mengajak orang lain ke arah kebaikan.”

Rabunah memberi pendapatnya yang ikhlas. Dia sendiri mengikuti laman Facebook beberapa artis tempatan yang begitu aktif berdakwah dan dalam masa yang sama meneruskan aktiviti seni mereka. Islam tidak pernah menyusahkan. Usah jumudkan pemikiran.

Asyik tiga sekawan itu menyelak dari satu halaman ke satu halaman yang lain, sambil bergurau senda, telefon Rabunah berbunyi perlahan. Ada SMS yang masuk.

Maafkan saya. Tidak patut saya berlaku biadap dengan awak tempoh hari. – Aaron

Rabunah berfikir-fikir hendak membalas mesej itu atau tidak. Teragak-agak dia menggerakkan jari-jemarinya.

Apology accepted. Marilah kita jadi hamba ALLAH yang awesome!

Rabunah menghela nafas lega. Sekurang-kurangnya, Aaron menyedari akan kesilapannya. Dia meletakkan semula telefon bimbit di atas meja dengan hati yang lapang. Rabunah dapat mengagak, Aaron pasti memperolehi nombor telefon bimbitnya dari kertas pendaftaran pelajar yang diisinya.

“SMS daripada siapa?”

“Aaron,” jawab Rabunah tidak berahsia.

“Eh! Sebut tentang cik abang Aaron, hero popular universiti kita ni... aku dapat tahu dia sekarang ni, dah mula berjinak-jinak datang usrah Ustaz Shuib. Peliklah pulak!” Zubaidah yang paling kecoh, mula membuka cerita.

“Aaron datang usrah? Entah-entah dia tersentap dengan kata-kata maut ‘ustazah pilihan’ tak? He he he!” Kuntum menjawab sambil sempat mengenakan Rabunah. Bukan Zubaidah dan Kuntum tidak tahu, babak-babak pertikaman lidah di antara Rabunah dan Aaron pada Malam Bersama Angkasawan tidak lama dulu. Mereka berdua berada di tempat kejadian.

“Tak payah nak pelik sangatlah. ALLAH kalau nak sentuh hati hamba-hambaNya, bila-bila masa aje.” Jawab Rabunah bersahaja. Dia tersenyum bahagia. Barangkali inilah hikmah dia mempertahankan prinsipnya. Hikmah yang mendatangkan kesedaran pada hati-hati yang beriman. InsyaALLAH.

TAMAT

Nota Penulis:

Karya ini telah disiarkan di majalah Media Hiburan edisi 27 April - 3 Mei dan 4 Mei - 10 Mei 2013

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.