HYUNDAI Sonata putih itu bergerak perlahan menyusuri jalan raya. Pagi-pagi begini memang bersusunlah kenderaan bergerak ke destinasi masing-masing. Lebih-lebih lagi hari Isnin.
"Dah ready ke nak temuduga hari ni?"
"Dah, long. Insya-ALLAH."
Izzul mengerling adiknya yang tegak bersandar. Mata setia merenung ke luar tingkap. Jemari kiri dan kanan bertaut kejap. Dia pasti kalau disentuh, dinginnya tentu-tentu bak air batu Kutub Selatan.
"Rilekslah, Rish. Tak payah fikir sangat. Cuma temuduga aje pun. Masuk bilik, duduk, then jawab apa yang dia orang tanya. Dah selesai, keluar. Ada rezeki... adalah. Kalau kawan along tu yang jadi interviewer, memang alhamdulillah jawabnya!"
Deras Irish menoleh. "Kenapa?"
"Sebab dia memang sporting and simple. Dari masa belajar dulu. Tak ada nak buli-buli ke apa, walaupun selalu jadi leader. Kalau dia rasa orang tu okey dan layak, dia takkan cakap banyak. Sebab tu semua orang suka cara dia. Cuma, satu yang dia pantang."
"Apa dia?"
"Dia tak suka orang yang berlagak dan cakap besar. Itu paling pantang! Bukan setakat dia aje, semua keluarga dia macam tu. Walaupun keturunan dia orang bukan calang-calang."
"Along memang rapat dengan dia ke? Maksud Irish kawan along tu. Siapa namanya?"
"Tengku Hafiy Daiem. Tapi kawan-kawan biasa panggil Hafiy aje. Dia tak suka sangat orang panggil dengan gelaran tu. Sebab tu along boleh ngam dengan dia sampai sekarang. Perangai pun lebih kurang. Dengan keluarga dia pun along dah kenal. Selalu juga lepak dan bermalam kat rumah dia. Tapi masa belajar dulu-dululah."
"Tapi kenapa dia belajar kat UPM, ya? Sedangkan kawan along tu boleh pilih tempat yang lebih setaraf dengan kedudukan dia?"
"That's a good question. Bukan Irish aje, ramai yang tanya soalan tu. Jawapan Hafiy senang.... dia nak merasa life macam orang biasa. Belajar kat IPTA, bergaul tanpa mengira kawan. Tapi bila sambung Master terpaksalah ikut kata orang tua sambung kat luar negara."
Tekun Irish mendengar Izzul bercerita tentang rakan baiknya, juga merupakan anak kepada pemilik syarikat yang akan dia hadiri temuduga pagi ini.
"Along rasa sempat ke kita sampai sebelum pukul 9.00? Dengan jammed macam ni."
"Sempat-sempat. Jangan risaulah. Irish duduk aje diam-diam kat sebelah."
Tumpuan Izzul kembali ke pemanduan. Dia sudah biasa dengan keadaan sesak begini. Dulu sebelum berkahwin dengan Safiya, lebuh raya ini yang selalu dia guna untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja di Petaling Jaya.
"Al right. We are here!"
Tepat jam 8.40 pagi, kereta Izzul akhirnya tiba di hadapan sebuah bangunan.
"Good luck! Dah selesai nanti call along."
"Baik, long."
Huluran salam Irish disambut. Kepala adiknya disentuh lalu dikucup seperti selalu.
"Jangan lupa pesan umi. Selawat banyak-banyak!"
"Yes, sir!"
Langkah langsung diayun gadis itu menuju ke arah bangunan di depan. Kepala tunduk memerhati tiap gerakan kaki yang menapak.
"Aduh!"
Irish terjerit kecil. Fail di tangan terlepas jatuh ke bawah. Bahu yang terasa sengal dipegang seketika.
'Asal nak cepat, masa inilah nak berlanggar dengan orang, kan!'
Failnya yang terjatuh diambil semula. Tubuh dipaling menghadap orang yang dilanggarnya.
"Maaf!"
Tertunduk tubuh lampai itu seiring kata maaf yang diucap. Tanpa memandang wajah yang dilanggar, ayunan langkah segera disambung semula. Dirinya benar-benar hendak cepat.
Dan... bening redup itu hanya merenung Irish terus berlalu tanpa melihat padanya.
'Tak cukup handsome agaknya aku sampai dia tak nak pandang!'
Susuk tinggi itu berpaling seraya mengatur langkah kembali. Kaca mata 'Ray Ban' hitam dikenakan semula bersama kuntuman senyum yang memekar di bibir.
HAIYAN HOLDINGS.
Terpampang sebaris nama yang cukup gah sebaik melangkah ke lobi. Se'gah' bangunan tujuh belas tingkat tempat dia berpijak sekarang ini. Kemodenan dan kecantikannya membuat setiap mata pasti terpegun menikmati.
"Assalamualaikum, cik. Boleh saya bantu?"
Irish terkaku. Pandangan tak lepas dari wajah di kaunter penyambut tetamu.
"Boleh saya bantu cik?" soal gadis itu lagi dalam ramah tersenyum.
"Err... ya, ya. Saya datang untuk temuduga hari ini."
"Cik ada bawa surat?"
"Oh, ada. Ini..."
Surat bertukar tangan. Selesai membaca, surat kembali diserahkan.
"Sila ikut saya, cik."
Irish menuruti langkah gadis genit di depan. Masuk ke dalam lif, punat ditekan... langsung ia terus bergerak mendaki bangunan. Tiba di tingkat tujuh, pintu lif kembali terbuka.
Dari jauh jelas tulisan 'Human Resource Department' menandakan tingkat tersebut adalah Jabatan Sumber Manusia. Di sini mungkin dia akan ditemuduga.
"Cik boleh duduk di sini dulu, ya. Kejap lagi ada staf akan datang uruskan temuduga cik dengan calon-calon lain di sini."
Irish melabuhkan duduk. Nafas ditarik dalam-dalam. Mata turut dipejamkan.
Teringat malam tadi saat dia mengkaji profil syarikat ini. Apa yang diketahui, Syarikat Haiyan Holdings merupakan milik bumiputera sepenuhnya. Diasaskan oleh pemilik syarikat ini sendiri, iaitu Tuan Haji Tengku Haiyan. Sebuah syarikat pembinaan kelas A, menerima projek membina bangunan tinggi dan projek yang bernilai lebih RM10 juta.
Selain itu, Haiyan juga punyai beberapa anak syarikat di bawah selianya yang mengurus projek berkelas sederhana dengan nilai tidak mencecah hingga puluhan juta ringgit.
Irish mengeluh. Serasa tidak layak untuk dia berkhidmat di syarikat besar seperti ini. 'Betul ke apa yang kau buat ni, Irish?'
"Assalamualaikum dan selamat pagi semua."
Pelupuk bening gadis itu terbuka semula.
"Selamat datang ke Haiyan Holdings. Terima kasih telah hadirkan diri untuk temuduga hari ini. Sebentar lagi anda akan dipanggil mengikut giliran. Harap semuanya bersedia. So... wish you all the best of luck! Kita jumpa di dalam nanti."
Lelaki itu mengakhiri kata-kata dengan senyuman manis. Lembut dan tenang saja bicaranya. Sut hitam tersarung di tubuh menambahkan lagi karismanya sebagai salah seorang pegawai di sini, mungkin.
Sesi temuduga bermula tepat pukul 9.15 pagi. Seorang demi seorang calon dipanggil masuk ke dalam bilik. Irish semakin gelisah.
"Allahumma salli 'ala saiyyidina Muhammadin, wa 'ala aali saiyyidina Muhammad."
Berulang-kali selawat membasahi bibir. Pesanan umi yang dititipkan alongnya. Moga bisa mereda amukan di dada yang semakin meresah dan menggila.
"Cik Irish Qiara. Silakan masuk."
Dengan lafaz bismillah... figura lampai itu berjalan memasuki bilik temuduga.
"Assalamualaikum."
Tiga pasang mata serentak mendongak memandangnya.
Usai diberi arahan, Irish berlabuh duduk berhadapan mereka. Dua lelaki, seorang wanita. Dan, salah seorangnya adalah lelaki yang berucap di luar tadi.
TENGKU HAFIY DAIEM TENGKU HAIYAN
Gulp!
Irish telan liur. 'Ini ke Hafiy kawan along tu?'
"Cik Irish Qiara binti Izzudin?"
Lelaki bernama Tengku Hafiy itu merasmi suasana.
"Iya, saya."
"Awak lulusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kewangan dari UiTM Shah Alam?"
"Ya, betul."
"Fresh graduated?" wanita ber'tag'kan nama Puan Zarina Azman mencelah serius.
"Err... ya. Baru saja graduated Disember tahun lepas. Baru ingin mencari pengalaman jika diberi peluang."
"Awak takut ke, Cik Irish?"
"Hmm?"
Senyuman Puan Zarina perlahan memekar di wajah. "Jangan takut. Tenang aje. Saya tak makan orang. Muka saya memang macam ni. Nampak garang, tapi dalam hati... ada baik!"
"Puan Zarina ni saja nak gertak awak, Cik Irish. Gertak manja-manja!" pegawai lelaki bernama Mikhail Firdaus mencelah, buat seisi bilik itu tertawa.
"Oh. Tak... tak apa."
Irish melepas lega. Sedikit keyakinan mula bertamu dalam dirinya.
"Okey. Tengok awak pun dah tenang sikit, bolehlah kita mulakan sekarang. Baik, Cik Irish. First of all... please introduce yourself to us." Tengku Hafiy memula sesi temuduga.
Baru beberapa minit bersemuka dengan gadis di depannya, hati Tengku Hafiy mula tertarik dengan personaliti serta perwatakan Irish. Sikapnya yang merendah diri, lembut bicara, tingkah penuh sopan membuat dia rasa selesa dan senang.
Satu lagi...
Semacam ada tarikan pada gadis itu yang mengingatkan dia pada seseorang.
Memasang harapan agar pertemuan ini bukan yang terakhir, Tengku Hafiy seakan sudah temukan calon yang tepat untuk temuduga yang belum pun lagi tamat. Namun, dia sedar... keputusan bukan terletak di tangannya seorang