"APA?!" riak Irish benar-benar terkejut.
Reza terus kaku berpeluk tubuh merenung ke tasik terbentang di hadapan. Tidak berani bertentang mata dengan gadis di sebelahnya setelah khabar duka yang dibawa petang itu.
"Jangan nak berguraulah, Reza. Awak sedar tak apa yang awak cakapkan ni?"
"Saya tak bergurau, Irish. Ini bukan masanya untuk bergurau."
"Tapi kenapa? Berbulan lamanya awak hilang tanpa khabar berita. Saya macam dah separuh gila mencari. Tiba-tiba sekarang muncul, minta putus? Hmm? Apa benda semua ni?!" sedayanya gadis itu minimumkan suaranya dari pengunjung sekeliling.
"Maafkan saya, Irish. Semua ni berlaku di luar kawalan. Saya tak boleh nak buat apa-apa lagi. Keluarga saya tak restui hubungan ni."
"Kenapa? Sebab kita tak setaraf? Sebab saya anak orang biasa dan awak anak orang berada? Sebab tu keluarga awak tak boleh nak terima saya? Macam tu?"
"No, Irish. Bukan macam tu."
"Habis tu, apa?!"
Reza bungkam. Tidak tahu apa harus dijawab. Perlahan tubuhnya beralih menghadap Irish. Mata gadis itu ditentang. Dari raut rupa, dia tahu gadis itu sedang menahan amarah.
"Cakaplah. Kenapa diam? Kenapa baru sekarang nak sebut tentang semua ni? Kenapa tak dari dulu lagi? Waktu mula-mula awak nakkan saya dulu? Mentah-mentah saya tolak awak waktu tu, tapi awak berkeras cakap takkan ada masalah timbul. Sebab yakin keluarga awak sangat sporting, open minded untuk terima semua ni. Awak janji perkara ni takkan berlaku. Jadi... mana janji-janji tu!?"
"Manusia boleh berubah bila-bila masa."
Kornea Irish memasung tajam ke wajah Reza.
'Tidak berperasaan lagikah lelaki ini? Apa yang sudah merasuk fikirannya?'
"Mudahnya awak bercakap. Setelah saya dapat yakinkan keluarga untuk terima, kali ni... awak pula yang mengalah? Atau... awak sebenarnya dah tak sayangkan hubungan ni lagi. Cinta awak yang dah mati..."
"No! Irish... tolonglah faham keadaan saya."
"Habis, siapa pula yang nak faham keadaan saya? Lima tahun, Reza. Lima tahun saya cuba pertahankan hubungan ni. Saya turutkan segala kemahuan awak untuk rahsiakan hal ni dari keluarga awak, dari semua orang. Selama tu juga saya bersusah payah pujuk keluarga saya untuk restui hubungan kita. Sekarang, senang-senang awak suruh saya faham keadaan awak? Manusia jenis apa awak ni?!"
Kemarahan Irish kian tak terbendung. Sabarnya kian menipis. Lagi-lagi melihat Reza bagaikan tiada rasa bersalah apa-apa Kalaulah hanya mereka berdua saja di sini, mahu tangannya melayang singgah di pipi lelaki itu.
"Terpulanglah apa awak nak cakap, Irish. Saya tetap dengan keputusan saya. Hati keluarga saya lebih utama dan perlu dijaga saat ni. Anggap saja kita tak ada jodoh. Apa yang telah kita lalui selama ni, jadikan sebagai pengalaman hidup. Lagipun... keluarga saya dah aturkan kehidupan yang lebih baik untuk saya."
"Apa maksud awak?"
"Mereka dah temukan seorang gadis yang lebih sesuai sebagai calon isteri saya. Tapi maaf... bukan awak."
Zap!
Jantung Irish umpama direntap. Tubuhnya menggigil. Jemarinya digenggam erat. Empangan air mata sudah tidak kuat.
'Keluarlah kau air mata. Keluar saja. Tiada sebab untuk kau bertahan lagi!'
"Lepas ni tak usah kita berhubung lagi. Anggap saja kita pernah kenal sebagai kawan. Bukan kekasih," ucap Reza mengenakan kaca mata hitamnya dan berlalu melewati Irish.
"Reza..."
Langkah Reza terhenti, menghadap figura itu kembali.
"Awak mungkir janji-janji awak. Dan, awak lupa beban yang awak tinggalkan untuk saya." Hanya itu yang terluah di bibir Irish seiring renungan sayu ke raut lelaki itu.
Reza terpanar. Kata-kata itu mengundang debaran serentak. Renungan sayu Irish ditatap. Renungan yang sarat dengan seribu pengertian buatnya. Sesaat, jiwanya terusik. Namun ego yang tinggi mengatasi segala-gala.
Tidak mahu kalah dengan perasaan itu, dia berpaling semula. Ayunan langkah kembali direntak meninggalkan kekasih hati yang telah berubah 'takhta'nya.
Setitis air mata berguguran lagi di pipi Irish...
Sudah lebih setengah tahun ia berlalu. Selama itu jugalah dia berusaha melupakan segala kisah pahit yang telah berlaku.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kerana peristiwa itu, dia mengalami trauma yang teruk. Diri tak terurus. Semangat hilang. Otak bercelaru. Andai iman tak kuat, mungkin dia tidak mampu bertahan sehingga ke hari ini.
"ALLAH masih sayangkan Irish. Sebab itu ALLAH pendekkan jodoh Irish dengan Reza. Dia bukan yang terbaik untuk Irish. Mungkin ALLAH dah sediakan lelaki yang lebih baik buat Irish nanti. Insya-ALLAH... jodoh, pertemuan, hidup dan mati ni ALLAH SWT dah aturkan yang terbaik untuk kita. Banyakkanlah bersabar dan sentiasa ingat pada-NYA. Sentiasa solat dan mengaji kerana itu senjata sebenar kekuatan kita sebagai umat Islam.
ALLAH tidak akan menguji hamba-NYA lebih dari kemampuan sebenar kita. Umi percaya ada hikmah sebalik semua kejadian ini. Dan, umi tahu anak umi seorang yang tabah dan kuat. Jangan sedih-sedih lagi, ya? Tak ada guna bazirkan air mata untuk lelaki yang tak tahu nak menghargai wanita ciptaan Yang Esa seperti kita."
Masih segar pesanan Puan Qarina saat dia kehilangan arah dulu. Umilah yang banyak menyalurkan semangat dan kekuatan buatnya. Segala nasihat tak putus-putus keluar dari bibir.
Bahkan... dia bersyukur dikurnia ahli keluarga yang sangat menyayangi dan mengambil berat. Bantu pulihkan diri dan semangat. Tak jemu beri sokongan untuk dia bangun dari mimpi-mimpi semalam dan bangkit dari kelukaan itu.
Jika tidak, dia tentu masih terperuk di bawah selimut menangisi segala yang terjadi.
Atau mungkin melakukan sesuatu yang di luar kewarasan akal fikiran. Bunuh diri!
'Astarghfirullahalazim! Selisih empat puluh empat malaikat!' Dahi ditepuk beberapa kali memarahi diri sendiri.
"Uittt! Apahal kau ni, Rish? Tepuk-tepuk dahi sendiri bagai. Okey ke tak ni?"
"Isk, kak lang! Masuk bagi salam dulu, tak boleh? Terkejut orang."
"Dah bagi salam tadi. Siap ketuk pintu lagi. Kau yang tak dengar!"
"Bila kak lang sampai? Abang Afzal dengan budak-budak mana?" Irish bertanyakan abang ipar serta anak-anak buahnya, Aliefa Adelina dan Alief Amsyar.
"Ada tu kat luar dengan yang lain. Dah habis study belum? Esok mula final exam, kan?"
Menjadi rutin bila minggu peperiksaan bermula, Irish akan berkurung dalam bilik menelaah pelajaran. Cuma kali ini... Irma sedikit risau dengan keadaan adiknya.
Ibarat cubit paha kiri, paha kanan turut terasa.
Sungguh tak menyangka Reza yang selama ini nampak baik di mata, sanggup memperlakukan Irish sebegini sekali. Kalaulah dia punya kekuatan, mahu saja dia mengajar lelaki tak guna itu sepuas hati!
"Ada lagi sikit nak kena cover. Kak lang masuk bilik Irish ni kenapa?"
"Erm... err..."
"Sejak bila kak lang jadi gagap nak bercakap ni? Selalu berdesup aje ayat keluar."
"Hisy, sabarlah! Kak lang nak cakaplah ni. Err... Irish tahu tak fasal tu?"
"Fasal apa?"
"Ma... ma... majlis pernikahan Re... Reza esok."
"Oh... itu. Tahu dah."
"Hah? Irish dah tahu? Bila? Tahu dari mana? Siapa yang beritahu?" Bertalu soalan keluar dari mulut Irma. Duduk juga beralih dari atas kerusi terus bersila di lantai depan adiknya.
"Yang kak lang menggelabah semacam ni kenapa? Dah tu, berderet soalan ditanya. Mana satu yang Irish nak jawab ni?"
"Eh, dia ni! Orang risaukan dia, dia boleh gelak-gelak pula! Cakaplah. Macam mana Irish boleh tahu ni?" Irma penasaran. Rasanya tak ramai tahu tentang majlis pernikahan Reza esok lantaran diadakan secara tertutup. Cuma saudara-mara serta kenalan rapat keluarga saja.
"Siang tadi. Irish terdengar umi bersembang dengan ayah masa nak ke dapur ambil air. Terdengar tau. Bukan curi dengar."
"Habis...Irish okey tak ni?"
"Alhamdulillah, okey. Kak lang jangan risaulah. Irish dah lupa semua tu."
"Betul ni?" tanya Irma lagi bila figura di depan cuma bersikap tenang.
"Ya. Betul. Dahlah, kak lang! Lagi baik kak lang pergi tengok Adelin dengan Amsyar kat luar tu. Entah apa dia orang tengah buat agaknya."
"Halau nampak? Yalah, yalah! Baguslah kalau macam tu. Tak payah difikir sangat fasal jantan seorang tu. Buat sakit hati aje! Tutup buku lama, buka buku baru. Orang yang menganiaya ni tak selamanya akan aman. Dah sambung study tu. Jangan nak termenung aje!"
Irma Qatrina, anak ketiga dalam keluarga. Memang kakaknya itu sering pulang menjenguk keluarga memandangkan dia tinggal berhampiran. Sementara abang sulungnya, Izzul Qalief dan kak ngahnya, Iman Qistina yang tinggal agak berjauhan hanya sesekali pulang.
Masing-masing telah berkahwin dan berkeluarga. Tinggal dia serta dua adik lelakinya, Irhan Qawiem dan Irfan Qayyum masih di rumah ini menemani kedua orang tua mereka.
Irish kembali menyambung ulang kaji yang tergendala. Entah kenapa berita yang disampaikan Irma tidak terkesan langsung di hatinya. Malah sebulan yang lalu ketika berita pertunangan Reza sampai ke telinga melalui seorang rakan, dia hanya tenang mendengar.
Hendak menangis tidak, ketawa jauh sekali. Dia lebih senang berdiam diri walaupun pada mulanya dia yang begitu berat untuk melepas Reza pergi.
Ironinya... mimpi ngeri itu sangat meninggalkan kesan pada dirinya. Hingga hati menjadi tawar untuk mana-mana insan bernama lelaki, apatah lagi untuk jatuh cinta semula.
Biarlah. Biarkan keadaan kekal begini. Dia tidak mahu terluka lagi. Andai suatu saat nanti ALLAH bukakan pintu hatinya kembali untuk menerima cinta dan lelaki, dia redha.
Bila? Biar masa yang menentukan...
'Masih adakah sinar bahagia untuk kau kecapi bersama insan lain, Irish?'