Home Novel Seram/Misteri AWAK NI HANTU KE - A.DARWISY
AWAK NI HANTU KE - A.DARWISY
A. Darwisy
19/3/2016 09:28:40
11,032
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Senarai Bab
BAB 3

Bab 3 | Jiran Baru

Syafiyah berpuas hati dengan persiapan yang telah dia lakukan demi misi merakam aktiviti paranormalnya malam ini. Tripod sudah diletakkan betul-betul di tepi tingkap dan kamera videonya pula menghala ke perkarangan rumah sebelah yang kosong tidak berpenghuni itu. Dari biliknya di tingkat atas, tempatnya begitu strategik sekali. Tepat saja jam 11.00 malam nanti, dia akan menekan butang record. Sekarang, masih awal lagi. Baru pukul 9.00 malam. Syafiyah yang suka berkongsi cerita dengan Syazwina, terus mengakses Skype di komputer berjenama Macintoshnya. Mereka bersidang video dari rumah masing-masing.

“Awin, malam ni aku nak mulakan Blair Witch Project aku. He! He! He!”

“Ha? Blair Witch Project apa pulak ni?”

“Ingat tak aku ada bagitahu kau dalam whatsapp tentang pagar rumah sebelah aku tu terbuka sendiri? Jadi, malam ni aku nak rakam supaya jadi bukti. Takdelah nanti orang kata aku cakap tak serupa bikin,”

“Hisy! Beraninya kau weh! Tapi...kau pasti ke bukan sebab angin yang tiup sampai pagar tu buka sendiri?”

“Tengok! Kau pun tak percaya kan? Nak kata aku menipulah tu!”

“Bukanlah macam tu. Hmm...kau serius ke Fiya dengan idea gila kau tu? Kalau kau nak tahu, video viral dalam grup FB tu dah takde tau!”

“Takde? Maksud kau, ada orang delete ke video tu?”

Syazwina merapatkan mukanya pada webcam menyebabkan wajah gadis itu memenuhi paparan tetingkap video Skype. Syafiyah tertunggu-tunggu jawapan kawan baiknya itu. Tidak pasal-pasal dadanya berdebar-debar. Saspens. Lagi-lagi melihat wajah Syazwina yang macam hendak memberitahu sesuatu yang penting sekali.

“Video tu hilang macam tu aje!”

“Hilang?”

“Yup! Aku cuba-cuba jugak cari link lain-lain yang ada rakaman video tu tapi semuanya dah takde. Macam...video tu tak wujud sama sekali kat social media. Pelik kan?”

“Mahunya tak pelik! Ha, video dalam smartphone kau tu ada lagi kan?”

“Ada lagi. Tapi...”

Syazwina terdiam sejenak. Syafiyah semakin terdesak hatinya meronta hendak tahu. Kut ye pun hendak buat saspens, janganlah berhenti di pertengahan cerita. Memang nak kena Syazwina ni!

“Tapi, video tu tak boleh buka. Macam...corrupted,”

Corrupted?” Syazwina mengangguk-anggukkan kepala. Syafiyah sudah terkelu. Aneh betul! Bagaimana fail video itu boleh rosak dengan tiba-tiba?

“Okaylah, Fiya. Aku log out dulu. By the way, good luck in your mission. But...please be careful. You’re not dealing with human but something that beyond the logical, rational mind! So, you better watch out!”

Sembang dua sahabat baik itu bubar tidak lama kemudian. Sekarang ini, tinggal Syafiyah seorang diri di dalam bilik. Menjelang pukul 10 malam, kedua-dua orang tua Syafiyah sudah pun masuk tidur. Keadaan di dalam rumah itu tidak lagi terang-benderang seperti tadi. Malap dan samar-samar saja cahayanya. Syafiyah juga sudah menutup suis lampu biliknya. Kalau terpasang, sudah tentu emaknya membebel pula nanti. Sementelahan, dia sejak kecil lagi sudah diajar untuk tidur awal. Pesan Puan Suraya, kalau tidur awal, mudah untuk bangun Subuh keesokan paginya.

Syafiyah memeriksa sekali lagi peralatan merakamnya. Semuanya dalam keadaan baik. Dalam pada itu, Syafiyah sudah awal-awal lagi memainkan MP3 ayat-ayat suci Al-Quran di komputernya. Perlahan saja dipasangnya sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan. Sementara menunggu jam 11 malam, Syafiyah mengisi selang masa yang ada itu dengan melayari Instagram kawan-kawannya. Ada sekeping gambar yang menarik perhatian Syafiyah ketika itu. Gambar yang terdapat pada akaun Instagram milik Syazwina. Rasa-rasanya, diambil beberapa hari yang lepas. Sewaktu mereka bermain bola jaring bersama.

“Gambar siapa pulak ni?” Syafiyah bercakap sendiri. Dalam gambar kandid itu, merakam aksinya sedang membuat lontaran bola pada gelung gol. Tetapi yang menjadi tanda tanya, ada satu lagi kelibat yang sedang berdiri berhampiran dengan tiang gol, berpakaian sukan tetapi wajahnya tidak jelas. Seingatnya, mereka berlatih bermain bola jaring dengan nisbah tiga lawan tiga. Dan tiada siapa yang menjadi penonton. Jadi, susuk yang sedang berdiri ini siapa pula?

Fikir punya fikir, Syafiyah berasa seram sejuk tidak semena-mena. Dia melihat jam pada paparan telefon pintarnya. Lagi 5 minit hendak pukul 11 malam. Syafiyah bingkas menuju ke tepi tingkap dan bersedia hendak menekan butang rakam pada kamera videonya. Pancaran dari skrin monitor komputer Macintoshnya yang terpasang, memberi sedikit cahaya di dalam bilik yang gelap itu. Sebaik saja butang rakam ditekan, Syafiyah kembali memanjat katilnya semula. Berselubung dalam selimut.

Baru saja misi merakam aktiviti paranormalnya hendak bermula, tiba-tiba Syafiyah mendapati lampu di perkarangan rumahnya terpasang terang. Lekas dia menjenguk ke bawah. Kelihatan ayahnya sedang berada di luar. Syafiyah cepat-cepat menuruni tangga. Sibuk hendak tahu apa yang berlaku. Berlari dia ke muka pintu dan bertembung dengan Puan Suraya yang sedang berdiri di situ.

“Kenapa, mak?”

“Uncle Hisham kamu dah sampai. Tadi dia call ayah,”

“Kenapa pindah waktu malam? Tak boleh tunggu siang?”

“Hisy! Apa pulak cakap macam tu? Tak baik tau,”

Syafiyah mencebik bibir apabila ditegur Puan Suraya. Dia melihat saja dari jauh emak dan ayahnya menyambut Pak cik Hisham dan keluarga yang akan menjadi jiran barunya. Bukan dia tidak mengalu-alukan kedatangan Pak cik Hisham tetapi sikap dingin dan beku lelaki itu membuatkan Syafiyah berasa tidak selesa pula hendak bermesra-mesra. Lagi-lagi dengan kehadiran sepupunya, Darius yang perangainya saling tidak tumpah dengan Pak cik Hisham. Pendek kata, keluarga itu penuh misteri.

“Jiran baru ke?” sapa satu suara halus membuatkan Syafiyah yang sedang leka mengintai rumah sebelah, tersentak. Syafiyah memandang ke arah pemilik suara yang menegurnya. Seorang gadis Cina bermata bundar dan memiliki lesung pipit di pipi. Rambutnya panjang, bertocang dua. Tersenyum memerhatinya.

“Haah. Err...awak?”

“Nama saya Mei Li. Saya jiran awak juga, tinggal dekat-dekat taman ni jugak,” Gadis manis itu memperkenalkan diri. Syafiyah membalas senyuman perkenalan. Senyum-senyum juga tetapi dalam hatinya tertanya-tanya, apa yang gadis ini buat di luar rumah dalam waktu-waktu begini? Emak dia tidak marahkah?

“Saya, Syafiyah. Panggil Fiya aje. Hmm...awak buat apa malam-malam macam ni kat luar?” tanya Syafiyah berterus-terang. Mei Li tersenyum lagi.

“Saya cari Snowy, kucing peliharaan saya. Ke manalah dia merayau malam-malam ni?” Mei Li bercerita tentang kucing peliharaan berbulu putih dari baka Persia miliknya. Kucing dari jenis itu comel-comel, seperti anak patung.

“Lah, ye ke? Harap awak jumpalah dengan Snowy. Bahaya tau malam-malam macam ni awak jalan sorang-sorang,”

“Terima kasih Fiya sebab ambil berat. Saya dah biasalah jalan malam-malam. Snowy akan bising mengiau kalau saya tak bawa dia makan angin malam-malam macam ni. Okaylah, saya nak cari Snowy. Jumpa lagi, Fiya!” Mei Li mengangkat tangan dan kemudian gadis itu menghayun langkah melepasi beberapa rumah di situ. Syafiyah hanya mampu memerhati saja kenalan yang baru dikenalinya itu sehingga Mei Li hilang dari pandangan.

“Fiya bercakap dengan siapa tu?” tegur Puan Suraya seraya meletakkan telapak tangannya ke bahu Syafiyah. Syafiyah pucat lesi mukanya serta-merta. Terjerit kecil Syafiyah dibuatnya.

“Mak ni buat Fiya terkejut ajelah! Hilang semangat Fiya tau!” Syafiyah mengurut-urut dadanya. Puan Suraya menggeleng-gelengkan kepala. Sejak kebelakangan ini, anak daranya yang seorang itu sekejap-sekejap terperanjat.

“Mak tanya, Fiya cakap dengan siapa tadi?”

“Mei Li. Dia kebetulan lalu depan rumah kita. Hmm...ayah mana, mak?”

Syafiyah mencari-cari kelibat ayahnya yang tiada. Kelihatan karavan Pak cik Hisham terbuka pintu di bahagian penumpang. Ada banyak kotak-kotak besar barangkali barang-barang milik Pak cik Hisham dan keluarga.

“Ayah tolong angkat barang-barang uncle Hisham kamu. Fiya pergilah masuk tidur dulu. Mak pun nak tolong aunty Sara apa-apa yang patut...” Syafiyah akur lalu masuk ke dalam rumah semula. Pun begitu, langkahnya tiba-tiba berhenti apabila terasa belakang kepalanya seperti dibaling sebiji batu kecil. Lekas Syafiyah berkalih dan mencerun pandang ke semua arah. Hati hendak marah tetapi melihatkan tidak ada kelibat siapa-siapa, Syafiyah mulai berasa tidak enak. Laju dia berlari memasuki rumah dan memanjat tangga menuju ke biliknya di tingkat atas.

Sampai dalam bilik, Syafiyah terus berbungkus badannya dengan selimut. Malam semakin larut. Sudah pukul 11.30 malam. Syafiyah terlena tetapi dia tidak sedar, kamera video yang sebelum ini dihalakan ke perkarangan rumah sebelah, sudah beralih arah. Posisi kamera video itu sekarang menghala lensanya tepat ke arah katil Syafiyah. Merakam Syafiyah yang sedang tidur.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.