Home Novel Cinta PENGANTIN EKSPRES
PENGANTIN EKSPRES (BAB 12) - LIYA PENGSAN

Sebenarnya Aleeya pura-pura pengsan sajalah. Memang dia rasa pening berada di dalam kelab malam itu, sebab itu lah idea jahat ini datang tiba-tiba saja. Tidak sangka pula suaminya itu akan mengendongnya lalu membawa ke kereta. Malah di dalam kereta pun Aleeya berpura-pura pejamkan mata.

Rayyan menarik tali pinggang kaledar di sebelah Aleeya. Dipaut kemasnya Aleeya di dalam dakapannya lalu dia tersenyum sendirian. Sepanjang berada di dalam kereta, tangannya sentiasa memegang tangan Aleeya, ada ketikanya dipicitnya kepala Aleeya.

Sampai ke rumah, dibiarkan Rayyan mendukungnya sekali lagi untuk masuk ke dalam rumah dan di bawa terus ke katil di dalam bilik. Ingat sekali, terasa lucu dan mahu ketawa saja. Hehehe..,

“Liya tipu abang!” ucap Rayyan sambil memicit hidungnya. Aleeya tidak menjawab. Dia tahu rupanya aku tipu dia. Akal banyak sungguh suami aku ini?

“Tak payah pura-pura lagi, abang tahu Liya tipu abang!” sambung Rayyan perlahan. Lelaki itu turut ketawa perlahan. Sewaktu Rayyan memeluk Aleeya di dalam kereta tadi, barulah Rayyan sedar Aleeya hanya pura-pura saja. Nak ajak aku balik tak berani, jadi carilah idea gila-gila ini yer.

“Mana ada, Liya pening nih!” jawabnya kerana tidak sampai hati membiarkan suaminya tertanya-tanya. Awak ni Liya, lembut hati sungguh lah.

“Pening ke tak suka?”

“Dua-dua sekali!”

“Hahahaha...,” ketawa Rayyan sambil berlalu keluar.

“Abang nak ke mana?” soal Aleeya bila melihat jam baru pukul 10. 00 malam. Masih awal lagi.

“Tak ke mana sayang. Abang nak tengok tv kat luar nih. Kenapa takut abang tinggalkan Liya ke?” balas Rayyan. Mana lah tahu, kau hendak pergi ke kelab malam lagi. Kau tu bukannya boleh sangat. Tinggalkan aku di rumah lalu kau keluar semula ke kelab jahanam itu.

“Nak tengok tv jugak lah!”

“Tak usah, awak tu kan pening dan nak pengsan, nanti satu kerja pula saya nak dukung awak. Sudah lah berat. Awak kena diet lah, yang!”

“Abang nih, tak suka lah Liya!”

“Kita kahwin atas dasar suka sama suka ke, sayang?” soal Rayyan. Cis, ada saja dia hari ini. Baik aku tidur saja dari bergaduh dengan dia sepanjang malam. Dulu memang tak suka, sekarang kena paksa abang suka juga kat Liya lah.

“Liya!” jerit Rayyan dari ruang tamu apabila tidak mendengar suara Aleeya membalas kata-kata yang muncul dari bibirnya.

“Kenapa?” jerit Aleeya.

“Ingatkan dah tidur..,”

“Tak lah, Liya nak baca novel!” memang dia sudah menarik novel Kejap ada, Sekejap tak ada, nukilan Ebriza Aminuddin yang berada di atas almari lampu di sebelah katil. Novel ini baru dibelinya sebelum balik ke rumah tadi.

“Baca novel tak pening ke?” seloroh Rayyan membuatkan Aleeya tersenyum saja. Tak habis lagi memerli aku yer. Aleeya menyelak helaian yang ingin dibacanya. Baru sepuluh muka surat.

“Liya..,” panggil Rayyan apabila tidak mendengar suara isterinya. Aleeya diam saja. Mahu lihat reaksi Rayyan saja.

“Yang..,” sudah pun bertukar panggilan. Panggil lah sekali lagi, sebab panggilan itu membuatkan hati Aleeya bahagia saja. Indah telinga Aleeya mendengar.

“Aleeya sayangg..,” hahaha, lagi aku tak menjawab, mesti kau susah hati. Itu jangan tak mengaku yang kau sayangkan aku.

“Abang, Liya nak baca novel lah..,” ucapnya. Hilang lah tumpuan aku.

“Lain kali kalau abang panggil, boleh tak Liya jawab, abang tak suka lah cara Liya,” sudah terdengar suara marah dari Rayyan. Marah sungguh dia.

“Maaf, Liya tak buat lagi..,” pujuk Aleeya. Novel sudah ditutup. Lalu diletakkan atas batal saja.

“Bos Liya kata Liya cuti seminggu, nak ke mana?” soal Rayyan. Aleeya turun dari katil dan menghampiri suaminya di ruang tamu yang sedang menonton tv. Dia duduk di sebelah Rayyan. Susah kalau cakap duduk jauh-jauh, lagi satu suaminya seakan sengaja mahu mengajaknya berbual.

“Cuti lah, hari tu kita kahwin tak dapat pun bercuti panjang. Abang jadi tak cuti?” Kahwin hari itu hanya cuti tiga hari saja. Habis kenduri di rumah Rayyan terus masuk kerja kerana tidak dapat bercuti. Si Rayyan lagilah teruk,asyik kerja memanjang.

“Abang mana boleh cuti, sibuk lah. Banyak projek yang harus abang selesaikan!”

“Tapi abang dah janji dengan Liya nak bercuti..,” ucap Liya perlahan.

“Liya nak ke mana? Bulan madu? Abang dah cakap hari tu selepas selesai semua kerja abang, kita pergi lah!”

“Abang tak bawa Liya ke rumah mama dan papa pun!” ucap Liya. Aku hidup tidak seperti menantu orang lain. Sebaik saja nikah, terus tinggal di rumah sendiri. Tidak bermalam di rumah mentua seperti menantu-menantu yang lain. Hendak kenal dan bermesra dengan mentua pun tidak sempat. Tetapi teringat pertemuan di kelab malam tadi dan kata-kata yang menyakitkan hati dan mama membuatkan Aleeya sedar akan kedudukan dirinya. Mama tak suka aku kan?

Apa pun aku teringin juga nak mengenali ahli keluarga Rayyan, termasuk dengan mama dan papa suami aku ini? Jadi menantu, tanggungjawab berat kan kena hormati mama dan papa biarpun mereka tidak suka, kerana sudah termaktud di dalam islam, menantu perempuan wajib sayangi ibu dan bapa mentua, seperti keluarga kandung sendiri. Dan suami pula wajib taat kepada ibu bapanya sampai ke akhir hayat walaupun dia sudah ada isteri dan anak-anak. Berbeza dengan perempuan yang apabila sudah berkahwin, tanggungjawab pun beralih tempat. Aleeya tahu akan itu. Sebab itulah Aleeya hendak ke rumah mentuanya, kerana mahu berkenalan dengan mereka, kalau boleh mahu mengambil hati mama biarpun mama membenci Aleeya, tetapi sampai hari ini, Rayyan belum pernah menyebut mahu membawanya ke rumah mama dan papa. Kenapa? Ingin dia menyoal tetapi takut juga mengundang kemarahan di hati suaminya itu. Lagipun baru berkahwin sangat, jadi jangan lah menyibukkan diri.

Itu rumah keluarga Rayyan, di rumah abah di kampung pun, tidak pernah lagi pulang selepas aku bergelar isteri orang. Rayyan ni tidak mahu ke berkenalan dengan keluarga Aleeya di Anak Bukit? Nampak sangat bab kekeluargaan Rayyan gagal mentadbirkannya, atau zaman moden ini, anak muda sekarang sudah tidak pentingkan hubungan kekeluargaan lagi.

“Nanti-nantilah. Lagi pun mama dan papa tu sibuklah. Bukannya selalu ada di rumah!” alasan Rayyan. Mama dan papa kurang menyenangi kehadiran Aleeya, bukan kerana Aleeya orang kampung dan tidak setaraf dengan mereka tetapi kerana cara kehidupan Aleeya yang berbeza. Mama kalau boleh hendak menantunya seperti dirinya. Pandai bergaya dan berfesyen dan berfikiran moden. Aleeya bukan tidak pandai berfesyen, tetapi Aleeya pakai tudung. Mama nampak Aleeya seperti kolot sedangkan kalau boleh mama mahu Aleeya buka tudung dan hidup seperti mama. Kalau Aleeya boleh hidup seperti mama yang suka pergi ke kelab malam dan pergaulan bebas seperti mama dan papa tentu mama senang hati dan menerima kehadiran Aleeya dengan tangan yang terbuka. Silap hari bulan boleh jadi menantu kesayangan mama pun.

“Mama dan papa abang tak suka kan Liya ke?” pancing Aleeya. Aku tahulah. Keluarga kau memang tak suka kan aku.

“Liya...,”

“Memang kita ada perjanjian sebelum kita kahwin tapi abang yang batalkan perjanjian kita kecuali satu saja perjanjian yang masih kekal iaitu Liya tak boleh masuk campur urusan peribadi abang. Maksudnya Liya tak boleh menegur abang, tak boleh halang pergaulan dan hak kebebasan abang. Tetapi abang juga nak kita hidup seperti suami isteri yang lain. Liya memang tak faham dengan abang..,,” ujar Aleeya segera bangun. Syarat perjanjian sudah banyak yang dibatalkan oleh Rayyan sendiri. Aleeya tidak menyoal pun tentang itu sebab perjanjian itu adalah hal yang terlalu remeh untuk Aleeya.

Dia berjalan meninggalkan Rayyan seorang diri. Cuti untuk apa kalau tidak pergi ke mana-mana. Tak kan aku nak lepak seorang diri di rumah dan dia pula sibuk bekerja. Itu yang membuatkan Aleeya sakit hati dan menjadi bengang tiba-tiba. Kalau pergi kerja tentu orang sibuk bertanya kenapa datang bekerja pula. Hendak balik kampung seorang diri, lagilah abah dan mak rasa pelik sebagai orang baru pulang seorang diri. Mulut orang kampung lagilah bisa dari mulut rakan sekerja. Habis?? Tambahan lagi mulut mak long. Mesti mak long fikir yang bukan-bukan kalau lah Aleeya pulang tanpa Rayyan di sisi. Hari itu pun mak long sudah cakap yang bukan-bukan mujurlah ada Rayyan, kalau tidak mesti orang yang mendengar menuduh Aleeya buat jahat di Kuala Lumpur ini. Mak long, mak long, Aleeya tak akan jual diri Aleeya lah.

Liya kahwin dengan Rayyan pun tak minta wang hantaran yang tinggi melambung, wal hal Rayyan boleh beri lebih dari itu. Abah pun tak kenakan hantaran untuk Aleeya, hanya mas kahwin saja yang menjadi syarat utama. Tetapi rantai tangan dan cincin kahwin sudah menjadi buah mulut orang, sebab harganya berbelas ribu.

Rayyan mengelengkan kepalanya. Tak sukanya mendengar omelan orang perempuan. Buat semak telinga. Aleeya ni sudah lupa apa yang aku tak suka agaknya. Aku tak suka perempuan membebel lah.

“Liya, abang tak suka isteri abang suka berleter macam ini. Nampaknya abang kena letakkan satu lagi syarat iaitu isteri tidak boleh berleter macam Liya buat sekarang!” ugut Rayyan. Mata Aleeya terbeliak saja. Lupa ingatan kepada mak long seketika. Cakap sikit pun dah tak boleh.

“Letak lah sepuluh syarat pun, Liya tak kisah!” ucap Aleeya sambil menutup pintu dengan kuat tanda protes dengan tindakan Rayyan. Sikit-sikit syarat, marah sikit ugut dengan syarat segala, apa lah abang ni?

Pagi ini dia tidak bersuara. Selepas sembahyang subuh dan membaca al quran dan terus mengemaskan rumah. Rayyan memang tak solat tetapi dia tidak pernah menghalang Aleeya untuk bersolat dan membaca al quran, malah kalau Aleeya mahu bangun bersolat tahajjud di malam hari pun dia benarkan. Ini yang membuatkan Aleeya menghormati suaminya kerana suaminya memang mengizinkan Aleeya menunaikan kewajipan kepada maha penciptanya. Kalau lah Rayyan tidak mengizinkan dia bersolat, bagaimana agaknya? Tentu rumitkan? Malah Rayyan sering menegur Aleeya kalau Aleeya melambatkan solat. Huhuhu..

Indahnya kalau Rayyan mahu bersolat juga.

Aleeya membasuh baju dan menyiapkan sarapan pagi untuk suaminya kerana Rayyan sejak ada Aleeya lebih suka bersarapan pagi di rumah saja, tak mahu lagi makan di luar. Salah satu keistimewaan Aleeya adalah pandai memasak. Sedap masakan Aleeya berbanding dengan masakan di luar. Itu yang membuatkan Rayyan kagum tentang Aleeya. Selalu perempuan yang berkerjaya tidak sempat masak untuk suami, tetapi berbeza dengan Aleeya. Aleeya memang rajin bab memasak.

Rayyan tahu Aleeya kecil hati dengan sikapnya semalam kerana menuduhnya suka berleter. Nak kena pujuk Liya lah dulu, sebelum pergi kerja, hari ini Liya kan mula bercuti.

“Kalau Liya nak balik kampung, abang benarkan. Pergilah jumpa mak dan abah!” suara Rayyan seakan memujuk. Aleeya tidak bercakap.

“Liya!” panggil Rayyan. Dia tidak boleh pergi kerja kalau tidak mendengar suara Aleeya pagi ini. Rasa seperti hendak demam kalau bergaduh kecil dengan Aleeya.

“Abang kan tak suka Liya bercakap..,” ungkit Aleeya. Kan aku dah cakap, Liya merajuk kerana aku menegurnya. Hmm..

“Bercakap dengan berleter tidak samalah, sayang!” balas Rayyan sambil mengucup pipi Aleeya selepas itu barulah mengucup dahi Aleeya pula seperti kebiasaan setiap pagi dia lakukan kepada Aleeya.

“Liya hanya bercakap lah semalam bukan berleter pun. Liya pun tak suka berleter lah Encik Rayyan sayang!” ucap Aleeya. Sudah sejuk hati yang panas. Rayyan memang pandai memujuk pun.

“Hahaha.. pergilah bercuti ke mana-mana. Seminggu tak kan nak duduk kat rumah saja!”

“Abang benarkan Liya pergi bercuti seorang diri ke?”

“Yup. Pergilah!” kata Rayyan sambil menyuapkan nasi lemak sambal kerang ke dalam mulutnya, Aleeya memandang wajah Rayyan sampai tidak berkelip. Dia suka ke aku pergi bercuti seorang diri?

Macam tak sayang aku saja?

Huwaaa.. Rayyan ini memang lah manusia pelik, jerit Aleeya di dalam hati.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.