Home Novel Cinta Pudina Cinta
Pudina Cinta
A. Darwisy
2/11/2012 01:20:57
234,106
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15

Wawa menatap wajahnya sekali lagi di hadapan cermin, malu-malu pula dia melihat refleksi dirinya sendiri yang terzahir di situ. Hendak tergelak pun ada tetapi apabila direnung-renung lebih lama, semakin manis pula dia berpenampilan sebegitu. Sudahnya dia tersenyum simpul seronok berangan. Rasa tidak percaya pula yang akhirnya, dalam usia 25 tahun, dia bertudung litup. Apalah respon yang bakal diterimanya lebih-lebih lagi daripada kawan-kawan rapat yang bekerja di bawah satu bumbung dengannya. Dia mengharap perubahannya ini tidaklah menjadi bahan sendaan. Kalau sekadar usik-usik ringan, itu tidak menjadi masalah baginya.

Kunci kereta dicapai, dia harus bertolak sekarang. Sebenarnya pada hari ini dia sudah berjanji untuk berjumpa dengan Rabunah, Alin dan Azlie. Mahu makan tengahari bersama dan dalam masa yang sama, hendak membuat kejutan kepada mereka semua akan perubahan imej yang dia tampilkan sekarang. Jarang-jarang sekali mereka dijadualkan cuti bersama dan pada hari ini, seperti sudah dirancang-rancang pula bila mana hari cuti keempat-empat mereka jatuh pada hari yang sama. Wawa merancang untuk berkumpul makan tengahari di Secret Recipe, dia mahu belanja kawan-kawan baiknya di sana.

Kurang 10 minit perjalanan, sampailah Wawa ke restoran tersebut. Dan dari jauh, kelibat tiga kawannya yang sedang duduk menunggunya di dalam restoran itu sudah kelihatan. Dinding kaca yang menjadi pemisah antara luar dan dalam, memudahkan Wawa untuk melihat telatah kawan-kawannya itu yang sedang rancak berborak. Manakan tidak, kalau sudah ada Azlie, suasana yang bosan pun boleh menjadi riuh rendah dibuatnya.

“Assalammualaikum. Lama tunggu?” sapa Wawa menyebabkan keriuhan tiga sekawan itu bersembang berhenti serta-merta. Masing-masing terdiam dan memandang dari atas ke bawah akan empunya suara yang berdiri tersenyum memandang mereka.

“Ya ALLAH...! Kak Wawa ke ni...? Kak Wawa!!!” serentak Rabunah, Alin dan Azlie bangun dari kerusi mereka. Naik segan pula Wawa dibuatnya apabila satu restoran bergema dengan namanya. Rabunah dan Alin mendakap mesra dirinya, terharu pula dengan penerimaan kawan-kawannya itu.

“Korang ni, tak perlulah kut laung nama aku sampai satu restoran dengar. He he he.” usik Wawa lalu menarik kerusi untuk duduk.

“Mana kami tak menjerit, sungguh kami tak kenal siapa tadi. Ingatkan Heliza Helmilah tadi!” Budak Azlie ini kalau sudah merepek, bagilah pada dia. Aku yang besar gadang ini dikatanya sama dengan artis AF yang kurus melidi dan comel lote itu. Dicubitnya pinggang lelaki itu sebagai balasan. Menjerit kecil Azlie dibuatnya. Perlakuan dua sahabat itu mengundang tawa dua yang lain.

“Banyaklah Heliza Helmi kau, Azlie. Eh, korang dah order ke belum ni? Nanti lambat pula sampai makanannya. Aku dah kelaparan dah ni,” bijak Wawa melencongkan topik perbualan. Yalah, kalau penampilannya itu asyik dibelek-belek, direnung-renung seperti patung lilin di Madame Tussauds, bila pula masanya mereka hendak memesan makanan. Wawa melambai tangannya memanggil pelayan yang berdiri tidak jauh dari meja mereka. Beredar pelayan lelaki itu sebaik pesanan empat sahabat itu diambil.

“Kak Wa pakai tudung makin bertambah ayu tau. Manis je nampak,” puji Rabunah ikhlas. Sedikit sebanyak tergerak pula hatinya untuk berpenampilan sebegitu. InsyaALLAH, suatu hari nanti.

“Sungguh ke, Una?” tanya Wawa semula. Kembang pula hatinya dipuji sedemikian rupa. Dia sedia maklum akan sikap Rabunah, kawannya yang seorang itu bukan jenis yang suka bermanis-manis mulut. Apa yang terlahir dari mulutnya, tidak dibuat-buat.

“Sunggulah kak Wa. You look pretty with hijab,” tambah Rabunah mengkagumi Wawa dalam diam. Kalau dulu Wawa lepas bebas rambut sederhana pendeknya, tetapi sekarang apabila sudah berlitup, pesonanya menyerlah. Meski Wawa tubuhnya berisi tetapi pemilik lesung pipit di wajah apabila tersenyum itu mempunyai daya tarikannya yang tersendiri. Alin turut terangguk-angguk setuju.

“Dah... dah... tak mahu puji-puji lagi. Nanti badan aku yang macam pelampung ni bertambah-tambah kembang pulak. Ha ha ha.” Wawa tertawa dengan ungkapannya sendiri. Bukannya apa, dia tidak mahu niatnya yang terdorong dari hati yang bersih untuk berubah menjadi lebih baik, boleh tersasar pula apabila hadirnya perasaan berbangga diri. Dia takut menjadi riak pula. Apa yang mahu dikongsikan bersama kawan-kawannya sekarang adalah betapa indah sebenarnya menjalani kehidupan berlandaskan syariat agama.

Benar, dulu dia tidak mementingkan sangat akan perihal itu. Tetapi semenjak kebelakangan ini, lebih-lebih lagi sepanjang tempoh enam bulan yang lalu, hidayah yang dicari akhirnya membuka pintu hatinya untuk berhijrah. Perasaan yang paling indah tatkala menyarung hijab pemisah aurat mata bukan mahram ini adalah ketenteraman. Jiwanya tenteram sekali dan berasa selamat dari fitnah dan dosa. Bahkan dengan bertudung, dapat membataskan dirinya untuk tidak berlebih-lebihan dalam perlakuan atau pergaulan.

“Macam mana boleh tiba-tiba kau nak bertudung, Wa? Semalam, kau mimpi kena patuk ular sawa ya?” usik Azlie yang memang tidak berlapik ayatnya.

“Ha ha ha. Kalaulah aku mimpi dipatuk ular, tentu aku dah tersenyum lebar tau. Kata orang tua-tua, tu tandanya aku nak kahwin dengan anak raja. Ini tak ada kena-mengena dengan mimpilah Azlie oi. Cuma apa yang aku tahu, barangkali waktu untuk aku berubah sudah sampai. And here I am! He he he.” terang Wawa lalu tertawa kecil. Bak kata orang, sudah sampai seru. Tetapi menurut ustaz-ustaz yang pernah Wawa hadiri ceramah agama mereka, kurang sesuai bila mana kita memberi alasan perubahan ke arah sesuatu yang baik kerana sudah sampai seru. Ini kerana seruan untuk kita berubah dan membaiki diri, berlaku sejak dulu lagi, tinggal lagi terpulang pada hati sama ada mahu menurut jalan ke arah itu atau tidak.

15 minit kemudian, empat menu yang dipesan mereka sudah sampai di atas meja. Senyap sejenak suasana, manakan tidak, mulut masing-masing penuh dengan makanan. Lagi-lagi makan percuma dibelanja, bertambah-tambah nikmat makan tengahari mereka di restoran itu.

“Ha! Kau dah add tak akaun Facebook yang aku suruh kau buka semalam?” Azlie memecahkan suasana diam itu dengan cerita sensasinya. Rabunah yang tidak menyedari soalan itu diajukan kepadanya, langsung tidak mengendahkan pertanyaan tersebut. Dia terus menyuapkan makanan ke dalam mulutnya seperti tiada apa-apa yang berlaku. “Hoi, perempuan! Kau berkhayal apa sambil makan?” sergah Azlie lalu mengetuk permukaan meja makan. Hampir mahu tersedak Rabunah dibuatnya lantaran terkejut.

“Lah, kau cakap dengan aku ke? Orang tengah syok makan spageti ni!” rungut Rabunah apabila kenikmatannya menghadam spaghetti chicken meatballs yang dipesannya itu terganggu seketika. Berkerut dahi perempuan itu terpinga-pinga hairan bila mana semua mata tertumpu ke arahnya. Seakan-akan menanti butir-butir kata yang bakal keluar dari mulutnya.

“Adoi, blur jugak perempuan ni! Aku tanya tadi, kau dah add tak akaun Facebook, Hansamuna shikai yang aku beritahu malam semalam tu?” Azlie mengulang semula ucapnya tadi. Rabunah tergaru-garu kepala, cuba mengingatkan kembali sama ada malam tadi, ada dia berbuat demikian atau tidak? Seingatnya, selepas bersembang dengan abangnya Fauzi, kelopak matanya betul-betul terasa berat dan terus terlelap sejurusnya. Sebaik bangun pagi tadi pun, komputer ribanya tidak ditutup sempurna.

“Aku rasa aku tak add kut. Tapi adalah aku tengok sekali imbas default picture akaun Facebook dia. Gambar ubat gigi merah jambu tu kan? Kenapa dengan tuan punya akaun tu? Siapa dia?” tanya Rabunah mahukan penjelasan. Yalah, beria-ia sungguh Azlie menyuruhnya untuk melihat akaun laman sosial itu sedangkan tidak diberitahu siapakah pemiliknya. Silap-silap penyangak siber mana entah!

“Kalau kau nak tahu, Hansamuna shikai tu lelaki handsome yang selalu datang kedai kita tu!” Alin yang sedari tadi senyap tidak bersuara, mencelah menerangkan identiti di sebalik empunya diri sepotong nama yang pelik itu. “Kalau kau nak tahu lagi, akulah yang mula-mula jumpa akaun Facebook dia. Tapi aku tak seberapa pasti sama ada itu dia atau tidak sebab waktu tu, dia letak default picture dia tengah baca komik manga. Bukan gambar ubat gigi merah jambu seperti sekarang ni. Bila aku perhati betul-betul, ada iras-iras muka dia. Tak berani pulak aku nak add dia, nanti dikatanya aku hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong pula,” cerita Alin bersemangat. Ada nada sedikit bermegah di situ. Maklumlah, dia yang menjumpai akaun Facebook lelaki itu terlebih dulu. Sejenak Alin berhenti bercakap, menyedut jus tembikai yang belum terusik lagi.

“Itu yang aku jadi mangsa. Alin suruh aku pulak yang add mamat tu. Tapi sampai sekarang, dia approve pun tidak. Tak dapat nak tengok gambar-gambar dalam album dia. Teringin jugak nak tahu life dia macam mana,” sambung Azlie melengkapkan jalan cerita tentang penemuan laman sosial lelaki tampan yang tidak lagi mereka kenali namanya itu.

“Oh, jadi kau suruh aku add dia supaya korang semua boleh view profile dialah ni ya?” serkap Rabunah yang seperti dapat mengagak akan sebab-musabab dirinya pula yang menjadi umpan. Äzlie dan Alin sudah tersengih-sengih. “Betullah ni kan? Huh! Kuasa aku! Banyak lagi benda lain aku boleh buat, dari add dia,” bunyi macam tegas saja nada Rabunah membidas. Tetapi dua kali dengar, bunyinya seperti orang jual mahal pun ada juga.

“Alah, kau add lah dia Una! Aku jamin punya, kalau kau yang add dia, dah tentu-tentu dia aprrove secepat mungkin. Lagipun kita orang tengok, kau dengan dia macam ada chemistry. Buktinya, sudah dua kali bukan kau bersembang mesra dengan dia. Tapi dengan kami, mimpi sajalah,” provokasi Azlie pada kawan baiknya itu. Dalam pada itu, sempat lagi mengenakan Rabunah sipi-sipi. Azlie, Alin dan Wawa sudah menjongket-jongket kening mereka.

“Banyaklah chemistry kau! Itu bukan chemistry namanya. Itu k.e.b.e.t.u.l.a.n... kebetulan. Ada faham?” pertahan Rabunah tentang pertemuan tidak dirancang yang terjadi sebanyak dua kali dengan lelaki itu. “Dan satu lagi, bila masa pulak aku bersembang mesra dengan dia? Tak ada istilah mesra-mesranya! Tak sesuai okey.” Rabunah mengerutkan hidung dan memuncungkan bibirnya. Azlie membalas perlakuan itu dengan menjelirkan lidahnya pula.

“Eleh! Boleh percaya ke kau ni? Entah-entah siap mengigau berlari-lari di taman bunga dengan laki tu kan? Ha ha ha!” sakat Azlie habis-habisan. Laju jari telunjuk dan ibu jari Rabunah hinggap mencubit di dada Azlie. Dipulasnya puting dada lelaki itu 360 darjah. Melatah lelaki itu sekuatnya. “Una, kau dah menodai aku! Aku buat laporan polis, biar kau kena dakwa atas kes meraba dada lelaki!” Azlie sudah datang sengal-sengal ubinya. Riuh meja itu dengan gelak tawa mereka empat sahabat.

Hampir dua jam mereka makan tengahari bersama di restoran itu, penuh dengan gosip dan gelak ketawa. Wawa mengangkat tangannya, meminta bil kira-kira pada salah seorang pelayan restoran itu. Masing-masing mengucapkan terima kasih kepada Wawa kerana sudi membelanja mereka makan. Bukan selalu mereka dapat berkumpul satu meja seperti hari ini.

“Kak Wa, baru pukul 3:00 petang. Kita main boling jom!” cadang Azlie dan mendapat anggukan setuju dua yang lain. Wawa serba salah hendak menolak tetapi dia punya urusan selepas ini. Diikutkan hati, memang mahu saja dia mengikut tetapi janji sudah dimeterai. Mana mungkin dia mahu mungkiri.

“Korang proceed lah tanpa aku. Aku tak bolehlah, ada hal sikit. Tak apa kan?” tanya Wawa mengharap kawan-kawannya memahami akan keadaannya. Jam yang melingkar di pergelangan tangan, dipandangnya sekilas lalu. Lagi satu jam, dia perlu berada di satu tempat yang lain. Sedikit jauh dari lokasinya sekarang ini. Lambat bertolak ke sana, khuatir pula dirinya akan terlewat.

“Alah, Kak Wa tak ada... tak bestlah! Hilang aura tau,” Rabunah memujuk dalam halus.

“Maaflah. Petang ni memang tak boleh. Alah, Azlie kan ada. Mulut dia sorang dah mewakili lapan orang. He he he. Meriah tak ingat!” jawab Wawa, sempat lagi memerli Azlie.

“Eleh, ada date lah tu kan? Mentang-mentang dah berpenampilan ala-ala Hana Tajima, pandai dah keluar dating ya? Nak mengintiplah!” Azlie sengaja hendak menyibuk. Belum sempat Wawa hendak membalas, telefon bimbitnya berbunyi. Satu pesanan baru masuk ke kantung mesej selularnya. Tersorok-sorok Wawa membalas mesej tersebut di hadapan kawan-kawannya itu dan lekas-lekas memasukkan semula telefon bimbit itu ke dalam poket seluar seusai butang hantar ditekan.

See...! Mesti, boyfriend yang hantar mesej tu kan? Wow, Wawa dah ada boyfriend tu!” tebak Azlie sebenarnya sengaja hendak menyakat tetapi melihatkan riak wajah Wawa yang merona merah dan kelihatan seperti malu-malu diusik begitu, seolah-olah membenarkan pula usikan tersebut. Dalam kepala masing-masing mula memikirkan, betulkah Wawa punya teman lelaki? Tunggulah, esok juga mereka akan dapatkan jawapan.
Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.