“ESOK kita
sarapan kat kedai lainlah pula. Tekak saya macam dah tak boleh terima dah
makanan yang dimasak di kedai tu. Balik-balik hidangkan makanan yang sama,”
kata Shana sebaik saja berdiri di hadapan Menara Semarak. Beberapa minit lagi
mereka akan berpisah. Dia akan berpusing ke belakang, kemudian ke Kedai Buku
Kasih dan Thaqif akan masuk ke bangunan bertingkat-tingkat itu.
“Eloklah tu, awak pergi sarapan sendiri.”
“Eh... abang ni!” kata Shana tak puas hati.
“Apa eh-eh? Ingat saya tak ada kerja ke?”
“Makanan kat kedai tu sangat masin, okey!”
“Biarlah masak makanan masin daripada langsung tak tahu
masak macam awak ni,” tempelak Thaqif selamba. Melihat pada mulusnya kulit
tangan Shana, dia sedikit pun tak yakin yang gadis itu pandai memasak. Tapak
tangan itu, tak perlu disentuh dia percaya sangat lembut.
Membulat mata Shana. Geram dengan tuduhan Thaqif yang
langsung tak ada salahnya.
Kalau sejak kecil semuanya disediakan, tinggal hendak
dimasukkan ke dalam mulut saja, mana mungkin dia boleh pandai memasak? Malah,
mencuba pun dia tak pernah kerana bimbang kalau-kalau dapur rumah bakal hangus
dikerjakannya. Melihat mata pisau yang tajam dia kadang-kadang menelan liur
sendiri. Terbayang-bayang betapa sakit bila kulitnya tertikam.
“Kenapa buat mata bulat macam tu?” Mata Thaqif terjegil.
“Ingat cantik sangat ke?”
“Tak cantik eh?” Kembali mengecil mata Shana kerana dia
sudah tersenyum lebar.
Diam-diam, Thaqif pupuk sabar di hati. Satu yang dia belajar
tentang Shana, gadis itu jangan sesekali dilayan baik. Jika tak, keadaan akan
jadi seperti sekarang ini. Shana akan terus mengambil kesempatan. Perangai
Shana betul-betul tak ubah seperti orang yang tak sedar diri. Sudah diberikan
betis, meminta dihulurkan paha pula.
Hari pertama, memanglah dia bermurah hati menemani Shana
bersarapan kerana rasa bersalah. Tak sepatutnya dia bercakap sesuatu yang
menggores hati Shana. Itu pun dia masih tak pasti, benarkah kata-katanya begitu
tajam. Yang dia perasan, wajah Shana terus berubah sedih. Bukannya dibuat-buat
sedih, tapi benar-benar sedih. Sehabis makan pun, riak Shana tetap tak berubah.
Mereka duduk bertentangan, namun Shana yang banyak mulut tiba-tiba saja jadi
seperti patung.
Malangnya, hanya setakat hari itu. Esoknya, Shana sudah
siap-siap menantinya di tempat yang sama. Di tepi lif. Hari ketiga, dengan
senyuman manis gadis itu melambaikan tangan padanya. Dan kemuncaknya, di
sinilah dia dan Shana. Baru selesai memenuhkan perut Shana dengan sepinggan
mihun goreng putih.
“Awak tahu tak masuk hari ni dah berapa hari saya temankan
awak makan?”
Shana kembangkan empat jari kanannya, tala ke arah Thaqif.
Setiap hari dia mengira, tak mungkin boleh lupa.
“Ya, betullah tu! Dah empat hari saya temankan awak
sarapan.”
“Jadi?” Shana buat-buat tak tahu.
“Maknanya dah selalu sangat saya temankan awak. Esok awak
kena makan sendiri. Sorang-sorang! Jangan sebab saya temankan awak selama empat
hari ni, awak anggap saya akan temankan awak untuk seumur hidup awak. Saya pun
ada life sendiri yang tak ada kaitan
dengan awak. Dunia ni bukannya hanya ada awak dan saya semata-mata. Ada banyak
orang yang perlu saya ambil tahu,” ujar Thaqif panjang berjela. Nadanya tenang.
Dia memang tak pernah bercakap kasar dengan Shana.
Marah dan geram macam mana pun, seboleh mungkin dia pastikan
suaranya tak begitu tinggi. Kalau tinggi, sekadar mahu Shana tahu yang dia tak
suka apa yang Shana buat.
“Tapi saya tak nak makan sorang-sorang!” bantah Shana dalam
senyuman. “Saya nak makan dengan abang.”
Thaqif tenung mata Shana dalam-dalam. Terkancing giginya
dengan sikap acuh tak acuh Shana. Kalau gadis itu gula-gula kapas, memang sudah
dimasukkan ke dalam mulut. Biar mencair dan kemudian akan ditelan semuanya. Tak
boleh ada sisa walaupun sebesar ibu jari. Esok-esok tentu Shana tak akan muncul
lagi dalam hidupnya. Tentu selepas itu, ketenangan yang hilang bakal muncul
lagi.
Sampai ke detik ini, dia masih berfikir siapa sebenarnya
Shana. Mahu mencari tahu, dia tak punya banyak masa. Lagipun, apa perlunya?
“Awak ni tak ada kerja ke?” Thaqif bertanya untuk pertama
kalinya.
“Kerjalah! Ingat saya tanam anggur ke?”
“Kat mana?”
“Dekat-dekat sini aje.”
“Kat mana?” tanya Thaqif sekali lagi.
Shana gelak kecil. Tak ada hati hendak menjawab pertanyaan
Thqif. Bimbang kalau-kalau, lelaki itu muncul di hadapan Kedai Buku Kasih.
Kemudian membuat kacau demi membalas dendam. Thaqif tak boleh sesekali
memalukannya di hadapan Madam Anne dan kawan-kawannya yang lain. Lambat-laun
dia bimbang jika apa yang dibuat sampai ke pengetahuan mama dan papanya. Jika
Haidar tahu, mungkin dia akan ditempelak untuk seumur hidupnya.
Kemudian dia membuang pandang ke kawasan sekitar. Lengang.
Hari masih pagi benar. Matahari masih belum muncul. Sesekali ada kenderaan
melintas di jalan. Ada juga beberapa orang yang berjalan pantas menuju ke
destinasi tersendiri. Malah, jalan raya dilihat masih basah. Mungkin malam tadi
tempat ini dilanda hujan. Tak seperti di kawasan rumahnya yang sudah agak lama
kekeringan.
“Kerja kat mana?” Tekan Thaqif sekali lagi.
“Rahsia!” balas Shana sambil menjongketkan kening.
“Kedekut,” ejek Thaqif benang.
Baik macam mana pun, hatinya tetap terasa sakit. Kalau dia
tak mahu membayar harga makanan Shana, mudah saja Shana menggelarnya tangkai
jering atau Haji Bakhil. Tapi bila sampai gilirannya, dibuat endah tak endah
saja oleh gadis itu. Bukannya dia meminta dibelikan atau dibayarkan apa-apa.
“Lain kali jangan minta saya belanja makan lagi.”
“Adakah itu bermaksud esok kita akan sarapan di kedai yang
lain? Kedai tadi tu tak sedap. Masakan masin macam orang nak kahwin. Tapi hari
tu saya nampak dia bawa anak kecil. Maknanya, dia dah kahwin. Kan?”
“Dahlah! Pergi balik,” halau Thaqif. Kalau dibiarkan Shana bercakap,
sampai esok pagi mereka tentu akan berdiri di tempat yang sama.
“Halau nampak?”
“Berambus...” suruh Thaqif dalam nada perlahan.
Tetap juga Shana tersenyum. Langsung tak terasa hati. Thaqif
bukannya bersungguh-sungguh. Lagipun dia memang harus pergi kerana tak mahu
mencuri masa lelaki itu. Dia yakin Thaqif ada begitu banyak urusan yang perlu
diselesaikan. Tak patut benar kalau terus ditahan.
“Esok jangan lupa tau!” Shana mengingatkan Thaqif sekali
lagi.
Cepat-cepat Thaqif keluarkan dompet di dalam poket. Ditarik
sekeping duit RM100 dan dihulurkan kepada Shana.
“Untuk apa?”
“Ambil dan gunakan untuk makan. Tapi syaratnya, jangan ajak
saya sarapan sama-sama sebab dia tak nak.”
“Sorrylah... saya
tak nak duit. Saya nak abang!”
“Isyh... sakitnya hati aku!”
Terus Thaqif pusing dan berjalan pantas. Tak mahu terus
memaksa Shana kerana pada akhirnya, dia juga yang terpaksa akur pada kehendak
Shana. Bukanlah dia tak mahu membayar harga makanan Shana. Tak banyak mana pun
gadis itu makan. Lebih banyak cuit di sana dan di sini daripada masuk ke dalam
mulut. Namun, dia rasa sangat terbeban dengan kehadiran Shana. Bahkan,
kadang-kadang dia seperti tak mahu ke pejabat apabila mengenangkan Shana.
“EH... ENCIK KASANOVA
dah sampailah,” ejek Budriz sebaik saja Thaqif muncul di muka pintu. Dia
tergelak-gelak perlahan. Namun sedikit pun tak berganjak, tetap juga duduk di
kerusi milik Thaqif.
“Siapa suruh masuk bilik ni?”
“Tak ada sesiapa pun. Budriz paksa Sakinah buka pintu tadi.”
Thaqif merengus kasar. Beg bimbit diletakkan di atas meja.
Dia duduk di kerusi, bertentangan dengan Budriz yang telah membuat bilik
pejabatnya seperti bilik pejabat sendiri. Rintik peluh di dahi, diseka dengan
sapu tangan yang memang sentiasa dibawa. Hati yang geram masih belum mampu diredakan.
“Sakinah ni pun satu. Ikut aje semua cakap Budriz. Agaknya
kalau Budriz suruh dia melompat dari tingkat tujuh ni, diturut juga,” bebel
Thaqif bagaikan peluru. Sakit hatinya pada Shana, kini disalurkan kepada Sakinah
dan Budriz. Biar hatinya di dalam rasa lebih tenang.
“Abang ingat, Sakinah tu tak ada akal ke?”
“Kalau betul ada, kenapa dia suka ikut cakap orang tak cukup
akal macam Budriz ni?”
“Abang tak baik tau cakap Sakinah macam tu.”
“Kalau Sakinah tak buka pintu bilik pejabat abang tadi,
Budriz tentu tak back-up dia macam ni
sekali. Kan?”
“Siapa kata?”
Thaqif, diam sejenak. Dia suka bekerja dengan Sakinah kerana
gadis itu sangat cekap dalam melakukan kerja-kerja yang diberi. Kadang-kadang,
tak perlu disuruh Sakinah tahu apa yang patut dilakukan. Lebih daripada itu,
Sakinah bukan jenis menggedik dan suka mengambil kesempatan padanya. Namun yang
lemahnya Sakinah itu, sering saja tunduk pada kerenah dan kemahuan Budriz dan
Yasmin.
“Budriz ni tak ada kerja ke? Jemu abang tengok muka Budriz
tahu?”
“Budriz pun designer
okey. Sama macam abang! Cuma abang Industrial
Designer dan Budriz Graphic Designer.”
Bibir, Thaqif juihkan sedikit. Meluat kerana Budriz selalu
menekankan ayat tersebut. Nampak macam bangga benar kerana setara dengan dia
dan Yasmin. Padahal, dibandingkan Budriz, dia lebih dahulu berkecimpung dalam
bidang tersebut. Itu pun masih hendak berlagak.
“Jadi, kenapa Syed Budriz menyemak di sini?”
Besar ketawa Budriz saat mendengar nama penuhnya meniti di
bibir Thaqif. Siap ditekan lagi sebutannya. Dia tahu, sampai ke saat ini Thaqif
masih sakit hati kerana dia memilih bekerja dengan orang dibandingkan Semarak
Sdn. Bhd. Abangnya tahu, meski bidang yang diambil berbeza, dia tetap
berkebolehan. Hanya, belum masanya dia berganding bahu dengan abang dan adiknya
di sini. Minatnya ke arah itu masih belum muncul.
“Tadi Budriz nampak abang makan dengan seorang gadis manis.
Siapa tu?”
“Gadis gila!”
Gadis? Jujurnya, dia sendiri tak pasti apa status yang
digalas Shana. Mungkin belum pernah berkahwin. Mungkin pernah berkahwin dan
kemudian perkahwinan itu tak bertahan lama. Atau lebih sadis lagi, masih isteri
orang.
Isteri orang?
Thaqif telan liur berkali-kali. Tekak tiba-tiba saja terasa
mengering. Takut membayangkan jika Shana itu benar-benar isteri orang. Patutnya
awal-awal lagi ditanya. Sebaliknya, dia hanya sibuk mencari jalan mengelak
daripada Shana walaupun pada akhirnya, tetap juga strateginya dipatahkan dengan
mudah.
Isteri orang ke Shana tu?
Rupa Shana yang selalu tersenyum manis cuba dibayangkan. Cara
penampilan Shana yang tak menjolok mata, diimbas. Kemudian bentuk tubuh itu tak
ketinggalan di ingatannya, walaupun terasa diri seperti kurang ajar kerana
membayangkan apa yang tak patut dibayangkan. Meski bayangan itu tak melampaui
batas. Untuk semua itu, dia tak nampak ketokohan seorang isteri ada pada Shana.
Memang jelas kelihatan seperti seorang perempuan yang belum berumah tangga.
Ke, mata aku yang sebenarnya tertipu?
Thaqif buntu sendiri. Kalau tak mengenangkan Budriz ada di
ruang yang sama dengannya, tentu dia sudah menghubungi Shana. Mahu ditanyakan
dengan jelas apa status Shana. Tak mahu dia tiba-tiba saja muncul lelaki yang
tak dikenali, kemudian menghadiahkan buku lima ke mukanya. Dengan alasan, dia
sudah mengganggu isteri orang. Sedang hakikat sebenarnya, dia yang diganggu
Shana.
“Kenapa abang tiba-tiba nampak cuak?”
“Mana ada!” sangkal Thaqif. Kalau Budriz tahu dia dikejar
isteri orang, tak ke malu?
“Siapakah gadis yang bertuah itu?”
Thaqif jongket bahu. Kebenaran tentang Shana harus
disingkap. Dia akan bertanya supaya tak timbul isu di kemudian hari kelak. “Tak
ada apa yang penting pun nak diceritakan,” kata Thaqif menutup terus rasa ingin
tahu Budriz. Tak mahu lahir pertanyaan yang lain jika dia bercerita. Cukuplah
kepalanya hanya diserabutkan Shana. Budriz tak perlu menjadi nasi tambah!