SPECIAL
TEASER 8
LELAKI itu melangkah
kemas menyusuri pantai yang beralun lembut dipukul ombak. Damai terasa hatinya
menikmati keindahan milik Yang Maha Esa ini. Biar selama mana pun, takkan
pernah dia jemu mencari ketenangan hakiki yang abadi sebegini.
Bersama sebuah
gitar di tangan, dia terus mengayun langkahnya menuju ke suatu tempat yang agak
terlindung dari orang ramai. Sememangnya dia memerlukan suasana begini untuk
menenangkan diri dari segala yang bersarang di fikiran.
Lelaki itu
kemudian menaiki sebuah batu besar dan mendaratkan duduknya di situ. Menikmati
angin pantai petang begini sungguh menyenangkan. Diselang-seli kicauan burung,
ternyata ia memberi lebih ketenangan. Seketika pandangannya dilontarkan jauh ke
dasar laut yang terbentang luas di hadapan. Sejauh ingatannya terhadap
seseorang di kala ini.
Sebuah keluhan
dilepaskan. Keluhan yang terasa sungguh menyesakkan. Kalaulah dia tahu cinta
akan rasa sakit begini, dia lebih rela untuk hidup menyendiri hingga hayatnya
mati. Seperti prinsip hidupnya yang dulu. Mungkin jika dia masih tegar dengan
prinsip itu, dirinya tidak akan menjadi seperti sekarang ini. Menjadi Tengku
Harrys yang beku hatinya terhadap perempuan itu dirasakan lebih mudah dari
menjadi Tengku Harrys yang inginkan kehidupan normal seperti kaum adam yang
lain. Mendambakan seorang hawa di sisi. Mencintai dan dicintai, tetapi akhirnya
cinta itu memakan dirinya sendiri.
“Perasaan cinta
yang kau rasakan tu tak bersalah, Harrys. Ia datang tanpa kau minta. Ia adalah
sebuah perasaan suci kurniaan yang Maha Esa. Sepatutnya kau rasa bersyukur
kerana diberi peluang untuk merasakan semua tu.”
Tengku Harrys
tersentak mendengarkan suara itu. Suara halus yang terbit dari dalam hatinya
sendiri.
“Jangan salahkan
diri kau sekiranya perjalanan cinta itu tidak seperti yang diharapkan. ALLAH
menghadirkan hidup kau dengan seseorang mungkin kerana dua sebab. Sama ada dia
ujian untuk kau atau dia adalah jodoh kau. Anggaplah ini satu ujian. ALLAH usik
hati kau dengan ujian sebab DIA rindukan kau. Dia rindu dengan suara kau menyebut
nama-NYA.”
Sekali lagi
suara halus itu berbicara, membuatkan Tengku Harrys meraup wajahnya.
“Ya ALLAH...”
Spontan nama itu meniti di bibir Tengku Harrys. Saat itu terasa separuh
daripada beban yang ditanggung ditarik keluar perlahan-lahan dari jasadnya.
“Hati kita milik
ALLAH, Harrys. Walau sekuat manapun sayang kau pada seseorang, simpanlah
sedikit ia di dalam hati. Supaya bila suatu ketika nanti kau diuji, kau tidak
akan terus rebah, sebaliknya masih ada kekuatan untuk kau bangun semula. Ingat!
Walau digenggam sekuat manapun, andai ia bukan milik kau, ia akan terlepas
jua.”
Suara itu terus
membisikkan kata-katanya pada Tengku Harrys. Entah mengapa, saat ini jiwa
lelaki itu terasa sebak. Adakah sudah tiba masa untuk dia melepaskan Irish
pergi dari hatinya? Mampukan dia?
“Tapi jika
sejauh manapun ia terlepas dari genggaman kau, andai ia memang sudah tertulis
untuk menjadi milik kau, ia pasti akan kembali semula ke pangkuan kau suatu
masa nanti. Jangan berhenti berdoa. Setiap yang berlaku ada alasannya. Dan kau
takkan pernah tahu apa yang telah tersurat di sebalik rencana-NYA.”
Seulas senyuman
kembali menghiasi bibir. Kata-kata akhir suara halus itu seakan memberinya
nafas baru. Dan selepas itu suara halus tersebut terus menghilang bersama bayu
yang berpuput lembut membelah langit petang.
Tengku Harrys
melirik gitar di sisi. Gitar kesayangan itu dicapai lalu dibawa ke ribaan.
Sesaat, petikan tali gitar mula kedengaran bersama suara nyanyian kecil
mengiringi desir pantai.
Selalu ku
mengharapkan kau akan segera pulang
Kau balik
seperti dulu menghapuskan rindu yang sering menghantuiku
Semenjak kau datang di hatiku sayang semua resahku hilang
Diriku bukanlah seorang yang mudah menyerahkan cinta semudah kata
Ku mendambakan
cinta indah seperti dulu
Kerna cintaku
tak pernah rasa jemu
Biar hati
bimbang aku terus menunggu
Benar kutahu kau
tak pernah jauh
Kau di
hatiku....
Petikan gitar
terhenti. Saat itu juga Tengku Harrys tersedar sang mentari sudah bersedia
menarik selimut malam membaluti tubuh.
** Teaser ini disertakan sekali bersama sebuah video.. You can watch the full video in my official FB, my blog, Wattpad and Youtube at https://youtu.be/YyYj9V-EfYU...