Home Novel Cinta LELAKI ITU DIA
Bab 20

MATA dijegilkan pada Shana bila gadis itu begitu berani menantang pandangannya. Langsung tak terpalit rasa takut. Yang ada hanya rupa meluat. Air muka yang tak pernah Shana tunjuk ketika sibuk mengejarnya. Kalau dibiarkan, mungkin Shana tak akan teragak-agak untuk mencekik lehernya.

“Jom pergi klinik,” ajak Thaqif tiba-tiba.

Meletus ketawa Shana tiba-tiba. Berair-air matanya disebabkan ketawa yang bersungguh-sungguh.

“Ketawa kenapa? Saya ada buat kelakar ke?”

Shana menggeleng tapi dalam masa yang sama dia tetap juga ketawa. Geli hati dengan kerisauan Thaqif yang nyata tak bertempat.

“Awak nak suruh doktor ketawakan saya ke bila saya pergi klinik dengan luka sebanyak ni?”

“Kenapa doktor nak ketawa?”

“Helo... kalau kucing tengok saya luka kecil macam ni, tapi sampai pergi klinik bagai, kucing tu pun ketawalah. Kalau nak bagi cadangan tu biarlah bernas sikit. Jangan nampak sangat yang awak tu...” Kata-kata sengaja dihentikan. Tak boleh diteruskan jika tak mahu Thaqif semakin berangin dengannya. Mana ada orang yang suka dikata bodoh, apalagi oleh perempuan.

“Saya apa?” Terkacip gigi Thaqif. Tak perlu diteruskan dia tahu apa ayat seterusnya. Budriz dan Yasmin selalu menggunakan kata-kata itu untuk menggambarkan sesuatu yang tak masuk akal.

Budak-budak sekarang memang suka bercakap benda-benda yang jahat ke?

Tapi soalnya, budak-budak ke mereka bertiga?

“Awak nak kata saya bodoh kan?”

“Mana ada. Saya tak cakap apa-apa pun. Awak tu jangan nak prasangka tak tentu pasal dengan saya. Tak pasal-pasal pahala awak semua dapat kat saya nanti. Dah terpaksa awak buat pahala yang lain untuk cover balik. Memanglah nak dapat pahala tu senang kalau kita ikhlas. Tapi nak dapat dosa lagi senang,” kata Shana tenang. Segan pula dia bila Thaqif tahu apa yang mahu disampaikan.

“Tak payah nak ustazah sangatlah,” tempelak Thaqif geram. Pandai pula Shana menjawab panjang lebar. Minggu lepas hendak mengangkat muka memandangnya pun bagaikan ada mata diikat di kedua-dua kelopak mata. Kalau tahu begini, tak mahu dia datang tadi.

“Dahlah... berhenti merepek!”

“Siapa yang merepek? Bukan awak ke yang suka sangat makan kerepek pisang tanduk tu?”

“Apa-apa ajelah Encik Syed Thaqif. Saya kena pergi sebab kepala saya dah pening. Terima kasih sebab tolong saya tadi. Kalau tak, sekarang ni saya mesti dah dipanggil ar...”

“Mengarut apa ni?” pintas Thaqif pantas. Kurang senang dengan kata-kata Shana.

“Mati tu...”

“Diam!” marah Thaqif sedikit keras. Sekali lagi dia mencaras kata-kata Shana.

“Saya bercakap benda yang betul. Ajal maut, jodoh pertemuan semuanya ALLAH yang tentukan. Awak, saya... kita semua tak tahu bila masanya kita akan dipanggil menghadap DIA. Sedia atau tak, masa kita tetap akan sampai juga. Hanya cepat atau lambat, itu yang kita tak tahu.”

Terkelu lidah Thaqif. Kata-kata Shana yang lancar tentang hakikat hidup dan mati memukaunya. Gadis itu langsung tak sama dengan Shana yang dulu. Shana yang sanggup mengetepikan rasa malu seorang perempuan, demi mengejar seorang lelaki yang tak dikenali. Motif Shana, sampai ke hari ini dia tak tahu kerana dia langsung tak melihat adanya kesungguhan pada gadis itu terhadapnya.

Kalau betul sukakan dirinya, tentu Shana meraung bila diperkenalkan dengan Yasmin. Tapi gadis itu, hanya tenang-tenang saja.

Siapa Shana yang sebenarnya?

Melihat Thaqif yang terpaku, Shana mengambil keputusan untuk pergi. Lama benar rasanya dia dan Thaqif berdiri di tengah-tengah panas. Urusannya dengan Thaqif juga sudah selesai. Kata terima kasih sebagai tanda penghargaan juga telah diluahkan. Dia tak berhutang apa-apa dengan lelaki itu.

Namun belum pun sempat Shana melangkah, lengannya yang berlapik kain digapai Thaqif. Dicengkam erat-erat. Sakit hati kerana diketawakan Shana bergabung dengan sikap endah tak endah gadis itu pada kebajikan diri sendiri. Padahal, dia benar-benar ikhlas mahu membawa Shana ke klinik.

“Hoi... hoi... lepaslah!”

“Bahasa tu jaga sikit ya. Jangan nak berhoi-hoi dengan orang, apalagi bila orang tu lebih tua daripada awak.”

“Hei...”

“Ada tak orang cakap pada awak yang awak sangat kurang ajar sebab panggil orang dengan panggilan hei?”

“Lepaslah!” pinta Shana sambil meronta-ronta. Kepalanya sudahlah pening, Thaqif pula membuat perangai.

“Tak nak!”

“Saya kata lepas tu maknanya lepaslah. Awak tak takut ke kalau Yasmin marah bila tengok awak pegang tangan saya?”

“Dia tak kisah sebab dia bukan jenis cemburu. Dia percaya apa juga yang saya buat. Jadi... sila berhenti menggunakan nama dia okey!”

Makin panjang langkah yang Thaqif ambil. Sekali pandang, dia bagaikan mengheret Shana bersama-samanya. Dibuat seperti pencuri yang tertangkap ketika sedang mencuri dan kemudian mahu dibawa ke balai polis. Tak mahu terus berlembut dengan Shana bila gadis itu sendiri memang jenis keras kepala.

“Kita nak ke mana ni?”

“Hari-hari awak lalu jalan ni selama berbulan-bulan dan sekarang awak buat-buat tak tahu pula. Kenapa, lepas jatuh tadi ingatan awak dah hilang terus ke?” sindir Thaqif. Jujurnya, dia berasa bersalah. Sepatutnya selepas berjaya mencapai lengan Shana tadi, dia harus memegang erat-erat. Tapi kerana panik, mudah saja tangannya terlepas. Akibatnya, dahi Shana menjadi mangsa.

“Kata nak pergi klinik tadi?”

“Tak payah! Nanti yang kena ketawakan bukan awak aje, dengan saya-saya sekali. Biar saya aje yang jadi doktor awak hari ni.”

“Tak payahlah. Saya boleh ubat sendiri.”

“Jangan degil boleh tak?”

“Suka hati!”


MELEPASI beberapa meja yang rata-rata memandang ke arah dia dan Thaqif, Shana hanya tunduk. Malu. Sudahlah ini pertama kali dia menjejakkan kaki ke sini. Melangkah pun sambil dipegang Thaqif. Dia dibuat lelaki itu seperti orang yang hilang upaya diri. Sedangkan, anggota tubuhnya sihat. Yang luka, hanya dahi dan itu pun sangat sedikit.

“Kalau Min dan Budriz tahu, mana aku nak sorok muka?” bisiknya perlahan.

“Cakap apa?” tanya Thaqif sambil terus melangkah melepasi meja Sakinah.

“Mana ada cakap apa-apalah.”

“Ingat saya pekak ke?”

“Saya memang harap awak pekak pun!”

“Dasar kejam!”

Bibir Shana mencebik. Namun hatinya lega saat mereka masuk ke sebuah bilik pejabat yang sederhana besar. Tampak ringkas dan moden dengan warna biru yang tak begitu terang dan malap. Di tengah-tengah dinding di sisi kanan, ada gambar Thaqif yang sedang tersenyum. Di sisi kanan ada gambaran sebuah keluarga yang sangat gembira.

Dia dan keluarganya, bila kali terakhir bergambar begitu?

Sungguh... ada sedih bergayut di hatinya ketika ini.

“Duduk sini,” arah Thaqif sambil menolak sedikit bahu Shana supaya duduk di sofa dengan menggunakan pen di atas meja.

“Tak payah tolak-tolak boleh tak? Ingat saya lembu ke?”

Dahi Thaqif berkerut. “Apa kaitan dengan lembu pula ni?” Aneh-aneh saja Shana ini.

“Yalah... lembu setiap kali nak suruh masuk kadang, mesti kena diacah-acah dengan kayu atau ranting. Kalau tak, teruslah meragut rumput dari pagi sampai ke malam membawa ke pagi semula.”

“Nenek kebayan pun tak membebel macam awak!”

“Saya bukan nenek kebayan!”

“Nenek kebayan tengok awak pun dia takut. Ingat ya... awak jangan berani tinggalkan bilik ni. Kalau saya tengok awak tak ada sekejap lagi, saya akan cari awak sampai ke lubang cacing. Awak tak kenal lagi siapa saya. Jangan ingat selama ni saya ikut aje apa kehendak awak, saya takut dengan awak. Jadi jangan sesekali bermain api,” ugut Thaqif serius.

Kemudian dia keluar mencari Sakinah kerana gadis itu tadi dilihat tekun menyiapkan kerja. Mungkin takut jika dia memaksudkan kata-katanya tadi. Sedangkan niatnya hanya menakut-nakutkan semata-mata. Bekerja sehingga lewat, malam memang tak diamalkan di Semarak Sdn. Bhd. milik mereka. Kecuali, jika keadaan benar-benar mendesak.

“Pekerja yang cukup rehat dan kasih sayang keluarga akan menghasilkan kerja yang cemerlang”

Itu prinsip Syed Faruq dan dia sangat bersetuju kerana baginya, yang dinamakan kerja itu tak akan pernah habis. Tak perlu terlalu dikejarkan sangat!

“Sakinah...” panggil Thaqif perlahan.

Sakinah angkat muka. “Tadi tu yang bos heret macam anak ayam, kakak yang kerja dekat Kedai Buku Kasih, kan?” Tersengih-sengih dia di hadapan bosnya itu.

Anak ayam? Budak inilah!

“Tak payah sibuk. Ambilkan first aid kid, saya nak guna.”

“Bos sakit ke? Biar saya tolong bawa bos ke klinik,” tawar Sakinah gusar.

“Tak payah nak baik hati sangatlah.”

“Eh... bos ni! Saya buat baik bos marah, saya buat jahat lagilah bos tak berkenan. Dah tu saya nak buat apa?”

“Berhenti bercakap dan pergi ambil first aid kid tu sekarang juga!”

“Okey. Okey. Saya pergi sekarang!”

Macam lipas kudung Sakinan berlari menuju ke pantri. Dalam sekelip mata dia sudah berdiri di hadapan Thaqif dengan nafas tercungap-cungap.

“Lambat!”

“Itu yang paling cepat saya boleh lari. Kat sekolah dulu saya tak pernah dapat nombor satu setiap kali masuk pertandingan lumba lari, bos.”

“Terima kasih,” ucap Thaqif. Malas terus mendengar omelan Sakinan yang seperti bertih jagung. Namun dalam ramai-ramai staf di Semarak Sdn. Bhd., itulah satu-satunya staf yang paling disenangi. Gadis itu meskipun kadang-kadang lurus, kerjanya rajin dan selalu bercakap jujur. Mendekatinya semata-mata kerana dia bos, bukannya seperti sebilangan staf yang sering mengendeng kerana kedudukannya di sini dan siapa dirinya.

“Dekat sikit,” pinta Thaqif. Dia sudah bersedia mahu membersihkan luka Shana.

“Saya buat sendiri,” tegah Shana.

Sebetulnya, selepas pertemuan dia, Thaqif dan Yasmin, dia tak tahu bagaimana hendak berhadapan dengan Thaqif. Meskipun hanya berlakon, malunya pada lelaki itu tetap terasa. Lantaran itu, dia selalu memastikan yang dia dan Thaqif tak akan terserempak di mana-mana.

“Biar saya yang ubatkan. Tolong jangan degil macam budak-budak boleh?”

“Malulah saya kalau awak dekat-dekat dengan saya.”

Dalam renungan Thaqif pada Shana. Diam-diam, dia cuba mengamati rupa gadis itu. Tak percaya, selepas lima minggu, hari ini dia dapat duduk sedekat ini dengan Shana. Sangkanya, segala-galanya telah berakhir. Tapi biarlah. Untuk hari ini dia mahu berbakti pada gadis yang telah dimalukan.

“Dulu masa awak kejar saya, awak tak malu pula ya?”

“Jangan nak ungkit-ungkit boleh tak?” Shana terasa darahnya menyirap ke muka.

“Kalau tak nak saya ungkit biar saya bersihkan dan letak ubat. Lepas tu awak balik.”

“Sikit ajelah. Kalau tak ubat pun esok-esok baiklah ni.”

“Itu kalau baik, kalau tak jadi makin teruk. Mula-mula berair, lepas tu bernanah. Lama-lama jadi besar. Jadi kudis dan akhirnya mungkin boleh jadi barah. Awak nak ke macam tu?”

Shana menjegilkan matanya. Sakitnya hati dengan gaya bercakap Thaqif. Cara lelaki itu berkata, macamlah dia anak-anak kecil yang mudah digula-gulakan. Hakikatnya, dia seorang wanita dewasa yang tahu berfikir. Bijak membezakan yang mana baik dan buruk. Luka sekecil itu sangat mudah sembuh.

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.