SUASANA kediaman Encik Izzuddin riuh-rendah. Mana tidaknya, seluruh ahli keluarga berkumpul pagi Ahad itu. Puan Qarina figura yang paling sibuk di dapur sediakan sarapan dibantu anak menantu perempuannya.
"Angah, dah jenguk Irish dalam bilik tu? Dah siap ke belum? Karang lambat pula sampai U." Tangan Puan Qarina terus mengacau sambal sotong dalam kuali untuk dihidang bersama nasi lemak pagi ini.
"Dah, umi. Tengah bersiap tu. Kejap lagi keluarlah dia."
"Hmm... minta-minta eloklah dia ambil exam nanti. Pulanya majlis budak tu dibuat hari ni. Betul-betul ALLAH nak uji kita. Nasib baiklah Irish tak tahu fasal hal ni!"
"Irish dah tahu pun!"
Semua mata deras tertumpu pada Irma. Terhenti terus tugasnya mengelap pinggan. Sedar diri sudah terlajak kata.
"Semalam. Dia terdengar umi sembang dengan ayah fasal hal tu masa dia nak ke dapur. Irish yang beritahu kat alang malam tadi."
"Habis Irish macam mana, lang?" tanya Safiya bimbang.
"Entah. Elok tenang aje alang tengok. Siap boleh gelak-gelak lagi. Alang pula yang terlajak risaukan dia. Tapi itulah... luaran aje nampak okey. Dalam hati, kita tak tahu. Yang alang boleh cakap, dia dah lupakan semuanya dan dah move on."
Puan Qarina mengeluh perlahan. Itulah... cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Nak buat macam mana? Terlajak perahu bolehlah juga undur. Terlajak kata, badan sendirilah yang tanggung.
"Umi, sudahlah tu..." Iman memaut lembut bahu Puan Qarina. "Angah tahu Irish tu kuat. Kita sendiri tengok macam mana kentalnya dia untuk bangkit kuat macam sekarang. Apa yang boleh kita buat cuma terus berdoa dan bagi semangat supaya dia tak down lagi, ya!"
"Inaaa! Dah siap ke semua sarapannya? Anak cucu dah lapar dah ni. Abang jangan cakaplah... dah berkeroncong habis perut ni!" laung Encik Izzuddin tiba-tiba dari ruang makan.
Apalagi... menggelabah tak tentu arah masing-masing sudahkan kerja di dapur!
"IRISH mana? Tak nampak-nampak dari tadi?"
Seisi penghuni di meja makan saling berpandangan.
"Ada ni, ayah."
Kelibat yang dicari muncul jua di ruang berkenaan. Kelihatan sudah bersiap untuk ke universiti. Nasiblah... dapat jadual periksa jatuh pada hari Ahad. Hari pertama pula. Orang lain duduk bersantai rehat di rumah, dia pula terpaksa memerah otak di hujung minggu.
"Duduk sarapan dulu, Irish."
"Irish dah lambat, umi. Nanti terlewat sampai pula."
"Duduk dulu, Irish. Jamah sikit sarapan ni. Awak nak ambil exam. Karang tak berjalan otak dengan perut kosong tu." Izzul sudah menarik kerusi di sebelahnya. Sempat mata menangkap susuk tubuh adiknya yang ketara kelihatan susut.
Kali ini Irish menurut. Kalau sudah along yang berkata-kata... siapa berani bantah? Dijamah sedikit kuih-muih bersama secawan teh 'O' panas buat mengalas perutnya. Selesai, satu-persatu ahli keluarga disalami.
Sampai pada giliran uminya... zap! Tubuhnya dipeluk erat tiba-tiba wanita itu.
"Maafkan umi ya sebab rahsiakan hal Reza. Umi cuma tak mahu Irish terganggu. Jangan difikirkan sangat apa yang berlaku hari ni. Exam Irish lebih penting."
"Tak ada apalah, umi. Irish okey. Jangan risau." Irish melerai pelukan. Kedua belah pipi Puan Qarina dicium penuh kasih.
"Okey, semua! Irish pergi dulu. Doakan, ya!"
Hilang saja bayang Satria Neo dipandu gadis itu...
"Irish dah tahu ke?" Encik Izzuddin menghampiri isterinya.
Semua mata kini tertumpu pada Puan Qarina. Sedetik, wanita itu mengangguk lemah. Keluhan-keluhan kecil seraya terbit dari yang lain.
Puan Qarina kesat air mata yang mula tumpah. Pilu hati mengenangkan nasib Irish.
Bagaimana nanti anak itu dapat menghadapi kemelut hidup dalam usia mudanya? Masih kuatkah untuk menempuh berbagai lagi dugaan penuh berliku-liku di depan sana?
Wanita itu pejam mata. Tak sanggup untuk membayangkan.
FIGURA lampai itu bersandar di luar dewan. Memeluk buku-bukunya dalam menungan panjang. Masih tergambar riak wajah keluarganya sewaktu dia keluar rumah tadi.
Tampak risau. Risaukan dirinya yang mengambil peperiksaan dalam keadaan dia telah mengetahui tentang perkahwinan Reza hari ini.
Bohonglah kalau dirinya tak terkesan. Tetapi fokusnya pada peperiksaan melebihi fikirannya tentang lelaki yang tidak punya pendirian itu.
'Biarlah... kalau itu yang kau mahukan. Cuma aku harap kau takkan menyesal dengan jalan hidup yang telah kau pilih ni, Reza.'
Suasana di luar Dewan Seri Budiman UiTM semakin lengang. Semua pelajar rata-rata sudah beransur meninggalkan dewan. Cuma kelibat orang yang dinanti masih tak kelihatan.
"Mana pergi budak seorang ni, ya? Dari tadi tak nampak batang hidung dia."
Lewat minit tercari-cari, akhirnya Irish putuskan untuk pulang sahaja. Kaki segera diayun meninggalkan kawasan dewan ke tempat letak kereta.
Pap!
Separa kuat bahunya ditepuk dari belakang. Buku dalam pegangan habis terlepas jatuh ke bawah berselerakan.
"Kau... kalau tak kejutkan aku macam tu... tak boleh, ya?!" soal Irish geram. Perlahan dia melutut, buku-bukunya diambil semula.
"Boleh! Tapi sebab aku suka tengok muka kau bila kalut macam tu, itu yang syok sikit kalau aku sergah!"
"Kan? Suka?"
"Sukalah! Dapat tengok muka kalut kau yang comel!"
Irish gumam bibir. Sebal melihat gadis di depan tertawa suka.
Athirah, sahabat baiknya sepanjang menuntut di UiTM. Memang itulah satu-satu rakannya semenjak dari zaman diploma. Hinggalah sambung ke ijazah, mereka masih bersama.
Pendek kata... di mana ada Athirah, di situlah ada dia.
"Kau pergi mana tadi? Puas aku cari sebelum masuk dewan."
"Sorry, Rish. Aku dah gerak awal tadi. Tapi terlupa bawa kad matrik, patah baliklah!"
"Asyik lupa aje, kan? Esok ada boyfriend, boyfriend pun asyik kena lupa agaknya."
"Isk! Yang tu mana boleh lupa. Nanti boyfriend lari, susah!" seloroh gadis itu selamba.
"Kau datang naik apa tadi?"
"Aku tumpang housemate aku. Tapi, dia ambil exam kat tempat lain."
"So, balik ni?"
"Naik dengan kaulah! Macam tak faham!"
"Manalah tahu kau nak keluar jalan-jalan cuci mata cari boyfriend dengan dia lepas ni."
"Amboi, amboi! Sedapnya mulut tu berkata!" Athirah bercekak pinggang. Dengan perlahan gadis itu menghampiri Irish. "Tapi kan... kalau kau yang nak bawa jalan-jalan, aku on aje. Kut betul terjumpa seorang dua mamat yang boleh buat calon!"
Membulat mata Irish. "Kan? Kau memang pantang kalau disebut. Dan-dan itu kau terus ajak, kan?"
"Nasib kaulah Irish dapat kawan macam aku!" Athirah terus berlalu ke pintu kereta sebelah pemandu. "Yang kau tercegat lagi apahal? Nak pergi ke tak nak?"
"Yalah, yalah!"
Proton Satria Neo merun itu bergerak laju meninggalkan pekarangan universiti.
"SO... apa rancangan kau lepas ni, Rish?" soal Athirah dalam langkahan mereka di dalam pusat membeli-belah SACC di Bandaraya Shah Alam itu.
"Aku ingat nak kerja dulu. Ada rezeki nanti, insya-ALLAH nak sambung Master."
"Samalah. Aku pun terfikir macam tu. Tapi, sebelum kerja aku nak balik kampung sekejap. Jenguk keluarga. Sebulan lebih tak balik sebab exam. Rindu dah kat dia orang tau!" luah Athirah tersenyum sambil terbayangkan ahli keluarganya di Melaka.
"Baguslah. Apa-apa pun, keluarga yang paling penting. Jangan pernah lupakan mereka. Dia orang yang selalu ada dengan kita walau apa pun terjadi," bicara Irish penuh makna.
"Jomlah kita pergi makan, Rish. Penat pula berjalan kalau tak shopping apa-apa ni."
"Tahu pun penat. Tapi bila shopping, makan pun langsung dah tak ingat!"
"Macamlah kau tak kenal kawan kau yang hantu shopping ni! Hurmm... nampak gayanya macam tak ada rezekilah kita nak jumpa calon suami kat sini hari ni, Rish!"
"Hai... ada hati juga nak mencari ke? Ingatkan lupa dah."
"Mestilah! Mana tahu antara lelaki dalam shopping mall ni, dia orang tu jodoh kita!"
"Dahlah, Cik Athirah. Jangan nak berangan."
"Kau jangan, Rish. Masin mulut aku ni karang."
"Untunglah kalau ada. Eh, Ira... aku nak pergi ladies sekejap. Kau tunggu, ya!"
Haluan Irish pantas dihala menuju ke tandas berhampiran. Pandangan hanya tertunduk ke lantai jubin yang berkilauan dek pantulan cahaya lampu dari siling atas.
"Ouch!"
Irish memegang bahunya. Tanpa sengaja, dia telah melanggar seseorang. Agak kuat hinggakan beg-beg kertas di tangan lelaki di depan terlepas jatuh ke lantai.
Dalam kalut, gadis itu mengutip semula beg-beg tersebut. Diserahkan kembali kepada pemiliknya tanpa mengangkat wajah. Punyalah takut dia hinggakan tak berani memandang wajah lelaki itu. Dia tahu, salahnya.
"Maaf!"
Empat puluh lima darjah Irish menunduk tubuhnya sebelum buru-buru beredar.
Lelaki tadi masih terkaku di tempatnya sehinggalah susuk dalam renungan menghilang dari radar penglihatan. Termangu dia seketika.
'Tak sempat nak jawab dah lari? Takut benar!'
Dalam ukiran senyuman, figura tinggi itu menggeleng kepala sambil mengorak kembali langkahnya.